Realiti hari ini ada orang yang menggunakan persatuan atau NGO-NGO agama atau dakwah  untuk meraih kekayaan peribadi dan kroni-kroninya. Sekarang ini banyak NGO-NGO Islam terutama dalam bentuk yayasan sedang di letak di bawah radar pemantauan PDRM, SPRM, MCMC terutama yang mengutip dana dari orang ramai. Ternyata kes terbaru yang melibatkan NGO Aman Palestin menggugat kepercayaan orang ramai terhadap aktiviti pengurusan derma.

Demikian juga badan-badan dakwah seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persekutuan Seruan Islam Selangor & Wilayah Persekutuan (JAM’IYAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Yayasan Ikhlas, Rabitah Malaysia dan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) yang setengahnya banyak mendapat peruntukan perbelanjaan dari kerajaan juga perlu dipantau oleh pihak berkuasa (kerajaan) dan apalah salahnya pihak SPRM masuk dan memeriksa perjalanan akaun pertubuhan ini dan bagaimana urus tabir perbelanjaan dilakukan  agar tidak berlaku ketirisan dan penyelewengan. Dan yang pasti institusi ini  sah dan diperakui dari segi undang-undang, tetapi banyak juga yang menyeleweng. Sedihnya, yang mengasas dan menganjurkannya adalah orang agama, tetapi yang menjadi mangsa adalah orang yang mahu mendekatkan diri dengan agama.

Malah ada yang menyalurkan dana kepada entiti persendirian atas alasan menjalankan projek-projek tertentu, tetapi hasilnya tidak kelihatan. Ingatlah dalam ilmu politik ada istilah power tends to corrupt, yang bermaksud kekuasaan cenderung kepada penyelewengan. Bagi mereka yang hatinya telah dipatrikan Allah s.w.t. kemewahan menjadi matlamat utamanya. Dengan sedikit kekuasaan di tangan itu ia boleh melakukan 1001 tipu daya dengan modus utamanya mengeksploitasi Yayasan yang diamanahkan kepadanya digunakan untuk kepentingan diri.

Inilah manusia yang buta hatinya seperti perumpamaan  Allah dalam firmannya yang bermaksud;”…KERANA SESUNGGUHNYA BUKANLAH MATA ITU YANG BUTA TETAPI YANG BUTA IALAH HATI YANG DIDALAM DADA (Surah al-hajj ayat 46). Ingat janji Allah SWT akan seksaan yang amat keras terhadap mereka yang tidak amanah dengan harta yang telah diamanahkan kepada mereka oleh orang ramai.

Ibnu Masud menceritakan: Pada hari kiamat ada seorang hamba yang ditanya oleh Allah, “Kamu mengembalikan amanah anu?” Hamba itu menjawab, “Tidak wahai Tuhan” Allah berfirman, “Kembalikanlah sekarang.” Hamba itu berkata, “Wahai Tuhan dunia sudah hilang. Aku tidak menpunyai apa-apa”. Lalu Allah berfirman kepada salah satu malaikat, “Pegang tangannya dan bawa ke neraka jahanam. Dan perlihatkan amanah itu kepadanya”. Allah berfirman kepada hamba itu, “Turunlah dan keluarkan amanah itu” Lalu ia turun kedalam api neraka selama tujuh puluh tahun. Ketika ia sampai dibatas neraka jahanam dia terlepas dan tenggelam selama tujuh puluh tahun. Dan begitulah seterusnya.

Ingatlah sang penguasa langit bumi akan menguruskan langsung semua perhitungan dan perbuatan mereka itu. Tidak seorang pun diantara kamu kecuali akan ditanya langsung oleh Allah, tidak ada penerjemah diantara dirinya dengan Allah. Allah berfirman yang maksudnya “Bacalah kitab mu cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadap mu” (Surah Al-Isra ayat 14)

Catatan: Ibnu Majid

Translate »