Selepas meninggalnya Nik Aziz (Februari 2015), Hadi semakin bebas dan boleh mengepakkan sayapnya, tidak ada ‘orang yang akan menghalang’; tentunya semakin ramai pemimpin PAS menjadi penanggah, walaupun dalam beberapa perkara dilihat cukup kontradik. Nik Mohamad Amar salah seorang yang sangat terdorong mendekati Haji Hadi kerana mengharapkan bakal dipilih sebagai calon MB Kelantan.

Pada PRU ke-15, dan seterusnya PRN di enam buah negeri, kelompok yang mendokong Hadi dilihat cukup berkuasa dan sangat berpengaruh sehingga muncul dakwaan, ada gerakan untuk menghapuskan legasi almarhum Nik Aziz di Kelantan. Secara halus turut muncul semula gerakan ‘langgar Hadi’ tetapi kali ini ia tidak begitu menonjol kerana tidak pemimpin yang berpengaruh.

Sedikit sebanyak telah melahirkan krisis politik dalaman di Kelantan. Menjelang PRN dikeluarkan satu kenyataan bahawa calon MB dan TMB akan digandingkan antara kelompok agamawan dan professional. Ia bagi menjawab persoalan kepimpinan PAS Kelantan yang dilihat cukup kencang, Nik Mohamad Amar bakal dilantik sebagai MB sedangkan ada sekelompok pendokong PAS tidak bersetuju malah ada yang berusaha untuk menyekatnya.

Nik Mohamad Amar walaupun dua penggal sebagai TMB (2013-2023), kecerdikannya dipersoalkan dan tersandung dalam politik pembodohan dengan jawapan yang sangat semberono. Nik Amar juga didakwa sengaja melakukan tindakan untuk menghapuskan ‘legasi Tok Guru’ apabila meminggirkan Nik Abduh bertanding di DUN Cempaka (atau mana-mana DUN dalam Parlimen Pengkalan Cepa). Bahagian itu dikuasai oleh Nik Muhamad Amar) dan DUN Cempaka cukup sinonim dengan almarhum Nik Aziz.

Kalau dalam PRU ke-15, Nik Abduh memberikan alasan berehat, ramai orang boleh terima. Tetapi, pada PRN alasan yang sama tidak lagi boleh diterima setelah adanya pendedahan dibuat oleh adik kepada Allahyarham Nik Aziz sendiri.

Dalam perspektif ‘kuasa politik’, Hadi adalah penentu segala-galanya bagi PAS. Namun, Hadi bukanlah seorang pemimpin yang cekap dan berkompetensi. Kekuatan yang ada padanya adalah atas kebolehannya mentarbiyahkan penyokong PAS dengan tafsiran-tafsiran al-Qur’an berbingkai politik.

Hadi pernah dipanggil MB sepenggal (1999-2004) dan terpaksa menerima hakikat apabila PAS yang dipimpinnya gagal membendung kebangkitan Gelombang Biru. Gelombang Biru berjaya menumbangkan Gelombang Hijau walhal Hadi adalah MB Terengganu kerana pengundi Terengganu didedahkan dengan sikap dan pendirian Hadi yang tidak kompeten sebagai perancang dan pentadbir.

Pada asasnya, Haji Hadi tidak mempunyai pengaruh besar dalam politik Terengganu, kecuali di Parlimen Marang. Namun, kemenangan PAS (PRU ke-13) di Terengganu bukan kerana ‘gelombang hijau’ kembali menerjah negeri ‘ayah wang’ itu, ianya disebabkan perpecahan dan sengketa dalaman yang dialami oleh UMNO.

Apabila kita membaca tulisan-tulisan Presiden PAS, sama ada buku-buku mahupun kolum Minda Presiden ( akhbar Harakah) kita dapati ianya sangat berbeza dengan apa yang dipraktikkan, bahkan  penuh fallacy (permainan gerun, menurut Faisal Tehrani, PAS dan Hujah Falasi, Malaysiakini, 2 Mac 2023) atau syllogism (kesimpulan daripada premis umum yang hanya bersandarkan kepada hubungan logik premis) sebagai pangkal indoktrinasi, dan mencipta alasan (misalnya, bila disoal mengenai “syahid’ Memali, dijawabnya ‘ini soalan syaitan….termasuk soalan-soalan syaitan’.

Jawapan hanyalah untuk menyalahkan orang yang bertanya, yakni wartawan. PAS pernah mengeluarkan fatwa bahawa mereka yang terkorban melawan anggota polis dalam tragedi itu sebagai ‘mati syahid’. Semakin lama, semakin banyak timbul persoalan mengenai Memali, termasuk sikap PAS terhadap keluarga mangsa yang dikatakan taksub dengan Amanat Haji Hadi (1981).

Ketika menanggapi peristiwa itu, Dr Mahathir menolak dakwaan yang terkorban adalah ‘mati syahid’ sebaliknya ‘mati katak’. Soalan yang ditanyakan itu muncul apabila Dr Mahathir dilihat makin mesra dengan PAS dan PAS melantik bekas PM 4 dan PM 7 itu sebagai penasihat ekonomi untuk empat buah negeri yang dikuasai oleh PAS.

Begitu juga dengan persoalan-persoalan yang membabitkan kesungguhannya mempraktikkan peraturan syariah bagi menghapuskan ‘taghut’ walhal budaya itu turut berkembang dalam tubuh (organ parti) PAS, seperti ‘rasuah’ atau membeli undi sebagai ‘sedekah’.  Dr Mahathir adalah orang yang paling lantang mengkritik ‘hukum hudud’ yang ingin dilaksanakan oleh PAS termasuk menyindir akan lebih ramai orang Islam cacat apabila setiap kali mencuri, tangannya akan dipotong.

Selain itu, Dr Mahathir mengkritik pemakaian saksi dalam beberapa kes jenayah syariah, termasuk kes-kes zina kerana ia berlaku dalam keadaan sembunyi, tanpa adanya saksi. Bukan semua orang boleh jadi saksi, ada kriteria khusus yang mungkin tidak dapat dipenuhi sekali pun orang itu mengetahui berlakunya zina antara pasangan Islam. Bahan-bahan visual seperti video, gambar pegun dan CCTV ditolak oleh Hadi sebagai barang bukti. Barang bukti itu dianggap ‘bisu’ dan ‘tidak bernyawa’.

Jika sifatnya undang-undang di Malaysia adalah ‘taghut’, kenapa ramai pemimpin PAS bersedia berhadapan dengan ‘undang-undang sekular’ bila didakwa, termasuk melakukan fitnah?  Apakah mereka faham, Allah SWT melaknat melaku dan menyebarkan fitnah?

Kenapa fitnah tidak menjadi satu ‘halangan dalam diri’ bagi setiap orang Islam? Bagi setiap kali berkempen atau menonjolkan imej parti kepada awam, kenapa fitnah muncul dengan berleluasa? Jika tidak ada ‘undang-undang syariah’, ia tidak bermakna syariah telah mati kerana syariah itu akan terus hidup dalam diri setiap orang Islam yang bertakwa dan beriman. Undang-undang adalah bentuk kawalan dan pencegahan dari luar. Dalam Islam, mengawal hati, lisan dan pemikiran adalah sangat dituntut agar sentiasa bercakap baik, berfikiran baik dengan hati yang bersih.

Fitnah tidak akan berlaku dan berkembang sebagai budaya politik dalam kalangan mereka yang bertakwa dan beriman. Itu adalah prinsip yang sangat asas ditegaskan oleh Islam (antaranya: al-Nur,11, 12 dan 19, al-Baqarah, 191; al-Qalam, 10-11; dan al-Hujurat, 6). Orang yang memfitnah, menyebar fitnah tidak berbau syurga. Jadi bertaubatlah, kerana fitnah itu adalah dosa besar.

Bahkan Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Dan orang yang paling paling dimurkai Allah SWT ialah orang yang pergi membawa fitnah, memecah belahkan persaudaraan dan mencaci orang yang tidak bersalah terhadap kesalahan yang tidak dilakukannya” (Riwayat al-Tabarani).

Kalau benar-benar taat kepada ‘hukum Allah SWT’, kenapa fenomena tersebut (fitnah dan bohong)  cukup banyak berlaku dalam kalangan aktivis PAS? Beberapa kes, pemimpin PAS didapati bersalah dan sebahagiannya menarik balik ‘kenyataan yang dibuat’. Presiden PAS sendiri sedang berhadapan dengan beberapa tindakan undang-undang yang boleh dikaitkan dengan fitnah dan menghasut. Apa tujuan kenyataan sedemikian dibuat? Tentunya kerana ‘mengejar kemenangan’ dengan memburuk-burukkan orang lain. Menimbulkan persepsi buruk.

Contoh lain yang cukup menarik ialah ADUN Kubu Gajah (Perak), Khalil Yahaya menaikkan infografik pelantikan Teresa Kok (menggantikan Idris Jusoh yang ditamatkan kontrak lebih awal) sebagai Pengerusi FELDA. Secara mudah, tujuannya adalah membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap ‘kerajaan perpaduan’ akibat ‘melantik bukan Melayu’, yang mana hampir keseluruhan peneroka FELDA adalah orang Melayu.

Beliau juga terpalit dengan ‘Tiga Amanat Buat Pejuang Islam’ yang dikatakan mandat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Cukup menarik bila ditanya, kesemua posting itu bukan dimemuatnaik olehnya. Akaun facebook itu dikendalikan oleh pengendali yang dilantik dan dimuatnaik ketika dirinya ‘telah tidur’ (sebelah malam).

Namun, alasan sedemikian tidak boleh diterima. Walaupun dikendalikan oleh orang lain, beliau perlu menyemak dan memberikan kelulusan sebelum dimuatnaik. Apa maknanya? Maknanya, telah berlaku ke-semberono-an bagi mempengaruhi minda orang ramai seolah-olah Kerajaan Perpaduan salah kiprah, tidak mempertahankan orang Melayu-Islam selain berusaha PMX tidak nasionalis. Ia merupakan fenomena post-truth dan demagogi.  Ia juga berkaitan dengan dromologi politik, yang sangat cenderung membangun medan sejuta dusta.

Dromologi politik akan menjelma dalam bentuk politik bermuka-muka (melangkaui ‘talam dua muka’), dari penampakkan (appearance) kepada ‘politik kehilangan’ (disappearance politic). Ia kemudian dikaitkan (hooked) dengan ‘pengalihan perhatian’. Pengalihan perhatian adalah salah satu kaedah untuk menghilangkan sesuatu daripada ruang persepsi atau di sebaliknya: daripada ada kepada tidak ada atau daripada ada kepada tiada. Ia adalah kaedah popular yang digunakan dalam pencitraan politik. (Paul Virilio, The Aesthetics of  Disappearance, translated by Phil Beitchman, Massachusetts, USA: MIT Press, 1991)

Kes-kes seperti itu menampakkan bahawa Malaysia sangat memerlukan satu undang-undang baharu bagi mengawal ‘kebohongan’ oleh mana-mana orang, termasuk politikus. Jika seseorang politikus terbukti ‘berbohong’, hukumannya ialah meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat dan hilang kelayakan untuk bertanding sekurang-kurang untuk tempoh lima tahun selepasnya atau selama-lamanya.

Walaupun ada beberapa undang-undang yang dikatakan ‘menyekat kebebasan bersuara’ seperti Akta Fitnah, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, hukuman yang diperuntukkan tidak menjurus kepada ‘kehilangan jawatan’ sebagai wakil rakyat, walaupun seseorang politikus ‘berbohong’ atau ‘memfitnah’. Ia berbeza dengan etika wakil rakyat atau pemimpin politik di negara barat. Apabila melakukan kesalahan, walaupun kecil selagi ia membabitkan kepentingan umum, mereka secara sukarela meletakkan jawatan.

Misalnya, bersalah kerana menggunakan peruntukan kerajaan membeli cokelat (di Britain); meletakkan jawatan kerana memplagait tesis (di Jerman), dan lain-lainnya. Bekas PM Britain, Boris Johnson meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen atas tuduhan menipu melanggar peraturan COVID-19 di Parlimen. (Sinar Harian, 10 Jun 2023).

Hal seperti ini tidak berlaku di Malaysia, malah seorang menteri memohon maaf dan sumbangkan gaji empat bulan kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin sekembalinya dari luar negara. (Berita Harian, 22 Ogos 2020). Seorang timbalan menteri pula  hanya memohon maaf dan menyifatkan apa yang berlaku adalah bersifat peribadi. Tidak ada sebarang kenyataan sama ada mengesah atau menafikannya.

Bagaimanapun, visual pernikahan – gambar bersama isteri kedua (berpoligami) dan proses pernikahan secara dalam talian sangat cepat tular di media sosial. Kededuanya kemudian bertanding secara langsung sebagai calon BN (PRU ke-15) apabila tidak disenaraikan oleh PAS. Kededuanya mengambil keputusan keluar parti yang pernah memberikan peluang menjadi calon dan menang dalam PRU ke-14.

Ia menjadikan politik citra (politic of images) di Malaysia bukan sahaja pelbagai, malah realitinya berada dalam suasana antara rasional dan tidak rasional, kebenaran dan kepalsuan, diselapuri oleh ‘kabus tebal’ dan sangat kabur. Banyak jendela kadangkala sengaja ditutup agar dapat dielakkan situasi ‘chaos’ atau ketidakberaturan dan kelam-kabut. Kadangkala, penuh dengan teka-teki (riddle), agak-mengagak (speculative) dan samar-samar (ambiguity).

Pada suatu ketika heboh mengenai ijazah palsu, termasuk tidak tamat pengajian tetapi dalam profil di media sosial berijazah, ijazah daripada universiti rumah kedai dan sebagainya. Tidak ada seorangpun wakil rakyat yang meletakkan jawatan kerana ‘sijil atau ijazah tidak sah’. Tidak ada tindakan yang diambil oleh parti politik terbabit. Semuanya adalah kesalahan peribadi. Sedangkan dalam Islam, peribadilah yang mencorakkan rupa dan bentuk seseorang pemimpin sama ada boleh diteladani atau tidak.

Saya pernah terbaca tulisan mengatakan Islam senang ditemui di Barat, walaupun penganut Islam bukanlah penduduk majoriti. Masyarakat Barat cukup terserlah mengamalkan budaya ‘jujur dalam tindakan’, berjiwa prihatin dan tidak lokek memberikan pertolongan. Saya pernah alami sendiri ketika berada selama tiga minggu di kota London sebelum penghujung tahun 2003.

Disebabkan tidak bercadang ‘merayap-rayap’, hari itu saya tidak membawa peta. Hari itu, kursus yang saya hadiri berakhir lebih awal daripada hari-hari sebelumnya. Saya menaiki bas untuk ke beberapa tempat, termasuk Trafalgar Square, Charing Cross Road untuk mencari buku-buku mengenai komunikasi politik dan teori propaganda.

Menjelang lewat petang, saya menaiki bas pulang ke Victoria Station (VS). Malangnya, berlaku sedikit kesesakan di VS, bas tidak berhenti di hadapan, sebaliknya berhenti di di bangunan belakang VS.

Saya ‘kenanaran’ kerana suasananya sangat berbeza dengan apa yang ada dalam ingatan saya. Setelah turun, saya terpinga-pinga mencari susur keluar untuk pulang ke Belgrade Road, hotel yang menjadi tempat saya menginap sejak hari pertama sampai.

Saya tanyakan salah seorang pengawai keselamatan, beliau memberikan penerangan cukup detail, termasuk jumlah langkah untuk saya sampai ke persimpangan lampu isyarat di mana akan ditemui jalan itu.

Pegawai keselamatan itu menghabiskan masa sekitar lima belas minit dan selagi saya tidak ucapkan terima kasih, selagi itulah diberikan penjelasan. Apabila saya nyatakan terima kasih, pegawai keselamatan itu bertanya: Adakah anda yakin dapat menemuinya? Saya diam, kerana dalam minda saya belum muncul keyakinan itu. Pegawai keselamatan itu dapat membaca keadaan saya yang masih belum ‘yakin’ dengan maklumat yang diberikan.

Akhirnya dia menarik tangan saya ke penjuru VS, ditunjukkan persimpangan lampu isyarat di mana terletaknya pangkal Belgrade Road.  Beliau tidak bergerak memerhati saya berjalan menuju ke persimpangan lampu isyarat itu, yang berjarak sekitar 150 meter ke hadapan.

Setelah sampai di situ, saya menoleh ke belakang. Masih ada pegawai keselamatan tersebut, masih memandang ke arah saya. Melihat kepada itu, saya mengangkat tangan melambai-lambaikannya sebagai isyarat ‘sudah ketemu’.

Pengalaman itu cukup berbeza dengan apa yang saya alami di negara sendiri. Ketika itu, tidak ada kemudahan ‘navigasi elektronik’ seperti sekarang, iaitu google maps ataupun wase. Saya bertanya beberapa orang, ketika memasuki sebuah kawasan perumahan yang tidaklah tersusun sepenuhnya.

Orang pertama menyatakan “saya tidak tahu” di mana letaknya jalan yang saya cari. Saya boleh terima, mungkin orang yang saya tanya itu tidak tinggal di situ atau merupakan ‘orang baharu’.

Orang kedua, memberi jawapan “ikut kiri, kemudian belok kanan, belok kiri…..dan akan jumpa sebuah tokong. Lepas itu, belok kiri, dan kemudian belok kanan.” Penerangan itu menyebabkan fikiran saya cukup bercelaru. Saya meninggalkan orang itu dengan terima kasih tanpa yakin dapat menemui destinasi yang dicari.

Kemudian, sekitar 100 meter kedepan, saya bertemu dengan seorang pak cik. Saya tanyakan kedudukan rumah yang dicari. Diberitahu: Pak Cik tak perasan di mana. Tetapi, Pak Cik tersebut tidak berhenti setakat itu.  Dia bertanyakan orang lain yang ada bersamanya. Kebetulan orang ketiga itu adalah seorang bekas posmen. Lalu diberikan maklumat yang jelas, dengan anggaran jaraknya dan petunjuk untuk sampai ke situ.

Saya semakin yakin (confidence). Sekitar sepuluh minit berkenderaan, akhirnya saya sampai ke destinasi yang dicari, yakni kurang dua kilometer daripada rumah orang pertama yang saya tanya. Masih dalam kawasan yang sama, sebuah kawasan perumahan setinggan yang terletak di pinggir bandar Kuantan.

Walaupun tidak ada penghuni ketika itu, saya tetap merasa lega. Mungkin boleh menemui penghuninya di lain masa, mungkin esok atau beberapa hari lagi. Di hari terakhir di Kuantan, sebelum pulang ke Kuala Lumpur, sekali lagi saya singgah. Saya dapat bertemu dengan salah seorang keluarga tersebut, walaupun orang yang saya cari itu sudah setahun meninggal dunia.

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

Translate »