Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk mengecam penganut agama lain, bahkan setiap penganut Islam diwajibkan menghormatinya selagi ‘tidak memerangi Islam’. Dalam hal tersebut, nyatalah parti itu cukup ‘esktrem’, sedangkan dalam Islam tidak ada makna ‘tindakan melampau’ bahkan ‘mereka yang melampau’ dianggap mengingkari Islam. Itu tidak berlaku dalam politik Islam yang diperjuangkan sehingga boleh sahaja mengkafirkan muslim yang ‘tidak menyokong’ dan ‘mengundi parti lain’ sebagai ‘melawan perjuangan Islam’.
Suatu sikap politik yang tidak sepatutnya berlaku sesama Islam, kerana ia telah menyebabkan kesatuan umat Islam terbelah oleh fahaman politik, sedangkan perbezaan pandangan dan pemikiran, tidak menjadi sesuatu yang diharamkan dalam Islam, selagi tidak menjejaskan akidah atau membawa kepada perbuatan syirik dan maksiat.
Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW setelah berhijrah ke Madinah dan dalam tempoh sepuluh tahun, Madinah muncul sebagai sebuah model pemerintahan Islam yang paling menarik untuk diberikan perhatian, menjadi contoh bagaimana kehidupan masyarakat majmuk berjaya disatukan dalam sebuah kemuafakatan yang besar.
Seorang anak muda yang cuba memahami teladan Nabi Muhammad SAW setelah selesai melakukan ibadah – Haji dan Umrah – memberikan padangan cukup menarik, yang lahir daripada hatinya yang tulus ikhlas untuk melihat Islam kembali bersinar dengan nilai keislaman sebenar menulis:
“Bagiku yang sudah berziarah ke Madinah, meneladani Nabi Muhammad SAW merupakan suatu keniscayaan. Nabi telah mewarisi berbagai ilmu dan moralitas yang dapat dijadikan petunjuk dalam hidup.
“Setiap muslim yang meneladani ajarannya dengan konsisten dan bertanggungjawab, maka ia akan merasakan hidup ini tanpa beban dan dipenuhi kebahagiaan. Di dalam hadisnya disebutkan: Agama yang paling disukai oleh Allah SWT adalah agama Islam yang mengajarkan kebenaran dan toleransi. (Hadis riwayat Ibnu Abi Syaybah dan Bukhari).
“Di satu sisi, setiap Muslim diperintahkan untuk menegakkan kebenaran, terutama yang berkaitan dengan ketauhidan. Iman kepada Allah SWT merupakan manifestasi ketauhidan. Hal tersebut mesti menjadi fondasi yang kuat bagi setiap Muslim, sehingga penghayatan terhadap semakin kokoh.
“Tetapi hal tersebut tidaklah cukup, kerana diperlukan sebuah komitmen untuk menjadikan iman sebagai modal untuk membangun kehidupan yang damai dan toleran.
Dalam beberapa tahun terakhir, mereka yang mengusung bendera kekerasan, bahkan terorisme dengan mengatasnamakan agama semakin meluas. Mereka menganggap, bahawa akidah ialah suatu hal yang utama dan paling utama. Akidah harus diperjuangkan, meskipun dengan menggunakan kekerasan.
“Di masa lalu, kelompok mereka itu dikenal dengan kalangan Khawarij. Mereka mempunyai klaim kedaulatan Tuhan, yang dikenali dengan slogan, la hukma illallah. Tiada hukum kecuali (hukum) Allah Allah SWT.
“Secara sepintas, pandangan tersebut memuat sebuah pesan yang amat mulia. Tetapi, kemudian pesan tersebut mengalami distorsi, kerana ajakan untuk menegakkan hukum Tuhan dilakukan dengan cara-cara yang tidak sesuai dengan etika Islam. Mereka mengabsahkan diskriminasi dan kekerasan dengan menggunakan atas nama agama.
“Sebab itulah, Imam Ali bin Abu Thalib sengat mengkritik pandangan teologis kalangan Khawarij tersebut dengan ungkapan yang puitis: kalimatmu haqqin yuradu biha al-bathil. Sebuah ungkapan yang berisi tentang kebenaran, tetapi tujuan dari ungkapan tersebut hakikatnya adalah ketabilan.” (Zuhairi Misrawi, Madinah: Kota Suci, Piagam Madinah dan Teladan Nabi Muhammad SAW, Jakarta: Penerbit Buku Kompas, 2009, hal.415-416).
Contoh yang lain mungkin kita dapat memahami bagaimana seorang pemuda Yahudi kelahiran Austria, yang pada awalnya dihantar ke Timur Tengah untuk menulis berita-berita mengenai kehidupan masyarakat Arab akhirnya bersyahadah.
Kisah Leopald Weiss (Muhammad Asad, 1900-1992) cukup menarik, yang terakam dengan pelbagai rasa keanehan dan ketakjubannya selama 21 hari mengembara di padang pasir, yang akhirnya membawa beliau kepada bersyahadah, yang tentunya sepanjang pengembaraan itu mengalami pelbagai kejutan budaya dan kejanggalan.
Setelah memeluk Islam, pemuda keturunan Austria itu menggunakan nama Muhammad Asad. Beliau kemudiannya menjadi seorang yang cukup dipercayai dan dihormati oleh masyarakat, bukan sahaja di Arab Saudi, bahkan ketika Pakistan baharu mencapai kemerdekaan, Muhammad Asad dilantik mengetuai sebuah badan pemikiran untuk membantu pembentukan perlembagaan Pakistan dalam konteks Islam.
Muhammad Asad kemudiannya dilantik sebagai Duta Pakistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang digunakan untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat antarabangsa mengenai pembentukan dan aspirasi Pakistan melembagakan sebuah pemerintahan berteraskan konsep Negara Islam.
Sebahagian pengalaman tersebut terakam dengan menarik dalam catatan perjalanannya, yang diterbitkan pada tahun 1954 di New York, Amerika Syarikat, The Road to Mecca manakala asas pemikiran tentang konsep pemerintahan Islam dalam The Principles of State and Government in Islam (1961).
Dua buku tersebut sudah ada terjemahan dalam bahasa Melayu: Jalan ke Mekah (terjemahan Mukhriz Mat Rus dan Ahmad Nabil Amir) terbitan Islamic Renaissance Front (2019); dan Prinsip Pemerintahan dan Kerajaan Dalam Islam (terjemahan Ahmad Yunus Mohd Noor dan Ahmad Nabil Amir) terbitan Penerbit UKM (2019).
Sebuah lagi buku kumpulan rencana dan syarahan Muhamad Asad yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu ialah Islam di Persimpangan Jalan (2016), dari Islam at the Crossroad (1934 dan dicetak ulang pada tahun 1982), yang didedikasikan kepada ‘generasi muda Islam hari ini dengan harapan ia dapat memberi manfaat’ untuk melihat bagaimana cabaran pemikiran yang sedang dihadapi oleh umat Islam atas kecenderungan “meniru peradaban asing”, “akibat dari rasa rendah diri”.
Kritik Muhammad Asad: Peniruan kepada peradaban barat tidak dapat menjadi jalan yang tepat untuk membangkitkan semula dunia Islam dari kelembaban mental dan sosial disebabkan oleh penghakisan agama yang praktikal kepada hanya kebiasaan yang kosong daripada semua kehidupan dan desakan moral.
“Islam ….tidak hanya ‘kepercayaan hati’ tetapi juga program kehidupan individu dan sosial yang sangat jelas…Ia dapat dihancurkan dengan diserapkan kepada budaya asing yang memilik pada asasnya landasan moral yang berbeza.
“Demikian juga. ia dapat dibangunkan semula sebaik ia dikembalikan kepada realitinya yang sebenar dan diberikan nilai dari faktor yang menentukan dan membentuk kewujudan peribadi dan sosial kita dalam semua aspeknya.
“Masalah yang mendepanu umat Islam hari ini adalah masalah pengembara yang telah sampai ke simpang jalan. Dia dapat kekal di mana dia berada; tetapi itu akan bermakna kematian oleh kelaparan.
“Dia dapat memilih jalan yang menunjukkan tanda “Ke arah Peradaban Barat”; tetapi kemudian dia harus menyatakan selamat tinggal kepada masa silamnya selama-lamanya. Atau dia dapat memilih jalan yang lain, yang padanya tertulis: “Ke arah Realiti Islam”.
“Dan, hanyalah jalan ini sahaja yang dapat menarik mereka yang percaya pada masa silamnya dan dalam kemungkinan transformasinya kepada masa depan yang hidup.” (Muhammad Asad, Islam di Persimpangan Jalan, terjemahan Ahmad Nabil Amir, Kuala Lumpur: Islamic Renaissance Front, 2016, hal. 73-74).
Saya harap sambungan catatan perjalanan seterusnya Muhammad Asad sehingga kematiannya, The Unromantic Orient (2004) diterjemahkan ke bahasa Melayu dalam masa terdekat, biarpun edisi bahasa Inggerisnya telah saya baca beberapa tahun lalu.
Muhammad Asad cukup kagum dengan pandangan falsafah Muhammad Iqbal (1877-1938), yang dianggap sebagai ‘pemberi ilham’ kepada penubuhan pergerakan kemerdekaan Pakistan.
Antara jejak yang menarik perhatian Muhammad Asad ialah situasi yang berlaku pada longgokan rumput kering yang ‘sudah mati’, apabila terkena percikan air ketika sedang mengambil wudhu’, rumput yang mati itu ‘bangkit kembali’ perlahan-lahan membetulkan kedudukannya sehingga dilihat ‘hidup kembali’.
Pengalaman itu cukup membekas dalam nurani Muhammad Asad sehingga:
“Aku menahan nafas ketika menuang lebih banyak air ke rumpun rumput itu. Bilah-bilah bergerak lebih cepat, lebih garang, seolah ada kuasa tersembunyi yang menolaknya keluar dari jalan menuju kematian.
“Betapa indah melihat, bilah-bilah itu mengembang dan mendepa seolah bucu-bucu tapak sulaiman, tampak jelas seolah diselubungi malu, tapi tidak juga terdaya untuk dikawal.
“Umpama satu pesta kecil penuh keriangan. Maka nyawa masuk semula dengan jayanya, sedangan semua itu terdahulunya seolah telah mati. Nyawa memasuki dengan ketara, dengan penuh tekad dan kegagahan, dan keagungannya itu ternyata di luar batasan kefahaman.” (Muhamad Asad, Jalan ke Mekah, 2019, hal. 14).
Peristiwa itu cukup memberikan kesan psikologi dan spiritual kepada Muhammad Asad, apabila beliau turut tersesat ketika mencari seekor unta yang tidak lagi kelihatan setelah penunjuk jalannya, Zayd mengalami masalah kesihatan.
Dalam masa pencarian tersebut, beliau melihat keagungan kehidupan berada di situasi ‘kehebatan dalam kerumitan’, acapkali ‘membawa kejutan’ ada wangian yang tidak bernama dan lanskap-lanskap yang sentiasa berubah.
Saya petik episod yang cukup menarik dan berkesan itu, walaupun panjang penceritaannya (dari halaman 25 hingga ke halaman 29, dalam Jalan ke Mekah).
“Aku menunggang untuk sejam, dua dan ketiga: tetapi jejak haiwan sesat itu tidak berpenghujung, seolah dengan sengaja melepaskan diri. Waktu dhuha menjelang dan aku berhenti rehat sebentar, turun dari unta, jamah beberapa butir kurma dan minum air dari kantung kulit yang tergantung pada pelana.
“Matahari menjulang tinggi, tapi agak kurang dilalunya. Awan kelabu, yang jarang ada pada musim ini terapung tidak bergerak di langit; tebalnya aneh, udara padu menyelubungi padang pasir dan melenturkan garis bentuk gumuk-gumuk pasir melebihi kebiasaan.
“Satu gerakan aneh di puncak buki pasir yang tinggi di depan menarik pandanganku- apakah ini seekor haiwan? Unta sesat? Tapi bila kulihat dengan teliti, pergerakan itu hakikatnya dari dalam puncak gumuk pasir, bukan di atasnya; puncak bukit itu bergerak-gerak, sedikit demi sedikit – dan kemudian kelihatan menitis ke bawah dari cerun ke arahku dengan perlahan.
“Warna merah gelap menyelubungi langit dari belakang gumuk pasir; menjadikan garis-garis langit kian kabur, seolah sehelai selubung sedang dihamparkan; dan cahaya samar kemerah-merahan mula tersebar pantas ke seluruh padang pasir. Awan pasir berpusar sekitarku dan menerpa wajahku, dan secara mendadak angina bertiup dari semua arah, menyilang lembah dengan tiupan kencang.
“Pergerakan jatuh puncak bukit pertama telah disusuli dengan bukit-bukit pasir lain dalam sekelip mata. Dalam beberapa minit, langit menjadi kelam coklat karat, dan udara dipenuhi debu pasir, seolah kabus kemerahan, mengaburi matahari dan siang. Ia adalah ribut pasir tanpa ragu.
“Unta yang sedang kududuk, ketakutan dan mahu bangun. Aku menarik talinya agar ia turun, sedang aku berhempas pulas melawan angin, yang kini segagah taufan. Aku berjaya mengikat kedua kaki unta itu, dan bagi lebih selamat, satu kaki belakangnya juga. Kemudian aku terus berbaring di tanah dan menutup kepalaku dengan abaya.
“Aku sembamkan mukaku pada ketiak unta agar tidak tercekik pepasir yang berterbangan, Aku rasa haiwan itu menekan muncungnya pada bahuku, pastinya atas sebab yang sama. Aku dapat rasakan pasir menimbusi bahagian badanku yang tidak dilindungi badan unta, dan terpaksa bergerak-gerak agar tidak ditimbun pasir.
“…..Bila ribut akhirnya reda, aku goyangkan badan bagi singkirkan pasir yang telah menimbus. Untaku terbenam separuh dalamnya, tapi bukanlah satu pengalaman terburuk buatnya yang pernah hadapi beberapa kali.
“Bahkan ribut itu juga, sekali pandang, tidak mendatangkan apa-apa kerosakan selain memenuhkan pasir dalam mulut, telinga dan hidungku, dan menerbangkan sedikit kulit kambing dari pelanaku. Namun kemudian, aku sedar kesilapanku.
“Kini tiada apa yang tinggal, lebih baik kembali ke khemah – atau sekurang-kurang mencari jalan pulang – dengan bantuan matahari dan pancaindera yang ada untuk mencari arah, yang hakikatnya adalah naluri bagi yang telah biasa berkelana di padang pasir.
“Namun kedua alat bantuan ini tidaklah begitu boleh diharapkan, memandangkan gumuk-gumuk pasir adakala menghalang kau mengikuti garis lurus atau untuk kekal melalui arah yang dipilih.
“Ribut telah menjadikan aku dahaga. Memandangkan aku tak menyangka akan berada jauh dari khemah begitu lama, aku telah habiskan air dari kantung kulitku yang kecil itu.
“…Satu, dua, tiga jam berlalu, akan tapi belum nampak batang hidung Zayd atau khemah kami. Tidak langsung kelihatan bukit-bukit berwarna jingga yang boleh dicamkan; sememangnya agak sukar untuk cam bukit-bukit itu sekalipun tidak berlakunya ribut.
“Lewat tengah hari, aku menemui singkapan bebatu granit, yang agak pelik kerana berada di tengah pepasir, maka dengan mudah dapatku cam bebatu itu; aku dan Zayd pernah melalui tempat ini, tengah hari semalam, tak berapa lama sebelum berhenti berkhemah malamnya.
“Lega rasanya; walaupun ternyata aku telah terlepas dari tempat di mana aku berharap temui Zayd – mungkin dia hanya beberapa batu jauh dari sini. Nampaknya sekarang tidaklah begitu rumit untuk mencarinya, dengan terus menuju ke arah barat daya, sebagaimana telah kami lakukan semalam.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments