PAS semakin ‘mudah koyak’ apabila BN hanya menawarkan empat kerusi DUN untuk ditandingi oleh parti itu berdasarkan reputasinya, hanya menang satu kerusi pada PRU ke-14. PAS tidak bersetuju, dan memberikan tafsiran sebagai tidak adil, UMNO ‘tamak’.
Letusan komen itu akhirnya membawa kepada pelabelan yang cukup tidak menunjukkan semangat kerjasama, Presiden PAS ibaratkan sebagai ‘itik tempang’ setelah hampir pulih ‘berenang sendirian’.
Ia menjadi sesuatu yang cukup boomerang, menyebabkan PAS penasaran apabila dijawab bahawa PAS bukannya memberikan penawar untuk memulihkan ‘kaki tempang’, tetapi UMNO bangkit dengan kekuatannya sendiri, semangatnya masih kuat.
Benar, UMNO/BN telah berjaya menguasai DUN Johor, dan dua PRK yang baharu selesai membuktikan bahawa kerjasama dalam kerajaan perpaduan mendapat petunjuk yang jelas, walaupun pada enam PRN yang berlangsung hampir sebulan lalu (12 Ogos 2023), PAS menciptakan kejayaan besar (menguasai 111 kerusi daripada 146 kerusi yang dimenangi oleh PN), dan UMNO hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.
UMNO hilang terus di DUN Terengganu dan Kedah, masing-masing dua kerusi di Selangor (Sungai Air Tawar dan Dusun Tua) dan Pulau Pinang (Bertam dan Sungai Aceh), hanya tinggal wakil tunggal di DUN Kelantan (Galas), tetapi mencipta kemenangan besar di Negeri Sembilan (menang 14 kerusi).
Walau bagaimanapun, pada PRK Pulai dan Simpang Jeram, BN tidak bertanding dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon Amanah, parti yang telah memenanginya pada PRU ke-15 dan PRN Johor lebih setahun lalu (12 Mac 2022).
Secara spesifiknya, dengan kekalahan tersebut PN dilihat semakin “koyak” dengan perancangan gigih untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan kerana kedudukan kerusi Dewan Rakyat masih kekal menguasai dua pertiga. Selepas penarikan sokongan, kerusi yang menerajui kerajaan perpaduan tinggal 147, kurang satu sebagai tahap minimum dua pertiga (148 daripada 222 kerusi).
Hakikatnya, selepas ini seolah-olah menjadikan parti itu (MUDA) seperti fenomena masyarakat digital ‘bercakap sorang-sorang, menghadap ke dinding’. Pada PRN lalu, MUDA hilang semua deposit, kesemua 19 calonnya tewas.
Syed Saddiq masih berhadapan dengan kes mahkamah. Jika beliau tewas, kemungkinan MUDA akan berakhir tetap ada.
Pada PRU ke-15 lalu, jelaslah bahawa PAS telah bercerai dengan BN dalam muafakat nasional apabila membuang mereka yang menjadi penghalang kepada pencabulan memorandum persefahaman itu.
Tetapi, masih ada keinginan PAS untuk ‘merujuk semula’, jika UMNO tidak lagi dipimpin oleh kelompok WTC (Zahid dan juak-juaknya).
Hukum karma terus dibuktikan, jika berniat jahat atau tidak baik, niat itu berbalik kepada mereka yang mengeluarkan niat itu. Zahid sudah dilepaskan daripada pertuduhan 47 kes mahkamah, yang kemudiannya ditafsirkan ada ‘tangan ghaib’ yang mencampuri proses perundangan apabila pendakwa raya memohonnya.
Sebenarnya, Zahid belum dibebaskan. Ia masih dalam siasatan untuk dibicarakan semula jika muncul evidens yang lebih kukuh, kerana evidens yang dikatakan awalnya ada prima facie, sebenarnya tidak memadai untuk mensabitkan kesalahan.
Ada sesuatu yang tidak pernah dibuktikan terhadap Zahid, kerana kata Datuk Ahmad Sabry Cheek, ‘tidak mengambil duit kerajaan’; ianya berkaitan dengan kesilapan pengurusan Yayasan Akal Budi.
Yayasan Akal Budi ialah yayasan yang ditubuhkan oleh Zahid sendiri, dan dalam prosiding yang berlangsung selama 4 tahun tidak terbukti ada penyelewengan dan salah guna kuasa.
Yayasan Akal Budi melaksanakan hasratnya dengan baik, dan tidak ada kontraktor yang menyatakan tidak dibayar kerja-kerja mereka, manakala pengurusan Yayasan Akal Budi mengakui ada kesilapan dalam mengeluarkan cek dalam urusan perbelanjaan peribadi (bayaran kad kredit) Zahid.
Kesilapan itu telah diakui dan telah dibayar balik (diperbetulkan).
Jadi, jika melalak sekalipun – MUDA, AMK Bersatu, Ahli Parlimen Pasir Mas, MB Kedah, mahupun pendokong PN dan invidu yang ‘cukup pandai bercakap dan menentang’ – turun ke jalan raya (dijangka pada 16 September 2023, berhimpun di Sogo), ia adalah satu tindakan ‘menghina rasional akal’ yang dianugerahi Allah SWT untuk berfikir dengan saksama.
Kenapa? Kajilah tuduhan-tuduhan yang dikenakan. Singkapkan rasa prejudis kerana terpengaruh dengan momokan pemimpin UMNO/BN ‘korup’; hanya bersandarkan imajinasi dan fakta yang tidak lengkap, persepsi. Ia seumpama kita cuba menggambarkan keenakan daging lembu hanya dengan menghirup kuah sup tulang atau makan ‘kari gearbox’.
Ia belum memberikan gambaran yang menyeluruh tentang lazatnya menu yang berasaskan daging lembu dan mengilustrasikan keseluruhan keenakan lembu.
Jika nak dipersoalkan keputusan tersebut, persoalkan juga kes yang membabitkan keputusan yang sama, yang pernah diberikan kepada bekas MB Perlis berhubung salah laku seksnya, dilepas tapi tidak dibebaskan.
Perlu diberikan komen (mengenai keputusan itu) secara saksama dan menggunakan neraca yang sama, walaupun tokoh itu sudah menjadi sebahagian daripada juak-juak PAS.
Jangan hanya memandang sebelah mata, yang bukan dalam kelompok sendiri: semuanya tidak wajar dan ‘ada campur tangan’, tetapi keputusan memenangkan kelompok sendiri sebagai suatu tindakan yang adil, menghapuskan fitnah dan kebenaran terserlah.
Zahid dan Shahidan diputuskan oleh Mahkamah, bukan pentas politik mahupun desakan daripada mana-mana pihak. Begitu juga dengan keputusan mahkamah menggugurkan empat daripada tujuh kes membabitkan Presiden Bersatu dalam ‘sakau’ Jana Wibawa.
Bagaimanapun, kes Muhyiddin masih belum selesai, kerana ada rayuan terhadap keputusan tersebut, bermakna akan muncul lagi prosiding mengenainya, selain tiga lagi kes yang belum diputuskan kedudukannya.
Apakah kita sebagai orang Islam masih hipokrit dengan tindakan-tindakan kita sendiri?
Kita mengatakan Islam mengharamkan fitnah, tetapi dalam percakapan dan perbualan harian, kita turut menaburkan fitnah; mencipta, menyebar dan berhujah berasaskan persepsi.
Kalau orang biasa melemparkan fitnah, ia mungkin boleh dimaafkan tetapi kalau seseorang yang bergelar ulama dan memimpin sesebuah organisasi melemparkan fitnah, ia merupakan sesuatu yang sangat mengecewakan.
Kalau pun ingin membina reputasi, merangkul imej yang terserlah, kita tidak seharusnya membinannya menerusi rangkaian fitnah dan pembohongan.
Kita perlu ingat, Nabi Muhammad SAW yang menjadi teladan setiap umat Islam tidak pernah menyuruh pengikut-pengikutnya menabur fitnah.
Baginda sendiri tidak memfitnah dan juga menyebarkan pelbagai fitnah, termasuk ketika menerima ancaman yang lebih besar, iaitu diberikan hadiah 100 ekor untuk kepada mereka yang dapat membunuhnya.
Zahid tidak menuduh dakwaan terhadapnya sebagai ‘konspirasi politik’ dan ‘pendakwaan terpilih’ sebagaimana Muhyiddin, Hamzah Zainudin dan Wan Saiful Wan Jan apabila didakwa. Ia berbeza dengan tiga orang pemimpin Bersatu yang mencari simpati umum, bukan melawan dengan fakta, untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.
Tidak cukup dengan penafian “saya tidak ambil satu sen pun” kerana penafian itu akan menambahkan lagi keserlahan pembohongan jika kemudiannya didapati bersalah.
Muhyiddin dan Zahid menggunakan pasukan pembelaan yang sama, bukan ‘tangan ghaib’ walaupun Agenda Daily, sebuah portal yang dikuasai oleh PN menyatakan ‘sudah diramalkan lebih awal’ sebaik sahaja Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan perpaduan. Zahid akan gunakan kedudukan itu untuk mencari kaedah ‘melepaskan diri’.
Dr Mahathir juga membuat tuduhan yang sama, yang mungkin boleh dikaitkan dendamnya kepada Zahid yang sudah muncul sejak pemecatan Anwar Ibrahim lagi. Zahid pernah menyelar Dr Mahathir dengan slogan reformasi yang berkembang di Indonesia menerusi slogan korupsi, kolusi dan nepotisme.
Reaksi Dr Mahathir ke atas Zahid juga tidak kurang lantang. Dr Mahathir cuba mengaitkan kekayaan Zahid, yang memperoleh jutaan saham daripada aktiviti pembahagian saham yang cukup popular pada tahun-tahun 1990-an, dengan istilah pinkform.
Tidak terhenti setakat itu, Dr Mahathir mengambil keputusan untuk menyahkan label ‘rahsia’ kertas-kertas Jemaah Menteri untuk dipamerkan kepada umum mengenai pemilikan saham oleh Zahid.
Namun, tindakan Dr Mahathir itu tidak menjejaskan reputasi politik Zahid, walaupun sokongan Zahid terhadap perjuangan reformasi sedikit kendur.
Zahid terus kekal bersama UMNO, dan kemudiannya mendaki naik dalam politik UMNO selepas Dr Mahathir berundur (2003). Setelah Muhyiddin dipecat, Zahid dilantik sebagai TPM dan selepas Najib meletakkan jawatan Presiden UMNO, Zahid memangkunya.
Pada pemilihan UMNO 2018, selepas kekalahan BN dan peletakan jawatan Najib, Zahid dipilih secara sah dan sekali lagi kekal menerajui UMNO pada pemilihan 2023, kerana dua jawatan tertinggi tidak ditandingi.
Kemelut ini sedikit sebanyak telah menyebabkan UMNO berpecah, dan sebahagian pemimpin yang ‘tersingkir’ menjadi pengkritik tajam terhadap kepimpinan Zahid.
Ada juga cuba menghina PM X kerana reformasi yang diperjuangkan sejak tahun 1998 telah bertukar menjadi reformati ekoran kes Zahid dilepaskan dan Bung Mokhtar bersama isteri dibebaskan daripada tuduhan menerima rasuah RM 2.8 juta.
Jangan mudah koyak, telitilah apakah tujuan reformasi yang digerakkan pada tahun 1998 itu. Tujuannya adalah cukup jelas, iaitu keadilan untuk Anwar ekoran dakwaan salah laku seks dan juga pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Tidak ada pun hasrat mengelakkan daripada memberikan proses perundangan secara adil dan saksama kepada setiap orang, bukan seperti apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir menerusi Operasi Lalang 1987.
Setiap orang yang dituduh diberikan ruang untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, dan mahkamah yang akan menentukannya, bukan ahli politik, yang cakapnya paling banyak tidak boleh dipercayai (sebagaimana kajian kebolehpercayaan umum yang pernah dibuat).
Sebabnya, apabila terkena reaksi negatif, maka dikatakan ‘dikutip di luar konteks’ walhal asasnya cukup kuat untuk menyatakan pendirian tersebut.
Hipokrasi sedemikian cukup banyak berlaku. Seperti kata Presiden PAS, kerana tidak mengikuti ajaran Islam, tetapi beliau sendiri menaburkan fitnah dan pembohongan seperti mendapat ‘pengesahan daripada seorang ulama’ bahawa ‘haram menubuhkan parti lain’ untuk menentang PAS.
Beliau tidak pernah membuktikan dakwaan tersebut, dan menunjukkan surat yang dikatakan ditulis oleh Allahyarham Yusuf Qardhowi, reaksinya bila tertubuhnya Amanah. Ertinya, seseorang yang bergelar ulama juga ‘mudah koyak’ apabila meletakkan keperluan politik di atas segala-galanya.
Sebab itulah ramai yang bersetuju apabila Dr Khairudin Aman Razali mengatakan ‘selagi ada syaitan, selagi itulah ada jalan syaitan’.
Apa bukti bahawa 30 peratus pengundi muda (mengundi PH) yang berumur 21 tahun’ itu adalah mereka yang ‘tidak mengaji kitab, (tidak) mengaji agama, (tapi) mengaji dengan telefon bimbit, mengaji dengan facebook, mengaji dengan WhatsApp’?
Apakah semua yang menggunakan aplikasi Tik Tok untuk berkempen memenangkan PN itu semuanya pembaca kitab, mengaji agama dan cukup sempurna ilmu agamanya?
Kalau semuanya pendokong, penyokong dan pengundi PAN ‘mengaji agama, membaca kitab’ sudah tentunya politik kebencian, fitnah dan memfitnah tidak akan berleluasa.
Sebaliknya, sepanjang kempen politik pada PRN ke-15 yang lalu, banyak sekali fitnah yang disebarkan dalam aplikasi Tik Tok sehingga ramai yang terpengaruh, sehingga hanya ada dua contoh ‘yang menentang perjuangan Islam’ di Kelantan.
Cuba kita tengok, siapakah ‘yang menentang perjuangan Islam’? Kita kembali kepada asas, apakah PAS itu Islam?
Secara jelasnya, PAS bukanlah Islam, hanya sebuah parti politik yang menggunakan Islam sebagai ideologi politik. Ideologi tidak pernah hadir dalam kamus Islam, kerana ideologi itu adalah ciptaan manusia, seperti juga parti politik.
Parti politik adalah alat, bukan perintah yang diwajibkan oleh Islam. Kerana itulah ada negara tidak membenarkan ditubuhkan parti politik, kekalkan sistem pemerintahan berbentuk monarki seperti negara-negara teluk.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments