“Pejuang-pejuang kemerdekaan tidak memikir dan terfikir untuk mendapatkan sesuatu bagi diri mereka sendiri. Tumpuan mereka adalah kepada maruah bangsa, agama dan tanah air. Perselisihan antara pemimpin-pemimpin Melayu dalam tahun-tahun sebelum merdeka bukan kerana jawatan, tetapi kerana pendekatan dalam memperjuangkan nasib bangsa.
“Oleh kerana perjuangan yang ikhlas, Allahyarham Dato Onn, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham-Allahyarham Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Tun Sardon Jubir dan lain-lain tokoh berjaya menebus kemerdekaan negeri-negeri Melayu dan membentuk sebuah negara. Secara kebetulan sahaja mereka mendapatkan jawatan-jawatan yang tinggi dalam Kerajaan dengan pendapatan yang tetap dan kuasa tertentu. Tetapi perjuangan mereka bukanlah untuk mendapatkan jawatan dan kuasa. Mereka berjuang kerana bangsa, agama dan tanah air.
“Mereka tidak taksub dengan kuasa. Mereka tidak menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi. Apa yang dibuat oleh mereka adalah untuk kebaikan umum, untuk orang Melayu, untuk agama dan untuk tanah air.” Dr Mahathir Mohamed, PWTC, Jumaat 8 November 1991.
________________________________________________________________
Pandangan Dr Mahathir itu menggambarkan situasi kepimpinan politik di awal perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan, tetapi tidak kepada budaya politik selepas berakhirnya kepimpinan politik PM ke-3. Ini bermakna, selepas Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Hussein Onn, politikus di Malaysia semakin ‘mudah koyak’ termasuk Dr Mahathir sendiri, yang menjadi PM ke-4 selama 22 tahun (1981-2003).
Politikus selepas Tun Hussein Onn dilihat cukup cenderung untuk mencari kekayaan peribadi, di mana kelompok yang berjuang atas usaha menegakkan ‘ketuanan Melayu’ semakin kerdil. Lebih membuak-buak ialah kemunculan kumpulan yang mempunyai kesedaran untuk mencari kekayaan menerusi ‘menguasai kontrak-kontrak kerajaan’ atas nama Melayu dan Bumiputera, sehingga muncul dengan banyaknya kelompok “orang kaya baru –OKB” dalam UMNO.
Hal ini dibincang dengan menariknya dalam beberapa buah buku yang mencari analisis mengenai kejatuhan UMNO dalam perspektif politik Malaysia sejak Dr Mahathir menguasai semula UMNO menerusi penubuhan UMNO (Baru) pada tahun 1988. Bagaimanapun Mahathirisme juga turut menghancurkan keupayaan UMNO yang diwarisi oleh PM selepas berundurnya Dr Mahathir; kemudiannya Mahathir cuba bangkit semula untuk menumbangkan Najib dan kuasa politik UMNO selepas 15 tahun melepaskan jawatan sebagai PM ke-14 (2003), dengan memimpin kelompok pembangkang setelah berpecahnya Pakatan Rakyat ekoran krisis yang membabitkan kerjasama antara PAS dan DAP (Tahaluf Siyasi).
Pakatan Harapan, gabungan baharu yang muncul selepas tertubuhnya Amanah, dan diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM atau Bersatu) – ekoran perubahan orientasi kepimpinan PAS untuk kembali kepada kepimpinan ulama dan krisis UMNO ekoran meletusnya Skandal 1MDB (pemecatan Muhyiddin, Timbalan Presiden UMNO dan Shafie Apdal Naib Presiden UMNO.
Dr Mahathir mengambil inisiatif untuk menyatukan semula gabungan parti-parti pembangkang, yang ketika itu seolah-olah bercelaru seperti ‘anak ayam kehilangan ibu’, bercempera apabila Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya. Anwar kemudiannya dipenjarakan atas kesalahan liwat II selama 5 tahun (mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan 7 Mac 2014) oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015.
Kemunculan Laporan Audit mengenai ‘salah mengurus 1MDB’ menjadi pemangkin penentangan Dr Mahathir, Muhyiddin dan Shafie terhadap kepimpinan Najib, yang ada juga pemerhati memberikan pandangan ialah disebabkan faktor oportunis Muhyiddin, kes tersebut ingin dijadikan batu loncatan. Jika Muhyiddin tidak mengambil peluang tersebut, kedudukannya akan berakhir setakat itu, jika dilihat daripada perspektif umur, berbanding dengan Najib yang mungkin berjaya melakukan pengukuhan imejnya.
Mahathir juga ada masalahnya. Mahathir yang ikut merasakan kecewa dengan Najib bekerjasama dengan Muhyiddin menubuhkan PPBM dan kemudian merintis untuk menghidupkan pakatan pembangkang untuk menumbangkan UMNO/BN dan menjatuhkan Najib. Itu adalah hasrat kedua gabungan parti pembangkang. Sebelumnya (Pakatan Rakyat) meletakkan hasrat menafikan penguasaan dua pertiga BN di Dewan Rakyat, ia telah berjaya dilakukan pada PRU ke-12 (2008). BN juga kehilangan kuasa di empat buah negeri – Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor- selain gagal ‘merampas’ Kelantan daripada PAS (sejak PRU ke-8, 1990). Igauan ‘merampas’ Kelantan dikatakan memuncak selepas kedudukan DUN Kelantan ibarat ‘telur di hujung tanduk’ selepas UMNO/BN mencapai kejayaan besar pada PRU ke-11, 2004.
Pada PRU ke-14 (2018), Pakatan Harapan berjaya menumbangkan penguasaan UMNO/BN. Dr Mahathir kembali dilantik sebagai PM untuk kali kedua, tetapi, gelora dalam yang berlaku dalam gabungan itu tidak mudah dilembutkan dengan berkesan. Masing-masing parti ada keinginan untuk mendominasi, termasuk PPBM sendiri yang hanya menguasai 13 kerusi tetapi diberikan kuasa sebagai peneraju. Ia berbeza dengan kedudukan DAP dan PKR yang lebih besar. Apa yang dilaporkan, Dr Mahathir adalah PM sementara, yakni dalam tempoh enam bulan, atau sehingga Anwar mendapat pengampunan, dibebaskan dan layak untuk mengambil alih jawatan sebagai PM.
Itulah arus dalam yang menguasai gelora Pakatan Harapan. Gelora itu menjadi semakin kencang selepas Anwar berjaya memenangi PRK Port Dickson (13 Oktober 2018) dan kembali ke Dewan Rakyat. Desakan demi desakan berlaku, menyebabkan muncul dua kelompok dalam PH 1.0, terutama dalam kepimpinan Bersatu dan PKR. Salah satu kelompok ini melihat jika Dr Mahathir tidak dijatuhkan, ia akan memberikan ruang kuasa yang lebih besar kepada DAP, di mana DAP secara terang-terangan mahukan ‘peralihan kuasa’ dipercepatkan. Jadi, Dr Mahathir perlu ‘menjinakkan pemimpin DAP’, untuk terus kekal berkuasa manakala sebahagian besar penyokong Azmin Ali (PKR) tidak bersedia dengan proses peralihan kuasa sebelum cukup edah PRU ke-14.
Namun, hayat politik dalam kebangkitan kedua tidak panjang, Dr Mahathir diruntuhkan dari dalam Pakatan Harapan sendiri melalui Langkah Sheraton pada 24 Februari 2020. Kini, selepas kalah teruk dalam PRU ke-15 (2022), Dr Mahathir cuba mencari semula formula untuk menempatkan kembali kedudukannya dalam kemelut kuasa dan mempengaruhi lanskap politik baharu dengan memperkenalkan Proklamasi Orang Melayu.
Setakat ini, beliau belum dianggap berjaya kerana liabilitinya kepada orang Melayu masih membebankan walaupun sudah boleh bekerjasama dengan PAS dan Bersatu. PAS merupakan parti yang pernah dikecam dan ditolaknya atas sifat ektremisme dan tidak menuju kepada politik Islam yang sebenar, lebih mirip kepada Islamisme manakala Bersatu ialah parti yang ditubuhkannya bersama Muhyiddin Yassin, yang kemudian diberikan tanggungjawab sebagai aktor utama memimpin Pakatan Harapan untuk menumbangkan Najib dan UMNO/BN. Muhyiddin akhirnya memecat Dr Mahathir dan beberapa orang lagi selepas Langkah Sheraton.
Bersatu sebenarnya dikuasai secara mutlaknya oleh kumpulan ‘katak politik’ dan kini dikaitkan pula dengan skandal Jana Wibawa (Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa, yang tujuannya membantu kontraktor Bumiputera yang berhadapan dengan masalah akibat pandemic COVID-19, yang dikenakan PKP selepas dua minggu Muhyiddin mengangkat sumpah (1 Mac 2020) sebagai PM ke-8.
Ia kemudiannya menjadi semakin berleluasa setelah Dr Mahathir memperkenalkan Dasar Penswastaan dan Persyarikatan Malaysia, di mana entiti kerajaan dan syarikat yang ditubuhkan oleh UMNO dipindahmilikkan dengan pelbagai cara, termasuk ketika UMNO dapat kembali aset-asetnya selepas diharamkan pada tahun 1988.
Lebih menarik lagi, ketika itu muncul beberapa orang tokoh korporat mengambilalih aset atau saham yang dimiliki oleh UMNO seperti yang berlaku dalam urusan pembelian saham UMBC, yang berjaya dikuasai oleh Daim Zainudin, yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kewangan. Daim juga berjaya menguasai beberapa projek besar, yang awalnya dilaksanakan oleh agensi kerajaan menerusi dasar penswastaan yang dimulakan pada awal tahun 1990, seperti Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
Kisah bagaimana Dr Mahathir berjaya membangunkan crony-capitalism menjadi fokus kajian beberapa orang ahli akademik dan juga masyarakat antarabangsa. Antara penulisan yang cukup menarik mengenai dasar ekonomi Dr Mahathir – yang kemudiannya dikelompokkan bersama dengan dasar politiknya dikenali sebagai Mahathirisme – menjadi bacaan umum yang tidak pernah dinafikan secara memadai selepas beliau melepaskan jawatan sebagai PM ke-4 pada tahun 2003.
Antaranya, Barry Wain, Muslihat Mahathir (2022), terjemahan dari Malaysia Maverick: Mahathir Mohamed in Turbulent Times (2009); John Hilley, Malaysia: Mahathirisme, Hegemoni dan Pembangkang Baru (2009), terjemahan dari Malaysia: Mahathirism, Hegemony and the New Opposition (2001); Khoo Boo Teik, Paradoxes of Mahathirisme (1995); RS Milne dan DK Mauzy, Malaysian Politics Under Mahathir (1999); In-Wong Hwang, Personalized Politics: The Malaysian States Under Mahathir (2003); Edmund Terence Gomez, Minister of Finance Incorprated (2017); Edmund Terence Gomez dan Jomo KS, Malaysia’s Political Economy: Politics, Patronage and Profits (1997); Peter Searle, The Riddle of Malaysian Capitalism (1999); Edmund Terence Gomez, Money Politics in the Barisan Nasional (1991); dan William Case, Mahathir’s Successors Sharpening Dilemmas in Malaysian Politics (https://digitalcommons.law.umaryland.edu).
Istilah ‘mudah koyak’ menjadi popular apabila MB Kelantan, seorang panglima perang PAS menyindir dua orang ADUN, iaitu ADUN Galas dan ADUN Kota Lama, yang menjadi penghalang kepada parti itu untuk seratus peratus dalam PRN lalu bagi Kelantan. Daripada 45 kerusi yang dipertandingkan, PAS menang 43. Panglima Perang PAS itu dipilih sebagai MB Kelantan menggantikan Ahmad Yaakob yang menolak untuk tidak dikekalkan ke jawatan tersebut setelah dua penggal menguasainya (2013-2023).
Mohd Nassuruddin Daud berkata demikian selepas dua ADUN tersebut memintanya memohon maaf di atas ujaran yang menyatakan bahawa mereka merupakan ‘dua contoh yang melawan perjuangan Islam’, yang kemudiannya disifatkan sebagai ada unsur ‘takfiri’.
Setelah tempoh memohon maaf berakhir (27 Ogos 2023), Nassuruddin enggan memohon maaf, dua ADUN tersebut meminta peguam mereka untuk memfailkan saman. Oleh kerana diancam bakal dihadapkan dengan saman fitnah, Nassuruddin menyindir bahawa seseorang politikus agar tidak ‘mudah koyak’ yang bermaksud tidak terasa hati atau rasa terhina dengan apa sahaja komen yang dibuat.
Bagaimanapun, setelah saman itu difailkan, Nassuruddin mengemukakan saman ke atas ADUN Galas, ADUN Kota Lama dan Pengerusi UMNO Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub berkaitan dengan ‘takfiri’ (4 September 2023). Bagi Nassuruddin, sejak menceburi politik, beliau tidak pernah mengamalkan budaya ‘takfiri’ itu kerana sedar, jika orang yang dituduh itu ‘tidak kafir’, dakwaannya akan berbalik kepada dirinya.
Tetapi, ramai orang mengetahui, Nassuruddin bukanlah seorang politikus yang cukup berhemah percakapannya, bahkan pernah mengatakan bahawa PM X ‘tidak kenal tahi sendiri’, manakala kempen politiknya cukup banyak menghina parti lawan.
Dalam hal ini, rakyat Kelantan sebahagiannya mula mempersoalkan peribadi Nassuruddin yang dipilih sebagai MB Kelantan, termasuk kelulusan akademiknya, dan ketokohannya sebagai pemimpin yang akan menerajui negeri yang cukup bermasalah dengan kemudahan asas itu.
Yang paling hangat diperkatakan ialah mengenai bekalan air bersih yang gagal dipenuhi setelah 33 tahun memerintah selain tidak mempunyai asas-asas atau projek pembangunan yang dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. Dianggarkan sekitar 34 peratus golongan muda setiap tahun mencari pekerjaan di negeri-negeri di Pantai Barat, yang tidak ditadbir oleh PAS.
Paling menarik ialah dalam setiap musim pilihan raya diadakan, pelbagai usaha dilakukan oleh kepimpinan PAS untuk menarik sokongan ‘pengundi perantau’ agar pulang ke Kelantan untuk membuang undi.
Pada PRN lalu, disediakan ‘bas percuma’ kepada pelajar-pelajar institusi pendidikan tinggi di luar Kelantan untuk pulang mengundi, yang sebahagian besarnya diindoktrinasikan dengan seruan mempertahankan pemerintahan Islam manakala pengundi yang menetap di Kelantan diminta agar kekal mempertahankan ‘kerajaan Islam’.
Memilih PAS (PN bererti “memilih Islam”; tidak memilih PAS (PN bererti menolak “perjuangan Islam”. Atas sebab itulah dalam poster kempen, bunting dan sepanduk cukup hebat diserukan agar memilih parti itu sebagai titik perjalanan ‘bersama ke syurga’, yang merupakan versi terbaharu daripada doktrin ‘undi PAS masuk syurga’ yang digunakan sejak tahun 1960-an lagi.
Namun, dalam keceluparannya mengecam Anwar Ibrahim, beliau berhasrat untuk menjalin hubungan baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, kerana beliau sedar, dari segi kekuatannya, Kelantan tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.
Kelantan sangat memerlukan bantuan kerajaan pusat, walaupun salah seorang pemimpin kanan PAS pernah mengatakan, tidak lagi bergantung kepada kerajaan pusat sekiranya mampu mengurus dan melombong REE (logam nadir bumi) apabila rakyat memberikan mandat kepada parti itu untuk meneruskan pentadbiran Kelantan.
Dikatakan bahawa Kelantan mempunyai rezab REE bernilai RM 125 bilion, yakni 15.7 peratus daripada nilai rezab REE seluruh negara (RM 800 bilion). Jika anggaran rezab itu betul, bermakna nilai hasil REE di Kelantan adalah lebih besar daripada Kedah (RM 43 bilion), yakni hampir tiga kali ganda.
_________________________________________________________________
Al-Ghazali, atau nama lengkapnya Al-Imam Hujjat al-Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali al-Tusi sepanjang hayatnya menjadi seorang ilmuan yang cukup terkenal dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam, jasa dan sumbangannya telah berjaya membentuk pemikiran dan kefahaman tentang Islam sepanjang zaman.
Dalam mukadimah karya magnum opusnya, Ihya Ulumuddin – mengandungi 40 kitab yang memfokuskan empat pembahagian utama (rubu’), rubu’ al-ibadat, rubu’ al-adat, rubu’ al-muhlikat (perkara-perkara yang membinasakan) dan rubu’ al-munjiyat (perkara-perkara yang menyelamatkan) – tujuannya ialah menzahirkan kembali “ilmu jalan akhirat/’ilm tariq al-akhirah” kepada manusia. Manusia semakin terpesona dengan ‘pesona dunia’ sehingga sebahagian besarnya ‘sesat’ dan sanggup memusnahkan kehidupan sebagaimana difitrahkan. Akibatnya, lebih ramai manusia mencari kebahagiaan semu berbanding kebahagiaan sebenar, yang kekal dan abadi.
Kebahagiaan yang semu (sementara) itulah menyebabkan ulama yang sepatutnya menjadi pewaris Nabi, yang selama ini menjadi penunjuk jalan kepada masyarakat hampir pupus, dan sebahagian besarnya menjadi ‘ulama palsu’ yang dikuasai syaitan. Mereka (ulama suu’) adalah penindas dan pelampau yang mencari peluang memenuhi kepentingan diri kerana semakin cenderung menukarkan yang mungkar itu kepada makruf, yang makruf itu mungkar.
Atas ‘kepentingan diri’, para ulama suu sanggup menghilangkan cahaya petunjuk yang benar, dengan mengelirukan masyarakat dengan khayalan palsu, bahkan mengehadkan persoalan kehidupan manusia hanya dengan tiga ilmu, iaitu ilmu feqh dan fatwa; ilmu kalam dan ilmu bahasa.
Atas persekitaran itulah maka masyarakat umum amat ‘mengkagumi para fuqaha’ atau orang yang cekap mengeluarkan fatwa, para mutakallimun yang hebat berdebat, dan para pendakwah yang petah bercakap dengan pelbagai gaya berbahasa (berirama, saja muzakhraf; bermajaz), dan berkelakar atas alasan tidak menyebabkan khalayak mengantuk.
Lebih menyedihkan apabila berceramah (agama) menggunakan bahasa kesat, menghina dan memperlekehkan orang lain, termasuk memperbodohkan khalayak sendiri. Mereka kemudiannya digelar ‘penceramah popular’ dan sangat mendapat perhatian (crowd puller), memasuki carta ‘pecah panggung’, menjadi rebutan pihak penganjur.
Malangnya, penceramah selebriti tidak akan hadir memberikan ceramah secara percuma, perlu dibayar ribuan ringgit jika mahu diundang. Tiada bayaran, tiada ceramah, walhal tugas menyampaikan dakwah tidak pernah ditetapkan harganya, malah mereka yang berdakwah di jalan Allah SWT wajib berkorban apa sahaja, termasuk ilmu dan harta.
Inilah yang berlaku pada period awal Islam, mereka mengorbankan harta demi untuk menegakkan Islam, bahkan ikut berkorban nyawa demi Islam. Ia sangat berbeza dengan persekitaran sekarang, semuanya menjadi gah dan terbilang dengan wang. Dan, kerana wang, ramai juga agamawan sanggup ‘menipu’, mempromosi pakej umrah palsu dan mengenakan bayaran menunaikan haji dengan permit furada yang tidak dimiliki.
Begitu juga bila kita melayari internet, ada agamawan menjadi ‘duta produk’ yang belum pasti berkesan, tetapi sangat cenderung menggunakan rekomendasi tertentu, seperti ‘makanan sunnah’, ‘minyak wangi kegemaran Rasulullah SAW’, selain buku-buku agama dan al-Qur’an dalam pelbagai edisi, yang dijual cukup mahal. Bahkan, ada yang lebih mahal daripada harga di pasaran terbuka.
Bila dipersoalkan, maka dijawabnya, itu adalah satu bentuk perniagaan, promosi mesti hebat, rekomendasi cukup indah dan kadangkala sengaja dibuat begitu untuk menarik seramai mungkin pelanggan. Boleh sahaja gunakan wanita cantik, seksi, gedik untuk membina khayalan dan imajinasi, janji produk laku dan menerima tempahan ‘berlambak-lambak’.
Ditunjukkan bungkusan yang sedang diproses untuk dihantar. Sayangnya, rekomendasi tidak menepati, kata orang ‘indah khabar dari rupa’; langit pun boleh runtuh kalau mendengar naratif kempen audio dan juga video.
Itu adalah salah satu nilai ‘pesona dunia’.
Pada zaman al-Ghazali, pesona dunia lainnya ialah untuk mendapat tempat sebagai pembantu pemerintah atau raja, sebagai penegak hukum mahupun dilantik sebagai wazir atau gabenor, kerana kealiman (ilmu) seseorang itu menjadi indikator utama selain kebolehan menjadi pentadbir dan menyusun strategi dakwah.
Contoh yang dapat kita pelajari ialah mengenai Abu Zar al-Ghafiri, seorang yang warak, alim dan berilmu. Beliau tidak dilantik menjadi wazir oleh Rasulullah SAW kerana kelemahannya iaitu tidak mahir mengurus. Tiada ciri-ciri kepimpinan yang baik dan berkesan. Tetapi dari ilmu dan kealimannya, beliau adalah terkedepan, yakni dilabel teratas.
Dalam persekitaran politik semasa, kebolehan berhujah dan petah berpidato menjadi keutamaan (kriteria) untuk dipilih, ukurannya ialah populariti. Ramai ustaz selebriti dipilih atau dicadangkan untuk meraih kemenangan dalam sesuatu pemilihan, sehingga kadangkala ramai terlupa, keutamaan yang sangat mustahak ialah kepakaran dalam bidang-bidang tertentu, termasuk pengurusan dan pentadbiran.
Sebab itulah setelah menang, populariti itu memberikannya ruang untuk memimpin dalam skala tanggungjawab yang lebih besar, sebagai ketua negeri atau negara. Berbekalkan populariti sebagai agamawan, atau pernah dinobatkan sebagai panglima perang, yakni propagandis yang hebat, kalaupun tidak setara Dr Goebels dalam rejim politik Adolf Hitler, maka dia dipilih.
Setelah sekian lama berkuasa, menjadi pemimpin utama, tidak ada kemajuan besar dalam sistem pemerintahan, hanya sekadar menunjukkan beberapa simbol yang boleh dibanggakan sebagai indeks pembangunan. Tidak ada kemajuan besar dalam kehidupan ekonomi rakyat, juga persekitaran sosial yang semakin sehari semakin bercelaru, tiada kecukupan keperluan asas.
Setiap kali dipersoalkan, maka dijawabnya, apakah yang menjadi matlamat dalam kehidupan, kemajuan fizikal ataupun peneguhan nilai-nilai keagamaan?. Ia menjadi sesuatu yang bersifat pembodohan dan budaya penafian (denialism), sebagai pelindung kepada ketidakcekapan pengurusan hal ehwal rakyat. Menutup kelemahan seperti menyembunyikan sampah di bawah permaidani (karpet).
Di situlah munculnya pelbagai alasan yang semberono dan menyanggah belenggu tanpa akhir. Misalnya, bila dipersoalkan mengenai bekalan air bersih, dijawabnya, rakyat tahu mengatasinya dengan membina telaga dan memasakkan tiub ke perut bumi untuk mendapatkan airnya. Bila dipersoalkan apa bentuk pembangunan yang sudah dibuat, maka dijawabnya, butakah mata bila berkata Kelantan tidak ada pembangunan: AEON Mall itu apa?.
Apa pula makna sementara, ia tentunya sementara walaupun sudah melangkaui lebih 12 tahun. Selagi ada perkataan sementara, maka itulah kesementaraan yang wajib difahami. Apakah ‘kesementaraan’ itu sepadan dengan makna ‘hidup yang sementara’, manakala ‘hidup yang kekal’ adalah di alam barzakh?
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments