Almarhum Prof Yusuf al-Qaradawi dalam “Kata Pengantar” dalam buku kajian 22 perkara yang mengakibatkan ‘pertelingkahan politik’ oleh Dr Mohamed el-Moctar el-Shinqui, seorang pensyarah sejarah dan falsafah di University Hamad bin Khalifah, Doha, Qatar, ‘pertelingkahan politik’ di zaman salaf :

“…berjaya meruntuhkan kebohongan yang jenuh, yang telah menyelinap dalam riwayat-riwayat dari kitab-kitab sejarah… mengikut metodologi para muhaddithin…atau dalam membenarkan (ta’dil) dan mengkritik (tajrih) perawi, yang merupakan sebuah metodologi yang bersifat ilmiah lagi tersusun, bukan mengikut logika para sejarawan, yang menghimpunkan semua perincian dan butiran baik dan buruk, baharu dan lama, mahupun tunduk kepada emosi dan rasa fanatik perkauman dan kekabilahan yang mendokong atau menentang golongan itu dan ini

Menurut al-Qaradawi lagi, umat Islam telah diuji dengan fitnah yang dahsyatnya, akibat pertembungan para pengikut hawa nafsu dengan para pengikut agama. Dua bersaudara itu, pengikut hawa nafsu dan pengikut agama saling bercakaran, bermusuhan sehingga menumpahkan darah di lebih 20 pertempuran di zaman Rasulullah SAW dan lebih 50 selepas wafatnya baginda. Ketika Perang Siffin sahaja dianggarkan lebih 70,000 orang terbunuh akibat fitnah. ((Mohammed el-Moctar el-Shinqiti, Pertelingkahan Politik Dalam Kalangan Para Sahabat, terjemahan al-Khilafat al-Siyasah Bayna al-Sahabah: Risalah fi Makanah al-Asukhas wa Qudsiyyah al-Mababi oleh Muhamad Thufail Sayuti, Kuala Lumpur: Islamic Renaissance Front, 2019)

Namun, apa yang kita peroleh, tidak ada ungkapan bahawa “Islam dalam bahaya” dan “syariah bakal dikafankan” yang menjadi dasar perseteruan terbaharu oleh mereka yang bersimpati dengan kekalahan Kerajaan Kelantan melawan Nik Elin dan anak perempuannya mengenai petisyen 18 perkara  Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan (1) 2019, (seterusnya digunakan kependekan EJSK).

Saya melihat kecenderungan politik yang sedang dipentaskan selepas pembatalan 16 daripada 18 perkara yang terbabit dalam petisyen tersebut adalah berpunca daripada masalah teknikal, bukan menggambarkan gerakan menolak syariah mahupun menjadikan “Islam dalam bahaya”.

Saya menyimpulkan apa yang berlaku, kecaman-kecaman terhadap petisyen tersebut bukanlah bertujuan menyelesaikan apa yang dipertelingkahkan, tetapi lebih bersifat demagogi. Demagogi yang dilancarkan sejak keputusan ‘tidak sah’ diberikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berdasarkan pandangan lapan hakim yang bersetuju jelas tidak mempertikakan Islam atau Mahkamah Syariah, ia adalah berkaitan bidang kuasa DUN.

Keputusan tersebut juga tidak membatalkan EJSK, yang dibatalkan ialah 16 perkara sahaja. EJSK mempunyai 68 perkara, bererti di dalamnya masih terdapat 52 perkara yang sah sehinggalah ada petikaian selanjutnya pada masa hadapan.

Keputusan itu juga mengatakan bahawa DUN Kelantan atau mana-mana DUN di Malaysia ada kuasa untuk menggubal atau meluluskan undang-undang untuk kegunaan negeri masing-masing, termasuklah apa yang dikatakan undang-undang syariah. Ini kerana Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan hak-hak tersebut, dengan syarat tidak melangkaui apa yang telah ditetapkan sebagai Senarai Persekutuan.

Oleh kerana hal ehwal Islam terletak di bawah tanggungjawab negeri (kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), DUN boleh membuat undang-undang berkaitan dengannya, dan ia perlu dilakukan dengan cermat (teliti) kerana sebahagian perlakuan jenayah telah dikanunkan dalam beberapa undang-undang yang terbit daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, termasuk Kanun Kesiksaan.

Dalam hal ini, pembatalan 16 perkara dalam EJSK adalah kerana kesalahan-kesalahan tersebut dikanunkan lebih awal daripada apa yang diputuskan oleh DUN Kelantan, maka secara mudahnya, berlaku pertindihan (redundant).

Dari segi berat atau ringannya hukuman itu, kita boleh memahami bahawa mana-mana peraturan yang digubal berdasarkan peruntukan yang ditetapkan, tidak boleh melebihi had yang dibenarkan. Sehingga kini, Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) dengan jelas diberikan tahap maksimum, iaitu denda tidak melebihi RM 5,000, penjara maksimum 3 tahun dan maksimum sebatan sebanyak enam kali.

Sebenarnya, had ini telah pun ditingkatkan dalam pindaan Akta 355 pada 1984. Pindaan 1989, hanya membabitkan peluasan pemakainannya ke Sabah dan Sarawak. Ianya terpakai kepada orang Islam.

Namun, peruntukan ketiga-tiga hukuman adalah terlalu rendah untuk orang Islam yang melakukan kesalahan berbanding bukan Islam yang didakwa di bawah Kanun Kesiksaan atau lain-lain undang-undang Persekutuan. Undang-undang Persekutuan melalui proses penggubalan yang membabitkan perbahasan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebelum diajukan untuk mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong. Setelah mendapat perkenan, undang-undang itu digazetkan dalam Warta Kerajaan sebagai Akta.

Di peringkat negeri, para penggubal undang-undang (politikus) akan mengemukakan cadangan menggubal atau meminda sesuatu undang-undang untuk dibahaskan. Setelah mengalami proses perbahasan, maka DUN akan membuat keputusan sama ada melulus atau menangguhkannya.

Setelah diluluskan, undang-undang itu akan dipersembahkan kepada Paduka Raja atau Sultan untuk mendapat perkenan. Setelah diperkenankan, akan digazetkan dalam Warta Negeri sebagai undang-undang yang sah atau dipanggil Enakmen.

Itulah proses yang terlibat di peringkat Persekutuan dan Negeri. Namun, secara teknikalnya, EJSK tidak disahkan 16 daripada 68 perkara kerana perkara yang sama terdapat dalam undang-undang Persekutuan, itu sahaja. Ini dijelaskan seperti berikut:

hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat….; wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama…; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pengwujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan…….”

Dan, itulah juga tujuan Nik Elin dan anak perempuannya memfailkan notis petisyen pada 25 Mei 2022, zaman Kerajaan Perikatan Nasional, yang dipimpin oleh Muhyiddin dan turut dianggotai oleh wakil rakyat PAS (5 orang menteri dan 5 orang timbalan menteri). Selepas tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional (Ogos 2022), mahkamah membenarkan Nik Elin dan anak perempuannya mengemukakan petisyen.

Ketika itu, kuasa mentadbir di peringkat pusat di bawah kerajaan gabungan yang dinamakan Keluarga Malaysia (KM) yang dipimpin oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Wakil rakyat PAS, dalam jumlah yang sama diberikan menduduki jawatan kabinet, termasuk Datuk Idris Ahmad sebagai Menteri Hal Ehwal Agama dan Takiyuddin Hassan sebagai Menteri Sumber Asli (sebelumnya Menteri Hal Ehwal Undang-undang).

Dengan kedudukan tersebut, ia dapat menjawab dakwaan yang mempersoalkan kenapa menteri-menteri ‘kerajaan perpaduan’ tidak mencelah dalam petisyen Nik Elin. Sepatutnya peluang mencelah itu dilakukan oleh menteri-menteri yang diwakili oleh PN dan KM.

Jika menteri-menteri Kerajaan Perpaduan (KP) ingin mencelah, ia adalah suatu tindakan yang tidak wajar kerana Mahkamah Persekutuan sudah membuat keputusan mendengar petisyen tersebut. Ia sepatutnya dilakukan pada peringkat permulaan notis itu difailkan, iaitu pada 22 Mei 2022.

Ini persoalan undang-undang, bukan pemahaman kita terhadap realiti budaya. Dalam realiti budaya misalnya, ada orang boleh mencelah sebelum ‘akad nikah’ pasangan berlangsung walaupun pertunangan mereka sudah dilakukan dua tahun sebelumnya. Saya mengambil cerita daripada filem Dayang Suhana, lakonan Rahim Razali dan Rubiah Suparman, yang diarahkan oleh Aziz Abas dan diterbitkan oleh Filem Negara Malaysia tahun 1978.

Ia kemudiannya dibukukan sebagai kumpulan drama tv karya Othman Haji Zainudin pada tahun 1982 dengan judul Dayang Suhana dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Azman (Rahim Razali) yang beberapa tahun kematian isteri, akhirnya dipujuk oleh ibunya untuk berkahwin lagi. Semasa bertugas di Sarawak, seorang kawan mendesak agar Azman mengambil Dayang Suhana (Rumah Suparman), seorang janda beranak satu sebagai pembantu rumah (orang gaji/pengasuh).

Suatu hari, semasa ketiadaan Azman di rumah, bekas suami Dayang Suhana, Samshul datang ke rumah dan apabila pulang, Azman melihat seorang lelaki sedang memukul orang gajinya. Dayang Suhana kemudian meninggalkan rumah tersebut, dan pemergian itu menyebabkan anak Azman, Nani jatuh sakit. Ia kemudian membawa kepada keputusan Azman dan Dayang Suhana setuju berkahwin demi Nani.

Semasa akad nikah (ijab dan qabul) hendak dijalankan, qadi (juru nikah) mencari kepastian bagi mengelakkan pembatalan perkahwinan antara Azman dan Dayang Suhana, atas sebab mahram, hubungan kekeluargaan yang tersangat rapat (adik beradik, anak/saaudara sesusuan, ibu dan sebagainya).

Akhirnya terbongkar, bahawa Dayang Suhana adalah orang yang dicari oleh ibu Azman, dan merupakan adik Azman sendiri, hasil perkahwinan ayahnya dengan seorang wanita dari Sarawak. Perkahwinan antara Azman dan Dayang Suhana tidak dapat diteruskan, dilarang berkahwinan dengan lelaki/perempuan yang mempunyai pertalian terdekat (paling dekat dibenarkan ialah dalam kalangan sepupu, dan adik beradik tiri yang bukan sesusuan kededuanya).

Nik Elin dikatakan mendapat ‘dorongan’ memfailkan petisyen adalah daripada kes yang membabitkan seorang lelaki, Iki Putra Mubarak yang melakukan liwat di Bangi, Selangor dan dibicarakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995. Ia berlaku pada tahun 2021,

Iki Putra yang tidak berpuas hati akhirnya memohon untuk mencabar EJSS di Mahkamah Persekutuan dan permohonan itu dibenarkan pada 25 Februari 2021. Tarikh itu mengingatkan kita kepada ulangtahun pertama Langkah Sheraton.

Juga, setahun usianya kerajaan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin, pemimpin kerajaan tebuk atap. Ketika itu, cukup setahun rakyat terdera oleh ‘emosi terkurung’ disebabkan PKP (mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020), memasuki minggu ketiga selepas mengangkan sumpah sebagai PM 8.

Pada 19 Mac 2021, 200 peguam menandatangan petisyen mendesak dilaksanakan pindaan Perlembagaan bagi menghalang mana-mana kes yang dibicarakan di Mahkamah Syariah   dicabar di Mahkamah Sivil, atas sentiment ‘tidak puas hati’. Ia juga berhasrat untuk mengekang lebih banyak konflik dua undang-undang yang diamalkan di Malaysia – Undang-undang Sivil dan Undang-Undang Islam.

Namun, sehingga jatuhnya kerajaan PN dan terbubarnya kerajaan KM, langkah-langkah ke   arah ‘memperkasa Mahkamah Syariah’ seolah-olah terhenti apabila wakil-wakil rakyat PAS yang menduduki jawatan menteri dan timbalan mula menikmati rasa selesa; di mana mereka lebih banyak mencaturkan strategi politik untuk kekal berkuasa selepas PRU ke-15 dengan harapan  dipilih oleh rakyat, bukan lagi kekal dalam sindrom ‘kerajaan tebuk atap’ atau ‘kerajaan di luar tabi’e’.

Sebab itulah PAS sanggup bersama-sama Bersatu untuk menzahirkan gabungan PN atau ‘bermain di banyak kolam’ dengan percubaan mengembirikan Muafakat Nasional.

Menyoroti mengenai undang-undang Islam, kita tidak boleh mengetepikan peranan Presiden PAS, Haji Hadi Awang. Haji Hadi merupakan pemimpin PAS yang paling lantang mengkririk undang-undang sivil sehingga menggelarnya sebagai ‘undang-undang warisan penjajah’ dan mengukurnya sebagai salah satu elemen ‘taghut’ yang wajib ditolak.

Bahkan ketika Dr Mahathir memperkenalkan Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran, Haji Hadi muncul sebagai pengkritik tajam dan melihat keinginan kerajaan sebagai “Islam Kulit”, yang merujuk tidak berhasrat menukarkan undang-undang yang ada kepada undang-undang Islam, termasuk Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Idiosinkretik sedemikian masih kedengaran dengan dakwaan bahawa Brtisih yang berkuasa di Tanah Melayu selama lebih 170 tahun (1786-1957) tidak menukarkan undang-undang Islam, tetapi ‘kerajaan perpaduan’ yang baharu lebih setahun ‘berusaha melakukan’.

Jelas, yang mendakwa bahawa British ‘tidak ada keberanian berbuat demikian’ adalah mereka yang tidak mengkaji sejarah secara adil, atau meminjam istilah Prof Yusuf al-Qaradwi, ‘kebohongan yang jenuh’. Apakah yang mendakwa itu sedang berada dalam psikik delusi?

Harap-harap tidak sampai ke tahap ‘bunuh diri’ akibat ‘emosi terkepung’ seperti dilakukan oleh mereka yang terjun tempat tinggi, jambatan dan menggantung diri semasa PKP.

Dan, jangan pula memberikan jawapan ‘poyo’ sepertimana MB Kelantan, Datuk Panglima Perang, Nasarudin Daud apabila ditanya kenapa berjemaah sembahyang hajat di atas jambatan Pasir Mas – Salor hanya kerana paling banyak dijadikan destinasi membunuh diri.

Jika kita membaca sejarah dasar kolonialisme British, kita akan menemukan jawapan bahawa secara tidak langsungnya mereka telah mewujudkan ‘rasa selamat’ yang palsu kepada umat Islam untuk kekal dengan peraturan-peraturan syariah.

British sebenarnya secara terancang dan halus berusaha menukarkan undang-undang Islam yang dipraktikkan di Tanah Melayu sejak Islam hadir sebagai agama yang paling ramai dianuti oleh masyarakat setempat.

British memahami, jika menolak undang-undang Islam dipraktikkan dalam kalangan penganut Islam, akan muncul penentangan daripada Raja-Raja Melayu yang akan tercabar sebagai Ketua Adat Istiadat Melayu dan Agama Islam. Oleh kerana itu, British membiarkan hal itu diteruskan tetapi dalam masa yang sama, memperkenalkan undang-undang yang lebih tinggi kedudukannya daripada undang-undang Islam.

Lama kelamaan, undang-undang Islam hanya terpakai untuk kes-kes yang membabitkan perkahwinan, penceraian dan pelanggaran ibadat semata-mata. Mereka yang melakukan kesalahan bersifat jenayah, walaupun orang kena tuduh itu adalah Muslim, akan dibicarakan di Makhamah Sesyen, bukan di Mahkamah Syariah.

Semasa menduduki Pulau Pinang, Inggeris berpendapat bahawa Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang sistem perundangan dan mendakwa mana-mana undang-undang Islam yang ada sebagai zalim. Itu merupakan dakwaan Inggeris yang sengaja dilakukan untuk menolak undang-undang Islam yang sudah pun ada secara bertulis.

Akhirnya, Inggeris sedar, jika dakwaan sedemikian tidak berhati-hati, kedudukannya akan menerima padah, yakni tentangan daripada elit politik yang menguasai orang Melayu yang berpusat di istana. Pada tahun 1880, Inggeris berusaha memenuhi kehendak rakyat Tanah Melayu dengan bersetuju menggubal Ordinan Perkahwinan Mohammedan No.5 tahun 1880.

Pada tahun 1948, selepas Inggeris tersentak dengan gerakan menghalang Malayan Union (1946), muncul pula satu ordinan untuk memisahkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Syariah.

Namun, walaupun dipisahkan, kuasa Mahkamah Syariah adalah terhad dan hirarkinya lebih rendah. Mahkamah Syariah ketika itu dinamakan Mahkamah Kadi. Ia kemudiannya berubah apabila negeri-negeri menubuhkan Jabatan Agama Islam masing-masing untuk mentadbir perkara-perkara yang berkaitan undang-undang di bawah peruntukan pentadbiran Islam.

Selepas merdeka, dilaksanakan pindaan Perlembagaan Persekutuan (1988), Perkara 121 (1A) yang memberikan Mahkamah Syariah bidang kuasa berasingan daripada Mahkamah Sivil. Ia menjadikan Mahkamah Syariah lebih bebas daripada campur tangan mahkamah-mahkamah lainnya dan Mahkamah Syariah diletakkan di bawah enakmen negeri.

Jadi, dakwaan bahawa Inggeris ‘tidak berani’ menukarkan undang-undang Islam suatu kenyataan yang boleh dianggap setengah masak. Dan, tentunya jika memahami propaganda, fakta separuh masak itulah yang menjadi bahan untuk memperlekehkan seseorang, organisasi mahupun sebuah kerajaan.

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

Translate »