Dalam al-Quran, Allah SWT telah memberi amaran keras kepada manusia untuk meninggalkan perbuatan zalim dan sikap yang melampau. Allah berfirman yang bermaksud Sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya seksa yang tidak terperi sakitnya” (Al Baqarah: 278). Justeru Islam menyaran umatnya menjauhi melakukan pemberontakan sebagai saluran atau cara untuk menjatuhkan sesebuah pemerintahan. Ini bukan cara yang betul untuk menegur kesilapan oleh pemerintah. Kita tidak boleh sesuka hati menentang pemerintah. Sebaliknya kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesilapan itu dengan cara-cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan agama.
Hakikatnya tanpa disedari kita telah berlaku zalim. Sesuatu perbuatan yang dikatakan zalim itu ialah tindakan yang melampaui batasan agama Islam sendiri. Misalnya, jika tindakan seseorang itu melampaui batasan agama dan peraturan kehidupan yang ditetapkan, maka tindakan itu dianggap zalim.
Berkaitan perkara zalim, kita teringat pesan Rasullullah SAW dalam sebuah hadisnya ketika baginda diminta nasihat oleh salah seorang sahabat. Sahabat itu berkata, wahai Rasulullah, berilah aku nasihat.” Nabi bertanya, apakah engkau akan mengamalkan jika aku memberimu nasihat? Sahabat itu menjawab, ya, ya Rasulullah.” Nabi kembali bertanya, apakah engkau akan mengamalkan jika aku memberimu nasihat? Ia menjawab, ya, ya Rasulullah.” Tetapi Nabi bertanya lagi, apakah engkau akan mengamalkan jika aku memberimu nasihat? Sahabat itu kembali menjawab, ya, ya Rasulullah.”
Begitulah, setelah tenang sejenak dan merasa yakin bahawa sahabat itu akan mengamalkan nasihatnya, Nabi bersabda, jika engkau menginginkan sesuatu, renungkanlah terlebih dahulu dengan baik. Bila ia baik, lakukanlah, dan bila tidak baik tinggalkanlah.”
Hadis di atas mengingatkan kita bahawa tidak semua keinginan yang terasa di dalam hati harus diperturutkan dengan segera, tetapi renunglah, dan kawallah ia dengan cermat. Bila dalam perenungan itu ditemukan kebaikan dari apa yang diinginkan itu, lakukanlah, tetapi bila dirasakan akan keburukannya, tinggalkanlah, jangan dilakukan. Lalu, apa ukuran baik atau tidak baik yang dikatakan oleh Nabi?
Oleh itu, amatlah dikesali sekiranya konsep kezaliman ini disalahertikan sehingga sanggup pula menuduh mereka yang menjalankan tanggungjawab sosial dan keamanan sebagai zalim manakala mereka yang menjadi pelampau atau penceroboh harta orang lain dikatakan dizalimi. Islam mengingatkan supaya kita berhati-hati dan berwaspada agar tidak mudah menuduh kerajaan sebagai zalim bagi mengelakkan berlakunya kezaliman yang lebih besar lagi.
Sebenarnya golongan yang melemparkan tuduhan itulah yang lebih zalim. Mereka lebih gemar menganjurkan sesuatu perkara yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai melalui kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan hakikat yang sebenar. Tegasnya, tindakan kerajaan menghalang sesiapa jua yang cuba menggugat ketenteraman dan keselamatan orang lain tidak bermakna tindakan tersebut sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan. Ini kerana, hakikatnya aspek kemanusiaan telah pun diambil kira oleh kerajaan dalam menggubal sesuatu undang-undang.
Islam telah mengakui bahawa tidak menjadi suatu kesalahan jika mana-mana sistem pentadbiran cuba menyekat beberapa kehendak manusia yang bukan bersifat asasi, tetapi ia lebih merupakan kehendak nafsu. Islam menuntut manusia mengawal nafsu kerana tindakan yang dipengaruhi oleh nafsu itu adalah suatu perbuatan yang didorong oleh syaitan. Syaitan merupakan musuh besar yang membawa manusia kepada kemusnahan peradaban dan kehancuran hidup bermasyarakat kerana tidak mengambil kira peraturan dan etika, rasa hormat dan kerjasama, sebaliknya lebih mengutamakan kehendak nafsu yang tidak pernah memahami erti syukur dan berterima kasih.
Sudah sewajarnya seseorang Muslim perlu mengetahui dan memahami cara bermuamalah dengan penguasa (pemerintah). Berdasarkan kepada panduan agama, ulama bersepakat akan kewajipan taat kepada penguasa yang ada, baik bagi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh negeri bagi kaum Muslimin atau ramai pemimpin yang menguasai negeri tertentu.
Dalam konteks sesebuah negara yang stabil, maka setiap orang yang berada di bawah kekuasaannya adalah wajib meyakini bahawa penguasa (pemerintah) berhak dibaiah oleh mereka. Ini adalah kewajipan syariat. Orang yang tidak meyakini kewajipan baiah kepada penguasa di negerinya yang menjadi kewajipannya ia terancam dengan ancaman yang keras.
Berhubung perkara ini Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa melepaskan ketaatan (daripada penguasa), nescaya akan menemui Allah tanpa memiliki hujah (alasan). Dan barang siapa meninggal tanpa ikatan baiat, maka kematiannya (seperti) kematian jahiliah. (Riwayat Muslim).
Harus diingatkan bahawa baiah kepada penguasa bukan seperti kalung yang boleh diletakkan dan ditanggalkan sesuka hati jika ia suka dipakainya dan apabila tidak suka ditanggalkan. Tetapi kewajipan baiah tetap berlaku selagi kekuasaan penguasa masih ada atau bertapak di negeri tersebut.
Seseorang Muslim tidak boleh menarik diri daripada baiah ini. Dasar kedua yang perlu dipatuhi terhadap pemerintah ialah mengenai bagaimana cara pendekatan yang harus diambil dalam menasihati pemerintah kerana mereka adalah manusia yang berhak menerima penghormatan daripada seluruh rakyat jelata. Islam menyarankan umatnya menjauhi sikap khuruj (memberontak, penderhakaan atau lain-lain cara penentangan yang salah).
Adanya kesalahan pada diri pemimpin, bukan pula bermakna kita boleh memijak kehormatan mereka. Kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesalahan mereka dengan cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan oleh agama.
Perbuatan menegur dengan cara penderhakaan atau caci maki akan menimbulkan rasa benci dan marah dalam kalangan rakyat yang cintakan keamanan. Teguran yang membina terhadap pemerintah adalah teguran dan nasihat yang ikhlas, bukan perasaan hasad dengki atau berbentuk meruntuhkan segala apa yang ada di hadapannya tanpa mengira buruk baiknya atau untung ruginya.
Oleh kerana pemerintah tidak selalunya benar dan tidak mencapai darjat maksum, maka mereka yang ingin menasihatinya atau memperbetulkan kesilapannya perlulah mengikut mekanisme yang dibenarkan syariat. Ini sesuai dengan panduan Rasulullah SAW sebagai mana sabda Baginda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT meredai untuk kamu tiga perkara, antaranya kamu menasihati mereka yang diangkat untuk menjaga urusan kamu. (Riwayat Ahmad).
Sesungguhnya Allah SWT meredai di kalangan hamba-Nya yang dapat menasihati pemimpin supaya bersikap jujur dan perlulah bermuamalah dengan menjelaskan mana-mana kesalahannya melalui cara dibenarkan oleh syariat.
Berhubung perkara ini, Rasulullah SAW pernah mengingatkan umat Baginda mengenai tiga perkara penting yang hati orang Mukmin tidak sanggup untuk berlaku curang apabila melakukannya.
Pertama, ikhlas beramal kepada Allah SWT; kedua, dalam menasihati pemerintah; dan ketiga, dalam kesetiaan terhadap jemaah.
Tiga hal ini sepatutnya menjadi panduan bagi Mukmin agar tidak mengkhianatinya, iaitu dalam melakukan ibadat dan semua urusan terutama semata-mata hanya kerana Allah SWT. Perkara ini penting untuk dipraktikkan ketika ingin menasihati pemerintah hendaklah diasaskan atas rasa kasih sayang, ikhlas demi memperoleh keredaan-Nya semata-mata, bukan kerana kepentingan lain.
Di atas keikhlasan itulah menyebabkan Mukmin seharusnya tidak sanggup keluar daripada ikatan taat setia kepada pemerintah, malah sentiasa mendekati bersama kumpulan jemaah pemerintah (ulil amri) tersebut.
Berhubung perkara menasihati pemerintah ini, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa ingin menasihati sultan (pemerintah) dengan sebarang urusan, janganlah menampilkan kepadanya secara terang-terangan. Tetapi hendaklah memegang tangannya, lalu dibawa ke suatu tempat yang tersembunyi (pada masa itu bolehlah dia menasihatinya secara berseorangan dan jika nasihatnya diterima, maka itulah yang sebaik-baiknya dan kalau tidak, maka dia sudah pun menunaikan tanggungjawabnya sendiri. (Riwayat Tarmizi).
Daripada hadis tersebut dapatlah difahami bahawa sesiapa yang ingin menasihati sultan atau pemerintah, tidak harus secara terbuka atau di hadapan umum secara terang-terangan atau di atas pentas di tengah-tengah perhimpunan umum. Demikianlah ajaran yang dipesan oleh Rasulullah SAW. Bagaimanapun, ramai yang lupa kerana keghairahan ingin menonjolkan sebagai jaguh masyarakat di samping bertujuan menarik perhatian ramai supaya disanjung atau dipilih sebagai ketua. Taat perkara bukan maksiat Prinsip ketiga ialah kita harus mendengar dan taat kepada penguasa pada perkara yang bukan maksiat kepada Allah SWT. Tidak ada kebaikan bagi masyarakat kecuali dengan jemaah.
Urusan jemaah tidak berjalan lancar melainkan dengan adanya imamah (kepemimpinan). Tidak akan lurus atau bergerak lancar sesuatu kepemimpinan kecuali dengan ketaatan. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW menegaskan dalam hadis bermaksud: Barang siapa taat kepadaku, sungguhnya ia taat kepada Allah. Barang siapa bermaksiat (melakukan kesalahan di sisi agama) kepadaku, sungguhnya ia telah bermaksiat kepada Allah. Barang siapa taat kepada Amir (penguasa), sungguhnya ia taat kepadaku. Dan barang siapa yang bermaksiat kepada Amir, sungguhnya ia bermaksiat kepadaku. (Riwayat Bukhari).
Rasulullah SAW pernah ditanya, apakah harus kita memerangi mereka (pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat dengan pedang atau menggunakan sebarang kekerasan. Nabi Muhammad SAW menjawab menerusi sabda Baginda yang bermaksud: Tidak, selama ia menegakkan (menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai seorang penguasa, dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah, hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah yang dilakukannya itu dan tetap tidak melepaskan ketaatan kepadanya. (Riwayat Muslim).
Meskipun apa yang diperintah atau dilaksanakan umarak (pemerintah) tidak menyenangkan hati kita, kita tidak sepatutnya menentang atau tidak mahu menerimanya selagi apa yang diperintah dan dilaksanakan itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah. Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sabda Baginda yang bermaksud: Seseorang Muslim wajib memperkenankan (menerima) dan taat berkaitan apa sahaja (yang diperintahkan oleh ulil amri), suka atau tidak suka. Tetapi apabila ia (Muslim) diperintahkan berbuat maksiat, maka ketika itu tidak boleh diperkenankan (diterima), tidak juga taat. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Perhatikan bagaimana perseimbangan yang indah ini jika berlaku kepincangan di mana-mana, tentu kita tidak menyukainya kerana Allah tidak memerintah dengan perkara fahsya dan juga mungkar dan tetap menegaskan kepadanya bahawa perkara itu tetap dilarang keras dalam agama dan perlu dijauhi dan ditinggalkan tanpa sebarang kompromi lagi. Ia bermakna, perlu dipisahkan antara amalan jahat pemerintah dan perbuatannya, barulah tindakan kita akan seimbang dan adil serta ada batasannya.
Tidaklah sampai rakyat akan membenci dan memusuhi pemerintah. Prinsip yang keempat ialah kita tidak harus sewenang-wenangnya mengkafirkan penguasa Muslim. Takfir adalah hak Allah, tidak boleh dilontarkan begitu sahaja atau sewenang-wenangnya kepada orang tertentu kecuali kepada orang yang berhak dikafirkan dengan bersandarkan syariat. Oleh yang demikian, adalah menjadi hak kita untuk mentaati umarak (pemerintah) meskipun terdapat kecacatan atau kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Namun, kita tidak harus menghukumnya dengan cara penderhakaan yang ditegah oleh syariat Islam. Adalah penting bagi kita untuk memahami cara bermuamalah dengan umarak bagi meluruskan sesuatu perkara atau keadaan yang telah bengkok akibat perbuatan atau tindakannya. Mempraktikkan sikap khuruj bukanlah jalan penyelesaian yang bijak dan adil.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments