Pada 18 Disember 2023, Vatican telah mengeluarkan dokumen yang menyatakan keputusan penting bahawa paderi Roman Katolik dibolehkan untuk menikah pasangan sejenis. Keputusan ini juga dipersetujui oleh Pope Francis, ketua paderi Vatican.

Gereja Katolik mengajar bahawa tarikan sesama jenis tidak berdosa, hanya perbuatan homoseksual itu berdosa. Sejak pemilihannya pada 2013, Pope Francis telah cuba meyakinkan lebih 1.35 billion Katolik untuk menerima golongan LGBT dengan lebih terbuka.

Keterbukaan yang Melampau

Tamadun barat telah lama memberi tekanan kepada gereja Katolik untuk menyerap dan menerima ideologi dan amalan homosexual, atas dasar kemajuan, keterbukaan dan penerimaan.

Bermula pada tahun 1970-an, Persidangan Bishop Katolik Amerika Syarikat menyatakan bahawa orang gay “Harus mempunyai peranan aktif dalam komuniti Kristian” dan telah menyeru supaya “Semua orang Kristian dan rakyat yang mempunyai niat baik untuk mengubah persepsi terhadap homoseksual, dan mengelakkan diskriminasi yang menyinggung perasaan homoseksual.” Sikap keterbukaan yang melampau ini membuka pintu kepada ideologi yang bercanggah sepenuhnya dengan nilai-nilai seorang Kristian, dan mencetuskan kekeliruan meluas.

Kini, masyarakat barat memandang rendah dan mendiskriminasi pula, orang-orang Kristian Katolik yang cuba mempertahankan nilai kekeluargaan tradisional. Mereka yang memperjuangkan kesucian pernikahan antara seorang lelaki dan seorang wanita sahaja, diherdik dan dikutuk seperti penjenayah besar.

Moraliti Objektif dalam Islam menentang Homoseksualiti

Islam adalah cara hidup yang syumul, dan moraliti adalah salah satu tunjang Islam. Ia adalah salah satu sumber asas kekuatan sesebuah negara, sebagaimana maksiat merupakan salah satu punca utama kemerosotan sesebuah negara. Islam telah menetapkan beberapa hak asasi sejagat untuk manusia secara keseluruhan, yang harus dipatuhi dalam semua keadaan. Untuk menegakkan hak-hak ini, Islam telah menyediakan bukan sahaja perlindungan undang-undang, tetapi juga sistem moral yang objektif dan sangat berkesan. Oleh itu, apa sahaja yang membawa kepada kebajikan individu atau masyarakat dan tidak bertentangan dengan mana-mana maksim agama adalah baik dalam Islam, dan apa-apa yang berbahaya adalah buruk.

Prinsip panduan bagi tingkah laku seorang Muslim ialah “Amar Ma’ruf Nahi Munkar”. Istilah ini merangkumi semua amal, bukan sahaja ibadah dan Allah SWT menjadi Al-Hakim untuk semua perbuatan dan perlakuan.

Al-Quran mengandungi beberapa kisah tentang aktiviti homoseksual, yang telah melahirkan banyak tafseer. Perkara ini paling jelas dibincangkan dalam kisah kaum Nabi Lut AS, Sodom dan Gomora.

Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.

Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usir-lah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri”.

Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan.

Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan. (Surah Al-A’raaf Ayat 80-84)

Al-Quran juga menyebut bahawa kelucahan atau fahisha ini (ﻓﺎﺣﺷﺔ) tidak pernah berlaku di dalam sejarah dunia sebelum ini.

Keperluan undang-undang tegas

Adakah umat Islam juga akan ditimpa nasib yang sama seperti golongan Kristian pada hari ini? Adakah kita akan membuka ruang supaya perkahwinan sejenis dibolehkan dan jadi tidak berdosa? Adakah kita juga akan memperakui bahawa “Cinta mengatasi segala-galanya?”

Pada tahun Mei 2010, pihak berkuasa menangkap sebilangan pelanggan sebuah spa dan urut untuk golongan homoseks di Cheras, Kuala Lumpur. Sebahagian besar daripada pelanggan itu juga berbangsa Melayu dan beragama Islam. Manakala di Johor Bahru, seramai 12 individu ditahan dalam serbuan sebuah premis yang menjalankan perkhidmatan seks untuk golongan gay di Taman Pelangi pada tahun 2021. Perilaku ini semakin berkembang. Sesuatu perlu dilakukan segera untuk membendung gejala homoseks yang seperti tiada titik noktah.

Undang-undang jenayah syariah juga kurang jelas, kerana pasangan sesama jenis yang berada dalam keadaan yang mencurigakan tidak boleh didakwa atas tuduhan khalwat. Takrif khalwat hanya terhad kepada pasangan lelaki dan wanita, tidak tertakluk kepada pasangan sesama jenis. Begitu juga peraturan-peraturan kecil yang sejenis yang berdua diguna-pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Pasangan duaan secara mencurigakan di tempat awam, terlepas daripada tuduhan melakukan khalwat, maka atas kelemahan itu menjadikan perilaku ini semakin berkembang.

Kita memerlukan satu peraturan yang tegas di peringkat institusi. Kita perlukan pindaan, kalaupun tidak sebuah akta yang baru. Kita perlu mentakrifkan semula “makna berdua-duaan secara mencurigakan”, kerana pengkhususan khalwat hanya terpakai dalam aksi antara lelaki dan wanita. Kini perlu ada peruntukan di bawah kesalahan jenayah syariah di mana tindakan boleh diambil dari segi undang-undang terhadap pasangan sejenis yang berada dalam situasi yang mencurigakan, seperti di dalam bilik spa, rumah urut, lelaki yang berkelakuan atau berpakaian seperti wanita atau sebaliknya.

Tanpa disedari, sikap keterbukaan terhadap golongan homoseksual mengundang kemurkaan Allah SWT. Dan umat Islam akan ikut jejak langkah orang-orang Kristian dan Vatican. Jika dibiarkan saudara-saudara kita itu terus bergelumang dengan dosa dan membiarkan bumi ini dicemari gejala tersebut, maka tunggulah malapetaka daripada Allah SWT. Dan apabila malapetaka itu diturunkan, maka ia tidak akan memilih mangsa.

Justeru, Allah menegaskan dalam surah Al-Isra’ ayat 16 yang bermaksud:

“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesuatu tempat dan negeri itu, akan Kami arahkan mereka yang melampau dalam semua perkara, lalu mereka melakukan kerosakan dalamnya (kampung dan negeri itu), maka berhaklah negeri itu untuk dibinasakan, lalu Kami hancurkannya dengan sehancur hancurnya.”

Refleksi dan pengajaran bagi seorang Muslim

Jika kita masih memandang kepada dunia barat sebagai halatuju progresif yang didambakan selama ini, maka ia akan jadi kenyataan. Sudah pun terjadi satu kes di mana pasangan sejenis lelaki mengakui diri sebagai Muslim dan berkahwin sama-sendiri di Scotland. Dan bertambah pula dengan tekanan dari kuasa barat supaya umat Islam tunduk kepada moraliti, sikap keterbukaan dan kesaksamaan acuan mereka sendiri.

Sebaliknya, umat Islam dan juga ketua-ketua negara Islam wajib berpegang teguh dengan moraliti yang diajarkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Sebagai seorang Muslim, kita tidak mengejar penerimaan oleh manusia, tetapi hanya mengejar keredhaan Allah SWT.

“Barangsiapa yang mencari redha Allah sekalipun memperolehi kemurkaan manusia, maka Allah akan cukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Barangsiapa yang mencari redha manusia sekalipun memperolehi kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkan-nya kepada manusia.” [Riwayat al-Tirmizi (2414)]

Dalam mengejar keredhaan dan penerimaan manusia, Pope Francis, Vatican dan gereja Katolik telah membelakangkan kepercayaan dan moraliti agama mereka sendiri. Dengan langkah begini, mungkin pihak Vatican percaya bahawa makin ramai manusia akan bersikap positif terhadap institusi agama mereka. Bagi umat Islam pula, kita tidak berharap kepada manusia, walaupun terpaksa bertentangan dengan ideologi seluruh dunia. Kerana kita tidak ingin mengundang kemurkaan Allah SWT, yang seperti dicabar oleh manusia zaman ini. Renungkanlah sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith;

“Sesungguhnya Islam itu bermula dalam keadaan asing dan akan kembali asing sebagaimana ia bermula, maka beruntunglah orang-orang yang asing.”

– (HR Tirmidzi, 2553, Kitab Iman)

Catatan: Ibnu Majid

Translate »