Ada orang Islam yang sanggup berkorban nyawa kerana mempertahankan kesucian ayat-ayat al-Qur’an dan kerana itulah keotentikannya terus dipertahankan hingga kini. Dalam situasi yang berbeza, atas kepentingan politik, orang-orang Islam sendiri mula mempermain-mainkan kesuciannya sehingga sanggup membenarkan bukan Islam memetiknya sesuka hati.
Ayat-ayat al-Qur’an dipetik dalam konteks tertentu tanpa melihat kesesuaian konteksnya dan tidak ditegur oleh pemimpin-pemimpin Islam dan juga para mufti yang mendengar. Demikian juga ahli-ahli politik yang beragama Islam hanya tersenyum dan cuba memberikan sokongan, kononnya pemimpin politik bukan Islam itu sedang berjinak-jinak untuk memahami al-Qur’an.
Alasan mereka adalah mudah para orientalis juga mengkaji al-Qur’an untuk kepentingan politiknya. Para orientalis menggunakan al-Qur’an sewenang-wenangnya bagi membenarkan teori yang mereka ciptakan bagi menggambarkan situasi masyarakat Islam. Malah, para orientalis turut membuat tafsiran berdasarkan perspektif mereka sendiri tentang apa yang dibincangkan. Ia turut diambil dan dibincangkan di luar konteks.
Orang Islam turut terpengaruh dengan metod penelitian sedemikian, sehingga ada sarjana Islam sendiri yang ikut menggunakan kaedah ilmiah orientalis dalam melakukan tafsiran semula kepada ayat-ayat al-Qur’an. Mereka mengambil kaedah tafsiran hermenuetika yang digunakan dalam kajian Bible, dan merangka semula maksud sesuatu peristiwa dalam al-Qur’an.
Unsur-unsur yang bersifat kembali kepada ajaran sebenar telah ditafsirkan sebagai satu pendekatan yang tidak lagi relevan dengan persekitaran sekarang. Pada pandangan mereka, konteks al-Qur’an yang diturunkan kepada usaha membentuk kesatuan kabilah-kabilah Quraisy, perlu dilihat semula. Al-Qur’an perlu diberikan nafas baru, kerana masyarakat Islam sekarang adalah berbeza dengan masyarakat Arab yang mula menerima Islam.
Misalnya mengenai hakikat “tiada paksaan beragama” telah disalahertikan sebagai prinsip universal Islam sehingga orang Islam boleh membuat pilihan sesuai dengan kehendak mereka. Dalam Islam, mereka yang keluar daripada keyakinan Islam dipanggil murtad. Isu murtad ini telah menjadi isu yang amat kontroversi sehingga hampir mencetuskan ketegangan kaum.
Maksud “tiada paksanaan beragama” adalah dalam konteks kehidupan masyarakat berbilang agama dan budaya. Jika umat Islam merupakan kelompok majoriti dan pentadbirannya dikendalikan oleh pemimpin Islam, bukan Islam tidak dipaksa untuk memeluk Islam.
Yang dipentingkan bagi menjamin hubungan yang baik antara Islam dan bukan Islam ialah mereka mesti menerima dan menghormati keyakinan orang Islam. Mereka tidak boleh dengan apa cara sekali pun untuk mempengaruhi orang Islam agar keluar dari agamanya. Bukan Islam tidak dibenarkan menyampaikan kempen agama mereka kepada orang Islam.
Dalam konteks Malaysia, persoalan yang berbangkit dalam masyarakat Islam misalnya isu-isu perkahwinan dan penceraian, pembahagian harta pesaka mestilah diuruskan berdasarkan peraturan syariah. Ini bermakna undang-undang syariah hanya terpakai kepada orang Islam. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes, peraturan sivil masih boleh digunakan jika pihak yang berhadapan dengan masalah memfailkannya secara sivil.
Kesucian Al-Quran telah dipertahankan begitu lama, iaitu sejak mula ianya diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW. Disebabkan ingin menjaga keotentikan dan keasliannya, Khalifah Usman Affan telah mengambil inisiatif untuk menyusunnya menjadi suatu teks suci yang seragam, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan pada masa depan. Ini kerana ayat-ayat al-Qur’an hanya dihafal oleh mereka yang paling dekat dengan Rasullullah SAW, dan setelah menyedari penghafal-penghafal ini semakin berkurangan, ia perlu dikumpulkan.
Setelah dikumpulkan, versi itulah akhirnya dijadikan sebagai versi yang sah. Manakala versi-versi lain, yakni versi yang berasaskan keselor lidah orang-orang tertentu telah dimusnahkan. Hari ini, konteks al-Qur’an telah dilupakan sehingga bukan Islam sudah berani memetiknya sebagai bahan kempen politik mereka.
Akibat terlalu inginkan kuasa, pimpinan politik sanggup menghalalkan penggunaan al-Qur’an oleh bukan Islam walaupun di luar konteks. Kerana itulah semakin ramai ahli politik bukan Islam berani memperkatakan mengenai kandungan al-Qur’an bila berhadapan dengan pengundi Melayu, kerana mereka sedar bukan semua khalayak sasarannya mengetahui kontek ayat tersebut dengan tepat.
Pemimpin politik yang beragama Islam, yang berada sebaris dengan bukan Melayu tidak berani membuat sebarang teguran. Sebarang teguran akan menyebabkan hubungan mereka akan menjadi bermasalah. Keadaan tersebut agak berlainan. Apabila ada pemimpin Islam memperkatakan larangan Islam secara tegas, mereka boleh mendesak pemimpin Islam agar menarik balik amaran tersebut.
Al-Qur’an diperkenalkan dengan pelbagai ciri dan sifat. Salah satu daripadanya ialah sebagai sebuah kitab yang sentiasa terpelihara dan dipertahankan kesuciannya. Jaminan tersebut diberikan oleh Allah SWT melalui surah al-Hijr, ayat ke-9: “Sesungguhnya Kami yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya” .
Allah juga pernah mencabar dakwaan sesetengah manusia bahawa al-Qur’an itu adalah ciptaan manusia dan bukannya Kalamulllah. Walau bagaimanapun cabaran itu masih belum bersambut hingga sekarang. Para orientalis setakat ini hanya mampu membuat tafsiran yang silap, tetapi masih belum mampu menandingi kehebatan bahasa al-Qur’an walaupun sesetengan daripada mereka telah mendapat gelaran pakar bahasa Arab, dan mengajar bertahun-tahun bahasa tersebut.
Salah seorang yang amat mengagumi al-Qur’an, pakar bahasa Arab dan boleh menrafsirkan makna al-Qur’an dengan baik ialah Prof Dr Issa J Boullata. Beliau telah membuat penelitian mengenai bahasa al-Qur’an dan menulis beberapa buah buku mengenainya, termasuk Al-Qur’an Yang Menakjubkan dan telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia pada tahun 2008.
Mereka bukan sahaja terpesona dengan keluasan makna ayat-ayat al-Qur’an malah tidak mampu untuk menirunya. Semakin mendalam mereka mengkaji, semakin banyak makna yang mereka peroleh. Semakin lama mereka mengkaji, semakin sayang mereka akan keotentikan ayat-ayatnya sehingga boleh menjangkau kerelevanannya dengan masyarakat sekarang.
Kesucian al-Qur’an perlu dijaga dan untuk membacanya, umat Islam diwajibkan membersihkan diri dari segala kekotoran. Mereka yang ingin menyentuhnya perlu dalam keadaan berwudhuk, maka apabila bukan Islam mengusung al-Qur’an, maka ia akan tetap dilihat sebagai satu percubaan menghina al-Qur’an. Menghina la-Qur’an bermakna menghina Islam.
Membaca Al-Quran mestilah dengan tartil, iaitu berdasarkan adab termasuk hukum tajwid dan sebelumnya seseorang itu perlu belajar memahami tanda-tanda yang terdapat bersama cara menyebutnya. Kerana keluasan makna itulah akan menyebabkan kelainan sebutan dan tajwid akan membawa makna dan maksud yang berbeza.
Untuk mentafsirkannya, seseorang itu bukan sahaja tahu berbahasa Arab, malah wajib memahami konteks sesebuah ayat itu diturunkan, kerana ia adalah wahyu dan setiap wahyu mempunyai kisahnya yang tersendiri. Ia juga merupakan kaedah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW dalam usaha menyampaikan dakwahnya kepada seluruh jazirah Arab ketika itu.Sebarang kesilapan dan salahtafsir akan membawa padah.
Yang menjadi persoalannya ada juga mereka dari umat Islam sendiri yang membela dan menyokong tindakan yang menyentuh kesucian kitab suci mereka sendiri. Sebelum ini pernah berlaku penyalahgunaan nama Allah oleh bukan Islam juga mendapat sokongan dari mereka tertentu tetapi ramai ulama yang menentangnya sehingga hasrat tersebut terbatal.
Kita berharap agar fenomena yang berlaku hari ini juga hendaklah ditolak oleh orang Islam kerana ianya mendatangkan suatu kejanggalan yang boleh mengotori kesucian agama Islam . Ini kerana Al-Quran adalah sebuah kitab petunjuk tanpa sebarang keraguan padanya. Ianya diturunkan untuk memimpin seluruh ummat manusia ke jalan yang lurus yang menjadi ibadah dengan membacanya sedangkan ibadah orang yang tidak beriman tidak akan diterima malah akan tertolak menjadi abu angin.
Apa yang dapat kita fahami sebelum seseorang itu ingin membaca Al-Quran dia perlulah beriman kepada Allah dan mempercayai bahawa kitab tersebut adalah sebuah kitab suci yang datang dari Allah penuh didalamnya segala pengajaran yang benar bukan boleh dibaca sesuka hati sekalipun oleh mereka yang tidak beriman dan menolaknya.
Adapun alasan mereka yang membenarkan amalan tersebut untuk tujuan dakwah tidak dapat diterima kerana perbuatan tersebut dilakukan dengan tujuan yang tidak baik semata-mata ikhlas untuk menerima petunjuk. Malah meniru dan membacanya untuk mengeliru fahaman umat Islam dan ianya sepertimana ditegaskan oleh Saidina Ali kepada kumpulan-kumpulan yang membaca Al-Quran dan meyalahgunakannya : katanya, “Kalimah yang benar dibaca dengan tujuan palsu”. Kumpulan ini juga adalah lebih sesat dan berbahaya dari kumpulan Khawarij yang menjadi penentang umat Islam di zaman Saidina Ali Kamarawajhah. Untuk mengenali kaum Khawarij ini ialah mereka selalu menyalahgunakan Al-Quran dan apa sahaja untuk kepentingan mereka, sehingga mereka sanggup menggunakan Al-Quran (satu ayat) daripadanya untuk menolak hukum Islam dari Al-Quran itu sendiri sehingga tindakan tahkim yang diambil pemerintah di tolak dan menyatakan mereka yang menerima tahkim tersebut sudah menjadi kufur dan keluar dari agama Islam. Dari situlah bermulanya tuduhan kafir-mengafir sesama umat Islam sehingga di contohi sehingga hari ini.
Kesempatan ini dipergunakan oleh musuh Islam dengan jayanya dan berkesan untuk kepentingan mereka bagi melemahkan perpaduan Islam.
Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments