Sejak permulaan sejarah manusia, hakikat kehidupan penuh dengan tragedi. Tragedi kehidupan manusia penuh dengan suasana permusuhan dan persengketaan. Permusuhan dan persengketaan muncul apabila terdapatnya dua pihak yang saling bertentangan apabila berusaha mendapatkan sesuatu.
Jika diteliti, manusia bersifat pengkhianat telah muncul silih berganti sejak zaman Nabi Adam a.s sehinggalah kini. Setiap kali Allah mengutuskan rasul, ada sahaja manusia bergelar pengkhianat pada zaman berkenaan.
Begitu juga ketika Nabi Muhammad SAW berdakwah. Lebih malang kerana pengkhianat tersebut wujud di kalangan umat Islam sendiri.Kalau kita imbas sejarah Islam, jelas bahawa tercetusnya perang saudara seperti Perang Jamal dan Siffin, disebabkan penyusupan masuk golongan pengkhianat.
Malah kematian tiga Khalifah Ar-Rasyidin – Saidina Omar Al-Khattab, Saidina Othman Affan dan Saidina Ali Abi Talib – juga kerana angkara pengkhianat. Peranan pengkhianat juga yang menyebabkan runtuhnya dinasti besar seperti Umayyah, Abassiah, Andalusia, Fatimiah, Othmaniah dan Moghul.
Golongan pengkhianat “menjadi duri dalam daging” dan seterusnya menghancurkan peradaban Islam. Ini jugalah yang berlaku dalam UMNO hari ini sakibaki pengkhianat masih lagi ada dan ini harus disingkirkan oleh Presiden UMNO Dato Seri Zahid Hamidi kalau tidak ia akan menikam diri dan parti.
Justeru, Allah mengingatkan Rasul-Nya agar tidak cenderung bersahabat dengan pengkhianat kerana mereka sentiasa berusaha untuk menghancurkan Islam dan ummah.
Antaranya menerusi firmannya: Janganlah kamu terpengaruh dengan golongan pengkhianat tersebut, yang selalu bersumpah dan hina sikap dan amalannya, lagi yang selalu mencela dan menyebarkan fitnah untuk perpecahan (umat), menolak segala kebajikan (dan kemajuan orang), mereka yang melampau dan menentang (ajaran agama) dan melakukan dosa (Surah Al-Qalam Ayat 10-12).
Dalam diri manusia ada beberapa tabiat buruk yang akan lenyap jika selalu bermuhasabah diri dan mendekati Allah. Namun ada juga tidak hilang tabiat tersebut akan muncul apabila wujud sesuatu isu atau gejala yang membawa kepada perpecahan. Para pengkhianat tersebut telah menyebabkan kerosakan dan merampas hak rakyat majoriti. Ini kerana hak asasi rakyat majoriti dicabuli ketika itu.
Namun bagi golongan pengkhianat tersebut, mereka tetap tidak mengaku melakukan kerosakan atau cuba menjatuhkan sebuah pemerintahan. Malah mereka tetap yakin telah melakukan perkara yang betul walaupun hakikatnya mereka cuba mencetuskan kerugian kepada masyarakat.
Ingatlah, Allah memerintahkan kita mempersiapkan kekuatan, bukan untuk digunakan bagi mengancam orang untuk meletakan jawatan. Memiliki kekuatan bukan untuk menganiaya atau memusnahkan. Ia perlu digunakan untuk membangunkan ummah.
Islam menyaran umatnya menjauhi sikap “khuruj” iaitu melakukan cara penentangan dengan cara yang salah. Ini bermakna, sekiranya wujud kesilapan oleh pemerintah, kita tidak boleh sesuka hati menentang. Sebaliknya kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesilapan itu dengan cara-cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan oleh agama.
Berkata Sheikh Sa’di, “Tidak mungkin tertegak urusan agama dan urusan dunia manusia kecuali dengan memberikan ketaatan kepada penguasa.”
Antara dalil-dalil yang bersumberkan al-Quran dan al-Hadis yang mengisyaratkan perintah wajib mentaati pemerintah adalah seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “ulil-amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu). (An-Nisa’:83)
“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantah, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”-( al-Anfal: 46)
Dalam beberapa hadis juga disebut:
“Barangsiapa taat kepadaku bererti ia telah taat kepada Allah s.w.t, dan barangsiapa yang bermaksiat kepadaku bererti ia telah bermaksiat kepada Allah. Dan barangsiapa yang taat kepada amir (yang Muslim) maka ia taat kepadaku dan barangsiapa yang bermaksiat kepada amir, maka ia bermaksiat kepadaku,” (Muttafaq Alaih)
“Sesiapa yang menarik kesetiaan terhadap pemerintah, ia menemui Allah s.w.t tanpa sebarang hujah. Sesiapa mati tanpa kesetiaan terhadap pemerintah, matinya seperti kematian dalam jahiliah (maksiat),” (Riwayat Muslim)
Ketaatan kepada pemimpin merupakan perkara usul dalam manhaj Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah. Ini berdasarkan pendapat dan tulisan daripada para ulama salaf yang ditulis dalam kitab-kitab akidah Ahlussunnah. Imam Ahmad rahimahullah berkata dalam risalah Usul Al-Sunnah, “Wajib untuk mendengar dan taat kepada para pemimpin dan amirul mukminin, baik dia orang yang baik maupun orang yang jahat.”
Imam At-Thahawi berkata dalam kitab Al-Aqidah Ath-Thahawiah, “Kami memandang bahawa mentaati penguasa merupakan sebahagian dari ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla. Taat kepada pemerintah adalah suatu kewajipan selama mereka tidak memerintahkan kepada kemaksiatan. Kami mendoakan mereka agar mendapatkan kesalehan dan kebaikan.”
Berdasarkan kepada panduan agama, para ulama telah bersepakat mengenai kewajipan taat kepada pemerintah. Ia meliputi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh negara bagi kaum muslimin atau pemimpin yang menguasai negeri-negeri tertentu. Dalam konteks sebuah negara yang stabil, setiap orang yang berada di bawah kekuasaannya wajib yakin bahawa pemerintah berhak mendapat taat setia rakyat. Ini merupakan kewajipan syariat.
Teguran terhadap pemerintah mestilah berunsur ikhlas dan dibuat secara berhemah. Ia tidak boleh diiringi oleh hasad dengki dan dilakukan tanpa mengira baik atau buruk.
Sifat ikhlas itulah sepatutnya mengikat seseorang mukmin mahupun orang politik dinegara kita dan membuatkannya tidak lepas daripada ikatan taat setia kepada pemerintah. Pemerintah tidak selalunya benar dan tidak juga mencapai darjat maksum. Tetapi mereka yang ingin memperbetulkan kesilapan itu perlulah mengikut mekanisme yang dibenarkan oleh syariat. Dan harus diingatkan juga bahawa sumpah setia kepada pemerintah bukan seperti kalung yang boleh dipakai dan ditanggalkan sesuka hati. Kewajipan taat setia itu tetap berterusan selagi pemerintah itu masih ada atau bertapak di negeri tersebut. Seseorang Muslim tidak boleh menarik diri daripada perjanjian taat setia itu.
Kita mesti taat kepada pemerintah pada perkara yang bukan maksiat terhadap Allah. Tidak ada kebaikan bagi masyarakat kecuali dengan jemaah. Dan urusan jemaah tidak akan berjalan lancar melainkan dengan adanya ‘imamah’ (kepimpinan). Dan tidak akan lurus atau bergerak lancar sesuatu kepimpinan kecuali dengan ketaatan. Meskipun apa yang diperintah atau dilaksanakan oleh umarak tidak menyenangkan hati kita, kita tidak sepatutnya menentang atau tidak mahu menerimanya selagi apa yang diperintah dan dilaksanakan itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunah.
Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sabda: “Seseorang Muslim wajib memperkenankan (menerima) dan taat berkaitan apa sahaja (yang diperintahkan oleh ulil amri), suka atau tidak suka. Tetapi apabila ia (orang Muslim) diperintahkan berbuat maksiat, maka ketika itu tidak boleh diperkenankan (diterima) arahan itu dan juga tidak boleh taat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Perhatikan bagaimana perseimbangan yang indah ini jika berlaku kepincangan di mana-mana. Tentu kita tidak menyukainya kerana Allah tidak memerintah dengan perkara fahsya dan juga mungkar dan tetap menegaskan kepadanya bahawa perkara tersebut adalah tetap dilarang keras dalam agama dan perlu dijauhi dan ditinggalkan tanpa sebarang kompromi.
Ia bermakna, perlu dipisahkan antara amalan jahat pemerintah dan perbuatannya, barulah tindakan kita akan seimbang dan adil serta ada batasannya. Tidaklah sampai rakyat akan membenci dan memusuhi pemerintah.
Cukuplah bagaimana keseriusan para ulama dalam menjelaskan akidah yang murni ini dalam kitab-kitab mereka sebagai bukti akan betapa agungnya kewajiban taat kepada pemerintah.
Ini ditegaskan oleh Alllah SWT dalam firmannya yang bermaksud: “Wahai orangorang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatilah Rasul-Nya serta Ulil Amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kamu kepada al-Quran dan Rasul (sunahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian.Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah An-Nisa ayat 59)
Lebih mendukacitakan apabila wujud kelompok yang kononnya memperjuangkan Islam namun sikap dan tindakan lebih menjiwai politik asabiah yang mendoktrinasi pengikut untuk menyokong parti secara membuta tuli. Kerakusan untuk berkuasa lantas mendorong perilaku songsang hingga sanggup mempertaruhkan ayat-ayat suci Allah dengan maksud menjustifikasi tindakan ataupun memburuk-burukkan parti lawan.
Semuanya dilakukan lantaran ketaksuban kepada kuasa hingga tergamak menggadaikan prinsip agama. Justeru sudah tiba masanya umat dijernihkan pemikiran mengenai budaya politik yang akan menentukan jatuh bangunnya sesebuah tamadun. Umat harus dipasakkan dalam pemikiran agar membebaskan diri daripada belenggu budaya politik asabiah yang menyesatkan.
Kesimpulannya, pendekatan menasihati pemerintah adalah pendekatan yang utama dalam mengekalkan kesepaduan ummah. Kepentingan agama dan kedaulatan ummah adalah perkara yang menjadi tanggungjawab ke atas pemimpin. Namun setiap manusia yang melakukan kesalahan perlulah diberikan nasihat dengan cara yang tepat yang berlandaskan ajaran Islam.
Oleh : Mohd Shauki Abd Majid
Setiausaha Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW)
Recent Comments