GEGARAN dalam institusi rumah tangga dan bencana sosial akhir-akhir ini tengah mengintai keharmonian hidup masyarakat disebabkan terminologi kafirkah aku. Ramai pula yang telah menyanggah dan membantah amanat Haji Hadi ini mengikut cara dan kemampuan masing-masing. Terlepas daripada kontroversi amanat tersebut, sama ada ia dilihat sebagai memenuhi ketetapan syarak ataupun bercanggah dengannya, maka semua lapisan masyarakat hendaklah kembali kepada panduan para salafussalih, iaitu ulama Ahlussunnah wal Jamaah yang telah menggariskan konsep murtad dan takfir agar tidak berlaku salah faham ataupun goncangan keimanan yang pada akhirnya akan berakibat buruk bagi kehidupan sosial masyarakat dan negara.

Apa Murtad dan Zindiq Itu?

Terdapat beberapa ungkapan yang digunakan oleh para ulama berkaitan dengan kesalahan ini, antaranya ialah al-riddah, al-irtidad dan murtad. Dari segi istilah, al-riddah dan al-irtidad bermaksud: keluar daripada agama Islam sama ada menerusi niat, perbuatan atau ucapan, sama ada ucapan itu bertujuan untuk mengejek atau melahirkan sikap degil atau kerana keyakinan. Murtad pula bermaksud subyek yang melakukan perbuatan tersebut.

Dari sudut akidah, murtad dianggap sebagai satu kesalahan berat yang boleh menghapuskan semua amal ibadah apabila mati dalam keadaan kafir. Murtad adalah kafir yang paling keji dari segala kekafiran (Q.S al-Baqarah: 217)

“Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).”

Zindiq pula berasal daripada bahasa Persia yang diserap kedalam bahasa Arab. Asal mula keyakinan mereka: meyakini bahawa cahaya dan gelap adalah dua hal yang qadim. Keduanya bercampur menjadi satu dan dari percampuran ini, terciptalah alam. Mereka yang jahat berasal dari gelap, sedangkan mereka yang baik berasal dari cahaya. Dahulu sebahagian dari mereka memperlihatkan ke-Islamannya sebagai cara untuk  menghindari hukuman bunuh (al-Syaukani: 9/198).

Syarat-Syarat Kesalahan Murtad

Syarat menetapkan kesalahan murtad ada 2, iaitu:

Pertama: Dilakukan oleh orang yang berakal. Menurut Imam Syafie dan Abu Yusuf, mencapai usia baligh adalah juga syarat kepada kesalahannya. Oleh hal demikian itu, kesalahan murtad tidak boleh disabitkan ke atas kanak-kanak dan orang gila. Kedua: Tidak dipaksa atau atas kehendaknya sendiri. (al-Nahl: 106)

Hal-Hal Yang Menyebabkan Murtad 

Penyebab murtad dapat dilihat daripada tiga sisi, iaitu:

Pertama: Itikad (kepercayaan)

Iktikad yang menyebabkan seseorang menjadi murtad ialah:

1. Tidak mengakui, bahawa tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Atau syak tentang wujud dan keesaan Allah s.w.t atau salah satu daripada sifat-sifat-Nya.

2. Tidak mengakui atau syak bahawa Muhammad itu utusan-Nya, atau mengingkari salah seorang dari rasul-rasul Allah s.w.t yang lain.

3. Tidak mengakui bahawa al-Quran kitab suci-Nya. atau ia syak dalam mempercayai salah satu dari ayat-ayat atau hukum hakam yang dinyatakan secara jelas oleh Allah s.w.t (al-ma’lum min addin bi addhorurah), atau menghinanya seperti melemparkannya ke dalam najis, menginjak-injak dan lainnya.

4. Tidak mengakui adanya malaikat-malaikat Allah s.w.t beserta tugas-tugas mereka.

5. Tidak mengakui atau ragu-ragu bahawa hari kiamat akan datang dan yang berkaitan dengannya, seperti: syurga, neraka, alam barzah, mizan, dosa, pahala dan lainnya.

6. Tidak percaya terhadap qadha qadar, iaitu ketentuan-ketentuan yang semuanya datang dari Allah s.w.t, sama ada buruk mahupun yang baik ataupun yang lainnya.

7. Tidak mengakui atau syak mengikuti keputusan ijmak sahabat-sahabat Nabi s.a.w dalam perkara hukum-hakam agama.

8. Mengharamkan perkara yang dihalalkan Allah s.w.t dan menghalalkan perkara yang diharamkan-Nya.

Kedua: Perbuatan yang disengaja.

Perbuatan-perbuatan yang menyebabkan seseorang menjadi murtad adalah melakukan sujud atau memuja kepada selain daripada Allah s.w.t seperti: memuja atau sujud kepada berhala, dewa, haiwan, pokok, manusia, arwah, matahari, bulan dan benda-benda langit lain.

Ketiga: Perkataan yang disengaja.

Perkataan yang menyebabkan seseorang menjadi murtad antaranya:

1. Mendakwa seorang muslim dengan dakwaan kafir, atau memanggilnya dengan kata-kata kafir. (Riwayat Bukhari Muslim daripada Abu Dzar r.a.)

2. Mengatakan bahawa takdir dan ketentuan itu bukan datang dari Allah s.w.t, melainkan daripada setiap makhluk atau daripada kekuatan alam sahaja. Atau mengatakan bahawa Allah s.w.t itu tidak berkuasa ke atas alam ini.

3. Mengatakan bahawa Allah s.w.t itu tidak satu / tunggal, melainkan dua atau tiga dan lain-lainnya. (al-Maidah: 73)

4. Menghina atau mengolok-olok Baginda s.a.w atau salah seorang daripada para Rasul yang lain (al-Syairazi: 2/284)

Imam al-Syairazi dalam kitab al-Muhazzab menambahkan penjelasan bahawa: Apabila seorang Muslim memakan daging babi dan anjing, maka ia tidaklah dihukum kafir, sebab ada kemungkinan ia memakannya tanpa meyakini kehalalannya. Namun apabila ia meyakininya, maka ia telah kafir. Sebab hukum haram anjing dan babi sudah ditetapkan secara jelas (tanpa perlu ditakwilkan) di dalam al-Quran (al-ma’lum min addin bi addhorurah).

Sesiapa sahaja yang dipaksa mengucap kalimat kufur, maka yang lebih utama adalah ia tidak menuruti perintah itu. Namun sebhaagian ulama Syafiyyah berpendapat bahawa apabila seseorang yang sangat diperlukan jasa dan kepakarannya bagi masyarakat, maka sebaik-baiknya ia menuruti kemahuan pemaksa secara lisan sahaja. Sebab, hidupnya lebih bermanfaat untuk kemaslahatan umat. Apabila mereka bukan golongan yang dikecualikan itu (orang biasa/awam), maka sebaik-baiknya ia memilih mati syahid berbanding mengucap kalimat kufur. (al-Syairazi 2/285)

Orang-orang yang bercita-cita keluar daripada Islam, maka ia telah murtad bermula saat ia mula bercita-cita. Ekorannya, lenyaplah semua pahala ibadah yang pernah dikerjakannya, kecuali apabila ia kembali bertaubat sebelum mati. Namun wajib ke atasnya menggantikan semua ibadah wajibnya semasa ia murtad. (Abu Qasim: 123)

Kafirkah Orang Yang Meninggalkan Solat Dengan Sengaja?

Terdapat dua jenis orang yang meninggal solat:

Pertama: Orang yang meninggalkan solat kerana ia beriktikad bahawa solat itu tidak wajib, maka ia dihukumkan murtad.

Kedua: Orang yang meninggalkan solat semata-mata kerana malas, sedangkan ia tetap meyakini bahawa solat itu wajib, maka ia hanya berdosa besar sahaja dan wajib disuruh bertaubat. Apabila ia tidak mahu bertaubat, maka ia boleh dibunuh sebagai hukuman (had) baginya, namun ia tetap dihukumkan sebagai Muslim, sehingga mayatnya tetap wajib ditajhiz (dimandi, kafan, solat, dan dikuburkan di tanah pekuburan Islam. (Abu Syuja: 24)

Daripada Buraidah r.a, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: Perjanjian yang ada antara kita (kaum Muslimin) dan antara mereka yang bukan Islam ialah solat, maka sesiapa yang meninggalkan soat itu, maka sesunggahnya ia telah kafir. (Riwayat Tirmidzi)

Imam Malik dan Syafie menjelaskan maksud kafir dalam hadis tersebut, iaitu apabila meninggalkan solat dengan iringan keyakinan bahawa solat itu tidak wajib (Abu Syuja: 25). Begitu juga dengan maksud al-Quran dalam surah al-Maidah, ayat 44; bahawa orang yang dihukumkan kafir akibat tidak berhukum dengan hukum-hakam Allah s.w.t ialah mereka yang tidak mengamalkannya disertai keyakinan bahawa hukum-hakam tersebut tidak wajib diamalkan, ataupun beranggapan bahawa ianya batil. Apabila tidak sampai memiliki keyakinan tersebut, maka dihukumkan sebagai orang yang zalim atau fasik sahaja sepertimana disebut dalam surah al-Maidah, ayat 45 dan 47. Oleh hal demikian itu, tidak dibenarkan mengecap / mengisytiharkan kafir (takfir) dengan serta merta kepada Muslim lain yang tidak terbukti secara meyakinkan telah melakukan tindakan kufur. Apatah lagi apabila hanya kerana perbezaan pendapat – yang para ulama pun juga ikhtilaf dalam permasalahan tersebut – ataupun berbeza pandangan politik, sudah pasti tuduhan takfir tersebut adalah suatu kesalahan besar. (Sayyid Muhammad Alwi al-Maliky: 19-20)

Apa Implikasi Hukum Terhadap Pesalah Murtad?

Orang yang telah sabit kemurtadannya, sama ada lelaki mahupun perempuan, maka boleh dikenakan hukuman oleh pemerintah (ulil amri). Jenis hukumannya meliputi tiga jenis:

1. Hukuman mati, sebagai hukuman asas. (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa al-Asyari r.a dan Muadz bib Jabal r.a)

2. Hukuman takzir, sebagai hukuman pengganti.

Seperti pendapat kalangan Hanafiyah yang membezakan pesalah murtad lelaki dan perempuan. Apabila perempuan, tidak dihukum bunuh, tetapi dipenjara sehingga ia mahu kembali masuk Islam atau sehingga ia mati di dalam penjara.

3. Putus Hubungan Waris dan Kehilangan Hak Terhadap Harta

Orang yang murtad telah terputus hubungan dengan warisnya dalam hal mewarisi harta. Kesalahan murtad juga dapat menghilangkan hak pemilikan harta walaupun hartanya diusahakan sebelum ia murtad. Semua haknya disekat untuk sementara waktu sehingga ia mahu bertaubat. Dalam sebuah hadis dinyatakan:

Daripada Usamah bin Zaid r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Seorang Muslim tidak dapat mewarisi orang kafir, dan orang kafir tidak pula dapat mewarisi orang Muslim. (Muttafaq Alaih)

Pelaksanaan Hukuman

Al-Istitabah (Menyuruh Bertaubat) Sebelum Dibunuh

Imam atau ketua negara wajib menyuruh orang murtad untuk bertaubat sebanyak tiga kali. Apabila ia tidak mahu maka boleh dikenakan hukuman bunuh. Hukum ini di sepakati oleh Imam Mazahib empat.

Daripada Ibnu Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia. (Riwayat Bukhari)

Dalam hal pelaksanaan istitabah, terdapat perbezaan pendapat imam mujtahid, iaitu:

Abu Hanifah: apabila orang murtad memintakan ditangguhkan masa / waktu, maka hendaklah diberikan peluang selama tiga hari. Apabila tidak meminta, maka tidak wajib disuruh bertaubat dan terus dibunuh.

Imam Malik: wajib terlebih dahulu disuruh bertaubat. Apabila terus bertaubat, maka diterimalah taubatnya. Apabila ditangguhkan tiga hari, maka dia mesti bertaubat dalam masa tersebut. Apabila habis masa penangguhan tersebut dan ia tidak mahu bertaubat, hendaklah dihukum bunuh.

Daripada Imam Ahmad, terdapat dua pendapat: Selaras dengan pendapat Imam Abu Hanifah, dan tidak wajib disuruh bertaubat. Tentang memberi masa penangguhan; Hasan al-Basri menyatakan: orang murtad tidak perlu disuruh bertaubat, dan terus dibunuh. Imam al-Atha pula memberikan perincian: kalau orang murtad itu dahulu dilahirkan dalam keluarga Islam, kemudian ia murtad, maka tidak perlu disuruh bertaubat. Kalau orang itu lahir daripada keluarga kafir, kemudian masuk Islam, kemudian kembali kepada kufur, maka ia disuruh bertaubat.

Tidak Boleh Dibakar

Pesalah murtad yang tidak mahu bertaubat, maka boleh dikenakan hukuman bunuh dengan cara tidak dibakar, berdasarkan Hadis Ikrimah (Riwayat al-Jamaah selain Muslim)

Pendapat Ulama Moden Yang Humanisme

Menurut pentahqiqan yang dilakukan oleh sebahagian ulama Muhaqqiqin; tidaklah semua pesalah murtad itu di kenakan hukuman bunuh kerana ia bercanggah dengan firman Allah s.w.t tentang tidak ada paksaan dalam beragama (al-Baqarah: 256). Pendapat ini juga selari dengan pemikiran ulama Mutaakhirin seperti Dr. Taufiq Shidqy yang menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman bunuh terhadap pesalah murtad adalah bercanggah dengan cita-cita Islam yang membawa keamanan dan kesejahteraan kepada seluruh manusia. Orang murtad yang dihukum bunuh adalah mereka yang melakukan pengkhianatan terhadap pemerintah Islam dan undang-undangnya. Maka jika seorang murtad tetapi tidak berbuat kekacauan dan khianat, maka tidaklah dijatuhkan hukuman melainkan hanya takzir. (Hasbi as-Shiddiqy)

Hadis-hadis tersebut jangan diambil secara tekstual sahaja melainkan perlu ditakwilkan, bahawa yang dibunuh adalah orang murtad yang dengan sengaja merosakkan agama Islam ataupun akidah orang lain. Perkara inipun diserahkan kepada budi bicara hakim atau penguasa. Dan dalam hal ini, kita perlu juga memperhatikan matlamat istitabah dan pendapat al-Nakhaiy yang mendorong agar kita terus berupaya menyedarkan orang yang murtad untuk terus bertaubat, dan mereka tidak semestinya terus dibunuh.

Tanggungjawab Pelaksanaan Hukuman

Pelaksanaan hukuman bunuh terhadap pesalah murtad hanya boleh dilakukan oleh pemerintah tertinggi kerajaan. Sesiapa yang melaksanakan hukuman bunuh terhadap pesalah murtad tanpa kebenaran, maka ia boleh dikenakan hukuman takzir kerana melanggar bidang kuasa mahkamah. (Wahbah Zuhaily:180-183)

RUJUKAN

Abu Ishaq Ibrahim al-Syairazy, Al-Muhadzzab Fi al-Fiqh al-Imam al-Syafiiy.

Al-Allamah Ibnu Qasim,  Tausyih ‘Ala Ibnu al-Qasim.

Al-cAllamah Abu Syuja’,  Fath al-Qarib al-Mujib.

Wahbah Zuhaily,  Al-Fiqh al-Islamy Wa Adillatuhu.

Muhammad Ali bin Muhammad al-Syaukany, Nail al-Authar Sharh Muntaqo al-   Akhbar.

Sayyid Muhammad Alwi al-Maliky al-Hasany, Mafahim Yajib An Tushohhah.

M. Hasby As-Shiddieqy, Koleksi Hadis-Hadis Hukum.

Oleh: Ahmad Khoshi Bahrowi

Translate »