Islam adalah agama yang mempunyai sifat wasathiyyah (pertengahan) dalam semua ajaran baik akidah, ibadah atau akhlak. Sikap pertengahan inilah yang menjadi ciri utama yang membezakan agama Islam dengan agama-agama lain. Contohnya agama
Nasrani atau Yahudi yang lebih mengutamakan kehidupan dunia atau kerohanian sahaja. Sikap pertengahan merupakan keistimewaan Islam kerana sikap ini menjadi ciri khusus umat Islam.
Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kaum (umat Islam) umat yang pertengahan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kami. (Surah al-Baqarah ayat 143)
Dalam konteks ini jelas sekali sikap berlebih-lebihan dalam beragama yang menjadi pegangan sesetengah orang bukanlah dari ajaran Islam yang sebenar. Islam lebih mendahulukan sikap pertengahan pada setiap sisi atau aspek kehidupan mereka.
Bukan sekadar itu sahaja, bahkan Islam memperingatkan setiap umatnya agar tidak terjerumus pada dua kesesatan iaitu berlebih-lebihan atau bersikap lalai.
Firman Allah yang bermaksud: Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka dan bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (Surah al-Fatihah ayat 6-7)
Rasulullah s.a.w. menentang dengan sekeras-kerasnya pemikiran ekstrem. Contohnya, tiga orang sahabat yang berpakat untuk melakukan ibadat secara berterusan dan menambahkannya hingga melampaui tahap kemampuan manusia. Salah seorang daripada mereka berkata:
Aku akan berpuasa sepanjang tahun dan tidak akan berbuka.
Sahabat yang kedua pula berkata: Aku akan bangun pada malam hari dan tidak akan tidur.
Manakala sahabat yang ketiga berkata: Aku tidak akan mengahwini perempuan untuk selama-lamanya.
Apabila berita ini sampai kepadaa nabi s.a.w. Baginda memanggil mereka lalu bertanya: Adakah kamu berkata sedemikian? Lalu mereka menjawab dengan menggeletar. Benar, wahai Rasulullah. Lantas Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Demi Allah! Aku lebih takut kepada Allah dan lebih bertakwa daripada kamu. Namun aku berpuasa dan berbuka. Aku menghidupkan malam dan tidur. Aku juga berkahwin dengan wanita. Sesiapa yang membencikan sunnah maka dia bukan daripada umatku.
Ibadat puasa dan menghidupkan malam adalah amalan yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Islam. Meskipun demikian, Rasulullah s.a.w. tetap mengganggap sekiranya ada unsur berlebih-lebihan dalam kedua-dua amalan itu ia akan tertolak. Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. bersama-sama para sahabat sedang bermusafir dalam keadaan berpuasa. Rasulullah s.a.w. khuatir terhadap sahabatnya yang berjalan dalam bahang mentari pada waktu tengah hari. Lantas baginda berbuka serta mengajak mereka supaya berbuka.
Para sahabat menuruti sahaja, perintah Rasulullah s.a.w. melainkan beberapa orang daripada mereka yang meneruskan puasa mereka. Apabila diberitahu Rasulullah s.a.w. menjadi marah lalu berkata: Mereka adalah penderhaka. Diulanginya perkataan itu sebanyak tiga kali. Apabila mereka mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w. mereka segera berbuka. Jelas di sini bahawa baginda meletakkan satu prinsip yang bijaksana dalam menunjukkan kesederhanaan. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya agama ini teguh dan masukkan ia dengan sifat kasihan. Sesungguhnya tempat tumbuh bukan hanya tanah semata-mata, dan tidak ada yang lebih kekal.”
Sekiranya kita meneliti sejarah kehidupan para salaf, sama ada bermula daripada kalangan para sahabat nabi s.a.w. atau tabiin, kita akan dapati mereka mengamalkan sikap atau dasar kesederhanaan dalam melaksanakan syariat Mereka mempunyai ciri intelek yang tinggi serta kesedaran yang rasional di samping menyebarkan kalimah Allah dengan penuh ketakwaan. Suasana ini membangkitkan penghayatan dan kekuatan dalam kehidupan umat Islam dari aspek rohani dan peradaban.
Ibnu Al-Qaiyyim berkata, tidaklah Allah memerintahkan sesuatu kecuali syaitan memiliki peranan dalam sesuatu yang diperintahkan itu untuk membisikkan tipu dayanya, iaitu bisikan agar manusia tidak melaksanakan perintah itu atau bisikan untuk bersikap melampaui batas dalam melaksanakan perintah itu. Sementara agama Allah adalah pertengahan antara dua bukit dan pertengahan antara dua kesesatan, serta pertengahan antara dua ujung yang terhina. Tidak melaksanakan perintah bererti menghilangkan perintah itu, maka sesungguhnya sikap melampaui batas bererti menghilangkan perintah itu. Jika yang pertama adalah sikap melalaikan hukum dengan tidak melaksanakannya sesuai yang telah ditentukan, maka sikap yang kedua juga merupakan sikap melalaikan hukum dengan melampaui batas yang ditentukan.
Landasan agama ini adalah kemudahan. Sesungguhnya kemudahan atau memudahkan merupakan salah satu ciri di antara ciri-ciri utama Islam yang membezakan agama Islam dengan agama-agama lainnya, kerana salah satu misi pengutusan Muhammad s.a.w. ke dunia ini adalah menghilangkan belenggu-belenggu dan beban-beban yang telah ada pada umat-umat sebelum kita.
Mempersulit atau mempersempit sesuatu perkara dalam kehidupan ini bukan merupakan salah satu di antara tujuan-tujuan syariat, sedangkan kemudahan atau mempermudah urusan itu merupakan salah satu tujuan di antara tujuan-tujuan yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan Sunah.
Catatan: Ibnu Shaukat
Recent Comments