Tahukah anda bahawa peristiwa israk mikraj, mengandungi beberapa isyarat yang besar dan penting kepada Rasulullah SAW, dan umat Islam secara keseluruhannya. Isyarat-isyarat ini wajar difahami dan dijadikan pedoman dalam kita mendepani hakikat penjajahan zionis di Palestine pada hari ini.
Peristiwa Israk dan Mikraj yang diabadikan di dalam al-Quran merupakan satu proses pengukuhan dan penyucian kerohanian. Perjalanan Nabi Muhammad SAW naik ke Sidratul-Muntaha, bahkan melampauinya, serta kembalinya ke Mekkah dalam waktu sangat singkat, merupakan tantangan terbesar sesudah Al-Quran diturunkan kepada umat manusia.
Israk dan mikraj adalah pemberian keistimewaan kepada Nabi, sebagai Rasul Allah lain dari para rasul-rasul sebelumnya. Peristiwa ini sangat dahsyat dan menggoncang iman para muslimin. Pada ketika yang sama, memberi gambaran kepada situasi manusia, di akhirat nanti.
Peristiwa israk mikraj jika dilihat dari perspektif keilmuan Barat, adalah sebagai sesuatu yang tidak ilmiah, tetapi hanya satu dogma dan hanya satu sistem kepercayaan. Bagaimanapun jika dilihat dari perspektif keilmuan Islam, maka persoalannya menjadi sesuatu yang lain. Ia tetap ilmiah dan benar, kerana dalam konsep Islam, Ilmu, di samping memiliki paradigma deduktif-induktif tetap mengakui paradigma transenden dan yang tidak terlihat oleh mata kasar, pengakuan adanya kebenaran dari Tuhan, pengakuan adanya hal-hal yang bersifat metafizik, misalnya tentang wujudnya Allah, para malaikat, hari kebangkitan, syurga, neraka dan sebagainya.
Ia merupakan kebenaran yang tidak memerlukan bukti empirik, bahkan persoalan-persoalan metafizik tersebut adalah realiti bagi orang Islam.
Mereka sengaja tidak mahu memahami, bahawa wahyu dan kenabian merupakan perkara ghaib yang tidak tunduk terhadap ukuran panca indera dan keterbatasan akal fikiran.
Isra mikraj juga jelas bukan sahaja mencabar ilmu manusia dalam metaakulkan kebenaran, malah memaparkan postulata sains (kebenaran ilmu barat hasil amalgamasi adab judeo-kristen) adalah penuh dengan sangka, palsu, tipu muslihat, prejudis dan pembohongan atas nama kesombongan dan sekularisme.
Peristiwa ini juga memberitahu manusia akan kesucian Kota Mekkah dan Baitul Maqdis, serta kawasan-kawasan sekitarnya. Isra’ Mi’raj juga, adalah peristiwa bagi Nabi Muhammad untuk menjejaki sambungan misi Baginda, dari misi nabi-nabi sebelumnya. Tanda-tanda yang diperlihatkan Allah kepada Rasulullah SAW sewaktu israk mikraj itu, menyegarkan kembali tugas suci Baginda, sebagai Khatamul Anbiya’.
Di Baitul Maqdis, Baginda mengimamkan solat bersama para Anbiya’. Dari segi dakwah, peristiwa ini menggambarkan bahawa terjalinnya hubungan antara Islam, dengan agama-agama yang dibawa nabi-nabi sebelumnya. Ia menghubungkan akidah tauhid sejak Nabi Adam, kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Musa, Nabi Isa dan lain-lain sehingga kepada Rasulullah SAW yang merupakan penyempurna kepada risalah kenabian.
Demikian firman Allah dalam surah al-Isra ayat 4 dan 5, yang bermaksud:
“Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.
Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.”
Allah SWT meletakkan Baitul Maqdis sebagai persinggahan nabi, kerana mahu menunjukkan kepentingannya kepada umat Islam. Di sinilah terikatnya roh dan jiwa para nabi dan rasul. Oleh kerana itu juga, bumi Palestin ditentukan oleh Allah SWT untuk menjadi tempat pertembungan dan perebutan kuasa-kuasa besar dunia sejak zaman dahulu, juga zaman sekarang dan zaman-zaman akan datang. Bumi Palestine dan Baitul Maqdis ini akan menjadi titik kepada kemuncak pertembungan akhir, antara golongan hak dan batil, apabila tiba masa dan ketika yang berada dalam ilmu Allah SWT.
Tanda-tanda berlakunya kiamat yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis, banyak berlegar di bumi Palestin yang bertuah ini seperti:
- Bahawa bangsa Yahudi akan kembali ke Palestin.
- Bahawa Nabi Isa AS akan memerdekakan Baitul Maqdis.
- Bahawa kumpulan Islam yang benar akan berkubu di Baitul Maqdis dan kawasan sekelilingnya.
- Bahawa peperangan terakhir antara orang beriman dan Yahudi akan berlaku di Palestin.
- Bahawa Dajjal akan dibunuh di Palestin.
- Bahawa ibu negara kepada Khilafah Islam di akhir zaman akan berpusat di Palestin.
- Bahawa Yakjuj dan Makjuj akan dibinasakan di Palestin.
Justeru tidak pelik bumi ini sentiasa menjadi rebutan khususnya kepada penganut agama Yahudi, Nasrani dan Islam, oleh kerana kemuliaannya disebut di dalam semua kitab-kitab samawi.
Diantara kepentingan Masjid al-Aqsa pula, adalah seperti yang berikut;
- Masjid al-Aqsa adalah merupakan kiblat pertama bagi umat Islam sebelum ianya dipindahkan ke Masjid al-Haram.
- Masjid al-Aqsa adalah masjid kedua dibangunkan di muka bumi.
- Masjid al Aqsa adalah masjid yang ketiga suci di dalam Islam.
- Al-Quran menyebut Masjid al-Aqsa dengan sifatnya yang bermaksud: “Yang Sudah Kami Berkati ”, menggambarkan keberkatan yang mengelilingi dan melimpah masjid itu.
- Israk mikraj adalah isyarat perpindahan kepimpinan manusia daripada bani Israel kepada umat Muhammad SAW.
- Menjadi tanda supaya umat islam tidak sesekali berputus asa dgn rahmat Allah SWT.
Kemudian, peristiwa Isra’ Mi’raj membawa Nabi SAW Sidratul Muntaha. Sidrah adalah pohon sidrah. Muntaha ertinya penghabisan. Pohon sidrah adalah pohon kebijaksanaan dan kearifan. Maka kalau nabi kita sampai ke sidratul muntaha ertinya mencapai tingkat kearifan yg tertinggi yg tidak ada lagi kearifan setelah itu sepanjang kemampuan manusia.
Tapi yang lebih penting Nabi yang sudah sampai ke sidratul muntaha yang sudah sampai kepada puncak pengetahuan dan kearifan pun masih diajari Allah supaya berdoa, “Ya Allah, tambahkan ilmuku, kerana sesungguhnya ilmu itu tidak akan habis. Justeru itu pulang dari sana Nabi SAW diperintahkan untuk solat.
Jelas bahawa peristiwa ini benar-benar mencabar rasional manusia dan iman serta aqidah umat manusia. Ia bukan peristiwa hanya untuk dingati sehari dalam bulan Rejab, tetapi hakikatnya untuk diingat sepanjang masa akan kebesaran Allah, dan betapa manusia tidak terlepas dari sunnah ilahiyah dan akan dipertanggungjawabkan atas aqidah dan setiap pelakunya.
Hakikatnya Isra’ Mi’raj mengajar kita tanpa henti dan terus menerus untuk sama terlibat bagi membebaskan al-Aqsa dari Yahudi zionis. Marilah kita berjihad mempertahankannya.
Catatan: Ummu Khadeejah Abdullah
Recent Comments