Saya pernah berkenalan dengan seorang syiah yang berasal daripada Iraq yang tinggal lama di Malaysia dan sekarang berhijrah ke Iran. Semasa di Malaysia, ia berkawan dengan orang-orang Melayu yang asalnya bermazhab Syafi’e, kemudian menganut mazhab Syiah.

Beliau memberitahu saya bahawa kumpulan syiah Melayu itu tidak tahu apa-apa tentang syiah, kecuali mut’ah. Mereka mengamalkan mut’ah, tetapi tidak seperti yang diamalkan oleh orang-orang syiah di Iran atau Iraq. Baginya mut’ah yang diamalkan oleh kumpulan syiah Melayu ini ialah zina dan sejenis pelacuran.

Saya bertanya kepadanya, bagaimanakah mut’ah diamalkan di kalangan orang-orang syiah di Iran atau Iraq?

“Pada hakikatnya, mut’ah bagi mazhab Syiah sesuatu yang diharuskan, tetapi bukan diamalkan sewenang-wenangnya. Bahkan ia adalah sesuatu yang dianggap mengaibkan di dalam keadaan biasa,” jelas teman saya itu.

“Mut’ah diamalkan di dalam keadaan terdesak. Umpamanya, ketika di dalam pengembaraan yang lama. Sedangkan tuntutan seks itu begitu mendesak. Untuk mengelak zina, maka harus diamalkan mut’ah,” beliau menambah keterangan.

Beliau memberitahu saya bahawa di dalam masyarakat syiah di Iran atau di Iraq, jika seseorang mullah didedahkan mengamal mut’ah ia adalah merupakan skandal. Kerana, ia adalah suatu yang mengaibkan, walaupun harus. Kalaupun ia dilaksanakan di dalam keadaan terdesak, wanita yang hendak dikahwini itu bukanlah dipilih di kalangan anak dara, tetapi ialah janda-janda. Jika mengandung, anak yang dilahirkan adalah anaknya dan dibinkan kepada suami mut’ah itu dan ia hendaklah bertanggungjawab keatasnya. Tetapi mut’ah yang diamalkan oleh masyarakat syiah Melayu, menepati perbuatan zina dan pelacuran. Demikian menurut teman saya itu.

Sama ada mut’ah ala Iran atau ala Malaysia, ia adalah amalan buruk yang telah diharamkan oleh Islam bahkan ia lebih buruk lagi apabila diamalkan oleh kumpulan syiah Melayu yang saya istilahkan sebagai syiah jadi-jadian. Syiah jadi-jadian ialah kumpulan orang keturunan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menganut syiah di dalam keadaan jahil mengenai kedua-duanya.

Syiah jadi-jadian ini menyertai kumpulan syiah didorong oleh dua faktor yang utama. Faktor politik dan seks. Tetapi penyertaan mereka ke dalam kelompok syiah, bukan kerana mereka mendalami doktrin mazhab itu, dan memahaminya hingga ke tahap yakin. Penyertaan mereka semata-mata kerana pengaruh politik, hasil daripada kejayaan Revolusi Iran yang menampilkan nama Islam kepadanya. Kerana kejahilan, mereka beranggapan sama sahaja mazhab Syiah dan Ahli Sunnah Waljamaah. Kedua-duanya ialah Islam dan dianggap tidak menjadi apa-apa masalah untuk menganuti mana-mana mazhab sekalipun.

Tarikan seks tidak dapat dinafikan turut memainkan peranan di dalam perkembangan pengaruh syiah. Nafsu seks adalah di antara nafsu yang kuat mendesak. Hanya kerana zina itu haram dan perkahwinan pula mewajibkan tanggungjawab, maka bagi mereka yang beriltizam dengan ajaran agama, berusaha menahan nafsu seks itu dan hanya melayaninya ditempat yang halal iaitu isteri yang dikahwini secara sah yang tidak melebihi empat orang.

Tetapi apabila ada mazhab yang mengharuskan perkahwinan sementara yang meletakkan tanggungjawab untuk sementara waktu dengan tanggungjawab yang ringan dan dinggap tidak salah dari segi agama, mudah sekali mazhab itu menarik minat mereka yang berpegang kepada agama tetapi kurang mendalami dan memahaminya. Dalam keadaan kefahaman yang serba kurang itu, mudah sekali nafsu mengoda.

Lalu, syiah menjadi pilihan dan mut’ah diamalkan sewenang-wenangnya dengan cara yang syiah asal pun tidak mengamalkannya sebebas itu. Yang menjadi magsa ialah wanita-wanita yang dimut’ahkan.

Kadang-kadang wanita yang dimut’ahkan itu sendiri merelakan diri kerana kejahilan dan kerana itulah cara yang dianggap mudah dan halal untuk memenuhi kemahuan seks. Justeru itu, beban yang akan dipikul dan maruah yang perlu dipelihara tidak dianggap penting lagi dengan alasan agama (menurut pandangan mazhab itu) mengizinkannya. Kemungkaran itu dilakukan tanpa perasaan bersalah. Ini dianggap jalan keluar yang amat menarik.

Mut’ah ialah sejenis pelacuran di zaman jahiliah yang diharamkan oleh Islam. Ia adalah amalan yang mencabul maruah dan kehormatan wanita. Mut’ah yang diamalkan dalam masyarakat syiah Melayu, lebih dahsyat daripada pelacuran zaman jahiliah.

Syiah jadi-jadian adalah merupakan pemberontak sosial yang sama dengan golongan hipi di dalam masyarakat barat. Ia tercetus daripada rasa tidak puas hati dan anti establishment yang diluahkan menerusi cara yang dianggap direstui oleh agama. Oleh kerana mazhab Syiah mempunyai ruang untuk melepaskan rasa tidak puas hati itu, maka mazhab itu diperalatkan. Walaupun mereka yang terlibat menggunakan mazhab tersebut, sebenarnya mereka tidak memahami apa-apapun tentang doktrin dan epestimologinya.

Syiah jadi-jadian adalah bahaya kepada keutuhan dan kestabilan social masyarakat Malaysia. Ia adalah pergerakan anti sosial yang mendapat dorongan sentiment dan pengaruh politik luar yang boleh menggugat kestabilan dan kerukunan hidup bermasyarakat di negara ini. Ia perlu dibendung dan dibanteras sebelum ia mencul sebagai kekuatan yang mempunyai keupayaan melawan dan memberontak.

Oleh: Datuk Mohd Nakhaie Hj. Ahmad

Translate »