Tok Selehor atau nama lengkapnya ialah Abdur Rahman bin Utsman bin Senik. Ulama yang berasal dari Kelantan ini lahir di Kampung Lubuk Jong, Tumpat Kelantan tahun 1289 H/1872 M, wafat malam Khamis, 18 Zulkaedah 1353 H/20 Februari 1935 M. Tok Selehor merupakan salah seorang tokoh ulamak Melayu yang terkemuka kerana mengembangkan syi’ar Islam di Nusantara.
Tok Selehor pernah mengadakan perayaan Maulid Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang pertama mempelopori perayaan itu. Inilah suatu tranformasi berani dilakukan oleh Tok Selehor sebagai menduplikasi sejarah sambutan para kaum ansar dan muhajirin di Madinah ketika mereka berarak menyambut kedatangan Rasulallah SAW pada hari pertama sampainya beliau SAW menjejaki kaki di tanah Madinah.
Walaupun hari itu bukan hari kelahiran baginda SAW, tetapi atas dasar terlalu gembira dengan kedatangan Rasulallah SAW, mereka keluar daripada rumah dan berkumpul beramai-ramai menyambut Nabi SAW. Apatah lagi jika kita melahirkan “kegembiran” dengan terutusnya Nabi Muhammad SAW kepada kita oleh Allah tentu sekali hal ini selari dengan naluri kita, dan ia tidak pula terdapat larangan dalam syariat, kecuali majlis itu bercampur dengan aturcara-aturcara haram dan maksiat.
Namun tranformasi Maulid yang dilakukan Tok Selehor sedikit berbeza daripada guru dan sahabatnya yang mana beliau membawa pendekatan dengan cara memberi kefahaman kepada masyarakat tentang keharusan sambutan Maulidurrasul dengan cara serentak mengadakan perarakan dan bacaan Barzanji.
Pendekatan berbeza yang dibawa oleh Tok Selehor tersebut telah menjadikan beliau ulama’ Kelantan yang pertama mengadakan majlis sambutan Maulidurrasul secara besar-besaran dengan upacara tersendiri. Dalam majlis tersebut, Tok Selehor membacakan Barzanji dengan penuh perasaan (dengan alunan suaranya yang merdu) dan mengadakan perarakan secara besar-besaran bagi menanam rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat.
Cara sambutan Maulidur Rasul sedemikian pada mulanya telah mendapat kritikan dan kecaman hebat oleh akhbar-akhbar perdana pada waktu itu kerana mempelopori perayaan Maulidur Rasul secara besar-besaran. Hal demikian itu, kerana bagi sesetengah pihak perbuatan ini satu bidaah dan sesat. Kononnya, ia dianggap satu perkara yang tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Sebenarnya perayaan Maulidur Rasul adalah hal yang amat digalakkan sebagai wadah bagi melahirkan kecintaan kepada baginda Nabi Muhammad
Namun, Tok Selehor tetap meneruskan perarakan dan bacaan Barzanji, kerana mengikut pertimbangan dengan ilmu, beliau yakin ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Hasilnya ribuan manusia menyertai majlis tersebut yang bukan sahaja datang dari sekitar Kelantan, malahan ada yang datang dari luar Kelantan. Dengan cara itu anak-anak pondok lebih cepat bermesra dengan Rasulullah s.a.w. daripada hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.
Memang benar Maulidur Rasul tidak pernah disambut oleh Rasulullah SAW walaupun sekali. Begitu juga para sahabat, tidak pernah menyambut hari kelahiran Rasulullah sewaktu hayat Baginda. Malah sahabat-sahabat sendiri pada zaman itu tidak pernah menyambut hari kelahiran mereka. Hal ini kerana sambutan itu belum menjadi budaya mereka pada waktu itu.Pada zaman awal Islam belum ada keperluan untuk mereka menyambut hari kelahiran kerana mereka tidak mahu memikirkan usia mereka. Mereka juga tiada keperluan untuk menyambut hari kelahiran Rasulullah kerana setiap hari mereka boleh bertemu Rasulullah terutama apabila berasa rindu. Mereka ini meskipun tiada berkesempatan untuk bertemu Rasulullah, sekurang-kurangnya selawat akan meniti pada bibir mereka. Tetapi pada zaman tabi’in, umat Islam sudah berselerakan ke seluruh dunia dan dalam keadaan itu mereka semakin jauh dengan Makkah dan Madinah.
Praktik memperingati Maulid Nabi SAW, secara membaca Barzanji, dan lain-lain sejenisnya, sama ada dalam dunia Arab sendiri, mahu pun dalam dunia Melayu telah berjalan sejak lama, oleh itu yang dilakukan oleh Tok Selehor seperti yang tercatat di atas adalah tidak dapat dimasukkan dalam klasifikasi bida’ah dhalalah seperti yang pernah dilemparkan oleh sekelompok kecil mereka yang berfahaman aliran dinamakan “kaum muda”.
Tidak dinafikan, sebahagian mereka (umat Islam zaman muta’akhir) telah mula lupa sejarah dan roh perjuangan Rasulullah SAW. Hari itu dipilih bukan semata-mata untuk sambutan hari lahir, tetapi satu taktik untuk mengumpul orang bagi memperdengarkan kisah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan. Semoga umatIslam boleh kembali kepada ajaran Rasulullah seperti zaman sahabat dahulu. Berdasarkan sejarah itu, maka sambutan Maulidur Rasul yang dilaksanakan pada hari ini seharusnya bukan semata-mata untuk meraikan hari kelahiran Rasul. Itu bukanlah matlamat asal sambutan, tetapi lebih kepada usaha mengingatkan kembali umat Islam kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.
Kita memohon kepada Allah agar mengukuhkan keberadaan dan perjalanan hidup kita di jalan Rasulullah, menjadikan kita sebagai pengikut setia baginda, memberi kita kesempatan untuk meneguk air telaga kasihnya dan menghimpunkan kita di bawah panji kemuliaannya.
Justeru, perayaan Maulidur Rasul yang disambut saban tahun adalah di antara tanda kasih sayang dan rasa terima kasih kita terhadap Rasulullah. Selawat dan salam untuk baginda yang menyuluh jalan kita dengan syafaatnya.
“Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah iaitu nabi-nabi, para shiddiqin, syuhada dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itu teman yang sebaik-baiknya”(surah an-Nisa’: ayat 69)
Catatan : Ummu Khadeejah Abdullah
Recent Comments