CITA- CITA SOSIAL ISLAM IDEAL

Perbezaan pendapat samada Islam menegaskan bentuk tunggal tentang Negara atau hanya membawa isi tentang Negara ideal tanpa memperhatikan bentuk adalah berasaskan pada perbezaan pemahaman terhadap cita- cita sosial ideal yang diterapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah. Sebahagian pemikir Muslim menganggap model Madinah adalah model Negara yang ideal. Mereka sering menyebutnya sebagai Negara Madinah (Medinan State), Negara Islam Madinah (Islamic Medinan State ) dan Negara Islam Madinah Ideal (The Ideal Islamic Medinan State). Hal ini mempunyai alasan yang kukuh kerana apa yang diwujudkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam hal ini selain seorang Rasul adalah juga seorang ketua Negara. Hasilnya, umat Islam perlu mencontohi Rasulullah s.a.w. untuk membina Negara Islam.

Namun, menurut sebahagian pemikir Muslim lain, model Madinah adalah model masyarakat ideal. Apa yang dibina Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah bukanlah sebuah sistem politik tetapi sebuah sistem sosial keagamaan yang tidak boleh disebut sebagai Negara. Oleh itu, cita- cita sosial ideal menurut Islam adalah menbina sebuah sistem sosial dalam bentuk masyarakat ideal.  Mereka mempertikaikan bahawa perkataan Madinah itu sendiri (yang dalam bahasa Arab moden bererti ‘kota’) mengandungi konotasi masyarakat berperadaban, kerana perkataan Madinah juga mempunyai kaitan dengan kata tamadun yang bererti peradaban.

Memang dapat difahami bahawa perkataan Madinah yang diperkenalkan Nabi Muhammasd s.a.w. untuk menggantikan perkataan Yathrib mengandungi erti kota, jadi masyarakat Madinah adalah masyarakat kota (urban society) yang setaraf dengan masyarakat moden (moden society). Ada juga kemungkinan lain iaitu perkataan Madinah merupakan padanan daripada perkataan polis dalam bahasa Yunani yang bererti ‘masyarakat majmuk’ atau masyarakat plural dan multibudaya. Dikait dengan perkataan tamadun yang bererti peradaban, mungkin Madinah sebagai cita- cita sosial Islam yang dimaksudkan wujud sebagai masyarakat pelbagai budaya yang hidup damai dan harmonis dengan peradaban yang maju.

Disamping perkataan Madinah yang lebih menunjukkan perkataan luar (hardware) daripada cita- cita sosial Islam, terdapat juga sepatah perkataan yang mungkin data disebut sebagai perkakasan dalam (software) cita- cita sosial Islam iaitu kata ummah. Perkataan ummah sering dirangkaikan dengan sifat dan kualiti tertentu seperti dalam istilah ummah Islamiyah, ummah wasatan atau khaira ummah. Perkataan ummah dalam bahasa Arab menunjukkan pengertian kelompok keagamaan tertentu, iaitu kelompok atau komuniti yang mempunyai keyakinan keagamaan yang sama. Secara umum dalam al- Quran, terminology ummah menunjukkan suati komuniti yang mempunyai asas kesatuan tertentu atas dasar komitmen keagamaan, etnik dan moral.

Dalam perspektif sejarah, ummah yang dibina Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah dimaksudkan untuk membina penyatuan di kalangan penganut Islam (kaum Muhajirin dan kaum Ansar). Khusus bagi kaum Muhajirin, konsep ummah merupakan sistem sosial alternatif bagi menggantikan sistem sosial tradisional, iaitu sistem kabilah dan kesukuan yang ditinggalkan mereka selepas memeluk Islam. Sebagai sistem alternatif, konsep ummah bersifat lintas kesukuan dan budaya (transcultural).

Hal di atas menunjukkan bahawa konsep ummah mengandungi gambaran sosial berbanding politik. Perkataan ummah disebut sebanyak 54 kali dalam al- Quran, samada dalam bentuk tunggal mahupun dalam bentuk jamak. Dalil al- Quran dan juga al- Hadis yang menyebut tentang ummah menunjukkan konsep ummah sama dengan konsep masyarakat madani (civil society) dalam pemikiran politik Barat. Sebagai masyarakat madani konsep ummah Islamiah ditegakkan atas dasar kesatuan keagamaan dan adalah manifestasi daripada keperihatinan moral terhadap kewujudan dan keupayaan masyarakat untuk membentuk hidup berdasarkan nilai Islam.

Sebagaimana konsep masyarakat madani (civil society) yang meliputi unsur sistem sosial yang mengutarakan persamaan, kebebasan warga masyarakat dan dikendalikan atas dasar norma di bawah kedaulatan undang- undang. Konsep ummah juga menekankan tiga dimensi utama iaitu persamaan (musawah), permusyawaratan (sura) dan keadilan (adalah). Muhammad Abduh menggambarkan cita- cita sosial Islam ideal ini sebagai sebuah sistem bedasarkan pada kedaulatan rakyat dengan tumpuan pada prinsip kebebasan (hurriyah), Musyawarah (syura) dan perlembagaan (qanun).

NILAI ISLAM UNTUK NEGARA MODEN

Berdasarkan huraian ini menggambarkan bahawa Islam membawa ajaran atau nilai etika dan  moral yang jelas untuk pembinaan Negara moden. Islam menganjurkan pembinaan Negara yang berakhlak kerana ia bebas daripada pendekatan penubuhan Negara secara formal mahupun substantive.

Dari sudut, Islam dapat dilihat menganjurkan pembinaan Negara ideal dengan identiti keislaman seperti negara Islam atau republik Islam  dan di sudut yang lain dapat difahami ia tidak menegaskan bentuk Negara tapi hanya membawa substansi nilai untuk Negara ( apapun nama dan bentuknya). Dalam kaitan yang terakhir, mungkin dapat dikatakan bahawa Islam tidak menekankan konsep negara (concept of the state) tetapi lebi menekankan konsep kekuasaan (concept of the authorits). Kewujudan cita- cita sosial Islam – Madinah dan ummah- menunjukkan adanya kekuasaan politik. Tanpa kekuasaan politik kewujudan cita- cita sosial ideal itu tidak mudah wujud. Begitu juga pembinaan Negara moden di kalangan umat Islam, menuntut wujudnya kekuasaan politik dan sumber daya politik yang memadai.

Namun, yang lebih penting dari itu adalah kualiti yang perlu diberikan kepada negara moden itu. Huraian yang dikemukakan memberi kesimpulan bahawa Negara moden menurut Islam adalah Negara yang berasas, secara substantive, nilai Islam yang asas dan tauhid. Hal ini mengandungi erti bahawa Negara moden tidak terpisah daripada agama, tetapi agama dijadikan sebagai sumber nilai bagi pembinaannya (dalam hal ini Negara tidak harus disebut secara formal seiring dengan Islam, tetapi nilai Islam menjadi asas kehidupan bernegara).

Nilai utama Islam bagi pembinaan Negara moden adalh tujuan Negara itu sendiri. Terdapat  banyak dalam ayat al- Quran dan al- Sunnah menerangkan tujuan bernegara dalam pandangan Islam iaitu menbina ummah terbaik atau khaira ummah dan mewujudkan negeri yang baik dan dilindungi oleh Tuhan Yang Maha Pengampun atau baldat tayyibat wa rabb ghalur. Dalam perspektif falsafah politik Islam, tujuan bernegara adalah untuk membawa rakyat warganegara kepada kebahagian hakiki (al- sa’ adah al- haqiqiyyah), dan kebahagian hakiki ini boleh dicapai di dunia dan di akhirat (sa’adat al- darain). Kaitan ini menerangkan tujuan bernegara dalam pandangan Islam lebih maju daripada tujuan bernegara dalam pandangan falsafah politik Barat. Jika dalam pemikiran politik Barat tujuan bernegara ditekan kepada pencapaian kesejahteraan material (welfare state). Maka dalam pemikiran politik Islam tujuan itu meliputi kesejahteraan damada material mahupun yang lain.

Untuk itu, Islam lebih menekankan nilai penting yang lain iaitu keadilan. Keadilan adalah nilai Islam yang sangat asas dan sering diingatkan di akhir khutbah Jumaat. Nilai ini mengandungi erti perlunya menegakkan keseimbangan (tawazun) dalam banyak aspek kehidupan Negara, samada antara manusia dengan Tuhannya, mahupun antara pemerintah dengan rakyat, serta antara rakyat dengan sesama rakyat. Keadilan yang disebut al- Quran lebih hampir kepada ketakwaan yang merupakan prasyarat bagi kewujudan kesejahteraan rakyat di samping menghapuskan kegawatan samada dari sudut sosial, ekonomi, mahupun politik yang sering membawa Negara menuju kehancuran.

Menyentuh tentang politik kedaulatan dan  mekanisme pembentukan keputusan dalam pembinaan Negara Islam moden, ia adalah berasaskan prinsip syura. Hal ini mengandungi erti bahawa kedaulatan dalam pengurusan Negara berada di tangan rakyat atau demokrasi (walaupun syura tidak disamakan dengan demokrasi), kerana Tuhan sudah melimpahkan sebahagian keredaan-NYA kepada manusia sebagai khalifah-NYA dan mekanisme pemgambilan keputusan dalam kehidupan bernegara adalah permusyawaratan(surah as- Syura 42:38). Demokrasi Islam, dalam hal ini tidak hanya tertumpu pada prisip penguasaan yang mengandungi gambaran kekuatan tetapi juga tertumpu pada nilai kebenaran (sebuah hadis menjelaskan bahawa ,”tidaklah umatku bersepakat dalam kesesatan,” “la yajtami’u ummati ala dalalah”).

Nilai Islam ini yang merupakan petunjuk al- Quran dan al- Sunnah dan jika diamalkan secara bersungguh- sungguh akan wujudlah sebuah Negara Islam moden di dunia. Namun, sayangnya Negara ideal itu belum dapat diwujudkan dan agaknya belum satu pun Negara Islam yang dapat disebut sebagai memenuhi kriteria Negara Islam moden. Allah a’lam bi al- sawab.

OLEH: PROF. DR. M. DIN SYAMSUDDIN

Translate »