Dalam sistem pemerintahan moden, kumpulan atau golongan yang mengelilingi pemimpin tertinggi negara sentiasa wujud.
Kumpulan ini, sama ada ditubuhkan secara rasmi oleh pemimpin itu mahupun yang tidak rasmi (kebiasannya daripada golongan oportunis), dengan caranya masing-masing mereka berusaha untuk mendapatkan kepercayaan pemimpin.
Sesebuah organisasi menjadi kuat dan sukar digugat bukan hanya bergantung kepada kepintaran dan kebijaksanaan seseorang pemimpin.
Kekukuhannya bergantung kepada keakraban dan iltizam mereka yang berada di sekeliling pemimpin, sama ada sebagai pembantu ataupun penggerak misi kepemimpinan.
Kearifan seorang pemimpin dalam menentukan siapa yang akan dijadikan pembantu atau orang kepercayaannya, tidak saja akan menentukan kredibiliti dan nasib si pemimpin, tetapi bahkan akan menentukan nasib sesebuah negara.
Al Ghazali mengatakan punca kejatuhan pemimpin disebabkan kecuaiannya dalam mengelola kerajaan yang dipimpinnya.
Dalam salah satu karyanya, Al Ghazali pernah berdialog dengan bekas pemimpin yang jatuh dan ditanya, “Apa punca kekuasaanmu musnah dan berpindah ke orang lain?”
Bekas pemimpin itu menjawab, “aku tertipu oleh kekuasaan dan kekuatan yang aku miliki. Aku melupakan mesyuarat, mengalihkan tugasan kepada penasihat yang tiada pengalaman dan menafikan pegawai kanan. Aku mensia-siakan peluang dan kesempatan yang diberikan dan tidak pula melaksanakan pada saat yang diperlukan.”
Al Ghazali bertanya lagi, “apakah perkara yang paling menimbulkan keburukan?” bekas penguasa berkata “iaitu pegawai yang tidak jujur, berkhianat dalam menyampaikan risalah kerana kepentingan perut mereka sendiri, betapa banyak kerajaan hancur kerana ulah mereka”.
Kumpulan yang diasaskan secara rasmi dan dibiayai oleh kerajaan secara umumnya bekerja secara profesional, berlatarbelakang kepakaran dan mempunyai kerangka kerja yang jelas.
Sebaliknya, kumpulan tidak rasmi biasanya terdiri daripada orang-orang yang memiliki hubungan persahabatan, persaudaraan atau kepentingan politik yang sama. Selain itu, kumpulan tidak rasmi juga disusupi oleh kalangan korporat atau pihak berkepentingan terhadap kedudukan pemimpin tersebut.
Kumpulan oportunis sentiasa muncul dalam kehidupan berorganisasi kerana merasai keistimewaan diri sendiri dan sanggup melakukan apa sahaja sehingga bertepatan dengan falsafah “matlamat menghalalkan cara.”
Sebarang penjelasan yang dibuat oleh orang lain untuk memperbetulkan kelemahan dilihat sebagai dalih atau helah.
Orang dalam kelompok ini sentiasa bijak mencari peluang dan memanipulasi persekitaran yang timbul.
Mereka akan berpuas hati jika hajatnya kesampaian.
Merasai kemenangan itu dengan cara yang tidak berhemah, terutama dalam persekitaran pemikiran manusia kebanyakan bergayutan dengan persepsi.
Sumber-sumber rasmi kurang dipercayai sebaliknya sumber-sumber yang tidak rasmi dianggap sebagai pembekal maklumat yang sahih dan tidak wajar dipersoalkan.
Kebiasaannya, kelompok oportunis tetap muncul berdampingan dengan seseorang yang berkuasa.
Kelompok ini menjadi lebih aktif dan cergas apabila berlakunya sesuatu krisis atau perbezaan pendapat dengan mengajukan doktrin merekalah yang paling baik untuk menyelesaikan masalah.
Jika pendapat itu tidak diterima, golongan ini sanggup berkerat rotan dan membakar jambatan.
Mereka ini kadang-kadang terdiri dari orang berpengetahuan dalam agama dan aktif dalam gerakan Islam.
Dalam dunia kapitalisme, kuasa pemimpin kadangkala tidak mustahak berbanding kuasa orang-orang yang berada di sekeliling pemimpin.
Misalnya, kuasa Chief of Staff White House menjadi lebih besar berbanding keputusan presiden.
Mereka inilah sebenarnya yang mempengaruhi keputusan presiden dengan menyediakan pelbagai maklumat, yang kemudiannya memaksa pembuat keputusan bersengkongkol dengan permainan strategi.
Chief of Staff White House mula diperkenalkan pada tahun 1946.
Sejak diasaskan kumpulan elit inilah yang mengatur jadual dan agenda presiden, menentukan siapa yang boleh berjumpa dan menyiapkan segala pergerakan dan tugas presiden.
Kumpulan ini juga berperanan memberi nasihat dan menyediakan input sesuatu perkara sebelum sesuatu dasar diputuskan.
Malah, kumpulan ini mampu ‘membaca’ apa yang ada dalam minda dan fikiran presiden.
Begitu juga di negara jiran Indonesia, kumpulan ini dikenali sebagai staf khusus kepresidenan yang diketuai oleh seorang pegawai setingkat menteri.
Selain tugas utama iaitu membantu tugas-tugas penting kenegaraan yang diemban oleh presiden, seringkali staf khusus ini berperanan sebagai orang dekat dan orang kepercayaan presiden.
Staf khusus ini juga mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu sehingga pendapat dan masukannya didengari dan dilaksanakan oleh presiden.
Disebabkan kedudukan dan pengaruhnya yang cukup penting, kumpulan ini digelar sebagai pihak yang berkuasa di sebalik tahta (the power behind the throne).
Seorang pemimpin, sebijak dan sehebat manapun, dalam realiti kehidupan tidak akan lepas daripada hubungan dan interaksi dengan kumpulan di sekelilingnya.
Di sebalik kuasanya yang besar dan bahkan mampu merubah senario dunia sekalipun, bergantung kepada nasihat dan maklumat orang-orang yang dekat dengannya.
Jika personaliti pemimpin itu yang baik tapi dirosakkan disebabkan penasihatnya, (maka) akhirnya ia menyebabkannya dia (pemimpin) menjadi bobrok.
Tidak kurang juga terjadi, nasihat yang diberikan apabila dilaksanakan tidak menghasilkan kesan yang positif dan semakin merumitkan keadaan.
Hakikatnya, seseorang pemimpin yang berwibawa sentiasa berfikir semula dan berkali-kali sebelum melaksanakan sesuatu tindakan walaupun nasihat itu kelihatan menarik dan bernas.
Atas dasar itulah al-Quran memberikan ingatan agar seorang pemimpin sentiasa berwaspada dan berhati-hati mengenai sesuatu nasihat kerana ia dikhuatiri boleh mendatangkan kesan buruk umpama sokong membawa rebah.
Lantaran itu, al-Quran telah memberi amaran kepada para pemimpin untuk berwaspada dan berhati-hati terhadap orang di sekelilingnya.
Meskipun pada asasnya bertujuan baik dan berniat untuk membantu pemimpin, namun jika tidak hati-hati pemimpin itu dapat terjerumus dalam kesalahan mengambil keputusan atau terperangkap dengan permainan strategi.
Mereka hanya ingin meraih laba dan mencari keuntungan peribadi.
Di antara keikhlasan yang dipaparkan terselit agenda.
Watak-watak sedemikian digambarkan dalam al-Quran dengan jelas.
Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi orang dalam (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya dan apa yang telah disembunyikan oleh hati mereka lebih besar.” Ali Imran ayat 118).
Kebiasaannya kumpulan elit ini akan menafi dan meminggirkan kepentingan orang ramai.
Mereka lebih berusaha membangun agenda peribadi dan pihak-pihak tertentu yang menjajikan pelbagai kemewahan.
Jika diberikan peluang menyampaikan laporan, intipatinya disaring secara strategik dan menyembunyikan realiti.
Mereka bijak mencari ruang dan mencuri peluang sehingga dianggap munasabah dan tepat.
Saidina Ali r.a. menasihati salah seorang sahabatnya yang ketika itu telah dilantik sebagai gabenor agar sentiasa memahami aspirasi rakyat.
Ali berpesan agar kualiti dan kebenaran maklumat diberikan keutamaan.
Kualiti maklumat akan membawa kepada keadilan dalam membuat sesuatu keputusan, kerana sesuatu yang dipandang positif oleh golongan elit tidak akan bermakna bila rakyat menafikannya.
Sebaliknya, sesuatu yang dinafikan oleh golongan elit tidak akan bermakna bila rakyat memandangnya sebagai sesuatu yang negatif.
Maka, “dengarlah suara rakyat.”
Ali berkata bahawa segelintir kumpulan elit akan sentiasa menyusahkan gabenor.
Mereka akan selalu mencuba mendapat keistimewaan ketika gabenor berkuasa.
Tetapi apabila gabenor menghadapi kesulitan, mereka akan melupakannya.
Mereka juga tidak menyukai keadilan, kerana hal itu akan merugikannya.
Mereka adalah kelompok orang yang kurang bersyukur apabila diberi kemudahan, tidak menerima alasan apabila permintaannya terhalang.
Pada zaman kepemimpinan Nabi Muhammad SAW, muncul seorang sahabat yang bernama Hudzaifah bin Yaman.
Beliau ialah orang yang paling dipercayai oleh Rasulullah SAW untuk menyimpan berita dan maklumat rahsia.
Sebagai seorang yang diberikan kepercayaan, beliau sentiasa datang menemui Rasulullah SAW untuk mendapat nasihat apabila timbulnya sebarang keraguan.
Atas rasa khuatir dan kepakarannya merisik, Hudzaifah berusaha mendapat kepastian Nabi Muhammad SAW agar tidak terperangkap dengan tipu daya dan fitnah musuh.
Beliau khuatir perkara baik itu jatuh ke atas penguasaan orang-orang jahat.
Menerusi peranannya sebagai perisik yang memantau pergerakan musuh Islam, Hudzaifah ingin memastikan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak terperangkap dengan tipu daya dan fitnah musuh yang tidak menghendaki kejayaan Islam.
Seorang pemimpin meskipun sudah berusaha memimpin dengan baik tetapi kadang-kadang tanpa disedari mereka masih tetap juga melakukan kesalahan.
Khalifah Umar tidak segan-segan untuk mendengar kritik rakyat yang dipimpinnya.
Suatu ketika Khalifah Umar telah datang ke kedai minuman milik Bani Haritsah.
Di situ Umar bertemu dengan Muhammad bin Maslamah.
Kepadanya ia bertanya, “bagaimana pendapat mu tentang diriku.”
Maslamah berkata, “Demi Allah aku melihat engkau seperti yang memang kuharapkan. Engkau pandai menghitung kekayaan dan engkau sendiri tidak menyentuhnya serta menyalurkan dengan adil. Namun jika engkau berlaku tidak adil, kami akan meluruskannya dengan pedang kami.
Mendengar ucapan Maslamah itu Khalifah Umar menangis dan mengucap syukur kepada Allah yang telah menempatkannya di antara orang-orang yang akan meluruskannya jika ia menyimpang.
Meskipun demikian seseorang pemimpin tidak hanya menunggu orang untuk melakukan kritikan atau nasihat tetapi yang terpenting adalah meminta nasihat dan kritik dari sesiapa sahaja.
Ini berbeza dengan budaya golongan oportunis.
Hubungannya dengan pemimpin dijadikan modal untuk mempengaruhi orang lain.
Hubungan baik itu digunakan untuk mencari kesempatan dan membeli angan-angan meraih keuntungan.
Tidak dipedulikan apa kesannya, asalkan “kebaikan” berada di pihaknya.
Atas dasar haloba, kelompok ini akan memperdayakan pemimpin atas kepercayaan dan hubungan rapat itu.
Lebih penting “matlamat” tercapai.
Orang-orang ini bukan sahaja perlu disingkirkan daripada persekitaran kuasa, bahkan wajib diberikan amaran keras agar tidak mengambil kesempatan.
Mereka perlu ditarbiyahkan secara berterusan, kerosakan adalah lebih besar jika mengetepikan integriti.
Samalah seperti pokok, jika daun merajuk, kesuburannya terbantut kerana tidak berlakunya fotosentisis.
Organisasi manusia, yang dilahirkan dengan sifat berbeza seringkali membawa kepada perubahan peranan dan kepentingan.
Antaranya, dalam kalangan mereka yang mencari populariti berusaha dengan gigih untuk menampilkan diri seolah-olah kumpulan atau pendapat sendiri paling baik dan wajar dihormati manakala pendapat dan tindakan orang lain adalah salah dan tidak manis.
Amaran yang diberikan oleh pemimpin dianggap sebagai halangan kerana hakikatnya mereka berusaha untuk melakukan “rampasan kuasa” ataupun “berada di puncak” dengan kaedah yang lebih betul walaupun tidak bermoral.
Amalan mereka kadangkala nampak “lebih sudu dari kuah” akibatnya orang-orang yang berada di sekitar pemimpin menjadi lebih berkuasa dan mempengaruhi setiap keputusaan.
Oleh: Dr Alies Anor Abdul
Recent Comments