Pada asasnya, tiada siapa yang mengaku sebagai umat Islam menolak ketentuan dan undang- undang yang telah digariskan Allah dalam al-Quran dan dijelaskan secara lebih terperinci dalam hadis. Dalam bahasa mudah, ketentuan dan undang-undang Allah ini bernaung di bawah payung syariat Islam. Hanya saja, wujud perbezaan dari segi tafsiran, pendekatan dan tatacara pelaksanaannya.
Kita menyokong niat baik pihak mana sekalipun untuk melaksanakan hukum hudud. Pada prinsipnya tujuan penghukuman dalam Islam adalah untuk mengajak mereka kembali ke jalan Allah disamping untuk memberi pendidikan dan pengajaran kepada masyarakat. Bagaimanapun dalam melaksanakan hukuman ini, ia juga perlu mengambil kira hal-hal lain yang menuju ke arah keislaman seperti prosedur, keterangan-keterangan serta penyiasatan semuanya mesti betul dan tepat. Ia mestilah berada dalam suatu keadaan yang semuanya akan menolong mencapai keadilan. Ia bukanlah sesuatu yang hanya dilihat dengan ‘sebelah mata. Kita perlukan kesungguhan untuk merungkaikannya tidak hanya menggunakan undang-undang yang dikatakan Islam sahaja.
Jangan kerana atas dasar perkiraan politik yang menguntungkan pihak-pihak tertentu perundangan Islam yang mulia ini menjadi mangsa, diperlekeh dan dihina kerana ketidaksediaan masyarakatnya dan kelemahan dari segi perlaksanaannya. Untuk mencapai keadilan yang diharapkan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia perlu kepada pelaksanaan yang betul. Jangan sampai hukuman sebat hanya terkena kepada orang-orang kecil dan jangan ‘pandang bulu’. Jangan hukum Islam ini hanya berkuatkuasa untuk rakyat jelata, rakyat marhaen yang papa dan tidak ada kuasa, manakala apabila terkena pada orang-orang besar ia begitu mudah terlepas dari hukuman.
Secara keseluruhan, pendirian masyarakat kita terbahagi kepada dua golongan dalam menanggapi pelaksanaan hudud ini. Golongan pertama berpendirian bahawa pelaksanaan hudud adalah wajib disegerakan tanpa mempertimbangkan keadaan dan situasi yang berlaku dalam masyarakat. Golongan ini tidak mempertimbangkan perkiraan-perkiraan lain selain meyakini bahawa hudud adalah perintah Tuhan yang tidak boleh ditolak ansur. Tidak ada alasan untuk menunda pelaksanaan hudud disebabkan alasan seperti struktur masyarakat yang pelbagai, umat Islam masih bodoh, beza tafsiran dan sebagainya.
Bagi golongan ini, kekuasaan amat penting untuk dikuasai kerana sekiranya kekuasaan itu dapat digenggam, mereka percaya dapat melaksanakan hudud sepenuhnya. Oleh sebab itu, kita dapat menyaksikan golongan ini tanpa segan silu menggunakan dan mengeksploitasi sepenuhnya isu hudud bagi memperoleh keuntungan dan sokongan politik.
Golongan kedua pula berpendirian bahawa hudud baru dapat dilaksanakan sekiranya semua masyarakat dapat memahami dan menghayati ajaran Islam. Bagi mereka, menjadi sia-sia belaka seandainya hudud dilaksanakan tanpa diimbangi dengan rasa insaf dan penghayatan yang mendalam terhadap Islam.
Sebab sekiranya hudud dilaksanakan dengan keadaan umat Islam sendiri masih jauh dari agama, hudud akan mempunyai musim tuai kerana banyaknya pelanggaran terhadap hudud. Kesannya, wajah Islam menjadi hodoh kerana hudud menjadi jentera penghukum, bukan Islam yang mendidik, Islam yang lemah-lembut dan Islam kasih sayang.
Dengan erti kata yang lain, golongan kedua lebih menekankan pembentukan masyarakat Islam melalui ketaatan dan kesalehan terlebih dahulu. Sekiranya umat Islam sudah insaf, taat dan patuh kepada agamanya, maka dengan sendirinya negara itu akan menjadi Islam tanpa kita heboh mengatakan negara itu adalah negara Islam. Golongan ini dikenali juga sebagai golongan yang lebih memperhatikan isi (substance) berbanding bentuk.
Oleh sebab itulah, istilah yang dipakai dalam al-Quran adalah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (yamuruna bil maruf wa yanhauna anil munkar). Mengapa redaksi ayat itu meletakkan menyeru kebaikan di awal berbanding mencegah kemungkaran kemudian? Ini kerana Allah menyuruh kita berbuat baik terlebih dahulu. Taat dulu, baru mencegah kemungkaran. Patuh dulu, baru suruh orang lain buat baik. Ciptakan masyarakat Islam yang saleh dan taat terlebih dahulu, sebelum mempersiapkan negara Islam.
Dengan terbentuknya masyarakat yang taat dan patuh kepada agamanya, maka wujudlah negara baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur (negara baik dan sejahtera). Kita menyokong niat baik pihak mana sekalipun untuk melaksanakan hukum hudud. Bagaimanapun, ia perlu mengambil kira hal-hal lain yang menuju ke arah keislaman sejati. Tidak dapat dinafikan, masih ramai orang Islam sendiri masih terkeliru dengan hudud hingga dengan gelojohnya membuat kesimpulan mudah bahawa sesebuah negara tidak dapat dikatakan sebagai negara Islam jika negara berkenaan tidak melaksanakan hudud.
Walhal, hudud adalah sebahagian kecil daripada konsep negara Islam yang lebih besar dan kompleks. Hudud hanyalah satu mekanisme atau satu tatacara penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah-jenayah tertentu. Tidak semua jenayah diatur dalam hukum hudud sebagaimana yang mungkin difahami oleh orang ramai. Malah, pada zaman ini jumlah peratusan jenayah lebih banyak berbentuk dalam kategori takzir (punishment) yang dari beberapa segi juga menimbulkan kontroversi dalam pelaksanaannya.
Di sini perlu difahami bahawa pengaturan hukum bagi pelaku jenayah terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama: qisas, iaitu hukuman yang diberi haknya 100 peratus kepada waliyul amr (keluarga yang berhak). Selagi wali tersebut tidak memaafkan kesalahan itu, pihak berkuasa pastilah mengambil tindakan terhadap pesalah tersebut dengan pembalasan yang setimpal dan penuh keadilan.
Kedua: Hukum hudud; hukum ini memberi kuasa kepada pihak pemerintah untuk menjalankannya mengikut budi-bicara sendiri tetapi penentuan hukum itu tidak harus diubah dan diganti dengan hukuman lain daripada apa yang sudah ditetapkan seperti pukul, potong tangan, rejam, dan sebagainya. Pukul atau sebat dan potong tangan itu wajib dilaksanakan, tetapi dengan apa dan bagaimana hendak dipukul, di mana hendak dipotong, dan bila hendak direjam itu terpulang kepada budi bicara pemerintah. Sebab itulah hudud tidak perlu dijalankan selagi terdapat apa-apa syubhat dan kesamaran dalam kes tersebut, sepertimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tolak hudud dengan sebarang syubhat. (Riwayat Tirmidzi)
Ketiga: takzir, iaitu hukuman yang diserahkan kepada budi-bicara pihak pemerintah 100 peratus, terpulang kepada keputusannya tentang apa bentuk hukuman yang akan diambil, bila masanya, dan bagaimana caranya yang akan dilaksanakan hukuman tersebut. Kadangkala takzir ini sampai ke peringkat hukum bunuh dan sebagainya.
Pada hakikatnya kebanyakan para fuqaha bersetuju bahawa hukuman had bagi kesalahan meminum arak ialah sebat. Dan hukuman sebat ini wajib dilaksanakan ke atas setiap peminum arak sama ada lelaki atau perempuan. Sehubungan ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, sesungguhnya arak, berjudi, berhala, bertenung nasib adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan tersebut.” (Al-Maidah: 90)
Justeru para fuqaha tidak menganggap jantina sebagai salah satu sifat yang boleh mengecualikan seseorang daripada hukuman sebat kerana meminum arak. Pengecualian hanya diberikan atas sebab lain seperti kurang akal, dipaksa, jahil atau sebagainya.
Mengenai hukuman sebat bagi kesalahan minum arak, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa minum arak, maka sebatlah dia. (Riwayat Abu Daud) Diriwayatkan daripada Anas, bahawa telah dibawa kepada Rasulullah seorang lelaki yang telah meminum arak. Nabi SAW lalu memukulnya dengan kasut sebanyak 40 kali. Demikian juga pada zaman Saidina Abu Bakar yang pernah memukul peminum arak sebanyak itu.
Untuk mencapai keadilan yang diharapkan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia perlu kepada pelaksanaan yang betul. Prosedur, keterangan serta penyiasatan semuanya mesti betul dan tepat. Ia mestilah berada dalam suatu keadaan yang semuanya akan menolong mencapai keadilan. Ia bukanlah sesuatu yang hanya dilihat dengan sebelah mata. Kita perlukan kesungguhan untuk merungkaikannya.
Sebelum melaksanakan hudud, pastikan masyarakat Islam bersiap sedia untuk melaksanakannya baik dari segi kefahaman, penghayatan, mental mahupun pemikiran. Begitupun juga dengan masyarakat bukan Islam, perlu diberi kefahaman yang betul dan menyeluruh tentang hukum-hakam Islam agar tidak tercipta stigma dan pandangan yang salah terhadap ajaran Islam yang suci ini.
Pada suatu ketika dulu saya pernah mengunjungi Acheh yang ketika itu sedang marak dengan perlaksanaan hukum Islam dibumi istimewa itu. Aceh yang mendapat hak keistimewaan daripada pemerintah pusat untuk melaksanakan syariat Islam, banyak mengalami kritikan pelbagai pihak termasuk warganya sendiri.
Menurut salah seorang pimpinan dayah (pondok) yang saya temui, pelaksanaan syariat Islam (hudud) di Aceh pada asasnya bagus. Akan tetapi dari segi pelaksanaannya banyak mengalami masalah. Pelaksanaan syariat Islam tidak menepati kehendak syariat Islam itu sendiri yang menekankan aspek keadilan terhadap seluruh warganya. Dalam beberapa kes misalnya, ada pihak yang terbabit dalam pelanggaran khalwat. Akan tetapi si pelanggar tidak dikenakan hukuman disebabkan si pelanggar ialah saudara-mara pembesar tempatan.
Disebabkan pilih kasih dalam aspek penerapannya inilah akhirnya menodai kesucian syariat Islam. Disebabkan kelemahan dalam menguatkuasakan undang-undang, timbul prasangka dan persepsi negatif bahawa penerapan hukum Islam hanya berkuat kuasa untuk rakyat jelata, rakyat marhaen yang papa dan tidak ada kuasa, manakala orang besar terlepas daripada hukuman.
Ini tentu saja tidak selaras dengan apa yang dicontohkan oleh Nabi. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, An-Nasai, Ibnu Majah, Ahmad bin Hanbal, dan Malik bin Anas menceritakan bahawa Urwah bin Zubair, salah seorang sahabat nabi bercerita kepada Al-Zuhri tentang kejadian yang disaksikannya sewaktu Nabi SAW hidup.
Peristiwa ini melibatkan seorang wanita bernama Fatimah al-Makhzumiyyah dari suku al-Makhzumi yang pada ketika pembukaan Kota Mekah, telah didapati mencuri. Dikatakan suku kaumnya telah menemui Usamah bin Zaid (yang terkenal rapat dengan Nabi SAW) meminta agar dapat menolong Fatimah, supaya tidak dihukum oleh Nabi SAW. Usamah kemudian menemui Rasulullah dan menceritakan maksud dan tujuan kedatangannya. Mendengar perkataan itu, berubahlah raut wajah Rasulullah. Baginda lalu berkata, Apakah engkau akan mempersoalkan ketentuan hukum yang sudah ditetapkan oleh Allah?
Usamah kemudian memohon maaf kepada Rasulullah. Pada sebelah petang, Nabi SAW berdiri di hadapan para sahabat, lalu berkhutbah: Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri. Ketika salah seorang yang dianggap memiliki kedudukan yang tinggi dalam satu jawatan mencuri mereka melewatkannya atau tidak menghukumnya. Namun ketika ada seorang yang dianggap lemah miskin atau orang biasa, mereka menghukum. Ketahuilah, demi Zat yang jiwa Muhammad berada di dalam kekuasaan-Nya, seandainya Fatimah puteri Muhammad mencuri, aku akan memotong tangannya.
Setelah itu Nabi SAW mengarahkan agar memotong tangan Fatimah Al-Makhzumiyyah. Dan setelah pelaksanaan hukuman itu selesai, Nabi SAW memberitahu bahawa taubatnya telah diterima oleh Allah. Diceritakan bahawa perempuan itu kemudian menjalani hidupnya secara normal, berkahwin dan bekerja seperti biasa.
Jelaslah bahawa daripada cerita ini Nabi SAW ingin mengajar kepada umat manusia untuk tidak membezakan seorang dengan seorang yang lain. Dalam ketetapan hukum hudud ini perlu (wajib) dijalankan – bila masanya, dengan apa, dan bagaimana caranya selagi tidak terdapat sebarang syubhat, tidak lain adalah bertujuan mencapai keadilan yang hakiki.
Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments