Saya menulis menggunakan tajuk Berkorban Hatta Diri Terkorban bukan naratif sebuah percintaan seorang teruna dan dara, atau duda dan janda yang sanggup melakukan apa sahaja untuk buktikan cinta dan setia. Atau dalam semangat lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee, berkorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan sejiwa, yang dinyanyikan semula oleh Jamal Abdillah, dalam album Sepi Seorang Perindu.
Apa yang saya maksudkan ialah pengorbanan kepada negara, organisasi atau kelompok sehingga sanggup mencagarkan diri sendiri sebagai benteng, atas semangat patriotik dan nasionalis, tanggungjawab dan maruah, bukan ketaksuban.
Watak-watak yang diceritakan oleh Noel Barber adalah watak sebenar yang terbabit dalam pembenterasan pengganas komunis di Tanah Melayu, The War of the Running Dogs: How Malaya Defeated the Commiunist Guerrillas 1948-1960, terbitan 1971, manaka edisi bahasa Melayu diterbitkan dengan judul Perang Anjing Suruhan: Darurat dan Kekalahan Komunis di Malaya 1948-1960 (IBDE-Ilham Book, 2020).
Buku ini pertama kali saya baca adalah edisi bahasa Inggeris (1980), ketika belajar mengenai propaganda, khususnya tindakan British membenteras aktiviti gerila Parti Komunis Malaya (PKM), di mana Chin Peng (Si Gemuk) mula menggerakan serangan bersenjata selepas Inggeris kembali berkuasa, menamatkan pemerintah MPAJA (Malayan People Anti-Japanese Army) atau Bintang Tiga yang berusia dua minggu. Hal itu berlaku apabila British lambat kembali ke Tanah Melayu setelah Jepun menyerah kalah. Jepun menyerah kalah kerana dua bom atom telah digugurkan secara berturut-turut di dua buah kota di Jepun, Nagasaki dan Hiroshima 78 tahun lalu (1945).
Dalam tempoh empat belas hari, orang Melayu terpaksa bertahan manakala orang Cina yang ada kaitan dengan Koumintang disembelih. Semasa Jepun menduduki Tanah Melayu, Parti Komunis Malaya (PKM) bekerjasama dengan British untuk memerangi Jepun dan PKM berjaya memujuk British untuk membebaskan tahanan politik yang berhaluan kiri. Kerjasama itu menjadi tunjangan kepada tertubuhnya sebuah pusat latihan ketenteraan secara gerila di Singapura (Sekolah Latihan Khas 101) dan sekelompok yang menerima latihan tersebut menubuhkan MPAJA.
Apabila Jepun meninggalkan Tanah Melayu (16 Ogos 1945), MPAJA mengisi kekosongan sebagai pemerintah dengan semangat menentang dan menyerang orang Melayu kerana mereka pernah menjadi ‘anjing suruhan British’ dalam pasukan polis dan homeguards manakala orang-orang Cina yang enggan bekerjasama dibunuh dengan kejam. Ini kerana orang Melayu turut bersekutu dengan Jepun, yakni bekerja sebagai anggota polis yang dikenali sebagai Jookidam.
Anjing, kita sangat kenal perilaku dan kesetiaannya. Anjing, sangat setia kepada tuan atau penjaganya walaupun dalam kebanyakan masa, dikurung atau dirantai. Tetapi, kerana tidak perlu mengejar masa mendapatkan makanan, walaupun kadangkala naluri seksnya disekat, anjing tetap setia, tanpa disuruh akan disergah sesiapa sahaja yang melintasi ‘wilayah’ tuannya.
Itulah gambaran yang cuba dinaratifkan oleh Noel Barber terhadap penyusupan dan perjuangan Pengganas Komunis yang memasuki hutan belantara selepas British kembali ke Tanah Melayu. Pengganas Komunis menjadi ancaman baharu kepada British, yang sebelum Perang Dunia II, ia tidak muncul sebagai penentangan bersifat gerila, serangan hendap dan membunuh dengan kejam.
Noel Barber menjadikan seorang pengurus ladang keturunan British berusia 50 tahun, Arthur Walker diserang hendap oleh tiga orang pemuda Cina pada pagi 16 Jun 1948 di Ladang Elphil, Sungai Siput, Perak. Sebelum itu, Puan Walker memandu ke pekan membeli-belah di hari-hari terakhir sebelum mereka pulang ke England setelah tinggal di Tanah Melayu selama dua puluh tahun.
Semasa kepergian Puan Walker ke bandar, Arthur Walker yang belum bersarapan pagi meronda di sekitar ladang Elphil, sebagai rutin hariannya. Selepas jam lapan pagi, Arthur pulang semula ke pejabat untuk menemui kerani ladang, Kumarin dan beberapa minit kemudian, tiga pemuda Cina muncul di pejabat dengan menaiki basikal.
Setelah memasuki ruang pejabat, anjing Walker mula menyalak dan dicuba ditenangkan. Kumarin mendengar salah seorang daripada pemuda Cina itu berkata: Tabik, tuan dan Walker membalasnya dengan ceria tanpa memikirkan sesuatu yang buruk.
Beberapa saat kemudian, dua das tembakan dilepaskan, dan Kumarin melihat tiga pemuda itu berjalan perlahan-lahan menuju ke tempat basikal diletakkan dari ruang tingkap. Setelah mereka berlalu pergi, Kumarin mengintai dengan hati-hati, dan sempat bertentangan mata dengan salah seorang daripada mereka.
Pertentangan empat mata itu dibalas dingin, tetapi terbeliak garang, dan dengan sedikit angkuh, ketua pemuda Cina itu merenung tajam ke arahnya, yang merefleksikan dirinya tidak takut walaupun dicam sambil meludah dan memalingkan pandangan. Ketiga-tiga pemuda Cina kemudian mengayuh basikal dan berlalu pergi.
Setelah meluru masuk ke pejabat pengurus ladang itu, Kumarin mendapati Walker sudah terbujur kaku dan kelihatan kesan tembakan di bahagian dada sehingga menembus ke jantung.
Setengah jam kemudian, dua belas orang pemuda Cina bersenjata mengepung bangunan utama ladang getah Sungai Siput. Pengurus ladang, John Allison, 55 dan ketika, penolongnya, Ian Christian yang berusia 21 tahun sedang berbincang dengan dua orang kerani berketurunan Cina mengenai kerja-kerja pada hari itu. Ladang getah tersebut letaknya sekitar 12 bari dari Ladang Elphil, yang pengurusnya Arthur Walker mati ditembak setengah jam awal.
Dua orang pemuda Cina memasuki pejabat Ian Christian dan memaksa pekerja meletakkan tangan di atas kepala. Salah seorang pemuda Cina yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris memaksa Ian Christian menyerahkan pistol, namun dijawabnya, “saya tidak ada pistol’.
Dalam suasana sepi-seram, salah seorang pemuda Cina mengeluarkan tali daripada poket seluar, lalu mengikat Ian Christian manakala tiga lagi pemuda Cina menyerbu masuk ke pejabat Allison, dan selebihnya membuat kawalan di luar pejabat. Allison kemudianya diikat dan diminta menyerahkan pistol, dijawabnya: Ada di banglo.
Allison kemudiannya diminta berdiri manakala seorang lagi pemuda Cina membawa masuk Ian Christian bersama-sama dua orang kerani. Mereka kemudiannya diarah berjalan ke banglo, yang megah di atas bukit sekitar seratus ela berjarak. Sesampainya di banglo, Allison dan Christian diarahkan masuk ke dalam manakala dua orang kerani dibiarkan di luar dengan kawalan ketat.
Sepuluh minit kemudian, Allison dan Christian (Clark?) dibawa keluar dengan diacukan muncung pistol ke belakang, mereka diarahkan ke pejabat. Salah seorang pemuda Cina itu memandang kearah dua orang kerani yang sedang dalam ketakutan, cuba ditenteramkan dengan bercakap dalam bahasa Melayu: Jangan takut, kami hanya mencari orang Eropah dan anjing mereka” – “anjing penjajah”, gelaran untuk mereka yang menyokong dan bekerjasama dengan penjajah. Anjing suruhan, juga merupakan orang yang berjuang dalam gerakan gerila, pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh PKM.
Sebaik sahaja dibawa masuk, Allison dan Christian didudukkan di kerusi, kemudianya kededua mereka ditembak dan orang-orang Cina itu mengambil kisah ketakutan dua orang kerani yang berada diluar, mereka seterusnya melangkah keluar. Tiada siapa peduli ketika serangan itu berlaku, pasukan keselamatan hanya tiba selepas semuanya telah selesai.
Insiden ketiga berlaku Kamuning, yang letaknya beberapa batu dari Sungai Siput. Sekumpulan pemuda Cina sedikit terkilan kerana Donald Wise tidak muncul di pejabat ladang pada masa sepatutnya kerana jeep yang dipandunya rosak ketika meronda ladang. Akhinya, tiga pemuda Cina itu mengambil keputusn meninggalkan ladang Kamuning. seorang peladang di Kamuning.
Anggota PKM terus mengganas dan lapan belas batu ke selatan, iaitu di Ipoh, Pegawai Hal Ehwal Orang Cina, Robert Thompson (dipanggil Bob) sedang tekun mendengar aduan kecil seorang wanita tua yang tinggal lapan puluh batu jaraknya Bob tiba di Tanah Melayu pada tahun 1938, dan lancar berbahasa Kantonis dan beberapa dialek lain, dan semasa Jepun melancarkan serangan, dia terperangkap di Hong Kong.
Ketika dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Orang Cina, Bob baru berusia 32 tahun dan sangat sayangkan Tanah Melayu. Walaupun masih bujang, Bob merupakan seorang lelaki tampan, bergaya, bijak dan mudah ketawa. Bob dilihat cukup berbeza dengan karakter lelaki Inggeris yang lain, kolot dan membosankan.
Semasa Bob ke utara, yakni selepas tiga minggu insiden pembunuhan di Ladang Elphil, ladang Sungai Siput dan kegagalan membunuh Donald Wise, dia mengingatkan kesemuanya. Setelah singgah di Sungai Siput untuk minum-minum bersama seorang anggota polis, Bob menyaksikan kerumuman ramai dan bertanya.
Dengan nada marah, pegawai polis itu menjawab: Bob, kau dan aku tahu tidak lama lagi akan berlaku kekacauan. Malam ini semua pemimpin tinggi Komunis akan berjumpa di sini di Sungai Siput, dan aku tidak mampu berbuat apa-apa langsung. Kalau diizinkan, aku akan tangkap setiap pemimpin tinggi Komunis di Malaya pada malam ini juga.”
Pada tahun 1947, lebih tiga ratus kejadian mogok yang didalangi oleh Komunis telah melumpuhkan banyak la apabidang getah atau lombong bijih timah. Dalam bulan lepas (Jun atau Mei 1948), dua orang pekerja ditembak mati di sebuah lombong bijih timah, sementara pasukan di sebuah bandar melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pekerja yang merusuh dengan bersenjatakan lembing, batu, botol dan paip besi, dan membunuh tujuh orang apabila mereka enggan bersurai.
Di ladang-ladang getah, risalah-risalah yang dilekatkan pada pokok-pokok menyeru: Hancurkan anggota-anggota Komunis memporak-perandakan kerajaan Burma dan bertempur di jalan-jalan di Indonesia.
Bagaimana British dan kemudiannya Tanah Melayu yang merdeka mampu menamatkan darurat? Noel Barber bukan sahaja menceritakan mengenai apa yang dikerangkakan oleh Sir Gerald Templer, bahkan kaedah Cawangan Khas yang dicadang oleh Evan Divies ‘menipu’ menulis sepucuk surat kepada Ravens, seorang yang berpotensi menjadi orang tengah kerana bekerja rapat dengan Goh Peng Tun, ketua platun hutan.
Raven mempunyai dua orang anak perempuan dan isterinya tinggal di Kluang, Johor. Isteri Raven ialah seorang wanita keturunan Cina, yang pasif dan setia kepada suami, walaupun kurang berminat dengan aktiviti politik sang suami.
Davies bercadang untuk menemui isteri Raven. Seorang lelaki Cina yang menyamar sebagai kerani hadir menemuinya dan akhirnya dibawa menaiki sebuah kereta menuju jalan yang salah, iaitu menghala menuju ke rumah Davies.
Wanita itu kemudian dibawa masuk, Dvies terkejut kerana wanita itu masih muda, jelita dan sangat subur (sedang mengandung anak ketiga). Mereka saling pandang memandang tanpa berkata apa selama dua minit.
Menurut Davies, yang boleh berfikir seperti orang Cina, mengingatinya: Dia tahu soalan yang tidak saya luahkan, dan apabila dia mengangguk, itu untuk memberitahu saya yang Raven adalah bapa kepada anak di dalam kandungannya.”
“Kamu ada dua orang anak perempuan,” kata Divies, “Yang ini mesti lelaki – saya yakin. Itu bakal membuatkan Raven gembira, bukan begitu?”
Dia teragak-agak dan kemudian bertanya,” Saya tahu kamu Fa Chai dan kamu berurusan dengan jujur. Apa yang kamu mahu?”
Davies mengemukakan satu cadangan yang menakjubkan. Dia tidak mahu apa-apa, katanya. Dia tidak percaya dengan menuntut janji. ”Tetapi saya memang mahu kamu mendapat anak lelaki,” Davies berkata kepadanya, “Saya akan menghantar kamu ke hospital yang paling bagus di Singapura dengan perbelanjaannya ditanggung oleh saya, dan saya ingin menjadi bapa ketika bayi ini ditahbis.”
Wanita itu kemudian dibawa ke Singapura dan Davies bernasib baik seorang bayi lelaki dilahirkan. Sebulan kemudian, sebatang tiub buluh berisi sekeping kertas kecil dilempar melalui tingkap terbuka di bilik makan Davies. Di atas kertas itu tertulis ringkas, “Saya melahirkan anak lelaki dan saya berterima kasih atas kebaikan kamu. Saya sedia membantu.”
Davies tidak pernah berminat dengan mereka yang menyerah diri. Dia memerlukan orang yang orang yang akan terus tinggal di hutan setelah menyertai pihaknya. Menurutnya, “Inilah cara anda membuat tangkapan besar.”
Raven memberikan komitmennya – tetapi satu langkah yang silap yang silap boleh merosakkan segala-galanya. Jaringan Komunis di Kluang amat ketat sehinggakan jika seseorang secara kebetulan membeli sebatang pena mata bola yang murah, pihak Komunis akan mengetahuinya – dan menyoal dari mana wang itu datang.
Akhirnya Davies mendapat satu idea bijak untuk menyampaikan pesanan kepada Raven. Dia memalsukan surat kepada Goh, yang kononnya dikirimkan oleh isteri Raven. Isi kandunga surat ity agak memalukan: dia ingin mengandung lagi dan meminta kalau boleh diaturkan untuk dia bertemu suaminya agar mereka dapat menikmati hak sebagai seorang suami isteri.
Setelah lama menunggu seperti biasa, isteri Raven menerima sepucuk surat daripada Goh sendiri yang ditulis dengan kata-kata hebat dan meleret-leret. Intipati surat itu menyatakan dia boleh berjumpa suaminya selama sepuluh minit setiap dua minggu sekali di sebalik sebatang pokok di sebuah ladang getah.
Davies sedar, hal ini tidak membuatkan boleh membawanya bertemu Goh. Apa yang diinginkan ialah suatu masa dan satu tempat Davies boleh menyusun serangan hendap, membunuh semua anggota dalam platun Raven, dan kemudian menghantar balik Raven ke dalam hutan bersama detektif keturunan Cina yang akan menggantikan anggota-anggota PK yang telah dibunuh. Dengan cara itu, Davies akan dapat mengawal sepenuhnya sebuah satang komunis.
Rancangan Davies itu kemudian memperoleh input yang baik daripada Raven, mereka menetapkan akan keluar di sebuah ladang getah. Raven akan mengetuainya dengan memakai ikat kain puteh di kepala. Anggota Cawangan Khas, tidak akan menembak Raven, sebaliknya akan menembak orang-orang yang dibelakang Raven.
Namun, tidak sepenuhnya berjaya, setelah Davies berjaya menembak orang kedua, secara riuh rendahnya kawasan tersebut diselubungi bunyi bising dan asap. Seluruh penoreh lari, dan dalam 10 minit, semua pakaian Pengganas Komunis yang terkorban dilucutkan, lalu dipakai oleh enam orang anggota Cawangan Khas. Kemudian, Raven mengetuai mereka masuk ke hutan. Akhirnya mereka berjaya menggempur sarang komunis itu, namun Goh berpindah ke utara Kluang.
Davies terus mahu memburu Goh, maka direncanakan ancaman berikut dengan mendedahkan bahawa Tentera Udara Diraja akan melancarkan serangan dan siri pengeboman secara besar-besaran di utara Johor, dengan tumpuan di kawasan di mana Goh bersembunyi. Tentunya, Goh akan terus diburu, dan dengan menggunakan bantuan Raven, mereka cuba melakukannya, tetapi gagal kerana naluri Goh lebih mampu mengesan kehadiran musuh-musuhnya.
Bagaimanapun kem yang dibina di sebuah kawasan paya berminyak dapat dikesan dan disitulah akhirnya Goh dan orang-orangnya dapat dibunuh dalam serangan udara yang bertubi-tubi, menggugurkan bom seberat 90,000 paun (40,823.31 kg) dalam dua kali serangan. Perisitiwa berlaku pada 20 Februari 1956. Selepas itu, Raven dan keluarga dipindahkan ke Singapura sebelum dibawa ke satu destinasi yang dirahsiakan bagi menjamin keselamatannya.
Itulah secebis kisah di permulaan darurat yang cukup menyayat hati dan menakutkan. Biarpun ditulis orang seorang wartawan dan penulis British, Noel Barber (1909-1988), gaya penulisannya kadangkala bersalut gaya penulisan novel, sangat menarik sehingga saya yang membaca ulang terjemahan tidak mampu berhenti sebelum selesai.
Dalam ulasan ini, saya berhasrat mengupasnya secara mendalam, hanya sekadar menampil beberapa episod tertentu, dengan tujuan dan hasrat, pembaca ikut membaca terjemahan cemerlang ini.
Selain gambaran kekejaman Pengganas Komunis, saya turut tersentuh dengan ilustrasi kehidupan orang Melayu pada tahun-tahun sebelum merdeka, yang cukup mudah dan tidak terpengaruh dengan materialisme.
Mengungkapkan tipikal kehidupan orang Melayu zaman sebelum dan selepas Perang Dunia, yakni sebelum merdeka, cukup mengasyikkan. Noel Barber menyifatkan geografi Tanah Melayu yang masih dikelilingi hutan, cukup mengasyikkan dan juga menakutkan kerana di situlah timbulnya ‘semangat hutan’.
Apa itu ‘semangat hutan’ tentunya sebahagian daripada pembaca pernah membaca novel Penunggu Rimba: Tumborino (1998), tulisan Ramlee Awang Murshid atau menonton filem yang diadaptasikan dari novel berkenaan, tetapi bukan adegan adiwira.
Tulis Noel Barber: Kuasa purba itu ialah hutan rimba; hutan yang tidak mampu dihindari oleh sesiapa pun; hutan yang mengjangkau sampai ke hujung tanah setiap kampung dan ke dalam fikiran setiap orang; hutan yang menyebabkan empat perlima daripada 50,850 batu persegi keluasan Malaya terlindung daripada limpahan cahaya matahari.
Sifatnya yang ganas dan alamiah, yang tidak menaruh belas kasihan kepada sesiapa yang berani meremehkan bahangnya yang melemaskan atau hujannya yang berdesir-desir, menjadikan hutan belantara kawasan yang masih kekal tidak terjinakkan dan tidak berubah.”
Itu adalah bayangan imajinasi Noel Barber yang tiba di Tanah Melayu untuk menyelidik bahan penulisan ini antara tahun 1969 hingga 1970, yang juga mungkin dibantu oleh beberapa penulisan orang British sebelumnya. Gambaran ini sebenarnya sudah banyak berubah, kerana atas nama pembangunan, keperluan ekonomi dan sebagainya, keluasan hutan di Tanah Melayu semakin berkurangan.
Menurut satu jawapan di Dewan Rakyat (21 Mac 2023), hutan di Semenanjung adalah seluas 5,694,784 hektar, atau 42.95. Ertinya, ia sudah merosot daripada empat perlima (80 peratus), hanya tinggal kurang daripada separuh keluasan Tanah Melayu, hampir separuh daripada apa yang didapati oleh Noel Barber.
Semangat hutan juga sudah semakin tidak menyeramkan lagi. Sebabnya, ada orang yang sengaja hidup di hutan untuk mencuri dan mengumpul hasil-hasil hutan yang cukup berharga selepas balak semakin berkurangan.
Kini, semangat hutan cukup berkait rapat dengan wang, sebab itulah ada yang sanggup meneroka hutan untuk melombong REE –rare earth element– secara haram, mencari gaharu, menangkap binatang eksotik (tenggiling, musang, ular, unggas dan sebagainya). Semangat wang mengatasi segala-galanya, termasuk semangat hutan.
Perjuang bersenjata yang dilakukan oleh pelbagai pasukan dalam PKM merupakan sejarah Tanah Melayu yang harus dipelajari oleh setiap rakyat Malaysia, kerana sejarah inilah yang sering diselewengkan atas pelbagai seruan politik, yang sampai sekarang belum berjaya dinokhtahkan dengan jelas.
Penceritaan yang cukup menarik, ditambah dengan terjemahan yang lancar menjadikan buku ini sebuah bacaan yang dapat mengisi pengetahuan pembacanya, walaupun sedikit sebanyak ada nuansa untuk membantu menepis sedikit sebanyak kebencian terhadap kerakusan penjajahan.
Satu ilustrasi yang cukup memberikan saya gambaran indah masyarakat Melayu ialah apabila Noel Barber menulis: Orang Melayu beragama Islam, yang memiliki negara ini, berjumlah lebih sedikit sahaja daripada separuh jumlah 5,300,000 penduduk di Malaya. Mereka terkenal dengan nilai-nilai kehormatan diri yang jarang-jarang ditemui dalam dunia dan tingkah laku yang tiada cacat cela, serta mencintai kehidupan santai sehingga kurang berminat mencari harta.
“Bagi orang Melayu biasa, kehidupannya berlegar sekitar kampungnya, sebaik-baik dekat dengan laut atau sungai-sungai yang berwarna coklat yang merentasi kawasan desa. Di kampung, apa yang diperlukan hanyalah sebidang tanah. Pokok kelapa menyediakan buah kelapa dan bahan untuk membuat minyak dan atap – malah minuman keras juga, dengan menggunakan air yang diperah ari kulit kelapa dan todi yang ditapai boleh memabukkan sepertimana wiski.
“Sepetak sawah padi menghasilkan bekalan beras yang mencukupi. Pokok sukun, betik berbuah buah dada dan berwarna kuning keemasan yang hidup berkelompok di bawah rimbunan pokok tinggi dan durian yang busuk baunya tetapi berkhasiat tumbuh di setiap kampung. Di tepi jalanm halia hutanm kayu manis dan buah ara menanti masa untuk dipetik.
“Selain itu, ikan di laut dan sungai terlalu banyak sehinggakan perangkap yang paling mudah sekalipun sudah memadai untuk membolehkan seisi keluarga makan sepuas-puasnya tanpa perlu bersusah payah memancing. Jika seseorang inginkan sedikit duit belanja, beberapa batang pokok getah menyediakan susu getah yang mencukupi yang sentiasa saja ada permintaan tersedia.”
Era lama yang cukup mudah dan ringkas. Semuanya sudah berubah, ia berubah kerana tuntutan hidup semakin bersimpang-siur, dan sangat menekan. Namun, hidup tetap diteruskan walaupun sumber alam menjadi semakin kritikal, suasana alami semakin digerogoti oleh pemikiran individualistik dan materialitik, kita tetap bersyukur bahawa negara kita tetap menjanjikan harapan asalkan kita mampu mengekalkan kestabilan dan mampu memadamkan krisis dan konflik tidak berhujung dengan peperangan sesama sendiri. .
Tentunya, gambaran pedih yang dibangunkan oleh Noel Barber mengenai peritnya hidup dalam era darurat yang berlangsung selama 12 tahun sangat memberikan kita pengajaran, antara kesetiaan – anjing suruhan – dan pengkhianatan (pengganas komunis), kerana yang perlu kita pertahankan ialah keamanan dan keharmonian.
Disyorkan agar anak muda Malaysia membaca buku ini, kerana apa yang dibahas, dicerakin dan dibentangkan oleh Noel Barber itu boleh membangkitkan kesedaran, jika kita sendiri tidak mempertahankan keamanan dan menentukan kestabilan, siapa lagi. Ini bumi kita, dan di sinilah hidup dan mati kita.
Noel Barber, Perang Anjing Suruhan: Darurat dan Kekalahan Komunis di Malaya 1948-1960. Terjemahan Syed Omar Husin, Shah Alam: IBDE Ilham Sdn Bhd, 2020. Tebal 308 halaman tanpa bibliografi, catatan pengarang dan senarat watak-watak utama.
KAMARUN KH
Recent Comments