Pengenalan

Sebagai agama yang berdasarkan tauhid, Islam menekankan penyatuan semua aspek dan dimensi kehidupan manusia dalam kesatuan penciptaan ilmu pengetahuan dan peradaban. Penciptaan alam termasuk manusia oleh Yang Maha Pencipta terjalin dalam hubungan tauhid, iaitu adanya hubungan kejiwaan (alam dan manusia berasal daripada jiwa tunggal atau nasf wqhidah). Dengan yang demikian, ilmu pengetahuan terjalin dalam paradigm tauhid yang tidak membezakan antara ilmu keagamaan dengan ilmu keduniaan. Begitu juga peradaban manusia merupakan manifestasi daripada prinsip kesatuan penciptaan dan ilmu pengetahuan sehingga peradaban itu terikat dalam kesatuan nilai- nilai ketuhanan dan kemanusiaan.

Prinsip tauhid Islam menekankan hubungan erat antara agama dengan negara, iaitu tidak ada pemisahan antara agama dengan negara (al- din wa al- dawlah) kerana tiada pemisah antara agama dengan dunia (al- din wa al- duniyah) serta agama dan politik (al- din wa al- siyasah). Berdasarkan prinsip tauhid, ajaran- ajaran Islam meliputi seluruh aspek kehidupan samada sosial, ekonomi, ilmu pengetahuan, teknologi, kesenian mahupun politik.

Berdasarkan sejarah Islam, sejak kelahiran Islam hingga beberapa abad kemudian pada masa dinasti Abasiyah, menunjukkan kesatuan daripada semua aspek kehidupan yang telah disebutkan iaitu agama dan politik serta agama dan ilmu pengetahuan disatukan dalam dunia peradaban Islam. Inilah yang membawa kemajuan dan keunggulan kepada peradaban Islam dan dunia Islam menjadi adikuasa (super power) atau pemegang keunggulan peradaban dunia.

Ilmu pengetahuan (dan juga pada tingakat tertentu ekonomi) dengan dukungan kekuasaan politik telah mendorong kemajuan dan keunggulan peradaban Islam. Pada saat ini Islam tidak hanya merintis kemodenan tetapi juga mencipta kemodenan itu sendiri. Tidak dapat dinafikan bahawa banyak falsafah dan ilmuwan Islam berjasa dalam menemukan dan mengembangkan falsafah serta ilmu pengetahuan. Karya- karya mereka pula menjadi inspirasi bagi kebangkitan Eropah dan oleh sebab itu peradaban Islam memberikan sumbangan bagi perwujudan peradaban dunia moden.

Islam sememangnya agama yang moden atau agama yang relevan dengan kemodenan kerana ia membawa ajaran- ajaran yang sesuai dengan kemodenan (salih li kulli zaman wa makan). Islam jelas mendukung kemodenan dan ia jelas pada misi Islam yang membawa kerahmatan, kemaslahatan dan pendamai bagi alam semesta (rahmat lil-‘alamin). Jika dihubungkan dasar Islam dengan watak sejarah yang selalu menampilkan kesinambungan dan perubahan (continuity and change), menunjukkan bahawa Islam mendukung dinamisme dan perkembangan peradaban yang sentiasa bergerak maju membawa pembaharuan dan kemajuan. Dasar toleransi Islam terhadap perubahan dan kemajuan peradaban ini tentu terbatas pada nilai- nilai Islam.

Begitu juga terhadap konsep Negara moden. Sebagai agama yang mendukung kemodenan Islam juga mempunyai ajaran atau nilai dasar Islam. Apakah ajaran- ajaran Islam untuk pembinaan Negara moden, dan apakah Negara moden menurut pandangan Islam adalah antara pertanyaan- pertanyaan yang ingin dijawab oleh makalah ini. Walau bagaimanapun persoalan yang perlu dijawab terlebih dahulu, apakah yang dimaksudkan dengan Negara menurut pandangan Islam dan apakah konsep ‘ negara’ dalam ajaran Islam.

TENTANG KONSEP NEGARA ISLAM DAN PEMERINTAHAN

Konsep tentang Negara dan pemerintahan telah menimbulkan perbincangan panjang di kalangan ulama dan pemikir Muslim serta mewujudkan pandangan yang cukup besar, tidak hanya tertumpu pada sistem teori konseptual tapi meliputi bidang politik secara amali sehingga acapkali membawa pertentangan dan perpecahan di kalangan umat Islam.

Perbezaan pandangan selain disebabkan oleh faktor sosio- sejarah dan sosio- kuktural iaitu perbezaan latar belakang sejarah dan sosio-budaya bangsa- bangsa Muslim, juga disebabkan oleh factor yang bersifat teologis iaitu tidak ada keterangan tegas (clear- out explaination) tentang Negara dan pemerintahan dalam dua sumber Islam : al- Quran dan al- Sunnah. Memang terdapat beberapa istilah yang sering dihubungkan dengan konsep Negara, seperti  khilafah daulah atau hukumah, namun istilah tersebut berada dalam kategori ayat zanniyyat yang membolehkan penafsiran. “ Al- Quran tidak membawa keterangan yang jelas tentang bentuk negara, konsepsi tentang kekuasaan dan kedaulatan serta idea tentang perlembagaan.”

Perbezaan pandangan ulama tentang Negara dan pemerintahan juga disebabkan oleh perbezaan persepsi mereka tentang kepentingan kedua- dua dunia konsep tersebut. Sebahagian ulama menganggap bahawa kedua- duanya iaitu negara dan pemerintah adalah berbeza dari sudut falsafah. Pemerintahan adalah corak kepimpinan dalam mengatur kepentingan orang awam berhubung dengan kaedah dan strategi pengurusan dan pengisian pemerintahan tanpa persoalkan bentuk negara. Sebahagian ulama lain menganggap bahawa tidak ada perbezaan antara keduanya, sehingga perbicaraan tentang pemerintahan tidak boleh terlepas daripada perbincangan tentang negara.

Permasalahan menjadi lebih rumit jika ia dikaitkan dengan kenyataan bahawa konsep negara ialah konsep moden yang berasal dari dunia Barat, yang biasa disebut sebagai Negara bangsa (nation state) . Ia terbentuk atas dasar penyatuan kebangsaan. Negara adalah fenomena moden yang terbentuk sebagai manifestasi nasionalisme yang melanda dunia pada separuh abad ke- 20.

Walau bagaimnapun Islam mengakui kewujudan bangsa dan suku bangsa (sha’b qabilah- surah al- Hujurat 49:13), kerananya wawasan kebangsaan tidak bertentangan dengan wawasan keislaman. Namun benruk ekstrem daripada semangat kebangsaan (nasionalisme) yang mendasari perlembagaan Negara bangsa dapat menjadi persoalan jika dihadapkan dengan universalisme Islam. Hal ini menjadi alasan bagi mereka yang menolak konsep negara- bangsa, dan kemudian mencari bentuk negara dalam khazanah sejarah Islam.

Terdapat istilah dalam al- Quran dan al – Sunnah yang sering dikaitan dengan konsep negara dan pemerintahan. Bahkan istilah tersebut menjadi dasar bagi bentuk negara atau pemerintahan di kalangan umat Islam. Salah satu perkataan yang sering dipakai untuk menunjukkan negara adalah kata dawlah  yang memang dalam bahasa arab moden mengandungi maksud Negara, sehingga Negara Islam disebut al- Dawlah al- Islamiyah.

Dalam kamus bahasa arab, perkataan kata dawlah yang berasal kata dasar dawala mempunyai erti: pengantian, perubahan, dinasti, kekuasaan dan negara. Sebagai padanan konsep negara atau pemerintahan, perkataan dawlah baru berkembang pada pertengahan  abad kelapan Hijrah dalam pengertian yang masih neutral iaitu ‘giliran’. Seorang pemikir Muslim pramoden, Ibn al- Muqaffa’, umpamanya pernah menulis ungkapan al- dunya duwal dalam pengertian bahawa kehidupan dunia mengalami proses naik dan turun secara bergilir. Pada saat itu perkataan dawlah belum mengandungi maksud negara atau kekuasaan. Perkataan dawlah pertama kali digunakan pada zaman Abbasiyah untuk mengesahkan kekuasaan Abbasiyah. Ini kerana, sebelumnya sudah ada kekuasaan Umayyah dan kini tibalah giliran keluarga bani Abbas (Dawlah Abbasiyah).

Berasaskan sandarannya kepada kekuasaan Umayyah, Abbasiyah dan kemudian Uthmaniyah, maka perkataan dawlah mengalami perubahan makna iaitu menjadi ‘negara’ atau ‘kekuasaan negara’.  Sehingga untuk meninjaukan konsep negara  atau negara- bangsa, pemikiran politik Islam mengemukakan perkataan dawlah, seperti terdapat dalam istilah al- din wa al- dawlah untuk agama dan negara.

Sekarang apakah konsep dawlah sebagai Negara mempunyai landasan teologis dalam al- Quran ? Al- Quran menyebut kata dawlah (tepatnya dulah) dan bentuk kata kerjanya nudawiluha sebanyak dua kali, iaitu dalam surah al- Hasyr ayat tujuh dan surah ali-‘Imran ayat -140. Samada pada ayat pertama mahupun pada ayat kedua. Kedua- dua perkataan yang berhubung dengan perkataan dawlah menunjukkan erti ‘peredaran’ atau ‘giliran’. Oleh sebab itu, sukar untuk mengabungkan kedua- dua perkataan itu dengan kosep tentang negara atau pemerintahan. Ini kerana jawapan terhadap pertanyaan ini adalah negatif dan rujukan serta sandaran ini jelas untuk perkatan dawlah dalam pengertian negara atau pemerintahan yang tidak terdapat dalam al- Quran.

Huraian ringkas ini mungkin dapat menjelaskan bahawa perkataan dawla tidak memiliki akar teologis dalam al-Quran dan konsep dawlah – dengan pengertian negara atau pemerintahan- tidak serta- merta lahir, tetapi ia mengalami perubahan konsep yang panjang dalam sejarah.

Istilah lain yang sering dikaitkan dengan konsep negara dan pemerintahan adalah khilafah dan imamah. Kedua- dua istilah ini sering dipakai silih berganti dalam pemikiran politik Islam, samada pada masa pramoden mahupun pada masa moden. Sebagai kosep tentang pemerintahan dan kekuasaan, kata khilafah menjadi ciri khas kaum Sunni, sedangkan kata imamah menjadi ciri khas kaum syiah.

Kedua- dua konsep khilafah dan imamah mengandungi pengertian kepimpinan dan kekuasaan. Walaupun demikian, kedua- dua konsep yang menjadi ciri khas bagi Sunni dan Syiah mengandungi prinsip yang berbeza. Menurut Hamid Enayat, khilafah dalam perspektif Sunni didasarkan pada dua rukun utama, iaitu kesepakatan elit politik (ijmak’) dan pemberian legitimasi (baiah). Sedangkan imamah dalam perspektif Syiah menekankan dua rukun lain, iaitu kecintaan imam kepada Allah (walayah) dan kesuciannya daripada dosa (ismah).

Konsep Khilafah dan imamah mempunyai akar dalam al- Quran dan al- Sunnah. Konsep khilafah dalam berbagai- bagai bentuk derivatifnya disebut sebanyak 17 kali dalam al- Quran, sedangkan konsep imamah dalam berbagai- bagai bentuk derivatifnya disebut sebanyak 12 kali. Kata dasar khilafah iaitu khalafa mengandungi erti dasar antara lainnya menggantikan yang datang kemudian. Perkataan dalam al- Quran menunjukkan pengertian pengganti atau wakil seperti dalam kata khalifah Allah fi al- ard (wakil Tuhan di bumi).  Kata ini dihubungkan dengan Nabi Adam a.s. dan Nabi Daud a.s. yang diciptakan dan di utus Tuhan untuk menjadi wakil atau khalifah di bumi (surah al- Baqarah 2:30). Walaupun dalam konteks Nabi Daud a.s. penugasan terkesan lebih jelas sebagai ‘penguasa’ (surah Sad 38:26). Namun menurut hemat penulis, konsep Khalifah Allah membawa implikasi makna yang bersifat universal, iaitu berlaku ke atas manusia. Setiap manusia ialah khalifah Tuhan di muka bumi, dan dengan yang demikian, khalifah Allah tidak mempunyai kaitan dengan kepimpinan negara atau kekuasaan politik.

Dalam sejarah Islam, perkataan khalifah digunakan pertama kali oleh Abu Bakar al- Siddiq, khalifah pertama daripada khulafa’ al- Rashidin. Dalam ucapan pembukaannya, Abu Bakar ada menyebut dirinya sebagai khalifah Rasul Allah dalam pengertian ‘pengganti Rasulullah s.a.w ‘. Penggunaan perkataan khalifah mengalami tranfomasi erti yang cukup signifikan. Jika pada masa Abu Bakar perkataan khalifah (dalam khalifah Rasul Allah) membawa pengertian asal yakni ‘pengganti nabi’, pada masa Umayyah dan Abbasiyah ia berkembang dengan pengertian subjektif (khalifah Allah), memberi maksud seorang khalifah adalah wakil Tuhan.

Sandaran istilah ini kepada seorang penguasa membawa kesan adanya kesahihan ketuhanan baginya dan kedaulatan Ilahi bagi kekuasannya. Hal ini dijelaskan oleh adagium tentang penguasan yang sering disebut oleh para ulama politik sebagi zill Allah fi al-ard atau bayang- bayang Allah di muka bumi.

Pengukuhan penguasa sebagai wakil Tuhan (khalifah Allah) menunjukkan kesahihan ulama politik terhadap kekuasaan. Kesahihan ini menghasilkan sejarah khalifah (iaitu sistem khalifah yang pernah wujud dalam sejarah Islam) difahami sebagai lembaga politik keagamaan. Sistem khalifah menjadi sistem pemerintahan yang dianggap ideal dan sesuai dengan nilai Islam. Pada hal menurut Ibnu Khaldun, khalifah selepas al- Khulafa’ al Rashidin bukan lembaga politik keagaman tetapi lembaga politik keduniaan kerana dasar pembentukannya bukan agama tetapi kesatuan kelompok (‘Asabiyah).

Perkataan yang sering digunakan untuk menunjukkan konsep kekuasaan atau pemerintahan ialah hukuman. Dalam bahasa Arab moden, perkataan ini mengandungi erti pemerintahan. Seperti kedua- dua  istilah terdahulu, istilah hukumah juga berhubung dengan kekuasaan. Perbezaannya mungkin terletak pada isu khilafah dan imamah yang mempunyai kaitan dengan format politik atau kekuasaan, sedangkan hukumah lebih berhubung dengan sistem pemerintahan.

Konsep hukumah sering dihubungkan dengan ayat al- Quran dalam surah al- Ma’idah (ayat 44,45 dan 46) yang menegaskan kewajipan menentukan hukum berdasarkan wahyu (yahkum bima anzala Allah). Ayat ini sering difahami sebagai pemerintahan Islam, sebagai salasilah atau cara untuk menjalankan hukum Allah. Ayat ini memperoleh formula kontemporari ditangan ideology Ikhwan al- Muslimin, Sayyid Qutb yang akan mengajukan teori tentang kekuasaan atau kedaulatan Ilahi.

Dengan menekankan konsep kedaulatan Ilahi, hukumlah dan hakimiyah merupakan konsep alternatif terhadap sistem politik dan pemerintahan Barat yang bersifat sekular sambil menekankan prinsip- prinsip kedaulatan manusia seperti konsep demokrasi. Bagi pendukungnya, konsep hakimiyah merupakan ideology nilai Islam untuk menjadi suatu pandangan dunia baru yang disebut oleh Sayyid Qutb dengan istilah al- Tasawwur al- Islami (pandangan dunia Islam).

Jika teori hakimiyah berkaitan sistem pemerintahan iaitu pemerintahan yang berdasarkan nilai Islam, jadi belum begitu jelas apakah bentuk sistem politik atau kekuasaan yang mendasari pemerintahan itu? Hal ini disebabkan teori hakimiyyah ini belum mendapat peluang untuk diterapkan dalam kenyataan.

Masih terdapat istilah lain dalam al- Quran berhubung dengan konsep tentang Negara dan pemerintahan dan menjadi rujukan umat Islam di beberapa Negara dalam menjalankan kehidupan politiknya seperti perkataan yang akan melahirkan kesultanan, ulul amri yang melahirkan imarat atau keamiran dan mulk yang membentuk kerajaan (mamlakah). Istilah ini memerlukan kajian lebih lanjut.

Huraian ini dapat membentuk kesimpulan bahawa tiada alas an kukuh untuk menunjukkan adanya konsep tentang Negara dalam Islam dalam pengertian yang sempit dan terperimci. Dalam pemikiran politik Islam, perbincangan tentang Negara dan pemerintahan oleh para ulama politik mengarah kepada dua tujuan :

  1. Mengemukakan kesesuaian Islam tentang bentuk Negara atau pemerintahan (menekankan aspek teoretis dan formal),iaitu cuba menkawab pertanyaan “apa bentuk Negara menurut Islam”?
  2. Melakukan idealisasi dari perspektif Islam terhadap proses penyelenggaraan Negara atau pemerintahan (menekankan aspek praksis dan substansial), iaitu cuba menjawab pertanyaan “ bagaimana isi Negara menurut Islam?”

Jika pendekatan pertama berasaskan anggapan bahawa Islam memiliki konsep tentang Negara dan pemerintahan, maka pendekatan kedua berasaskan anggapan bahawa Islam tidak membawa konsep tertentu tentang Negara dan pemerintahan tetapi hanya membawa prinsip dasar yang mengangkat nilai etika dan moral untuk kehidupan bernegara.

(BERSAMBUNG)

OLEH: PROF. DR. M. DIN SYAMSUDDIN

Translate »