Di dalam mengulas sesuatu berkaitan Agama saya ingin menasihati para Asatizah agar berpandu kepada prinsip keilmuan Islam dalam perkara yang berkaitan. Kesilapan utama terjadi samada dari pehak Perdana Menteri mahupun para Asatizah ialah apabila bertindak menterjemahkan Nasrani kepada Kristian. Ia adalah terjemahan yang tidak tepat, salah dan mengelirukan. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Ma’idah ayat 73 bermaksud: Dan sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah adalah salah satu dari tiga tuhan.” Padahal tiada Tuhan melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Manakala Nasrani pula adalah berasal dari ajaran Tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa AS. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 113 bermaksud: Ahli-Ahli Kitab itu tidaklah sama. Diantaranya ada golongan yang (telah memelok Islam dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (AlQuran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan solat). Ayat ini menyatakan mengenai golongan Ahli Kitab tersebut yang berpegang teguh dengan agama yang benar. Mereka telah ada sebelum kebangkitan Rasulullah saw dan beragama Islam menurut syariat Nabi Isa AS. Mereka beriman kepada kerasulan Nabi Muhammad saw.

Adalah jelas di dalam AlQuran bahawa Kristianiti merupakan fahaman agama yang bersifat syirik dan kufur. Justeru itu menterjemahkan Nasrani kepada Kristian adalah suatu kesalahan kerana ia telah membawa kekeliruan dan memberi gambaran bahawa agama Ashabul Kahfi dan agama manusia di zaman itu bukanlah berasaskan agama Tauhid sedangkan Allah SWT telah menegaskan keimanan mereka yang berlandaskan Agama Tauhid. Firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi ayat 14 bermaksud: Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan Kami ialah Tuhan Yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadaNya. Jika Kami menyembah yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Lantaran itulah para ulama bahasa Arab dalam rangka melindungi maksud sebenar sesuatu perkataan yang terdapat di dalam AlQuran serta memelihara ketulinan ajaran Islam telah memperingatkan pembahagian dan perbezaan kategori makna bagi sesuatu perkataan. Mereka membahagikan makna perkataan secara asasnya kepada makna Hakiki (sebenar) dan makna Majazi (kiasan). Makna hakiki pula dipecahkan kepada lima bahagian yang berbeza maksudnya: Makna Lughawi (literal), makna shar’iy (wahyu), makna istilahi (terminologi), makna ilmi (saintifik) dan makna urfi ( masyarakat setempat). Syar’iy di sini adalah bermaksud sebagai makna dan pengertian yang diterima dan diambil dari Ash-Syari’ iaitu dari Allah dan RasulNya saw. Maka setiap lafaz di dalam AlQuran dan Sunnah yang menjadi sumber ajaran Islam wajiblah difahami menurut kefahaman yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya saw. Ia tidak boleh difahami berdasarkan akal semata-mata.

Pengabaian terhadap prinsip ilmu berkait kaedah pemahaman perkataan yang terdapat di dalam AlQuran ini adalah pembawaan Ahlul Bid’ah Wa Adh-Dholalah samada yang dahulu maupun yang baharu dari kalangan penganut ideologi moden di zaman ini. Hal ini telah diperingatkan oleh para ulama Azhar Asy-Sharif sebagai contohnya di dalam kitab Qadhiyyatu At-Takwil Fi Al-Fikri Al-Islami -1- Al-Muktazilah – Al-Falasifah Dr. Abdul Rahman Muhammad Al-Marakibi pada muka surat 19 berkata: Dari itu dorongan-dorongan bagi melakukan takwil dan penyimpangan bagi nas-nas Al-Kitab dan As-Sunnah adalah: … Ketiga: Percubaan untuk menjustifikasi kecenderungan nafsu dan aliran-aliran yang menyeleweng, serta menyatakan keselariannya dengan Al-Kitab dan As-Sunnah.

Hal yang serupa juga telah dilakukan oleh paderi-paderi Kristian Modenis di Eropah dan Amerika dalam rangka untuk membawa kefahaman baru bagi Agama Kristian. Kefahaman baru yang diselaraskan dengan ideologi-ideologi moden yang muncul di Barat. Ia adalah pendekatan yang diambil oleh Kristianiti sepanjang sejarahnya sebagaimana yang telah didedahkan oleh J.H. Randel JR. dalam bukunya The Making Of Modern Mind. Hal ini sangat berbeza dengan Islam yang sentiasa melindungi ketulinan ajarannya. Dalam buku tersebut beliau berkata: Pentafsiran semula inilah yang telah menyebabkan para modenis kelihatan tidak jujur di hadapan lawan-lawan mereka; lantaran mereka itu menggunakan bahasa yang lama tanpa sentiasa berterus terang bahawa mereka menggunakan bahasa itu dengan sedikit pemahaman yang berbeza dari seumpama Agustine atau Thomas, atau Calvin atau pun Wesley memahaminya.

Pengabaian terhadap prinsip ini membuka lorong kepada sofastah atau sikap loyar buruk dalam mengubah suai ajaran dan kefahaman agama. Manipulasi bahasa dan memutar belit maknanya dari yang sebenar adalah pendekatan yang diperkenalkan pertama kalinya oleh golongan Ahli Falsafah Sofis dari zaman Yunani. Mereka menyebarkan fahaman bahawa tiada kebenaran yang bersifat tetap. Golongan Sofis dan yang berfikiran seperti mereka dari kalangan penganut ideologi Sofis di zaman ini adalah sangat dimusuhi oleh Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Percakapan menggunakan perkataan yang boleh mengelirukan serta bermaksud jahat terhadap Islam telah ditegah oleh Allah SWT di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 104 bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: “raaina”, (ketika kamu berkata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah “unzurna”, dan dengarlah kamu (Segala perintah dengan sebulat hati menerimanya). Di dalam Tafsir yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berjudul Pedoman Muttaqin oleh Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor pada muka surat 352 beliau Rahimahullah berkata: Ayat ini menunjukkan bahawa perbuatan mempermain-main kata-kata merupakan suatu taktik kotor orang Yahudi untuk menghina Rasulullah, menggugat Islam dan mengelirukan umat Islam.

Kesilapan yang dilakukan oleh Perdana Menteri adalah suatu kesengajaan yang sangat berbahaya. Sekiranya dibiarkan tanpa teguran keras ia akan membuka kepada penerimaan dan perluasan pengaruh fahaman Liberalisme Agama dan Pluralisme yang sedang dianuti oleh sebahagian pemimpin negara pada hari ini. Kedua-dua fahaman itu telah jelas kesesatan dan kekufurannya. Justeru itu umat Islam di Malaysia sewajarnya berterima kasih dengan setinggi-tingginya kepada para ulama yang telah menegur secara pantas dan tegas terhadap kesilapan tersebut. Semoga semakin ramai ulama berani menegur dan membongkar propaganda-propaganda ahli politik berfahaman Liberal dan Plural di negara ini.

ZULKIFLI ISMAIL MUHAMMAD
Penulis buku Ancaman Bahaya Sekularisme.

Translate »