Pada hari Jumaat, 9 Februari 2024, keluarnya keputusan Mahkamah Persekutuan bagi Kes Nik Elin Zurina dan Kerajaan Negeri Kelantan. Reaksi orang ramai menunjukkan lahirnya kekeliruan untuk memahami hakikat apa sebenarnya yang berlaku di sebalik keputusan ini.

Di dalam era penyebaran maklumat yang terlalu pantas ini, umat Islam khususnya dalam negara juga perlu berkemampuan untuk melihat sebuah isu, tanpa prejudis politik dan agenda pihak-pihak berkepentingan. Kita harus meneliti dan huraikan apakah yang menjadi keputusan Mahkamah Persekutuan sebenarnya yang berlangsung pada 9 Februari.

Keputusan Mahkamah Persekutuan

Merujuk kepada ringkasan hakiman yang dikeluarkan Mahkamah Persekutuan, mahkamah telah bersetuju bahawa 16 seksyen di bawah Enakmen 2019 Negeri Kelantan adalah batal, atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan telah membuat undang-undang berkenaan hal perkara yang ia tidak ada kuasa atasnya.

Di dalam ringkasan ini juga, mahkamah telah menyatakan bahawa isu yang dibawakan oleh Nik Elin dan anaknya selaku pempetisyen, tidak ada kena mengena dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di dalam negara. Untuk konteks, Mahkamah Persekutuan merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia, dan korum hakim terdiri daripada 9 orang kesemuanya. Ia termasuk ketua hakim negara, presiden mahkamah rayuan, hakim besar Malaya dan juga hakim besar Sabah dan Sarawak.

Daripada ringkasan ini juga, jelas bahawa pempetisyen dan keputusan mahkamah tidak merujuk kepada pertindihan 16 hukuman di antara mahkamah persekutuan dan enakmen Kelantan. Tular poster grafik yang dikeluarkan pihak tertentu, dengan kenyataan bahawa HUKUMAN KANUN KESEKSAAN LEBIH SETIMPAL atau LEBIH ADIL. Tidak muncul persoalan mahkamah mana yang melaksanakan hukuman lebih berat ke atas kesalahan jenayah.

Tetapi sebaliknya, Nik Elin selaku pempetisyen mencabar bidangkuasa Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan undang-undang mengikut batasan yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sejarah Ringkas Pertindihan Mahkamah Sivil dan Syariah

Untuk memahami isu ini dengan lebih mendalam, perlu dilihat bagaimana permulaan Nik Elin Zurina memfailkan permohonan untuk mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan. Pada 21 Ogos 2019, seorang lelaki muslim bernama Iki Putra Bin Mubarrak telah didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan meliwat yang dilakukan di Bangi. Tidak berpuas hati dengan pertuduhan ini, beliau telah mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 pada tahun 2020.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kesalahan jenayah liwat yang terkandung di dalam EJS 1995 itu tidak sah, dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini menyebabkan 200 orang peguam sivil dan syariah menyatakan kebimbangan mereka terhadap bidang kuasa negeri untuk menggubal undang-undang jenayah Islam.

Kes Iki Putra inilah yang menjadi preseden kepada petisyen Nik Elin, lalu pada 30 September 2022, Nik Elin Zurina Abdul Rashid, dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman telah memfailkan permohonan untuk mencabar

20 peruntukkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019 Kelantan, kerana bertindan dengan Kanun Jenayah Undang-Undang di bawah Perlembagaan Persekutuan. Seperti maklum, mereka ini telah menang dalam petisyen mereka di Mahkamah Persekutuan.

Kepincangan dan Kekeliruan

Menurut mantan ketua hakim Syarie Negeri Perak, Dato’ Hj. Muhd. Asri Hj. Abdullah; Oleh kerana Islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri maka perundangan Islam diletakkan di bawah Senarai Negeri. Hanya Dewan Undangan Negeri sahaja yang berbidang kuasa untuk membuat undang-undang Islam berkaitan Hukum Syara’. Dengan lain-lain perkataan Parlimen tidak boleh membuat undang-undang yang berkaitan Hukum Syara’. Begitu juga Dewan Undangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang yang telah diberi kuasa kepada Parlimen. Parlimen dan Dewan Undangan tidak boleh melangkaui bidangkuasa masing-masing melainkan perkara-perkara yang dijelaskan dalam Senarai bersama iaitu dalam Senarai Ketiga Jadual.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kuasa Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam berkaitan jenayah adalah kabur dan tidak jelas. Inilah yang menjadi punca perbalahan tersebut samada kesalahan jenayah tersebut dikatakan bertindih dalam bidangkuasa Mahkamah Awam dan juga Mahkamah Syariah. Atau ia adalah jenis kesalahan yang hampir sama tapi mempunyai tafsiran yang berbeza?

Seorang peguam dan aktivis MACSA, Lukman Sheriff, berkata, terdapat salah faham kononnya keputusan kes tersebut dan kes melibatkan individu bernama Iki Putra Mubarak pada 2021 hanya menyentuh isu Perlembagaan.

“Kes Nik Elin dan Iki Putra membatalkan peruntukan jenayah syariah. Kesalahan syariah adalah seperti kesalahan berjudi, minum arak, zina dan sebagainya. Kesalahan jenayah syariah selama ini membentuk nilai budaya kita. Kalau jenayah syariah tidak lagi dibenarkan, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada cara hidup muslim. Adalah tidak betul mengatakan ia semata-mata isu Perlembagaan dan tidak beri kesan kepada muslim.” kata beliau.

Memperkasakan Mahkamah Syariah

Oleh kerana kes Iki Putra dan Nik Elin ini adalah kes yang memberikan implikasi kepada masa depan negara, adalah sangat jelek apabila ahli politik dan juga para penyokong mereka masih mengambil sikap berpartisan. Muncul dari sebelah pihak yang mengambil kesempatan untuk menyatakan bahawa orang Islam sudah bebas untuk lakukan jenayah, dan mengisytiharkan “Black Friday”. Reaksi keterlaluan sebegini hanya bertujuan untuk menyemarakkan emosi orang awam. Sedangkan kes Iki Putra berjalan pada tahun 2021, semasa mereka itu sedang berlegar di puncak kuasa.

Dari pihak berkuasa pula, suara-suara yang mengambil remeh isu ini seperti tiada apa perubahan akan berlaku selepas ini, juga adalah langkah yang seperti senjata makan tuan. Sebaik-baiknya, inilah masanya kerajaan yang mempunyai kuasa untuk dapat membuat perubahan bagi mengatasi kelemahan seperti apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, dan lain-kain kes yang bakal di bawa ke Mahkamah satu persatu.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah bertitah pada bulan Ogos 2023, berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah-mahkamah Syariah. Tuanku Sultan mengambil sebagai contoh, Sisters In Islam Forum (Malaysia) yang telah mencabar Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor di Mahkamah Persekutuan dengan mempersoalkan keesahan seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. SIS Forum Malaysia antara lain telah memohon Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan bahawa seksyen 66A berkenaan sebagai tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah.

Tuanku Sultan berpandangan perlu ditubuhkan satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang persoalan undang-undang yang berbangkit, berikutan dari keputusan kes Iki Putra dan yang sama matlamatnya.

Menyahut titah Tuanku Sultan Selangor, kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, telah melantik Mantan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) yang turut dianggotai 10 individu lain.

Sifat proaktif inilah yang harus menjadi contoh, bagi langkah negara kita maju ke hadapan dalam isu-isu seperti ini.

Cadangan Majlis Ulama’ Malaysia (M.U.M.)

Penulis mencadangkan penubuhan satu Majlis Ulama’ Malaysia (MUM), demi membahas kepentingan dan kemajuan Islam dalam negara, serta menjaminkan nilai budaya Islam yang telah diamalkan selama ini, khususnya dalam pelaksanaan undang-undang syariah. Majlis ini seharusnya bebas dari kepentingan politik, serta pengaruh Raja-Raja Melayu. Sebaliknya, Majlis Ulama’ Malaysia menambah perspektif Islam dalam cadangan pembuatan polisi, perundangan pelaksanaan eksekutif negara.

Walaupun ditaja oleh kerajaan pusat, Majlis ini seharusnya bebas dari tekanan politik, supaya urusan Islam dapat diperkasakan dan dilembagakan melalui dasar, perundangan, kebijaksanaan, dan mekanisme pada peringkat persekutuan. Majlis Ulama’ Malaysia ini tidak mempunyai kuasa perundangan, tetapi memegang pengaruh yang kuat dalam pelaksanaan enakmen dan sebagainya.

Ancaman Masa Depan

Kes Iki Putra telah membuka pintu agar jenayah syariah bakal jatuh satu persatu dengan mengecilkan kuasa gubalan negeri. Negara ini sebenarnya di penghujung jalan dan perlu pindaan perlembagaan dengan segera.

Cabaran hak asasi manusia dan ideologi liberal ke atas sistem budaya dan undang-undang negara adalah cabaran yang semakin nyata. Jika melihat garis masa, terdapat satu per satu “strategic litigation” dilakukan, yang bukan sahaja mencabar tindakan dan keputusan pihak berkuasa syariah, tetapi kemudiannya undang-undang hukum syara’ dan kuasa mahkamah syariah. Dari zaman British, mahkamah persekutuan berjaya mencari keseimbangan mempertahankan sistem syariah, tetapi sejak kebelakangan ini, muncul satu gerakan “Judicial Activism” yang membelakangkan keputusan mahkamah persekutuan.

Menjadi persoalan bahawa siapakah disebalik gerakan liberal dan sekular ini? Siapakah yang menerajui dan menyokong perjuangan Sisters In Islam dalam negara? Mengapa mereka ini begitu anti dengan pengamatan Islam yang diamalkan dalam negara selama ini?

Semua pihak mesti berperanan tanpa bermain dengan rasa kecewa atau berdendam yang berterusan. Hentikan politik berpartisan, menunggang isu untuk “political mileage”, dan fokus kepada cabaran sebenar. Yang boleh menggerakkan perkara ini adalah melalui Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Parlimen dan Dewan Negeri tidak akan bergerak dan berperanan jika Ahli MP dan ADUN masih kabur dalam hal ini, apatah lagi jika mereka tidak ambil kisah atau sudah tidak ada lagi “political will”. Manakala rakyat pula terus berperang dengan sentimen masing-masing yang tidak berpenghujung dan lebih sulit dan lebih sukar untuk dirungkai semula.

Oleh: Ibnu Majid

Translate »