Setelah isu itu meletus, KK Mart telah menamatkan kontraknya  dengan vendornya, Xin Jiang Chang Sdn Bhd yang berlokasi Taman Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat, Johor beberapa hari isu itu meletus.  Syarikat vendor itu dikatakan hanya membungkus dan memperoleh bekalannya daripada Mu Mian Qing Hosiery Co Ltd, sebuah syarikat pengeluar pakaian dari China. Xin Jiang sedang menunggu penjelasan (maklumat daripada pihak pembekal (18,800 pasang stoking yang sudah diterima) sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Hasil pemeriksaan pihak polis, sejumlah lima pasang stoking yang tertera kalimah Allah berjaya ditemui di syarikat pembungkusan (Xin Jiang) manakala di bahagian lojistik KK Mart, ditemui sebanyak 15 pasang. Ini bermakna, kuantitinya adalah kecil. Oleh kerana kuantitinya kecil, maka ada pihak yang melihat tindakan memboikot ke semua rangkaian KK Mart adalah tidak wajar, dan hanya ditemui dijual di cawangan Sunway, belum dijual secara keseluruhan rangkaian KK Mart.

Jika sejumlah 19 pasang daripada 18,800 pasang yang diterima dan 3 cawangan daripada 881 cawangan, ia hanyalah merupakan kes yang sangat kecil. Kalau dalam istilah pelaksana dasar di KPM, ia dilihat sebagai kes terpencil. Hanya yang bermasalah ialah 0.10 peratus (dari jumlah seluruh stoking yang diterima) atau hanya 0.34 peratus daripada semua cawangan, ertinya, kekeruhan itu belum sampai ke tahap semua air akan menjadi keruh.

Namun mereka yang tidak bersetuju dengan langkah pemboikotan itu terlupa, peribahasa Melayu mengatakan, susu sebelanga rosak hanaya kerana nila setitik. Kenapa nila hanya setitik mampu merosakkan susu yang lebih ribuan kali ganda titiknya dengan nila? Di situlah kita perlu mencari kebijaksanaanya, dan juga kearifan dalam mengambil sikap memboikot atau menghentikan boikot.

Dalam Islam ada situasi boikot yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, yakni memboikot perniagaan Yahudi dengan tujuan membangunkan ekonomi Madinah, Ia berlaku selepas beberapa ketika Rasulullah SAW berjaya berhijrah ke Madinah (Yathrib). Tindakan itu diambil selepas berjaya membina masjid sebagai tanda kesatuan ummah dan proses mempersaudarakan antara Anshar dan Muhajirin berjaya dilaksanakan.

Ia dimulakan dengan membangun pasar wakaf Madinah, yang mana setiap orang Islam wajib ke sana dan tidak lagi berurusniaga di pasar tradisi yang kesemuanya dikawal atau diuruskan keturunan Yahudi, termasuk sebuah pasar besar yang masyhur, yang terletak di perkampungan Bani Qainuqa (Yahudi), agak jauh daripada Masjid Nabawi.

Disebabkan sekian lama penduduk Madinah terjerat dengan budaya ekonomi Yahudi, yang membabitkan riba dan penipuan, menyebabkan sistem jual beli yang jahat (riba yang mencekik), Rasulullah SAW menyiapkan satu kawasan lapang, tidak jauh daripada masjid sebagai pasar raya Madinah. Selain itu, mula menyeru agar masyarakat Arab berpindah ke pasar Madinah, yang bebas riba dan penipuan.

Rasulullah SAW juga pernah menggunakan tekanan ekonomi terhadap kaumnya, Quraisy yang menentang Islam sebagai tindakan mensabotajkan ekonomi. Semasa Quraisy mendustakan Rasulullah SAW dan memerangi Islam, baginda berdoa kepada Allah SWT agar kaum berkenaan diuji dengan kekeringan sumber dan tekanan ekonomi.

Doa Rasulullah SAW berbunyi: Ya Allah, bantulah daku dengan menimpakan sesuatu ke atas kaum Quraisy seperti kemarau tujuh tahun yang menimpa kaum Nabi Yusuf AS.  Maka Quraisy ditimpa tahun kemarau sehingga mereka terpaksa memakan bangkai.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Akhirnya, Allah SWT memakbulkan permohonan doa Nabi Muhammad SAW. Bumi Mekah benar-benar dilanda kemarau sehingga menyebabkan penduduknya merasakan hidup menjadi semakin sukar dan sulit, kecergasan ekonomi yang sebelumnya sangat dibanggakan dan menjadikan mereka sangat sombong begitu meruncing. Sebagai langkah penyesalan, Abu Sufyan mengunjungi Rasululllah SAW dan memohon agar Baginda mendoakan kebaikan dan kesejahteraan, termasuk untuk kaum Quraisy. Baginda menadah tangan memohon kesejahteraan mereka.

Jadi, seruan pelbagai pihak, termasuk bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Tan Sri Rafidah Aziz agar boikot terhadap KK Mart tidak diteruskan dengan mengambil teladan Nabi Muhammad SAW, dapat dijawab dengan jelas dan tepat. Teladan Nabi Muhammad SAW cukup menarik, bahawa boikot atau tekanan ekonomi atau pemulauan terhadap seseorang atau sekumpulan orang pernah dilakukan apabila sesuatu yang berakibat buruk kepada Islam adalah lebih besar.

Dalam hal ini, biarpun ada yang berpendapat bahawa stoking tertera kalimah Allah bukanlah kesalahan langsung KK Mart dan pihak pengurusan telah memohon maaf, ia belum menjamin bahawa hal yang sama atau perbuatan menghina Islam tidak akan berlaku pada masa hadapan. Berasaskan sejarah yang berlaku, tindakan menggunakan kalimah Allah di tempat yang salah dan tidak sepatutnya, tidak terhenti dengan memohon maaf. Ia terus berlaku dan kemungkinan akan berlaku pada masa hadapan tetap ada walaupun seruan-seruan agar tidak mengeksploitasikan isu 3R telah dibuat.

Tentunya, jika tidak mempertimbangkan eksploitasi sedemikian bakal berlaku pada masa hadapan, tidak mungkin Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; PM X, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Naim Mokhtar; Pemangku Sultan Johor, Tengku Ismail Sultan Ibrahim mahukan bahawa tindakan yang tegas wajib atau wajar diambil ke atas mereka yang menghina Islam.

Bagi seorang ahli akademik yang cukup sinis mengkritik beberapa tindakan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan yang mendesak agar boikot ke atas KK Mart diteruskan, beliau turut melihat hanya satu kaedah bagaimana Nabi Muhammad SAW menyelesaikan sesuatu isu, yakni bersedia memaafkan seseorang (pihak atau organisasi yang dikaitkan dengan persoalan demikian.

Alasannya, pihak yang terbabit (didakwa bersalah) tidak membuat kesalahan itu secara langsung. Atas kesilapan yang tidak disengajakan itu, maka ia wajar diberikan kemaafan setelah memohon maaf, dan tidak meneruskan niat memboikot. Ini kerana, rangkaian kedai serbaneka tersebut mempunyai jumlah pekerja yang ramai, Islam dan bukan Islam.

Islam adalah agama yang dihadirkan untuk memberikan rahmah (kesejahteraan) kepada setiap makhluk (manusia, benda-benda hidup dan tidak hidup), maka dengan kemaafan atau berhenti tindakan boikot, ia akan menyambung rezeki kepada setiap pekerja. Jika boikot diteruskan, ia akan menyebabkan seluruh rangkaian kedai serbaneka berjenama KK Mart bakal ditutup. Penutupan itu akan menyebabkan ribuan pekerjanya hilang sumber pendapatan.

Dengan alasan tersebut, ahli akademik menolak pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang enggan berhenti menyeru pemboikotan KK Mart. Bagi ahli akademik tersebut, lebih banyak suasana tidak sejahtera akan muncul termasuk pilihan-pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan hariannya, kerana premis kedai runcit berkurangan. Apatah lagi dalam keadaan yang terdesak, terutama di waktu tengah malam. Tidak semua premis kedai serbaneka beroperasi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.

Walaupun ada alternatif seperti 7 eleven, barangan yang dijual di kedai serbaneka milik Kumpulan Berjaya itu tidaklah sebanyak yang dijual di KK Mart. Kedai serbaneka 7 Eleven mempunyai barangan yang terhad, dan sesetengah barangan yang dijual adalam lebih tinggi harganya berbanding KK Mart.

Atas sebab itu, ahli akademik tersebut meminta agar umat Islam membuat pertimbangan yang lebih rasional, bukan terikut-ikut dengan emosi marah, dan terpengaruh dengan agenda politik mereka yang mengeksploitasikannya. Namun, bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, pertimbangan yang dibuat agar boikot itu diteruskan sehingga pemilik KK Mart terpaksa menutup rangkaian kedai serbaneka tersebut ialah ‘tidak sanggup berkompromi mengenai akidah’.

Menurut Dr Akmal lagi, perjuangan yang dilakukannya adalah ‘untuk menjaga akidah’ dan kerana itu beliau ‘tidak peduli’ apa pun reaksi terhadapnya, yang lebih utama agar ‘akidah Islam tidak dipijak’ atau ‘terancam’. Ini kerana istilah Allah adalah suatu istilah yang mempunyai kedudukan yang tertinggi dalam kepercayaan Islam, dan tidak ada sesiapa pun boleh memperlekehkan-Nya, atau merendah-rendahkan-Nya. Merendah-rendahkan kemuliaan istilah tersebut adalah sama dengan ‘menghina’. Sesiapa yang menghina Allah SWT dan nabi, ia wajib ditentang.

Nabi Muhammad SAW semasa hayatnya melakukan tindakan memboikot Abdullah bin Ubay kerana menghina Islam. seorang tokoh yang sangat benci dan dengki dengan Nabi Muhammad SAW, kerana dengan hadirnya baginda di Madinah, pengaruh Yahudi menjadi semakin tidak dominan dalam persoalan ekonomi dan kemasyarakatan.

Kehadiran Nabi Muhammad SAW menyebabkan Abdullah bin Ubay sangat kecewa, keinginannya untuk menjadi pemimpin atau ketua masyarakat Madinah dengan sendirinya lenyap, kerana Nabi Muhammad SAW telah diterima dan diberikan perlindungan oleh masyarakat Madinah sehinggalah Yathrib itu bertukar menjadi sebuah kota peradaban yang cukup menepati kehendak Islam, hanya dalam tempoh 10 tahun. (untuk bacaan menarik mengenai pembentukan kota peradaban itu, baca Zuhairi Misrawi, Madinah: Kota Suci, Piagam Madinah dan Teladan Nabi Muhammad SAW, Jakarta: Penerbit Buku Kompas, 2009).

Abdullah bin Ubay merupakan seorang tokoh yang berjaya memadamkan permusuhan antara kabilah Aus dan Khazraj namun setelah tibanya Nabi Muhammad ke Yathrib, pengaruh Abdullah semakin merosot. Akibatnya, Abdullah menyimpan dendam dan benci ke atas Nabi Muhammad SAW.

Setelah memikirkan peluangnya menjadi semakin gelap, Abdullah akhirnya bersedia memeluk Islam tetapi keikhlasannya cukup tidak boleh dipercayai. Abdullah berpura-pura menjadi pengikut Nabi Muhammad SAW, dan dalam masa yang sama merancang tindakan halus – menghasut, memfitnah, adu domba – untuk memecahbelahkan umat Islam. Antara kisahnya yang dilihat cukup buruk ialah melancarkan propaganda dan mengajak seramai 300 orang tentera Islam dalam Perang Uhud. Fitnah yang dicipta ialah menyebarkan kisah palsu mengenai Sayyadatina Aisyah, iaitu isteri Nabi Muhammad SAW yang termuda melakukan hubungan sulit dengan Shafwan. Shafwan merupakan orang yang berusaha membunuh Nabi Muhammad SAW dalam Perang Dzatu Riqa dan pernah mengarahkan hambanya menjadi pelacur.

Perang Dzatu Riqa adalah peperangan yang membabitkan umat Islam dengan Bani Muharib, Bani Tsa’labah dan Bani Ghathafan, di sebuah daerah berdekatan Najd, pada tahun 4H/626M. Peperangan tersebut dimenangi oleh pihak Arab Muslim. Dalam perang tersebut, malaikat Jibril hadir mengajar cara-cara menunai Solat Khauf kepada Nabi Muhammad SAW dan umat Islam, dan memberikan kelonggaran berwudhu’ dengan bertayyamun.

Pada tahun itu juga terjadi Perang Badar terakhir, dan dalam masa yang sama, isteri Nabi Muhammad SAW, Zainab binti Khuzaiman meninggal dunia; cucu Nabi Muhammad SAW, Hussain putera Ali bin Abi Talib lahir; dan Nabi Muhammad SAW berkahwin dengan Ummu Salamah.

Walaupun kesemua anak-anak Abdullah bin Ubay memeluk Islam, sikap dan perilaku Abdullah terhadap Nabi Muhammad SAW dan keyakinannya terhadap Islam tidak berubah, sehingga dikenali sebagai seorang munafik tegar. Atas sebab itu, salah seorang anaknya, Hubab sangat kesal dengan perilaku ayahnya dan meminta izin Rasulullah SAW untuk memenggal kepala si ayah. Namun, Rasulullah melarangnya dan meminta agar Hubab terus berbuat kepada ayahnya.

Jika engkau bermaksud membunuhnya, maka perintahkanlah aku untuk melakukannya, nanti aku hantarkan kepalanya kepadamu, ya Rasulullah”, sambung Hubab selepas dilarang oleh Rasulullah daripada memenggal kepala ayahnya sendiri.

Nabi Muhammad SAW menjawab: Tidak, kita akan tetap bergaul baik dengannya selama dia masih hidup.

Dalam tulisan M Quraish Shihab, Membaca Sirah Nabi Muhammad Dalam Sorotan Al-Qur’an dan Hadis-hadis Shahih (2018), Abdullah bin Ubay menyebarkan propaganda dan api kebencian terhadap kaum Muhajir di hadapan kelompoknya. Abdullah mendakwa kaum Muhajir telah membenci/memusuhi penduduk Madinah dan ramai di antaranya telah meninggalkan kawasan kehidupan mereka.

Demi Allah, kita dengan mereka tidak lain kecuali seperti ungkapan: Engkau menggemukkan anjingmu, lalu dia menerkammu’. Demi Allah, kalau kita kembali ke Madinah, pastilah orang-orang yang mulia akan mengusir orang-orang yang hina,” kata Abdullah bin Salul bin Ubay.

Ungkapan-ungkapan kebencian itu didengar oleh Zaid bin Arqam dan kemudiannya disampaikan kepada bapa saudaranya. Akhirnya sampai kepada Nabi Muhammad SAW. Mendengarkan kata-kata itu, Umar al-Khattab meminta izin untuk membunuh Abdullah bin Ubay. Permintaan itu ditolak oleh Rasulullah SAW, dengan menjawab: “Bagaimana kalau orang berkata: Muhammad membunuh sahabatnya? Tidak.”

Tidak lama kemudian, Abdullah bin Ubay menemui Nabi Muhammad SAW. Abdullah kemudian menafikan bahawa kata-kata itu adalah kata-katanya, dan bersumpah tidak pernah mengeluarkan kata-kata tersebut. Sebaliknya, Abdullah mendakwa yang berkata sebegitu ialah Zaid.

Selang beberapa lama kemudian, Nabi Muhammad SAW menerima wahyu (surah al-Munafiquun, ayat 8-11) yang bermaksud:

“Mereka berkata lagi: “Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)”. Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi bagi golongan orang-orang munafik itu tiada mengetahui. (ayat 8)

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barang siapa berbuat demikian maka mereka itulah adalah orang-orang yang rugi.” (ayat 9)

Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datangnya kematian kepada salah seorang daripada kamu; lalu ia berkata: Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematianku) sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh.” (ayat ke-10)”

Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (ayat ke-11).\

Ertinya, surah al-Munafiqun sengaja diturunkan oleh Allah untuk kita mengenali sifat, perilaku dan karakter mereka yang dipanggil munafik. Turunnya ayat-ayat tersebut (8-11) dengan jelasnya menggambarkan bahawa Abdullah bin Ubay adalah seorang yang munafik, bukan sebagaimana didakwa bahawa Zaid bin Arqam yang berkata sedemikian mencerca umat Islam dan pengikut Nabi Muhammad.

Hipokrai Ibnu Ubai turut dapat dilihat apabila suku kaum Yahudi daripada Bani Qainuqa melancarkan serangan mengepung Madinah pada tahun 624 M selama 15 hari. Ibnu Ubay bersekutu dengan Yahudi Qainuqa dan merayu kepada Nabi Muhammad SAW memberikan kelonggaran setelah kepongan tersebut berjaya dipatahkan oleh orang Islam.

Rasulullah SAW bersetuju, diberikan tempoh selama tiga hari untuk keluar daripada Madinah. Namun, sebaliknya Ibnu Ubay berkata: saya tidak akan membenarkan kamu pergi, sehingga kamu memberi ihsan terhadap rakan-rakan kami, 300 orang askar bersenjata, 400 lagi tidak bersenjata, kerana mereka mempertahankan saya semasa Hadaick dan Boath (

Namun rayuan itu tidak diterima. Bani Qainuqa diusir daripada bumi Madinah manakala harta mereka jatuh kepada Nabi Muhammad SAW dan kaum Muhajirin. Kemunafikan Abdullah bin Ubai turut berlaku ketika Perang Uhud (625M). Dalam peperangan ini, tentera Muslim tewas, ramai yang terbunuh kecuali Nabi Muhammad SAW dan tidak berjaya menguasai Madinah.

Begitu juga Bani Nadir, yang diberikan tempoh sepuluh hari untuk keluar daripada Madinah. Perintah itu kemudiannya mendapat balasan daripada bani Nadir, bahawa: Orang-orang tertentu di Madinah yang tidak beriman menghantar mesej kepada Bani Nadir dan berkata: Pertahankanlah diri kamu sendiri, kita tidak menyerahkan kamu kepada Muhammad. Jika anda diserang, kami akan berjuang bersama kamu, dan jika kamu meninggal dunia, kami akan menziarahi kamu.”

Kata-kata itu dikenal pasti datang daripada Ibn Ubay. Menurut sejarawan, awalnya Ibnu Ubay berusaha membawa perdamaian, apabila bantuan yang diperlukan tidak mendapat perhatian (tidak sampai), Bani Nadir menyerah kalah. Nabi Muhammad SAW membuat keputusan mengusir Bani Nadir.

Jadi, berdasarkan kisah tersebut, jika mudaratnya menyebabkan akidah umat Islam terpesong, Nabi Muhammad SAW membuat keputusan memberikan tekanan kepada pihak yang melakukan tindakan yang tidak beretika itu, atau melanggar perjanjian yang telah dibuat sebelumnya, seperti terkandung dalam Piagam Madinah. Jadi, tidak ada sebab umat Islam tidak boleh meneruskan boikot terhadap rangkaian kedai serbaneka KK Mart kerana stoking tersebut telah menghina Islam dan Allah SWT.

(Bersambung)

MONOSIN SOBRI

Translate »