PADA 31 Ogos, rakyat Malaysia akan menyambut hari yang bersejarah, iaitu hari memperingati ulang tahun kemerdekaan kali ke-66. Allah SWT menciptakan umat manusia di seantero dunia dengan bekal kemerdekaan dan kebebasan agar mereka menjadi umat yang bertakwa. Iaitu satu umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.
Kemerdekaan Malaysia patut menggambarkan kita sebagai umat beragama, sejauh mana kita telah mengisi kemerdekaan ini dengan kegiatan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menyeimbangkan kehidupan antara dunia dan akhirat.Bagaimana tanda untuk menunjukan bahawa kita harus bersyukur kepada ilahi atas nikmat ini?
Kemerdekaan merupakan salah satu nikmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia. Oleh demikian, kita wajib mensyukuri atas nikmat Allah itu. Sekiranya kita menyedari akan hakikat kemerdekaan sebagai titik permulaan terhadap kebebasan dalam erti yang sebenar-benarnya, maka sewajarnya kita bersyukur akan nikmat Allah SWT sebagaimana firmannya di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 20 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah mereka wahai Muhammad) ketika Nabi berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya) dan ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun daripada umat-umat (yang ada pada masa itu).”
Intipati daripada seruan Nabi Musa a.s yang menyeru bangsanya mengingati nikmat kemerdekaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT supaya kita memperbaiki dan membebaskan diri daripada penjajahan mental dan moral oleh kolonial dan neokolonialisme.
Mensyukuri nikmat kemerdekaan dan tidak mengkufurinya bererti kita memanfaatkan segala anugerah Allah dengan turut serta mengisi kemerdekaan iaitu melakukan kerja-kerja yang bermanfaat dalam melestarikan pembangunan fizikal dan pembangunan rohani, sebagaimana yang digariskan dalam wawasan negara. Kestabilan ekonomi, kekayaan hasil bumi dan kebebasan rakyat mencari rezeki di setiap inci muka bumi kita merupakan anugerah Allah s.w.t. dan kita wajib bersyukur. Allah s.w.t. berfirman:
“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim ayat 7).
Antara Islam dan syukur itu ada hubungan yang tak mungkin terpisah dan tidak mungkin adanya yang satu tanpa hadirnya yang lain. Dapatlah ditegaskan bahawa kedua-duanya merupakan dua sisi dari satu mata wang.
Jelas bahawa bersyukur itu merupakan tugas pertama dan utama bagi mereka yang ingin mematuhi kehendak Allah. Setiap muslim wajib mensyukurkan setiap nikmat yang telah diterimanya dari Maha Penciptanya, jika tidak ia masih dinilai belum Islam dalam erti kata yang sebenar. Orang yang tidak pandai bersyukur sebenarnya dianggap telah kufur pada nikmat tapi belum sampai kufur akidah.
“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka (tidak bersyukur) dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.” (Surah al-Isra ayat 16).
Hakikatnya dalam konteks negara kita yang sudah pun berusia 66 tahun, banyak pencapaian dari segi material mahupun spiritual yang telah dicapai. Di manakah rahsia daripada kekuatan kita ini? Adakah pada senjata-senjata yang canggih?
Rahsia kekuatan ini tidak boleh dikaji sekadar melihat kepada benda yang ada di depan kita. Tetapi ia harus dilihat ke dalam batin, lihatlah ke dalam jiwa.
Sesungguhnya kekuatan kita ialah kepercayaan, kekuatan iman dan akidah kita. Kekuatan inilah yang mempertahankan negara ini daripada segala bentuk ancaman yang boleh memusnahkannya. Rakyat Malaysia patut bersyukur kepada Allah SWT kerana kita dapat menyelesaikan banyak masalah yang amat serius khususnya yang berkaitan hubungan antara agama dan negara.
Beberapa aspek penghayatan syariat Islam secara hikmah, yang turut dinikmati orang bukan Islam bukan sahaja disanjungi malah turut dicontohi oleh masyarakat Islam di negara luar.
Kesungguhan kerajaan melaksanakan Islam yang bermula dengan gagasan Islam Hadhari, kemudian diikuti dengan gagasan Islam Madani ke dalam sistem pentadbiran negara secara sistematik dan teratur adalah selaras dengan tuntutan agama.
Banyak kalangan negara Islam cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan mengorbankan agama dan memilih sekularisme (fahaman yang memisahkan agama dan negara), atau mengorbankan kepentingan sebahagian anggota masyarakatnya yang majmuk ketika memilih salah satu agama atau fahaman keagamaan dalam mengatur kehidupan berbangsa, bernegara dan bermasyarakat.
Ada di kalangan negara Islam yang cuba menerapkan ajaran Islam secara keras dengan mengabaikan pandangan anggota masyarakat lain, yang akhirnya meletakkan negara mereka sentiasa berkonflik.
Malaysia sebagai sebuah negara Islam memberi kedudukan yang penting bagi semua agama yang dianuti masyarakatnya dan menuntut mereka sama-sama berperanan membangun bangsa dan negara. Ini sesuai dengan peranan dan fungsi agama itu sendiri dalam sesebuah negara iaitu melaksanakan urusan manusia bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Demikian juga dalam hubungan pemerintah dan agama di negara ini. Pengisytiharan Malaysia Madani menggambarkan satu sikap kesederhanaan pemerintah dengan maksud tidak menolak kepentingan sebahagian anggota masyarakat yang majmuk.
Agama tidak boleh menjadi sumber perselisihan yang mengakibatkan perpecahan atau penghalang pembangunan negara.
Agama akan lebih berperanan dalam pembangunan apabila ahli agama dapat menemukan dari kitab suci, ajaran-ajaran sosial dan interpretasinya dengan keperluan pembangunan, tanpa menyimpang daripada teks dan jiwa ajaran agama. Kerana itu, ahli agama harus dapat menggali nilai-nilai agama untuk menjadi landasan, pendorong dan pengarahan kepada pembangunan nasional.
Agama dengan nilai-nilai universal yang dikandungnya, harus dapat memajukan dan memperkukuh integriti, persatuan dan kesatuan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum.
Malah lebih daripada itu, pengabdian manusia dalam menjalankan semua ajaran agama dituntut untuk dilakukan dengan penuh keikhlasan. Ketulusan dalam melakukan perkara tersebut menjadi penting dalam pandangan agama.
Jelas bahawa bersyukur merupakan tugas pertama dan utama bagi mereka yang ingin mematuhi kehendak Allah. Setiap Muslim wajib mensyukuri nikmat yang telah diterimanya daripada Maha Penciptanya.
Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments