Perkataan kafir pun saya haramkan di rumah. Saya tak ajar anak saya sebut kafir.” Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan.

                                                                                                   ******

Jika terdapat seseorang yang mengaku muslim menyatakan dia mengharamkan perkataan ‘kafir’ di rumahnya, tertanya kita: “apakah ini bererti dia telah mengharamkan al-Qur’an dan al-Sunnah dalam rumahnya? Atau apakah dia menapis ayat-ayat yang sesuai dengan hawa dirinya sahaja dalam rumahnya? !Atau dia sudah tidak percaya al-Qur’an dan al-Sunnah  berfungsi dalam kehidupannya? Atau dia ingin mengubah ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Nabi s.a.w. dengan satu edisi baharu bikinannya?

Apapun, itu semua merupakan gambaran akidah yang parah yang sedang membarah dalam masyarakat kita. Semoga Allah memelihara diri dan generasi kita daripada keingkaran terhadap kitabNya dan sunnah RasulNya.

“Tidak memanggil orang kafir sebagai ‘kafir’ itu soal kaedah interaksi, namun mengharamkan perkataan ‘kafir’ bererti mengharamkan al-Qur’an dan al-Sunnah.” Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Maza), Mufti Perlis.

                                                                                                       ******

KONTROVERSI MUNCUL LAGI. Sekurang-kurangnya ada tiga kontroversi besar yang melingkari umat Islam pada suku pertama tahun 2024, yang berakhir 31 Mac 2024; tapi kontroversi itu sendiri belum ada titik nokhtahnya. Jelasnya, ia kontroversi yang mewarnai sepanjang bulan Ramadhan 1445.

Jadi, sepanjang bulan ‘keibadatan’ ini, telinga dan minda kita dihumban dengan pelbagai sogokan mengecam, menghina dan seruan membantah di atas apa yang dikira sebagai ‘kontroversi’.

Mujurlah di akhir Ramadhan kita sedikit tenang, walaupun muncul kontroversi lagu raya Datuk Aliff Syukri, seorang bukan Islam mengajak umat Islam menikmati mee daging babi, tapak kasut bertumit tinggi perempuan ada lakaran mirip kalimah Allah, dan cadangan makan ubi kayu bagi menggantikan beras setelah isu bekalan beras tempatan (SST) tidak juga mudah didapati ekoran aktiviti kartel.

Kontroversi pertama ialah memboikot apa sahaja produk mahupun perkhidmatan yang kaitannya dengan Israel, sama ada secara langsung atau tersembunyi sebagai bantah sikap dan perangai rejim zionis yang kejam terhadap Palestin.

Seruan yang hadir dalam bentuk BDS – boycott, divestment and sanctions atau boikot, lupus dan sekat – yang dimulakan oleh masyarakat sivil Palestin dengan merujuk perihal apartheid yang pernah menjadi kerangka kezaliman rejim kulit putih di Afrika Selatan.

Malaysia juga ada gerakan BDS, yang menuntut supaya semua pembekal atau pengedar dan peruncit produk berjenama asing yang mendokong Israel peka dengan sensitiviti masyarakat terhadap pelanggaran prinsip kemanusiaan, undang-undang antarabangsa dan penghinaan zionis (pentadbir negara haram Israel) diboikot selagi hubungan tersebut terjalin.

Permulaan kali in selepas Israel benar-benar angkuh dengan tembakan gilang terhadap penduduk Gaza, tanpa peduli wanita, kanak-kanak, perumahan awam, pusat-pusat pendidikan, premis perubatan dan sebagainya.

Dalam hal ini, Mc Donald cukup terasa dengan tindakan boikot, kerana rakyat Malaysia benar-benar marah setelah tularnya visual memo pemegang lesen francais di Israel menyediakan makanan percuma kepada askar yang bekerja untuk membunuh penduduk Gaza.

Tempiasnya turut terasa di Malaysia walaupun dijelaskan McDonald Malaysia tidak ada kaitannya dengan McDonald Israel, kerana pengurusannya berbeza. Bahkan McDonald Malaysia telah memperuntuk sejumlah bantuan mendokong Palestin.

Akhirnya, pemegang francais McDonald Malaysia menarik balik samannya ke atas NGO (termasuk BDS Malaysia) yang membuat seruan boikot. Tetapi, BDS Malaysia tidak berganjak dengan keputusan memboikot, walaupun pemegang francais hanya membayar yuran francais, pengurusannya tidak dikawal oleh pemilik jenama tersebut yang berpengkalan di Chicago, Ilinois, Amerika Syarikat.

Khabarnya, McDonald mengalami kerugian sejumlah USD $7 bilion setiap jam. Di Malaysia, belum ada apa-apa kenyataan tentang kerugian yang dialami oleh McDonald ekoran BDS itu.

Namun, Starbucks, satu lagi jenama francais daripada Amerika Syarikat yang diurusniagakan oleh Berjaya Food turut mengesahkan alami kerugian sebanyak RM 42.2 juta pada suku keempat 2023 (Oktober-Disember 2023).

Lain-lain jenama yang diboikot ialah KFC, Pizza Hat, dan paling tertekan ialah pemilik Matahari Organik apabila diketahui mengedar kurma yang dimport daripada Israel.

Kontroversi kedua ialah mengenai penjualan stoking berkalimah Allah yang dilihat dalam salah sebuah cawangan rangkaian KK Super Mart, iaitu di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 13 Mac 2024. Imej stoking berkalimah Allah itu menarik minat umat Islam untuk melancarkan boikot terhadap KK SuperMart (atau KK Mart).

KK Mart mempunyai 881 cawangan di seluruh negara. Pemboikotan itu menyebabkan KK Mart berhadapan dengan kerugian (nilai keuntungan) seminggu berjumlah RM 1.5 juta.

Maknanya, semakin lama boikot diteruskan, maka semakin besarlah kerugian kerana masyarakat Muslim tidak akan memasuki rangkaian kedai serbaneka yang mula diasaskan pada tahun 2001 oleh Dr KK Chai yang berasal dari Sarawak.

Kontroversi itu menyebabkan tiga buah cawangan telah diserang dengan molotov cocktel, bom buatan sendiri dengan menggunakan minyak dan diisi di dalam botol. Cawangan yang terbabit ialah Bidor (Perak), 26 Mac 2024;  Sg Isap (Pahang), 28 Mac 2024; dan  Satok (Sarawak), 31 Mac 2024.

Pemilik KK Mart dan vendor (pembekal stoking berkalimah Allah secara consignment) dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan di bawah Seksyen 298 dan 109, Kanun Kesiksaan, mencederakan perasaan agama orang lain serta bersubahat.

Kontorversi ketiga ialah tindakan ‘mengharamkan’ istilah kafir oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, walaupun pengharaman itu hanya berlaku dalam kalangan ahli keluarganya (maksudnya di rumah). Selain perkataan itu diharamkan, Fadhlina turut menyatakan istilah itu tidak diajar kepada anak-anaknya.

Biarpun tidak mengajari dan menggunakan istilah kafir, Fadhlina turut kesal kerana ia dengan mudah boleh pick-up di luar rumah. Video itu, walaupun khabarnya telah disunting untuk mendapatkan impak tertentu oleh pihak tertentu, setakat yang saya dengar, tidak ada pun Fadhlina menyarankan bahawa istilah kafir dikeluarkan daripada al-Qur’an.

Namun, setelah video itu tular, menurut beberapa maklumat ia telah berlaku sebelum munculnya isu KK Mart lagi. Ia mungkin sengaja ditular oleh pihak tertentu bagi mengalihkan isu boikot KK Mart, atau seperti cara RTM pernah lakukan ketika TV3 (Wanita Hari Ini, jam 12.00 tengahari 21 Ogos 2006) menyiarkan secara langsung perkahwinan gilang gemilang Siti Nurhaliza dengan Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Oleh kerana tak mahu kalah, Menteri Penerangan, Zainudin Mydin (1939-2018) meminta ASTRO membuat siaran langsung pernikahan Mawi dan Ekin 20 Disember 2008).

Ini kerana, pada waktu itu muncul pandangan bahawa RTM sebagai saluran media untuk ‘orang tua’ manakala saluran-saluran tv yang lahir terkemudian memenuhi ‘cita rasa orang muda’.

Juga membayangkan bahawa RTM mula memikirkan persoalan ‘sensasi’ dan ‘break the rule’ dalam dunia penyiaran jika mahukan saluran itu terus relevan.

Walaupun pelbagai usaha dan strategi dilaksanakan, RTM masih belum mampu mengembalikan era kegemilangannya ketika menjadi hanya saluran tunggal dunia televisyen sehingga berjaya mengumpul hasil iklan lebih RM 400 juta setahun.

Atas sifat itulah sebelum akhir tahun 1990-an, RTM mula memikirkan untuk mengambil balik waktu siaran TV Pendidikan yang diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, bagi menambahkan pendapatan iklan dan digunakan untuk ‘bersaing dengan TV 3’ yang sudah pun mempunyai empat saluran TV (TV3, TV8 (Metrovision), NTV 7, dan TV 9).

Sayangnya, pengambilalihan waktu siaran TV Pendidikan tidak berjaya membantu RTM untuk menjadi kumpulan media yang meraih pendapatan iklan yang besar sebagaimana diharapkan.

Saya tidak tahu siapakah yang menularkan video ucapan Fadhlina Sidek di dalam satu majlis, tetapi saya dilaporkan, Menteri Pendidikan tidak bersedia untuk menyiarkan video penuh bagi menyelesaikan masalah ‘salah petik’, ‘disunting untuk agenda tertentu’, dan ‘diambil di luar konteks’.

Seharusnya, Menteri Pendidikan berani memuatnaikkan video yang dimaksudkan untuk membolehkan orang awam menilai dan memahami konteks kenapa istilah ‘kafir’ diharamkan dan tidak diajar kepada ahli keluarganya, yakni kepada anak-anak.

Biarpun ada kenyataan untuk menepis bahawa anak-anaknya tidak diajar membaca al-Qur’an kerana di dalamnya terkandung istilah ‘kafir’ dan ada satu surah bernama al-Kafiruun (surah ke-109, mengandungi 6 ayat), dikatakan anaknya sudah berjaya hafaz 30 juzuk al-Qur’an, dan boleh memakai gelaran hafizah (Sinar Harian, 2 Januari 2024).

Maknanya, anaknya belajar membaca dan memahami al-Qur’an, termasuk surah al-Kafiruun dan seluruh penggunaan perkataan kafir (kafaraa, kufr, kuffar dan kafirun) yang disebut sebanyak 525 kali daripada 6,666 (atau pendapat lain 6,236) ayat suci tersebut.

Sekurang-kurangnya, berita itu yang dimuatnaik semula oleh beberapa orang dapat memahami bahawa Fadhlina tidak pernah mengharam anaknya membaca atau menghafaz al-Qur’an, termasuk memilih untuk menggantikan istilah ‘kafiruun’ kepada ‘non muslim’.

Mufti Perlis juga patut merujuk kepada laporan tersebut, yang sudah disiarkan lebih awal daripada video yang disunting dan penuh kontroversi itu. Jika disemak sedikit sebanyak perkembangan anak-anak Fadhlina, yang mudah dilaporkan oleh media, kerana anak menteri, kita tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa (generalisasi) sehingga boleh membawa kepada fitnah.

Dengan mendakwa bahawa Fadhlina berhasrat mengambil atau menggantikan perkataan kafir kepada non-muslim, walaupun dalam bentuk pertanyaan sinis, ia sudah menghampiri bentuk fitnah. Fitnah adalah dosa besar dan dilarang dibuat, rekayasa dan disebarkan kerana bahayanya cukup besar.

Fadhlina sedang berhadapan dengan ‘fitnah’ sehingga imejnya sebagai seorang anak seorang pemikir dan intelektual Islam yang banyak memperkatakan budaya Melayu, Siddiq Fadzil (4 Januari 1947-31 Ogos 2021) sedikit tergores. Goresan yang sudah terjadi ialah apabila dikaitkan dengan proses pentarbiayahan seorang bapa kepada anak-anaknya.

Ada yang mengatakan, akibat kenyataan itu, Fadhlina seolah-olah ‘bertengkar’ dengan pesan ayahandanya hanya kerana mahu meraih dan mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu.

Ada juga pandangan, antara anak dan ayah, iman atau tahap keimanan tidak sama, sebabnya, iman itu tidak boleh diwarisi. Maksudnya, jika berlaku percanggahan nilai dan pendirian, maka salah seorang dilihat bermasalah.

Dalam hal ini, Fadhlina dilihat bermasalah. Fadhlina dilihat bermasalah kerana beliau berusaha untuk terus kekal sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya akan datang. Untuk tempoh sekarang, kekal sebagai Menteri Pendidikan kerana ‘sudah selesa dan seronok’; memahami peranan dengan lebih baik dan hampir menguasai kesemua budaya dan fungsi KPM.

Fadhlina sedar, kenyataan itu bukan merujuk kepada mengharamkan penggunaan istilah kafir dalam al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW sebagai percubaan melahirkan satu “edisi baru ciptaannya.”

Konteks pengharaman atau tidak diajar kepada anak-anak ialah dalam perihal komunikasi dan sosialisasi perhubungan dalam masyarakat yang pelbagai agama, keturunan, bangsa dan pemikiran.

Komunikasi dalam masyarakat heterogen (heterogeneous society), pelbagai budaya (intercultural) dan lintas budaya (crosscultural communication). Dari persepektif politik dan sosiologi, ia dikenali sebagai masyarakat majmuk (plural society), namun ia berbeza dengan makna pluralisme.

Akibatnya cukup fatal, oleh kerana haramkan istilah dan tidak diajar mengenai sifat, ciri, perangai, tingkah laku yang disandingkan dengan kafir, Fadhlina dituduh menganut fahaman liberal.

Saya tidak pasti apakah dakwaan itu benar, kerana menjadi liberal tidak bermakna termasuk dalam kategori pemandat liberalisme. Liberalisme ialah satu bentuk pemahaman dan aliran pemikiran yang asasnya tidak mahu sesuatu bentuk pemikiran atau pandangan memonopoli.

Ertinya, liberalisme melambangkan perjuangan pemikiran bebas, yang melihat segala bentuk sekatan atau halangan perlu dirobohkan dan taat kepada keputusan rasional yang diinstitusikan sebagai prinsip moral dan etika.

Pada pandangan mereka, prinsip moral dan etika, jauh daripada nilai agama kerana agama dilihat sebagai halangan terbesar, kecuali agama yang dibina bersandarkan moral dan moraliti yang manusiawi.

Syarat yang utama, sempadan moral dan etika itu perlu mendapat pengesahan majoriti, atau diterima bersama dan bukan besifat dogmatik.

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

Translate »