Dalam sistem yang diciptakan oleh manusia, parti politik adalah salah satu kaedah untuk mencari jalan bagaimana membentuk sesebuah pemerintahan, selain sistem monarki. Inilah yang dipilih oleh sebahagian negara-negara penduduk majoriti Muslim dan bukan Muslim, yang menerima makna kedaulatan rakyat. Rakyat menentukan pilihan mereka, menerusi undi atau pilihan raya.
Islam membenarkan penubuhan kaedah itu, tetapi ia merupakan keputusan yang diusahakan oleh para ulama, berdasarkan prinsip maslahah yang dihasratkan oleh Islam.
Jadi, untuk menginstitusikannya, ia dibingkaikan oleh undang-undang, dan tentunya, undang-undang itu adalah dibentuk, digubal dan dikuatkuasakan oleh manusia, menerusi konsep pengasingan kuasa, yang diterima sebagai salah satu komponen asas kenegaraan.
Seperti dijelaskan oleh Muhammad Asad, “…tidak perlu untuk membayangkan jeda dari tiga belas abad bagi memahami bahawa keperluan-keperluan politik pada satu masa sering berbeza daripada keperluan-keperluan dalam ini dari tempoh yang lebih awal.
“Malah, di dalam tempoh yang pendek dari beberapa dekad, Khalifah al-Rasyidin sendiri berlain-lain sistem pemerintahannya – atau, sebagaimana kita akan katakana pada hari ini, perlembagaan negara – dalam banyak hal. Sebagai suatu gambaran, marilah kita ambil kemusykilan memilih ketua negara.
“Tidak terdapat, umumnya, perbezaan ini di kalangan para sahabat mengenai prinsip kerajaan elektif itu sendiri, kerana sebagaimana kita akan lihat, syari’ah benar-benar jelas tentang subjek ini. Namun demikian, meski tidak diragukan lagi bahawa eksekutif negara Islam harus dipilih,
“Undang-undang tidak menentukan sebarang kaedah yang tertentu dari pemilihan sebagai sesuatu yang terletak di luar lingkup syari’ah dan dapat, kerana itu, dengan sah boleh diubah mengikut kepentingan terbaik dari masyarakat.
“Justeru, Khalifah pertama, Abu Bakar, dipilih oleh ketua muhajir dan ansar, yang berada di Madinah pada masa kewafatan Nabi Muhammad (SAW). Pada waktu meninggalnya, Abu Bakar menunjuk ‘Umar sebagai penggantinya, dan pilihan ini kemudiannya disahkan oleh umat (pengesahan menjadi setara, dalam kes ini, dengan pilihan raya).
“Ketika ‘Umar pada gilirannya, hampir mati, beliau mencalonkan badan pemilihan yang terdiri daripada enam orang sahabat Nabi (SAW) yang paling terkemuka dan mempercayakan mereka untuk memilih penggantinya dari kalangan mereka.
“Pilihan jatuh pada Uthman, yang kemudian diakui oleh umat sebagai pengganti ‘Umar yang sah. Setelah kematian Uthman, Ali disiytiharkan sebagai khalifah oleh jemaah di dalam Masjid Nabi (SAW), dan sebahagian besar umat kemudian mengikrarkan taat setia mereka kepadanya.
“Walhasil, di bawah masing-masing dari empat pemerintahan ini yang kita gambarkan sebagai ‘ditunjuk-dengan benar’ , perlembagaan negara berbeza pada hal yang paling penting; kerana yang tidak dapat dinafikan bahawa kaedah dengan mana ketua negara dipilih adalah persoalan perlembagaan yang sangat penting.
“Penyorotan berbeza yang diberikan oleh para sahabat kepada persoalan ini – berhubung dengan keduanya komposisi pemilihan dan prosedur pemilihan – menunjukkan bahawa, dalam pandangan mereka, perlembagaan negara dapat diubah dari masa ke masa tanpa menjadikannya kurang “Islamik” dalam hal ini.
“Selain dari itu, adalah satu kesilapan untuk percaya bahawa khalifah yang berempat mewakili penyempurnaan dari semua tujuan Islam, termasuk berkait dengan kenegaraan. Seandainya begitu, Islam tidak lebih dari seruan kepada pengulangan yang kekal, kerana tiada apa yang tinggal kepada kita selain meniru perbuatan pendahulu kita.
“Pada kenyataannya, bagaimanapun, Islam adalah seruan kemajuan yang kekal, secara sosial serta spiritual, dan lantaran itu, juga secara politik.” (Muhammad Asad, Prinsip Pemerintahan dan Kerajaan Dalam Islam, hal.37-38).
Kutipan tersebut sedikit sebanyak boleh dijadikan sandaran terhadap dakwaan bahawa kerajaan perpaduan adalah ‘tidak sah’ dan menafikan ditubuhkan secara ‘di luar tabi’e’ mahupun penuh dengan ‘perangkap dan muslihat’ sebagaimana dilabelkan oleh PN sebaik sahaja Anwar menerima watikah pelantikan sebagai PM X pada 24 November 2022, walaupun gabungan parti yang dipimpinnya tidak melepasi majoriti mudah (menang 82 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat).
Atas kepentingan dan peraturan yang digunapakai, tentunya klausa dalam Perlembagaan Malaysia, yang dalam keadaan ‘Parlimen tergantung’, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong menggunakan budi-bicara mencadangkan agar dibentuk sebuah kerajaan campuran, di mana semua parti terbabit bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil (tanpa pembangkang).
Itu adalah pilihan yang ada, kerana PN menduduki kedudukan kedua (73 kerusi, kerana satu keputusan Parlimen, Padang Serai ditangguhkan ekoran kematian salah seorang calon yang bertanding) manakala BN hanya tinggal 30 kerusi.
Keputusan itu sepatutnya diterima, tetapi kerana Muhyiddin masih kekal dengan hasratnya untuk kembali menjawat jawatan PM, akhirnya menolak kerana Anwar Ibrahim diberikan tanggungjawab merintis pembentukan kerajaan campuran, yang kemudiannya dikenali sebagai kerajaan perpaduan.
Presiden PAS kemudiannya mempersoalkan makna kerajaan perpaduan kerana berbeza dengan perjuangan sebelumnya, iaitu bekerjasama dengan UMNO/BN – unity government, UG- selepas PRU ke-12 (2008), yang membawa kepada konflik dalam PAS, dengan DAP dan juga Pakatan Rakyat.
Konsep UG saranan Presiden PAS dan timbalannya, juga tidak menepati makna. Ini kerana hubungan kerjasama itu hanya dengan BN, yang ketika itu masih disertai oleh kebanyakan parti kecuali parti-parti yang ada dalam komponen Pakatan Rakyat, dan beberapa yang lain.
Ia sama kaedahnya dengan kerajaan perpaduan yang dibentuk oleh Anwar Ibrahim, masih ada kelompok pembangkang, di mana PN membuat keputusan untuk kekal sebagai pembangkang bagi tujuan ‘semak dan imbang’.
Namun, setelah kerajaan perpaduan terbentuk, peranan PN tidak menonjol sebagai ‘semak dan imbang’ lebih bercorak radikalisme untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan dengan kembali meneladani Langkah Sheraton.
Disasarkan bahawa kerajaan perpaduan akan tumbang dalam masa tiga bulan, yakni sebelum sampai ke tahap psikologi, 100 hari pertama.
Bagaimanapun, radikalisme politik itu tidak berjaya dilaksanakan, setelah menyedari bahawa halangan utama ialah Akta Antilompat Parti yang diluluskan sebelum Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 Oktober 2022, ketika Ismail Sabri Yaakob (Naib Presiden UMNO) adalah PM ke-9.
PN penasaran terus, lantas menyeruakkan rasa bencinya dengan mempersoalkan kredibiliti dan integriti barisan kabinet perpaduan (selepas diumumkan pada 2 Disember 2022), termasuk pelantikan Zahid sebagai TPM dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, yang ketika itu berada dalam proses perbicaraan.
Serangan bertubi-tubi ke atas Presiden UMNO itu, namun, PM X tetap menyatakan bahawa, pemilihan dibuat berdasarkan cadangan daripada parti, bukan PH. Ini kerana PH tidak menjadi parti tunggal yang membentuk kerajaan, perlu memberikan pertimbangan kepada pilihan parti yang menyertai kerajaan perpaduan.
Penjelasan tersebut, sekali lagi menyebabkan PN ‘koyak’ dan seterusnya berkempen, meratib dan mengecam siang dan malam, seolah-olah tidak ada surutnya.
Lalu, digunakan apa cara sekalipun untuk mewajarkan andaian dan pendirian tersebut, walhal dari perspektif undang-undang, ia masih absah selagi seseorang itu tidak dihukum bersalah. Ini dapat kita semak semula, Dr Mahathir turut melantik Lim Guan Eng menduduki jawatan Menteri Kewangan pada tahun 2018.
Ketika itu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang masih dalam proses perbicaraan salah guna kuasa dan rasuah: kes pembelian banglo di bawah harga pasaran yang ada kaitannya dengan projek pembinaan asrama pekerja asing, dan kes membabitkan projek pembinaan terowong dasar laut yang dikatakan ada hubungan dengan rasuah.
Namun, setelah dilantiknya Peguam Negara, Tommy Thomas (peguam swasta), beberapa kes yang membabitkan pemimpin dan penyokong politik komponen PH dilepaskan, menyebabkan peranan Dr Mahathir kembali dipersoalkan.
Ini kerana, ketika menjadi PM ke-4, Dr Mahathir turut campur tangan dalam badan kehakiman dan perundangan, sehingga dua entiti dalam pengasingan kuasa tersebut dilihat tidak bebas.
Pemecatan Tun Salleh Abas menjadi bukti bagaimana Dr Mahathir melakukan tindakan tersebut selain kes tersebarnya video yang mendedahkan percubaan seorang peguam, VK Lingam dalam mempengaruhi badan kehakiman, termasuk lobi-melobi pelantikan Peguam Negara.
Pada zaman itu, 1981-2003, Dr Mahathir cukup kecewa apabila kebanyakan kes yang membabitkan kerajaan, hampir kalah kesemuanya. Akibat kekalahan di pihak kerajaan, Dr Mahathir berpandangan ia perlu mengawal badan kehakiman dan perundangan.
Kes perbicaraan liwat Anwar Ibrahim yang turut mendapat tekanan masyarakat antarabangsa, termasuk Presiden Filipina (Joseph Ejercito Estrada), Presiden Indonesia (Abdul Rahman Wahid, Gus Dur), Naib Presiden Amerika Syarikat (al-Gore) dan beberapa pertubuhan antarabangsa.
Beberapa orang pemimpin yang menyertai Sidang APEC (Asia Pacific Economic Cooperation) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada penghujung tahun 1998 turut membuat gesaan agar perbicaraan dan penahanan Anwar Ibrahim dihentikan.
Bagaimanapun, Dr Mahathir enggan tunduk, malah meneruskan tindakan tersebut walaupun akhirnya Anwar memenangi kes liwat itu dengan keputusan juri.
Oleh kerana Dr Mahathir masih tidak mahukan Anwar, maka dibicarakan pula dengan dakwaan salah guna kuasa, yakni menyekat penjawat awam melaksanakan tugasnya, yakni menyiasat, yang kemudiannya disimbolkan sebagai ‘mata lebam’.
Kenapa PN begitu sangat ingin menjadi kerajaan, walaupun melalui kaedah tebuk atap sekali lagi? Jika sebelumnya, mereka mendakwa, pelantikan Zahid akan memudahkannya ‘melepaskan diri’ daripada Kluster Mahkamah kerana akan adanya ‘tangan ghaib’, maka itulah juga yang menjadi idaman atau hasrat Muhyiddin, semoga kes ‘sakau’ Jana Wibawa tidak lagi menjadi ‘benang merah’ integriti politiknya.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments