Cukup membingungkan, perubahan sikap dan pendirian negara kuasa besar yang bersekutu dengan Israel semakin jelas hilang deria kejantanannya.Beberapa keputusan-keputusan mutakhir Amerika Syarikat  memperlihatkan ‘hati singa’ mula menjejadi ‘hati landak’. Israel pula dalam kebuasan perilaku singa bertukar menjadi habitat tikus kerana hanya berani berperang dengan kanak-kanak, wanita dan orang awam; tidak ada kekentalan semangat juang berperang dengan tentera Hamas.

James Reston Jr, pengarang buku Warriors of God (2001) yang mengisahkan kehebatan dua kesatria Perang Salib III – Richard the Lionheart dan Salahudin al-Ayubi –betapa raja England yang dikenali hebat, tangkas dan perkasa – digelar Richard the Lionheart- akhinya terpaksa berhadapan dengan  hati-hati landak dalam kalangan pemimpin Tentera Salib.

Landak, sebuah fenomena hubungan yang saling menikam dan membunuh mula diperkenalkan oleh Arthur Sophenhauer (1788-1860) sebagai ‘Hedgehog  Dilemma’: Landak, hampir di keseluruhan badannya mempunyai duri, dan duri itu adalah senjata untuk mempertahankan diri daripada pelbagai gangguan, termasuk ketika berhadapan dengan ancaman daripada landak-landak yang lain.

Sophenhauer, seorang ahli falsafah dan psikologi berbangsa Jerman menjadikan sifat landak itu sebagai sebuah analogi mengenai persahatan dan kesatuan landak-landak dalam menghadapi kelangsungan hidupnya ketika musim sejuk. Namun, persahabatan terjalin dalam rasa takut, was-was dan bimbang diancam duri.

Landak perlu mendekatkan diri antara mereka ketika cuaca sejuk melampau bagi mendapatkan kehangatan dan dalam masa yang sama, landak-landak tidak dapat menyembunyikan bulu berduri yang ada di badannya. Semakin dekat landak menghimpit rakannya, semakin besar potensi duri itu menikam rakannya, meyebabkan mereka terluka dan dilukai.

Itulah fenomena yang cuba digambarkan oleh James Reston Jr ke atas apa yang dihadapi Richard the Lionheart sepanjang Perang Salib III menyebabkan kemenangan akhir berpihak kepada Tentera Islam yang dipimpin oleh Salahudin al-Ayubbi. Antara Richard dan Salahudin, secara fizikalnya mereka mempunyai kekuatan ‘setanding’ sebagai satria, namun jiwa mereka sangat berbeza.

Richard mempunyai kekosongan jiwa agama, sedangkan Salahudin kental dengan semangat jihad terhadap Islam. Richard menyertai misi Perang Salib sebagai menebus rasa bersalah setelah zaman remajanya penuh gelora, dari seorang pemberontak hinggalah kepada pengamal homoseksual.

Perang Salib digembar-gemburkan sebagai perang suci,  mereka yang menyertainya akan terhapus dosa silamnya. Doktrin Pop Urban II (1095) yang dikembangkan daripada pernyataan paus sebelumnya.

Sepanjang Perang Salib III, Richard mengalami pelbagai tentangan dan konflik dengan lain-lain pemimpin yang mewakili seruan Tentera Salib. Awalnya, Richard dan Philip Augustus (Raja Perancis) saling cemburu dan berdendam. Philips yang tiba awal, merasakan kehadiran Richard akan mencabar kepimpinannya. Sebabnya, Richard digambarkan sebagai kesatria Inggeris yang cekap dan mahir berperang.

Richard adalah bekas tunang adik tiri Philips, Alexis. Semasa membesar di istana England, Alexis menjadi perempuan simpanan Henry dan telah melahirkan seorang anak luar nikah. Atas sebab itu Richard enggan berkahwin dengan Alexis, adik tiri Philips.

Ibu Richard, Eleanor merupakan keturunan bangsawan Perancis dan menguasai hampir separuh keluasan tanah di selatan Perancis. Eleanor berkahwin dengan ayah Philips (King Louis VI) dan menjadi Ratu Perancis selama lima belas tahun. Eleanor juga pernah ikut King Louis VI menyertai misi Perang Salib, tetapi Eleanor terjebak dengan seks haram bersama bapa saudaranya, Raymond III, ketua kerajaan Byzantium (Tripoli).

Sekembalinya daripada misi Perang Salib, Eleanor diceraikan oleh King Louis VI, atas alasan tidak melahirkan zuriat lelaki. Empat bulan kemudian, Eleanor berkahwin King Henry II,  Raja England. Richard merupakan anak ketiga King Henry II dan Eleanor.  Eleanor mempunyai kelicikan dalam menentukan urus tadbir istana, dan akhirnya dikurung setelah terbabit membunuh salah seorang gundik kepunyaan suaminya. Eleanor menjadi pengawal Alexis yang dikurung setelah Richard enggan mengahwininya dan lahir anak luar nikah bersama Henry (Count of Champagne, anak saudara Richard).

Konflik seterusnya ialah sikap cemburu Philips. Philips yang berada di medan Perang Salib III jatuh sakit. Ketika hampir sembuh membuat keputusan pulang ke Perancis dan menyerahkan sepenuhnya kepimpinan kepada Richard. Richard pula berhadapan dengan intrig dalaman, iaitu kerajaan Byzantium, yang merasakan kehadiran Raja Inggeris itu akan menguasai dan mengawal mereka.

Intrig itu akhirnya menjadikan ketumbukan Tentera Salib saling bercanggah dalam memutuskan arahan berperang, yang akhirnya membawa padah. Misalnya dalam keputusan menyerang atau berundur di sebuah kawasan kering yang dibakar oleh Salahudin sebagai perangkap perang, iaitu di Bukit Hittin (4 Julai 1187).

Richard pula diberitakan tidak akan pulang ke England hidup. Philips menyebarkan propaganda bahawa Richard akan mati dan tidak sepatutnya mengharapkan kemenangan buat Tentera Salib kali ini, walaupun dua perang sebelumnya menang. Hnery turut menerima sogokan hasutan daripada Philips sehingga berusaha keras untuk menjadikan dirinya sebagai Raja England, menggantikan Richard. Akibat ‘perebutan’ itulah akhirnya Richard mengambil keputusan berdamai dengan Salahudin dan pulang ke England.

Fitnah terhadap Richard semakin berleluasa setelah perkhabaran ‘lari daripada perang’ dan memetrai perjanjian dengan Salahuddin. Akibatnya, dalam perjalanan pulang menerusi jalan darat, rombongan Richard ditawan oleh penguasa yang terpengaruh dengan hasutan Philip Augustus. Richard kemudiannya berjaya dibebaskan oleh ibunya, Eleanor dengan tebusan yang cukup tinggi setelah dijual kepada Henry VI  (Kaisar Romawi).

Inilah yang sedang berkembang di medan percaturan terbaharu konflik Palestin-Israel yang sudah memasuki bulan keenam (7 Oktober 2024 hingga 13 April 2024). Walaupun Mohd Nasaie Ismail tidak menjejaki dilema landak, bekas wartawan Utusan Malaysia itu mempunyai hujah dan fakta menarik dalam membahaskan pergolakan Palestin-Israel terbaharu.

Bagi Nasaie, konflik dalaman Israel dan hubungan dengan Amerika Syarikat, krisis sokongan daripada negara-negara sekutu, kemunculan gerakan menentang momokan hak asasi manusia dan demokrasi, kebangkitan China dan Rusia dalam geopolitik Timur Tengah dan antarabangsa, menjadikan kebrutalan Israel sangat berbeza perspektif daripada sebelumnya.

Penuh kontradiksi dan sandiwara, bercanggahan dengan prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa, atau pembentukan dasar luar Amerika Syarikat yang berpaksikan wilsonisme (14 fakta dalam ucapan Woodrow Wilson, Presiden Amerika Syarikat ke-28  pada 8 Januari 1918 bagi menyelesaikan Perang Dunia I).

Jejak-jejak itu berjaya mengalihkan perspektif bagaimana konflik di Timur Tengah itu dilihat sehingga meramalkan bahawa Israel akan musnah dalam Hari-Hari Akhir Israel di Bumi Palestin. Ia dilihat dalam perspektif settler colonialism, yang mula menarik perhatian meluas selepas ahli akademik mengeluarkan kenyataan menentang solusi dua negara.

Idea kembali ke “Tanah Yang Dijanjikan” menjadi seumpama mimpi ngeri pendokong zionis, kerana slogan itu dilihat sengaja dibuat untuk meraih simpati seluruh Yahudi dan kuasa-kuasa besar menjelang akhir Abad ke-19.

Melalui Gerakan Yahudi Antarabangsa yang diusahakan oleh Dr Theodore Herzyl pada tahun 1897 di Basel, Switzerland dan menerbitkan buku, Der Judenstaat (Negara Yahudi) 1896, ia buat pertama kali menyatukan usahawan Yahudi yang kaya (Roschild dan keluarga) untuk menyelinap masuk dalam pentadbiran negara dan mendokong cita-cita tersebut.

Dalam satu catatan di diari, Herzyl menulis: “At Basel I founded the Jewish State. If I Said this out loud today, I would be greeted by universal laughter. In five years perhaps, and certainly in fifty years, everyone will perceive it.”

Untuk menambahkan simpati, pembohongan seterusnya diperhebatkan oleh aktivis Yahudi Antarabangsa dengan mengambil posisi jelek Adolf Hitler sebagai tindakan kejam terhadap Yahudi dengan dakwaan holocaust. Dalam holocaust, berlaku genosid dan genosid itulah yang benar-benar dilakukan oleh Israel dalam konflik terbaharu di Gaza.

Konflik terbaharu jelas menggambarkan hakikat sebenar Israel, menghapuskan wilayah Palestin dan semua isinya yang digelar warga Palestin, termasuk yang beragama Islam mahupun bukan Islam.

Namun, atas kebijaksanaan dasar luar Amerika Syarikat, asalnya konflik tersebut dilihat sebagai Konflik Arab-Israel, ia berjaya dikecilkan sebagai Konflik Palestin-Israel, yang sepintas lalu menggambarkan tidak ada lagi hubungan dengan semangat Arabisme sebagaimana diperjuangkan oleh Anwar Sadat pada tahun 1960-an.

Ia menjadi semakin ketara apabila negara-negara Arab berjaya ditundukkan oleh Amerika Syarikat melalui bantuan, kerjasama dan pembabitannya di rantau Timur Tengah, sehingga Mesir dan Arab Saudi, dua aktor utama yang menggerakkan semangat menentang Negara Haram Isreal menjadi sepi, dan lebih tunduk kepada kemahuan dan dasar Rumah Putih.

Namun, semuanya dilihat sedang berubah; tidak lagi tunduk sepenuhnya dengan kehendak Rumah Putih. Itulah akhirnya Joe Biden dan PM Britain, Sunak terpaksa ke Israel untuk menyatakan dokongan. Namun, Biden tersandar ‘aib’ apabila Jordan membatalkan pertemuan dengan beberapa orang pemimpin Arab untuk berbincang mengenai krisis Palestin-Israel. Konsep two state resolution (TSR) yang digunakan selama ini sebagai rencana rundingan damai mula dipersoalkan kekesanannya dalam menangani konflik yang membabitkan Israel.

Kegagalan tersebut bakal memberikan petunjuk kepada Joe Biden yang sudah menyatakan hasrat untuk menguasai pentadbiran Rumah Putih buat penggal kedua. Jika sebelumnya, Rusia dilihat sebagai kejam dan ganas menyerang Ukraine, kini, Amerika Syarikat turut dipertanggungjawabkan dengan tindakan genosid Israel ke atas Palestin.

Rakyat Amerika Syarikat sudah mula berhimpun dan membantah dasar Amerika Syarikat membantu Israel, termasuk meluluskan penjualan senjata tanpa kelulusan senat terlebih dahulu kepada Israel.

Apakah tindakan itu akan mengulangi kesilapan-kesilapan keputusan Rumah Putih sebelumnya, seperti silapnya Bush Sr dengan Iranian Contra Gate, Nixon dengan Watergate Scandal, Bush Jr dengan serangan ke atas Irak dan membentuk ketumbukan melawan Iran dan Syria sehingga melahirkan DAESH (ISIS – Islamic State for Iraq dan Syria atau sebelumnya ISIL, Islamic State for Iraq and the Levant)?

Kebangkitan masyarakat antarabangsa ialah mengenai kekejaman penjajahan, yang mula diperkatakan semula dalam ruang akademik di universiti-universiti di Amerika Syarikat pada tahun 1980-an dan 1990-an. Mereka kembali melihat wajah buruk white supremacy yang menjarah Afrika Selatan dan akhirnya nasionalisme Nelson Mandela berjaya mematahkan dasar apartheid itu.

Ia juga menjadi impuls dalam kebangkitan tindakan yang dinamakan BDS – boycott, divestment dan sanction atau dalam bahasa Melayu, boikot, lupus dan sekat, yang berakarumbikan kepada pemahaman semula mengenai konsep kolonialisme. Kolonialisme bukan sahaja dalam bentuk penguasaan politik dan ekonomi, tetapi juga dalam konteks penghapusan etnik asal seperti yang berlaku di Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand. Ia menerbitkan istilah settler-colonialism.

Settler colonialism inilah yang menjadi mauduk perbincangan buku tulisan Mohd Nasaie Ismail. Nasaei Ismail yang berpengalaman  dalam bidang kewartawanan dan hubungan antarabangsa, cukup menarik melihat geopolitik dunia yang sedang dan akan  akan kekal kejam dan ganas selagi belum berjaya merampas apa sahaja yang menjadi hak milik Palestin.

Penjarahan tanah-tanah, memprovokasi rakyat Palestin untuk mewujudkan suasana tegang agar boleh ‘membunuh’ mereka, akan terus berlaku biarpun hampir kesemua yang dilakukan oleh tentera Israel melanggar ketetapan, peraturan, undang-undang antarabanga. Dalam proses penjarahan tanah, Israel telah melanggar pembahagian yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1967.

Kini, Israel memiliki lebih 80 peratus keluasan tanah sedangkan hanya 20 peratus sahaja diperuntukkan dalam persetujuan tersebut. Langkah seterusnya ialah memadamkan nama Palestin dalam peta dunia, dan tindakan ganasnya ialah melakukan pelan genosid.

Tidak setakat itu, Israel sedang menulis semula sejarah Palestin, dengan memindahkan tindakan ganas dan kejam yang dilakukan itu kepada rakyat Palestin, dan kerana itu, bangsa Palestin wajar dihapuskan atau dihalau keluar.

Menurut Prof Ilan Pappe, “settler colonialism ialah gubahan konsep daripada teori dan sejarah kolonialisme. Gerakan peneroka yang cuba membina hidup dan identiti baharu di negara yang sudah berpenduduk bukanlah sesuatu yang hanya berlaku di Palestin. Di Amerika, di kawasan hujung selatan Afrika, dan di Australia dan New Zealand, pneroka berkulit putih membinasakan penduduk asal dengan pelbagai cara, antaranya melalui genosid, agar mereka boleh menjadikan diri mereka sebagai pemilik negara tersebut dan mengubah identiti mereka sebagai penduduk asal.

“Penggunaan istilah ‘settler colonialism’ dalam kes Zionisme mula dipakai secara meluas dalam dunia akademik sekarang, sekaligus memperdayakan golongan aktivis untuk melihat dengan lebih jelas persamaan antara kes Israel dan Palestin dengan Afrika Selatan, serta mengaitkan nasib masyarakat Palestin dengan keadaan yang dikenakan pada Orang Asal Amerika.” (Noam Chomsky dan Ilan Pappe, Perihal Palestin, terjemahan daripada On Palestine (2014) oleh Maryam Zakiah, Petaling Jaya: The Biblio Press, 2024, hal.24-25).

Jelaslah, apa yang dilakukan oleh Israel sekarang ialah dengan menggunakan model apa yang dilakukan oleh kulit putih terhadap Orang Asal, termasuk tindakan penjajah ke atas etnik Red Indian di Amerika sehingga berjaya membentuk Amerika Syarikat dan pengusiran masyarakat Maori di Australia dan New Zealand.

Walaupun saki baki penduduk asal masih ada dan cuba dilindungi secara undang-undang, proses peminggiran mereka tetap dilaksanakan secara halus dan terancang. Hal ini telah dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Tebing Barat yang dikuasai oleh PLO, yang membentuk Pihak Berkuasa Palestin.

Selepas Tebing Barat (West Bank) seolah-olah ‘dicucuk hidung’ oleh Tel Aviv, Semenanjung Gaza bangkit untuk mempertahankan wilayah Palestin daripada dikuasai oleh Israel. Dalam pilihan raya Palestin 2006, Semenanjung Gaza dimenangi oleh Hamas (Harakat al-Muqawa al-Islamiyya, ditubuhkan secara rasmi pada 14 Disember 1987 oleh Syeikh Ahmad Yassin, kini dipimpin oleh Ismael Hanayeh dan pada tahun 1992, Briged Izzudin al-Qassam ditubuhkan sebagai pasukan bersenjata Hamas).

Tebing Barat dikuasai oleh Fatah (sayap politik yang dikuasai oleh Pihak Berkuasa Palestin dan merupakan parti politik yang diiktiraf oleh Israel). Kesan daripada kemenangan tersebut, Hamas dan Fatah tidak lagi sehaluan. Kedua-dua pemimpin parti seringkali berselisih pendapat sehingga menarik minat Israel melakukan serangan ke atas Gaza.

Serangan Israel selepas itu memperlihatkan betapa bongkaknya rejim terbabit sehingga sanggup menggunakan bahan kimia –phosphorus- sebagai langkah ‘pembunuhan’ penduduk Gaza. Bahan beracun berwarna putih itu boleh mengakibatkan mangsa mengalami masalah kesihatan kulit yang kronik dan mendapat kanser.

Beberapa hari lalu, tentera Israel melakukan kesilapan besar apabila membunuh tiga orang anak dan empat orang cucu Ismail Haniyeh. Kesemua mereka didakwa  sebagai aktivis Hamas. Dunia melihat pembunuhan terbabit sebagai langkah terdesak Israel, masakan kanak-kanak merupakan aktivis Hamas. Ismail Haniyeh menafikan tiga-tiga orang anaknya itu adalah anggota Hamas.

Ia menambahkan lagi rasa benci dunia terhadap Palestin. Simpati masyarakat antarabangsa terhadap Gaza mula ditunjukkan apabila kawasan itu menjadi kepungan Israel termasuk sekatan perjalanan.

Bukan setakat itu Israel melakukan kekejaman. Israel turut membunuh seorang aktivis kemanusiaan warganegara Amerika Syarikat, Rachel Corrie dengan menggunakan jentolak pada tahun 2003. Semangat Rachel Corrie tidak padam setelah kematiannya. Bahkan lebih 50 negara bergabung untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke atas Gaza pada tahun 2010.

Namun, flotilla Mari Marvara itu akhirnya direjam oleh Israel di perairan antarabangsa. Kapal yang diketuai oleh aktivis kemanusiaan Turki itu dirunda ke Ashdod, manakala seramai 9 orang terbunuh dalam serangan hendap tersebut. Peristiwa itu membangkitkan lagi rasa marah dan benci masyarakat dunia terhadap Israel manakala hubungan diplomatik dengan Turki mula dilanda krisis.

Israel menolak kemenangan Hamas. Dan, dalam masa yang sama, perjuangan Palestin terbelah dua dan ia menjadi sesuatu yang dilihat boleh membantu Israel melaksanakan hasrat menjajah Palestin sepenuhnya kerana Tebing Barat (Fatah) sudah dapat dijinakkan. Andaian Israel itu tidak semudah yang difikirkan, kekuatan Palestin sekarang cukup bergantung kepada semangat dan kekentalan Hamas.

Inilah yang berlaku dalam Perang Salib III, Tentera Islam semangatnya lebih kental berbanding Tentera Salib, yang akhirnya membawa kemenangan kepada Salahudin al-Ayubbi. Semangat itulah yang sedang membara dalam jiwa setiap orang yang menyertai sayap tentera Hamas, Brigad al-Qasam.

Inilah yang dapat kita simpulkan kenapa Israel cukup ganas untuk menjarah Semenanjung Gaza dan mengharapkan sokongan Fatah yang sudah dijinakkan. Gaza tidak berganjak, Gaza terus berjuang untuk ‘menghalau Israel/zionis’ daripada bumi Palestin. Dalam kes serangan sejak 7 Oktober 2023, tidak ada kenyataan langsung daripada Fatah ikut membantu membebaskan Palestin daripada terus dijarah oleh Israel.

Itulah sebabnya penyelesaian ‘dua negara –TSR’ semakin tidak dipersetujui. Untuk menyelesaikan krisis Palestin, ia tidak memerlukan kehadiran Israel, sebaliknya one state resolution (OSR) amat diperlukan. Kenapa TSR ditolak dan mendapat kritikan tajam? OSR dianggap lebih berkesan. Namun OSR itu tidak dirujuk kepada Israel, ia adalah khusus untuk Palestin, dan pada masa sekarang ialah Hamas. Bukan Fatah atau Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Fatah dan PA sudah lama gagal memainkan peranannya. Seringkali dirujuk sebagai ‘harimau tua kehilangan kuku dan taring’. Begitu juga dengan kepimpinan Mahmud Abbas yang berusia lebih 80 tahun. Mahmud Abbas lebih mendengar dan cenderung mendokong kaedah penyelesaian yang dicadangkan oleh Israel, yang sudah terlalu banyak merugikan rakyat Palestin.

Ia seolah-olah mewarisi gaya kepimpinan Anwar al-Sadat yang bersetuju dengan cadangan Amerika Syarikat terhadap Perjanjian Kem David (1978). Akhirnya Anwar Sadat terpaksa menerima kesan tragik, dibunuh pada 6 Oktober 1981, tiga tahun selepas perjanjian tersebut. Tahun 1979, Anwar menerima Anugerah Nobel kerana menandatangani perjanjian tersebut.

Dalam tempoh 75 tahun konflik, TSR tidak menghasilkan sebarang kejayaan,  bahkan nasib penduduk Palestin semakin parah dan Israel menjadi semakin ganas, kejam dan lupa batas-batas hukum antarabangsa.

Menggunakan kaedah TSR, tidak pernah berlaku ketetapan yang berkesan, ia membolehkan Israel melakukan apa sahaja, kerana Amerika Syarikat sentiasa melindunginnya walaupun tindakan yang dilakukan itu mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.

Pada setiap kali rundingan, Israel berusaha mengubah perspektif, mendakwa  apa yang dilakukannya adalah tindakan mempertahankan diri. Atas sebab itulah menurut perspektif Amerika Syarikat, Israel tidak bersalah. Salahnya ialah penduduk Palestin melakukan provokasi dan menghina Israel.

Sedangkan, Israel tidak pernah memberikan ruang kepada rakyat Palestin untuk beribadat di Masjidil Aqsa. Israel menipu masyarakat dunia, di bawah bangunan Masjidil Aqsa itulah letaknya Istana Nabi Sulaiman (King Solomon Mines), yang penuh dengan harta karun dan rahsia penganut Yahudi.

Ketika isu pembantaian berlaku di Masjidil Aqsa, media sering menunjukkan sebuah lagi bangunan yang berkubah emas, iaitu Dome of the Rock. Sehingga ada yang percaya Dome of the Rock itulah Masjidil Aqsa, yang tidak diusik oleh Israel. Ia suatu pembohongan besar, yang kini semakin tidak lagi dipercayai oleh masyarakat antarabangsa.

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »