Selepas keputusan PRN yang berlangsung seminggu lalu, makin lantang desakan agar seseorang pemimpin, yakni yang berkuasa mengawal dan menguruskan parti politik didesak berundur. Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO didesak meletakkan jawatan sebagai bukti suatu pertanggungjawaban kerana gagal membawa parti mencapai kemenangan, hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.
Bukan sahaja Zahid didesak, bahkan Anwar Ibrahim juga ditekan kerana kepimpinannya (sebagai komander kerajaan perpaduan) gagal mencapai matlamat, walaupun berjaya mengekalkan statusquo ke atas tiga buah negeri – Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Kejayaan itu tidak disusuli dengan prestasi yang memberansangkan bagi PKR, kerana parti itu juga alami kemerosotan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu.
Ramai yang melihat, penafian kuasa dua pertiga di Selangor, kemenangan PN menguasai 5 DUN di Negeri Sembilan dan 11 DUN di Pulau Pinang sebagai petunjuk gagasan MADANI-nya tidak mampu menarik atau menjadi faktor wow. Ia ditambah dengan kekalahan yang cukup memalukan kerana gandingan PH-BN hanya mampu menang dua kerusi di Kelantan dan tiga kerusi di Kedah, walaupun dua buah negeri tersebut merupakan sasaran untuk mengukuhkan kuasa selepas membentuk kerajaan perpaduan.
Semua kerusi yang ditandingi di Terengganu, gandingan PH-BN tewas. Kekalahan mutlak itu menjadikan desakan terhadap Zahid dan Anwar semakin lantang. Dalam masa yang sama, kemenangan besar PN, 146 kerusi daripada 245 kerusi yang ditandingi turut memberikan tekanan kepada Muhyiddin. Beliau turut didesak berundur atas kegagalannya membawa Bersatu meraih kesan yang menarik sehingga 18 daripada calon PN hilang deposit. Walaupun kalah, tiada calon PKR dan BN hilang deposit.
Begitu juga dengan Presiden Gerakan, Dominic Lau yang mengulangi kekalahan pemimpin utama parti itu dalam beberapa pilihan raya sebelumnya. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selama empat penggal (1990-1995, 1995-1999, 1999-2004 dan 2004-2008) dan mampu mengalahkan Lim Kit Siang (PRU ke-8, 1990 yang lebih dikenali Tanjung III), yang memutuskan tidak bertanding di DUN Batu Kawan (PRU ke-12, 2008) telah dikalahkan oleh P Ramasamy di Parlimen Batu Kawan adalah Presiden Gerakan selama enam tahun (2007-2013).
Walaupun kalah, Koh Tsu Khoon dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (10 April 2009 -15 Mei 2013), ditekan agar meletakkan jawatan oleh MP Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz (1940-2020), yang ketika itu adalah Timbalan Pengerusi Tetap UMNO (2008-2011) ketika perbahasan Undang-undang Perbekalan 2010 (20 Oktober 2009), atas alasan gagal menunjukkan prestasi yang baik sebagai menteri. Koh Tsu Khoon tidak meletakkan jawatan.
Sebenarnya, persoalan mendesak seseorang pemimpin meletakkan jawatan bukanlah sesuatu yang baharu dalam sejarah parti politik dan juga dalam kerajaan. Jika kita menelusuri sejarah, Datuk Onn Jaafar pernah didesak meletakkan jawatan setelah beberapa bulan menjadi pengasas UMNO hanya kerana idealisme politiknya berkembang, yakni membuka ruang kepada semua kaum untuk menyertai UMNO, atau menubuhkan sebuah parti pelbagai kaum.
Kesan daripada tekanan tersebut, Datuk Onn keluar daripada UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekan Malaya (1953) dan seterusnya Parti Negara (1954), selepas kalah dalam pemilihan parti (1951). Sebenarnya, dua kali Datuk Onn keluar UMNO, kali pertama (1950) berjaya dipujuk dan kali kedua (1951). (Pamela Ong Siew Im, NEKAD: Potret Kehidupan Dato’ Sir Onn bin Jaafar, Jenjarom, Selangor: IBDE Ilham Sdn Bhd., 2018).
Tahun 1969, selepas kalah dalam PRU ke-3, Dr Mahathir turu mendesak Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj meletakkan jawatan dengan memburuk-burukkan kepimpinannya, termasuk pro-Cina, tidak kompeten dan lambat membuat keputusan dalam sesuatu permasalahan rakyat sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat, kekalahan Perikatan dalam menguasai pengundi bandar (bukan Melayu oleh MCA), terkeluarnya Singapura dan peribadi seorang Perdana Menteri yang cukup relaks dan suka bermain kuda.
Tunku meletakkan jawatan selepas Dewan Rakyat digantung dan kedudukan wakil rakyat tidak berfungsi akibat MAGERAN, turut disindir sebagai ‘terlalu lama memerintah’, yakni lebih 13 tahun (1957-1970). Ia digantikan oleh Tun Abdul Razak pada 22 September 1970.
Dr Mahathir yang dipecat (26 September 1969) ekoran kritikannya terhadap kepimpinan Tunku, dibawa masuk semula ke dalam UMNO oleh Tun Razak pada 7 Mac 1972, yang kemudian dilantik sebagai senator pada tahun 1973. Dalam PRU ke-4 (1974), Dr Mahathir bertanding di Kubang Pasu, menang tanpa bertanding dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Pendidikan.
Setahun kemudian, dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 15 September 1978 oleh Tun Hussein Onn. Kalibat Mahathir cukup licik, tidak cukup dengan kedudukannya sebagai TPM, tidak sabar untuk ‘menjatuhkan’ Tun Hussein Onn, maka dirancang suatu tindakan memaksa PM ke-3 itu meletakkan jawatan atas alasan ‘kesihatan’.
Ertinya, jika dilihat daripada tindakan ‘desakan berundur’, Dr Mahathir adalah pemain utama yang banyak sekali kalibatnya sebagai antagonis dan juga anarkis dalam politik Malaysia. Pada suatu analisis, Dr Mahathir sebelum dilantik sebagai PM ke-4, telah melakukan dua desakan ke atas dua orang PM, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan Tun Hussein, yang kemudiannya menjadi faktor yang mendorong Tengku Razaleigh mencabar kepimpinannya untuk merebut jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987. (Ibrahim Ali, The Misunderstood Man, Petaling Jaya: Berita Publishing Sd. Bhd., 2016).
Mahathir dua kali meninggalkan UMNO dan sekali dipecat. Dr Mahathir juga merupakan pengasas yang dipecat oleh parti Bersatu. Jika dilihat daripada perspektif ini, jelaslah bahawa Dr Mahathir adalah tokoh yang paling banyak menimbulkan masalah. Walaupun mempunyai sumbangan yang besar dalam pembangunan Malaysia moden, Dr Mahathir adalah seorang yang cukup menyerlah untuk meruntuhkan legasi orang lain, akhirnya legasinya sendiri terus dipersoalkan. (Barry Wain, Muslihat Mahathir: Mengharung Zaman Gelora, Kuala Lumpur: IBDE, 2023) dan Dinsman, Gawat: Gagalnya Formula Mahathir, Ampang, Selangor: Penerbitan Pemuda, 1998).
Kita tinggalkan kisah yang menyebabkan akhirnya UMNO terbelah itu, kerana pendirian Dr Mahathir sebenarnya dilihat oleh anak saudaranya, Dato’ Ahmad Mustapha Hasan, yang pernah berrtugas sebagai Setiausaha Akhbar Tun Razak (1964) dan Pengurus Besar Bernama (1980), merupakan perancangan halus meruntuhkan UMNO dari dalam dan legasi pemimpin-pemimpin sebelumnya (Tunku, Razak dan Hussein) yang boleh dibaca dalam The Unmaking of Malaysia, (Petaling Jaya: SIRD, 2007) dan versi bahasa Melayu, Membina dan Meruntuhkan Malaysia (Petaling Jaya:SIRD, 2008).
Kita menelusuri sedikit sejarah selepas berakhirnya era pemerintahan Dr Mahathir sebagai PM ke-4, yang kini semakin kuat berkembang dan mempengaruhi lanskap politik Malaysia a tindakannya mendesak pengunduran Abdullah Ahmad Badawi dan yang paling monumental ialah menubuhkan sebuah parti untuk dijadikan wahana menjatuhkan Najib Tun Razak, serta kuasa UMNO/BN.
Semasa pentadbiran Abdullah, Dr Mahathir bukan sahaja menyerang kepimpinan penggantinya yang didakwa lemah dan dikuasai oleh ‘budak tingkat empat’, bahkan mengambil keputusan keluar daripada UMNO (September 2008), yang kemudian dipujuk semula oleh Muhyiddin (Mac 2009) setelah Najib menggantikan Abdullah (April 2009).
Mahathir pada PRU ke-12 (2008) berkempen secara terbuka menolak kepimpinan Abdullah sehingga menyebabkan prestasi UMNO/BN mengalami kemerosotan besar, apabila hanya menang 140 kerusi Dewan Rakyat dan hilang kuasa di empat buah negeri (Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak). Selain itu, akibat kempen terbuka Dr Mahathir mengecam Abdullah, Kelantan kekal diperintah oleh PAS walaupun pada PRU sebelumnya, kedudukannya cukup mencemaskan.
Perak dikuasai oleh PAS (selepas berkompromi dengan DAP ekoran penolakan oleh Sultan Perak di mana seseorang (calon) MB adalah beragama Islam sebagaimana digariskan oleh Undang-Undang Tubuh Perak). Kompromi dengan PAS itu menyebabkan ada dakwaan pembabitan pemimpin DAP Perak dalam beberapa projek pembangunan tanah di Kelantan, sebagai ‘balasan’, misalnya projek menghutankan semula ribuan ekar tanah hutan yang digondolkan akibat pembalakan, atas nama Ladang Rakyat.
Namun disebabkan kompromi itu tidak berdasarkan minat yang sama, kecuali dalam penubuhan kerajaan, Perak kemudiannya dijatuhkan selepas 11 bulan (Februari 2009) Pakatan Rakyat memenanginya, kerana berlaku perubahan sokongan dua ADUN PKR dan seorang ADUN DAP terhadap BN.
Ini mengingatkan kita kepada Sidang DUN di bawah pokok ketapang, melengah-lengahkan penyerahan baju speaker, melambat-lambatkan penyerahan kuarters dan kenderaan milik kerajaan, saman menyaman di atas keabsahan kuasa budi bicara Paduka Sultan Perak, dan tugu peringatan demokrasi.
Impian UMNO/BN untuk menguasai Kelantan sejak kedudukan PAS umpama ‘telur di hujung tanduk’ pada PRU ke-11 (2004), tidak menjadi kenyataan kerana parti itu berjaya mengukuhkan kedudukan pada PRU ke-12 (2008). Bagi mengelakkan Kelantan dirampas oleh UMNO/BN, PAS melakukan pelbagai serangan selama bertahun-tahun, antaranya untuk menyekat kemaraan UMNO/BN.
Antaranya, menggunakan isu bayaran royalti minyak dan gas, diskriminasi politik yang tidak selari dengan semangat federalisme, dan pengekalan ‘kepercayaan’ bahawa PAS adalah sebuah perjuangan politik Islam, doktrin yang mendakwa mereka yang tidak menyokongnya, sama dengan mereka yang tidak menerima Islam. Mereka yang tidak menerima Islam adalah kafir, dan kafir itu akan dicampakkan ke neraka oleh Allah SWT di Hari Pengadilan (Padang Masyar).
Hero dalam usaha menebarkan kebencian kepada kerajaan pusat ketika itu ialah Husam Musa, yang mengambil seorang blogger (Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz) untuk menyebarkan pelbagai bentuk maklumat yang sendeng tidak adil dan salah tindakan.
Kemudian, Kickdelfella ditamatkan kontrtak sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Permodalan Menteri Besar Kelantan (10 November 2009), setelah misi itu berjaya dan diberikan pampasan sebanyak RM 350,000. (Malaysiakini, 3 Jun 2011).
Itulah yang dinamakan kejumudan (pemikiran politik) yang menjadi kekuatan PAS sehingga pada PRN lalu (ke-15) memenangi lebih banyak kerusi dan kembali berkuasa di Terengganu, Kelantan dan Kedah dengan kekuatan yang lebih besar, berjaya menenggelamkan UMNO/BN secara mutlak di Terengganu, dan hampir mutlak di Kelantan dan Kedah (PRN ke-15).
Ini harus diakui oleh UMNO/BN, tokoh heavyweight tewas di Kedah, Terengganu dan berjaya merampas tiga kerusi DUN dalam Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat Anwar sejak PRU ke-6 (1982). Ia seolah-olah mengulangi keputusan PRU ke-15, bila Nurul Izzah gagal mempertahankan kerusi Permatang Pauh yang menjadi legasi keluarga sejak PRU ke-6 (1982) yang dikuasai oleh ayahnya, Anwar Ibrahim.
Ahmad Said, yang menguasai DUN Kijal sejak PRK 1990, juga gagal mempertahankan kerusi legasinya, yang menjadi titik permulaan bergelar wakil rakyat selepas menewaskan Ahmad Sabri Cheek (calon bebas dari Team B, dari Semangat ’46). PRU ke-10 (1999), Ahmad Said tewas kepada calon PAS dengan majoriti tipis (264 undi) dan kembali bangkit pada PRU ke-11 (2004) dengan meraih kemenangan dengan majoriti lebih sepuluh kali ganda (3,469 undi).
Ahmad ketika itu (1990) adalah seorang penolong pegawai daerah dalam kelompok pentadbir negeri (TCS –Terengganu Civil Services), yang baharu lapan tahun menamatkan pengajian Sains Politik (USM, 1982), akhirnya dikategorikan sebagai heavyweight setelah dinaikkan pangkat sebagai Menteri Besar Terengganu ke-13 (25 Mac 2008- 12 Mei 2014) menggantikan Idris Jusoh yang berjaya menumpaskan PAS menerusi Gelombang Biru dalam PRU ke-11 (2004).
Pada masa pentadbirannya, ditubuhkan Terengganu Investment Authority (TIA, 25 Jun 2009), yang kemudiannya ditukarkan oleh Najib menjadi 1 Malaysian Development Berhad (1MDB, ditubuhkan pada 31 Julai 2009) sebagai sayap pelaburan di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.), bagi membolehkan keuntungannya dikongsikan secara lebih meluas, dan tidak hanya dinikmati oleh rakyat Terengganu.
Asas penubuhannya (TIA) adalah menjadikan ia sebagai alternatif sumber kewangan jangka panjang disebabkan pendapatan royalti daripada minyak dan gas akan sampai kepada keadaan tidak lagi mapan, kesan kekurangan stok minyak dan gas yang bakal berlaku. Jangkaan awal pada tahun 1974, Terengganu hanya mampu bertahan untuk tempoh 25 tahun (2001).
Hingga kini, Terengganu masih kekal sebagai pengeluar minyak dan gas terbesar di Semenanjung dan pada bulan Mac 2023, Menteri di JPM, Azalina Othman Said memberitahu bahawa berdasarkan pengiraan indeks hayat (1 Januari 2022), anggaran rezab petroleum di Malaysia sebanyak 6.9 bilion tong dan mampu bertahan selama 15 tahun lagi (2037). (Sinar Harian, 29 Mac 2023).
Pengambilalihan TIA juga menjadi salah sebab krisis antara Ahmad Said dan Najib yang akhirny menyebabkan anak nelayan daripada Kijal itu terpaksa melepaskan jawatannya kepada Ahmad Razif Abdul Rahman (13 Mei 2014). Razif juga calon heavyweight yang kalah pada PRN kali ini dengan majoriti 2,797 undi kepada Khazan Che Mat.
Khazan asalnya adalah ahli UMNO tetapi menjadi ahli Bersatu dan merupakan wakil rakyat UMNO bagi DUN Batu Rakit (2004 dan 2008) sebelum tewas pada PRU ke-14 (2018). Beliau pernah menyertai barisan EXCO Terengganu selepas PRU ke-12, di bawah pentadbiran Ahmad Said.
Selain Ahmad Said dan Ahmad Razif, 25 orang muka lama dan baharu UMNO tewas menyebabkan parti itu seumpama hilang cengkaman (patah kuku) di Terengganu, termasuk DUN yang tidak pernah dimenangi oleh PAS sebelumnya, seperti Seberang Takir, Kuala Besut, Jertih dan Kota Putera.
Lima kerusi DUN ditandingi oleh PH (Amanah dan PKR) juga turut tewas. Seberang Takir menjadi kubu kuat UMNO dibawah pimpinan Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri, sebelum dikalahkan Khairudin Aman Razali di Parlimen Kuala Nerus pada PRU ke-13 (2013) dan sebelumnya adalah EXCO Terengganu.
Ini bermakna kerajaan perpaduan yang diharapkan kepada UMNO untuk merampas Terengganu kalah teruk, sehingga PH-BN keseluruhannya menerima ‘telur’, yang mungkin akan ‘kekal tidak menetas’ pada PRU ke-16 sekiranya parti itu (UMNO) tidak bersetuju dengan kehendak akar umbinya.
Razif merupakan penyandang kerusi DUN Seberang Takir sejak PRU ke-12 (2008). DUN Sebarang Takir termasuk dalam salah sebuah (empat) DUN dalam Parlimen Kuala Nerus yang gagal dipertahankan oleh Dr Khairudin Aman Razali, bekas penyandang yang memenanginya atas tiket PAS (PRU ke-14), apabila menjadi calon langsung BN pada PRU ke-15.
Bagaimanapun, selepas menggantikan Ahmad Said, Ahmad Razif menyalahkan bekas MB itu sehingga menyebabkan UMNO Terengganu berkrisis: (1) tindak tanduk sendiri membuat aku janji mengundurkan diri lebih awal; (2) bekas MB itulah yang meninggalkan ‘ibu’ kepada kemelut di mana pada PRU ke-13, UMNO hanya berjaya menang 17 kerusi sedangkan pada PRU ke-12, menang 28 kerusi DUN; dan, (3) bekas MB merupakan orang yang memulakan ‘peperangan atau pergelutan’ bila mana membuat usul undi tidak percaya (terhadap Razif) dalam DUN, dan bersengkongkol dengan elemen yang bertentangan dengan kepimpinan pusat serta negeri. (Berita Harian, 3 Ogos 2016).
Menurut bekas MB Terengganu ke-14 yang tewas kepada rakan baiknya, Khazan Che Mat yang pernah bersama-sama dalam barisan EXCO pada zaman Ahmad Said, UMNO tidak akan bungkus untuk kembali mencabar kepimpinan politik Terengganu pada PRU ke-16 nanti. UMNO masih mempunyai kekuatan dan seterusnya berusaha melakukan pembaharuan dan perubahan untuk tidak menjadikan PAS berjaya membina kubu kuatnya sebagaimana berjaya dilakukan di Kelantan.
Namun, apa yang jelas, pendekatan politik yang dilaksanakan oleh Dr Ahmad Samsuri cukup berbeza dengan lain-lain MB daripada PAS, sama ada di Kelantan dan Kedah. Pendekatan kempen Samsuri tidak berusaha ‘memperbodoh-bodohkan rakyat’ sebagaimana berlalu di Kelantan sejak sekian lama dan kebangkitan Sanusi sebagai panglima perang PAS yang baharu.
Jelaslah, di dua buah negeri (Kelantan dan Kedah), MB adalah ditunjangi oleh dua orang panglima perang, yang memang diakui cukup kasar, keloloh dan kadangkala membuat tafsiran melulu terhadap lawan politiknya. Lebih menyedihkan apabila MB Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud sedang dipersoalkan tahap pendidikannya (didakwa setaraf SPM kerana gagal semester ke-3 di Universiti al-Azhar, Mesir) dan terbaharu menyifatkan dua kerusi yang dimenangi oleh PH-BN, sebagai petunjuk mereka yang menentang ‘perjuangan Islam’.
(BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments