𝗧u𝗹𝗶𝘀𝗮𝗻 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗷 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗔𝘀𝗿𝗶 𝗛𝗷 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵,
𝗠𝗮𝗻𝘁𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗛𝗮𝗸𝗶𝗺 𝗦𝘆𝗮𝗿𝗶𝗲 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗮𝗸 𝗱𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗸𝗶𝗺 𝗥𝗮𝘆𝘂𝗮𝗻 𝗦𝘆𝗮𝗿𝗶𝗮𝗵 𝗝𝗞𝗦𝗠.
Artikel Siri 111/2024
JENAYAH DALAM HUKUM SYARA’ DAN COMMON LAWS
1. PENDAHULUAN
Berikut dengan keluarnya keputusan Kes Nik Elin Zurina vs Kerajaan Negeri Kelantan pada 9 Feb 2024 semalam oleh Mahkamah Persekutuan ramai yang keliru dan tidak dapat memahami hakikat apa sebenarnya yang berlaku.
Malaysia ada sebuah negara yang menjamin kedaulatan undang-undang dimana prinsip perundangan yang menyatakan bahawa keseluruhan negara harus diperintah oleh undang-undang. Perlembagaan telah memberi kuasa untuk membuat undang-undang. Kuasa membuat, menggubal undang-undang dinamakan kuasa legislatif. Kuasa ini diberi kepada dua badan perundangan iaitu di peringkat pusat dinamakan Dewan Rakyat atau Parlimen/ Dewan Negara. Manakala di peringkat negeri dinamakan Dewan Undangan Negeri atau State Assembly.
Kedua-dua kuasa ini diperjelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan: Perkara 74. Hal perkara undang-undang Persekutuan dan Negeri.
- Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain, Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama (iaitu Senarai Pertama atau Ketiga yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan).
- Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain, Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama.
Oleh kerana Islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri maka perundangan Islam diletakkan di bawah Senarai Negeri. Hanya Dewan Undangan Negeri sahaja yang berbidang kuasa untuk membuat undang-undang Islam berkaitan Hukum Syara’. Dengan lain-lain perkataan Parlimen tidak boleh membuat undang-undang yang berkaitan Hukum Syara’. Begitu juga Dewan Undangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang yang telah diberi kuasa kepada Parlimen. Parlimen dan Dewan Undangan tidak boleh melangkaui bidangkuasa masing-masing melainkan perkara-perkara yang dijelaskan dalam Senarai bersama iaitu dalam Senarai Ketiga Jadual.
Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kuasa Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam berkaitan jenayah adalah kabur dan tidak jelas. Jadual Kesembilan Perlembagaan. Senarai Kedua tidak memperincikan satu persatu perkara tersebut seperti dalam kes mal (sivil).
Seperti berikut :
Dalam perkara mal (sivil): Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengangkatan, penjagaan dan lain-lain.
Dalam perkara jenayah, Perlembagaan tidak menyebut satu persatu jenis kesalahan peruntukan tersebut hanya disebut secara umum seperti berikut:
Perwujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.
Inilah yang menjadi punca perbalahan tersebut samada kesalahan jenayah tersebut dikatakan bertindih dalam bidangkuasa Mahkamah Awam dan juga Mahkamah Syariah. Atau ia adalah jenis kesalahan yang hampir sama tapi mempunyai tafsiran yang berbeza?
Perkara utama yang menjadi isu perundangan ialah perkataan :
“Kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu”.
Kata kunci penting di sini dalam bahasa Inggerisnya: “Creation and punishment of offences by persons professing the religion of Islam against precepts of Islam.”
Tun Abdul Hamid Mohamad ketika menjadi Ketua Hakim Negara di dalam kes Sulaiman Takrib lawan Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2008 telah merumuskan bahawa Mahkamah Syariah ada mempunyai bidangkuasa kes jenayah namun is terhad dengan satu formula mengenai bidang kuasa jenayah Syariah seperti berikut:
- kesalahan itu mestilah terpakai terhadap penganut agama Islam sahaja;
- kesalahan itu mestilah bercanggah dengan perintah agama (against the precepts of Islam);
- kesalahan itu tidak termasuk di bawah bidang kuasa Senarai Persekutuan; dan
- kesalahan itu mengikut bidang kuasa jenayah yang ditetapkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)– 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 (hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan).
2. MEMAHAMI PERKATAAN JENAYAH
Terdapat ahli perundangan sivil yang berpendapat bahawa kuasa membuat undang-undang jenayah secara umum nya adalah kuasa Parlimen untuk dilaksanakan di Mahkamah Awam. Bidangkuasa Mahkamah Syariah mestilah berkaitan dengan kesalahan jenayah yang berbaki “residual” dari apa yang telah diperuntukkan kepada Mahkamah Sivil atau (Mahkamah Persekutuan).
Ini adalah berpunca mereka memahami kesalahan-kesalahan jenayah yang ujud di Mahkamah Awam juga adalah undang-undang ta’zir. Mereka menolak enam belas kesalahan jenayah dalam Enakmen Jenayah negeri kerana sama dengan dengan kesalahan yang ujud dalam Penal Code. Ini adalah tidak tepat.
Jika kita mengamati maksud jenayah dalam Hukum Syara’ dan Sivil ia memberi pengertian yang amat berbeza.
Jenayah di Mahkamah Awam merupakan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang pemerintahan sesuatu tempat. Orang yang melakukan perbuatan jenayah ini dinamakan penjenayah.
Manakala jenayah dalam Hukum Syara’ bermaksud ketentuan syariat Islam tentang kesalahan jenayah dan hukuman yang perlu dikenakan keatas pesalah berkenaan. Kata al-Mawardi, ia adalah larangan syara’ yang dicegah oleh Allah swt melalui Al Quran atau hadis dengan (hukuman) had, qisas atau takzir.
Sebagai contoh kesalahan jenayah berjudi. Mengikut undang-undang awam kesalahan berjudi menjadi salah jika ia berjudi di tempat perjudian haram tanpa lesen mengikut undang-undang. Sebaliknya jika berjudi ditempat yang dibenarkan mengikut undang-undang ia tidak menjadi kesalahan.
Sebaliknya dalam Hukum Syara’ kesalahan berjudi merupakan larangan perintah Allah swt tidak mengira samaada ia berlesen atau tidak.
Seperti ini kita lihat kesalahan berjudi walaupun atas nama kesalahan yang sama iaitu JUDI tapi ia mempunyai tafsiran maksud yang berbeza.
Begitu juga kesalahan minum arak atau yang memabukkan ia tidak menjadi kesalahan di bawah undang-undang awam melainkan jika memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah. Namun dalam Hukum Syara’ ia adalah haram mengikut perintah Allah swt walaupun dimasa mana sekalipun.
Begitu juga mengadakan hubungan sejenis atau zina adalah hukumnya haram. Di dalam undang-undang awam ia tidak menjadi kesalahan melainkan dengan paksaan, tanpa kerelaan atau rogol. Juga rogol bawah umur adalah hubungan seksual dengan perempuan bawah umur 16 tahun dengan atau tanpa kerelaannya.
Rasanya dengan contoh tersebut kesalahan berjudi, minum arak, hubungan jenis/zina. Kesalahannya amat bebeza didalam Hukum Syara’ dan undang-undang awam. Perbezaan nya tersebut belum lagi belum lagi dibandingkan dari segi pembuktian, saksi, acara perbicaraan yang berkaitan.
3. KESALAHAN JENAYAH SYARIAH BERSUMBER HUKUM SYARA’
Kesalahan jenayah di dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri bukan hanya di bawah ke Dewan Undangan Negeri untuk dikanunkan tapi ia di gubal berasaskan Hukum Syara’ bersumber dari Al Quran dan Al Hadis. Ia itu berkaitan perintah atau larangan Allah swt. Ia berbeza dengan kesalahan di dalam Penal Code tidak diasaskan kepada sumber yang berkaitan.
Ini yang saya maksudkan jika kesalahan dan hukuman telah ditentukan oleh Al Quran dan Al Hadis ia dipanggil hudud. Jika kesalahannya telah ditentu dan hukumannya di beri pilihan seperti diyat atau bunuh ia dinamakan qisas. Jika kesalahan dan hukumannya tidak ditentukan tapi ia dibuat oleh pemerintah berasaskan maslahah ammah ia dinamakan ta’zir.
Dimana kesalahan dan hukumnya hendaklah dirujuk dan besesuaian dengan Hukum Syara’. Contohnya seperti sumbang mahram, muncikari, perbuatan maksiat dan sebagainya.
4. BOLEHKAN PARLIMEN MEMBUAT KESALAHAN DAN HUKUMAN TA’ZIR’
Jika kesalahan dan hukuman ta’zir tidak diberi kuasa kepada kerajaan negeri atau DUN bolehkah kesalahan yang ada kaitan dengan maslahah ammah berkaitan dengan Hukum Syara’ dibuat di Parlimen. Sedangkan kesalahan yang berkaitan Hukum Syara’, Perlembagaan telah memberi bidangkuasa kepada negeri .
Contoh yang lain sampai bila kita menunggu Akta Halal boleh digubal di Parlimen? Sampai bila kita menunggu Akta Mufti Negara atau Mahkamah Persekutuan Syariah ujud. Sampai bila kita menunggu Menteri Agama atau Menteri Wakaf ujud. Rasanya ianya tidak akan ujud disebabkan Jadual Kesembilan dan Senarai 1,2 dan 3 Perlembagaan yang mengikat perkara tersebut. Oleh itu bidangkuasa negeri perlu dipinda dan diperjelaskan dengan lebih terperinci.
5. ADAKAH PERUNDANGAN ISLAM “DICURI” DARI COMMON LAWS
Sebelum Undang-Undang Islam khususnya Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri di bawa ke Dewan Undangan negeri-negeri dan ke Parlimen bagi Wilayah Persekutuan untuk dikanunkan ia sebenarnya terlebih dahulu telah didraf dan digubal oleh satu Jawatankuasa Undang-Undang Islam Negeri yang mana ahli-ahlinya dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri di bawah naungan DYMM Sultan/ Raja negeri.
Lazimnya Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh YB Panasihat Undang-Undang Negeri, Mufti, Kadi Besar Negeri, Timbalan Pendakwa Raya, tokoh-tokoh Ulama’, para peguam dan tokoh-tokoh perundangan negeri. Kombinasi ini amat penting untuk memastikan setiap undang-undang yang digubal sesuai dan tidak bercanggah dengan Hukum Syara’ dan perundangan yang ujud semasa.
Selepas itu ia akan disemak khusus oleh dari segi gubalan bersama terjemahan teks bahasa Inggeris di pejabat Penasihat-penasihat Undang Negeri. Kemudian ia akan dibawa ke Persidangan Majlis Agama Islam Negeri untuk makluman dan keputusannya disembah maklum kepada DYMM Sultan. Atas perkenan baginda ia diangkat ke Dewan Undangan untuk proses perundangan.
Undang-undang yang diluluskan di Dewan Undangan akan diangkat kepada DYMM Sultan untuk perkenan diraja dan diwartakan sebelum menjadi Enakmen negeri.
Manakala diperingkat Persekutuan ia digubal melalui satu Jawatankuasa Khas Penggubalan Undang-undang Syara’ dan Sivil yang dilantik oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI). Mesyuarat MKI kali ke-32 yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad Perdana Menteri pada masa itu) pada 12 Februari 1988, telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Undang-Undang Syarak dan Sivil.
Pada 6 Mei 1988, Jawatankuasa ini telah mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil sebagai jawatankuasa bertindak dan menjadi pelaksana kepada Jawatankuasa Mengkaji undang-Undang Syarak dan Sivil.
Sejajar dengan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil tersebut, peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam menyelaraskan dan menyeragamkan undang-undang Islam semakin berkembang di samping melaksanakan fungsi-fungsi lain yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
Sebelum ini ia dipengerusikan oleh Allahyarham Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim dan selepas beliau meninggal ia digantikan oleh Yg Berbahagia Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman. Ahlinya terdiri dari mantan Ketua Hakim Negara, Ketua Hakim Syarie negeri Mahkamah Rayuan Syariah dan Sivil, tokoh-tokoh perundangan seperti Allahyarham Prof Tan Sri Harun M. Hashim, tokoh pentadbir dan akademik seperti Allahyarham Prof Dato’ Nik Abdul Rashid bin Nik Abdul Majid, tokoh ulama’ seperti Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman , Dato Aria Diraja Dato Daud Mohamad wakil Jabatan Peguam Negara, Wakil Persatuan Peguam-peguam dan lain- lain.
Sebelum draf tersebut dijadikan Akta untuk Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan di muktamatkan oleh Jabatan Peguam Negeri dan melalui kelulusan kabinet sebelum dibawa ke Parlimen oleh proses perundangan dengan perkenan Paduka YDPA dan pewartaan untuk dijadikan Akta.
Selain draf undang-undang yang dibuat bagi tujuan penyelarasan negeri-negeri ia juga digunakan untuk Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Undang-undang Islam yang selaras di seluruh negeri sekarang dan beberapa pindaan Perlembagaan, Undang-undang Tanah dan sebagainya adalah hasil dari perjuangan dan titik peluh mereka. Malah banyak lagi draf akta/ enakmen juga kaedah-kaedah yang telah digubal tapi tidak dibawa ke Parlimen. Ini kerana tidak “political will” yang menggerakkannya ke Parlimen. Antaranya ada draf undang-undang yang tersangkut di Jabatan Peguam Negara, JAKIM dan sebagainya. Hasilan yang telah dibuat begitu harga oleh mereka hanya menjadi tinggalan sejarah, tidak ada pihak yang mengambil peduli menghargai dan menjadikannya akta, enakmen, kaedah yang diguna pakai.
Hasilan undang-undang tersebut dan yang ada digunakan pakai pada hari ini bukan “disedut” dari common laws atau undang-undang sivil bukan dari undang-undang di India. Jawatankuasa tersebut telah membuat kajian dan perbandingan undang-undang di negara-negara Islam. Malah mereka berkorban masa, jiwa dan raga tinggal berbulan-bulan di negara Mesir, Pakistan dan lain-lain melihat kanun atau undang-undang Islam yang telah digubal lebih awal disana yang dijadikan asas kepada undang-undang pentadbiran yang ada masa kini.
6. KESIMPULAN
Inilah masanya kerajaan yang mempunyai kuasa atau sokongan majoriti Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dari semua pihak mengeluarkan taring untuk dapat membuat perubahan bagi mengatasi kelemahan seperti apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam Kes Nik Zurina vs Kerajaan Negeri Kelantan dan lain-lain yang telah diputuskan dan lain-kain kes yang bakal di bawa ke Mahkamah satu persatu.
Kita semua, lebih-lebih lagi pihak yang berwajib janganlah hanya merasa lemah diri atau hanya kecewa tanpa membuat tindakan yang lebih berkesan untuk memperbaiki institusi Mahkamah Syariah, perundangan Islam, guaman Islam, pendakwaan serta anggota kehakiman dan perundangan Islam.
Semua warga Malaysia mesti menerima hakikat bahawa Malaysia mempunyai dua sistem Mahkamah. Juga mempunyai dua badan penggubalan undang-undang di pusat adalah Parlimen dan di negeri Dewan Undangan negeri. Inilah masanya kita membuktikan keujudannya adalah bertujuan untuk mengharmonikan keperluan atau hajiyyat masyarakat Islam dan bukan Islam. Memenuhi keperluan hidup dan agama yang mereka anuti. Segala kelemahan dari peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri serta undang-undang perlu diperbaiki dengan pindaan dan tambahan yang perlu.
Dengan ini ia menjadi bukti kukuh bahawa keujudan kedua-duanya adalah untuk bekerjasama dan saling membantu dan menyempurnakan satu sama lain. Keujudan dua sistem ini atau “coo existence” nya bertujuan menyempurnakan satu dengan lain “completing each other” bukan “competing each other”, bersaing antara satu dengan lain.
Semua pihak mesti berperanan tanpa bermain dengan rasa kecewa atau berdendam yang berterusan. Saya terus berpegang bahawa yang menggerakkan perkara ini adalah melalui Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Parlimen dan Dewan Negeri tidak akan bergerak dan berperanan jika Ahli MP dan ADUN masih kabur dalam hal ini apatah lagi jika mereka tidak ambil kisah atau sudah tidak ada lagi “political will”. Manakala rakyat pula terus berperang dengan sentimen masing-masing yang tidak berpenghujung dan lebih sulit dan lebih sukar untuk dirungkai semula!
Dato’ Hj Muhamad Asri Hj Abdullah,
Mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Perak dan Hakim Rayuan Syariah JKSM.
30 Rajab 1445. Sabtu
10 hb Feb 2024
Keroh Hulu, Padang Rengas. Perak.
Recent Comments