Negeri-negeri yang diperintah oleh parti berbeza, hanya peruntukan pengurusan disalurkan secara langsung ke akaun Bendahari Negeri, manakala peruntukan pembangunan disalurkan menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan atau diselaraskan oleh agensi pusat (seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM). Ia bertujuan memudahkan pemantauan, pengurusan projek dan penguatkuasaan terma kontrak

Kelantan, misalnya berhadapan dengan masalah untuk mengambil tindakan ke atas kontraktor yang diberikan konsesi tertentu. Ia disebabkan oleh kelemahan pengurusan projek dan pematuhan kontrak. Inilah yang berlaku dalam naratif pembangunan Lembah Sireh. Syarikat yang diberikan kontrak tersebut tidak menyediakan Masjid Negeri yang bernilai RM 20 juta, terminal bas dan juga Jambatan II merentasi Sungai Kelantan melalui Kg Cina, di Kota Bharu.

Ia merupakan satu kegagalan terbesar kerajaan Kelantan dalam kaedah ‘land swap’. Sangat merugikan kerajaan negeri, tetapi kontraktor mendapat keuntungan besar. Sebabnya, kontraktor membangunkan projek mereka (komersial) terlebih dahulu untuk menjana pendapatan manakala projek-projek yang dijanjikan sebagai balasannya, ditangguhkan pelaksanaannya. Ia akan dimulakan selepas projek berimpak besar (mencetak keuntungan) selesai. Sayangnya, setelah selesai, kontrak lepas tangan, tidak tunaikan janji.

Kelemahan-kelemahan itu telah diakui oleh EXCO yang bertanggungjawab, yakni bekas TMB Kelantan yang kadangkala ‘berkepala angin’ dan sering meremeh-remehkan pengkritiknya. Tetapi, kerana pengundi Kelantan sudah sekalian lama diindoktrinasikan dengan ‘undi PAS masuk syurga’ serta ‘menegakkan pemerintahan Islam’, segala kesenangan daripada pembangunan tidak menjadi sesuatu yang menarik, rakyat lebih rela menadah air berwarna teh susu dan ‘membasuh kering’ (dry cleaning) dengan angin  yang keluar daripada kepala pili  kelolaan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Jika kita lihat secara mendalam, maka kemenangan PN sebenarnya bukan didominasi oleh Bersatu, bahkan ia terus mengekalkan apa yang didakwa oleh Presiden PAS, kerusinya adalah lebih besar. Kalau selepas PRU ke-15 sudah berkali-kali muncul dakwaan itu, maka selepas ini, dakwaan yang sama akan menjadi lebih kerap diulang-ulang, yang boleh menyebabkan pemimpin Bersatu ikut naik angin seandainya tidak dapat kawal emosi.

Tentunya, selepas ini, sekiranya PAS terus kekal mendakwa merekalah yang berjaya mendominasi dan memberikan kemenangan terbesar kepada PN, Muhyiddin dengan sendirinya perlu menerima kenyataan pahit, dia sebenarnya telah gagal. Muhyiddin akan merasa betapa sakitnya bila duri tertusuk ke daging. Itulah yang pernah dirasai oleh UMNO ketika PAS berada dalam BN.

Mana yang dilihatnya cantik dan berpotensi, di situlah PAS akan lakukan untuk merobek dan menodainya. Ia seperti seorang lelaki yang teruja dengan seorang wanita genit, gebu dan sedikit gedik biarpun sudah mempunyai suami. Itulah yang berlaku ketika PAS dalam BN, diintainya kawasan-kawasan rancangan pembangunan tanah yang diketahui sangat identik dengan UMNO. Diletakkan batu asas, penubuhan cawangan PAS sehingga menyebabkan UMNO terasa dipermainkan oleh rakan kerjasamanya itu.

Muhyiddin perlu jujur dalam ekosistem politik yang sudah menunjukkan sedikit bentuknya dalam PN, yang juga memungkinkan gabungan itu berpecah pada suatu ketika. Sebagaimana budaya politik PAS, bila kedudukannya lebih besar, ia akan menekan rakan kongsinya, seperti yang sedang dihadapi oleh Bersatu sekarang. Sudah kedengaran desas-desusnya. Sudah dirasainya tusukan sembilu yang perlahan di pasak, walaupun kini belum lagi melepasi kulit.

Ya! Bagaimana PAS ‘melangkaui’ Muhyiddin ketika bersetuju untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir dalam Proklamasi Orang Melayu. Ramai yang tahu, Muhyiddin dan Mahathir, dua karakter politik yang berbeza, saling ‘bermusuh’ selepas Langkah Sheraton; saling menuduh dan mengecam selepas ’hilang kuasa’.

Tetapi, ‘kerana terpaksa’, akhirnya Muhyiddin membuka ‘jalan bersahabat’, bukan ‘melangkah pergi’. Ia sesuatu yang merugikan jika ‘melangkah pergi’ sebabnya PRN semakin dekat, Muhyiddin ‘tidak turut kata hati’ walaupun menyoal dalam hati “di antara kita mengapa ada dia”, yang kecewa habis tatkala ditolak oleh pengundi Langkawi.

Jika pun dalam keadaan kerdil, PAS tetap merasakan kedudukannya cukup besar dan berpengaruh, akan menekan komponen gabungan yang dilihat cuba mendominasi. Ini dapat dilihat bagaimana retaknya hubungan antara DAP dan PAS di akhir tahaluf siyasi, yakni menjelang PRU ke-13.  Walaupun semasa PRU ke-13, PAS-DAP-PKR masih boleh bekerjasama, tuduh menuduh antara pemimpin mereka terus berlaku sehingga Pakatan Rakyat berpecah selepasnya. Juga ada kaitannya dengan krisis politik di Kedah yang akhirnya meranapkan kuasa PAS oleh keputusan PRU ke-13.

Kata Presiden PAS, ada spesies yang tidak tahu asal-usulnya menyusup masuk dalam PAS. Spesies yang mahukan pengkamilan kuasa lebih serius, demia kuasa itu sendiri dan kekuatan Pakatan Harapan, yang akhirnya memuntahkan desakan reaksioner, kembali kepada kepimpinan ulama. Muncul desakan untuk mengkaji kembali tahaluf siyasi dan itulah yang berlaku separuh tempoh PRU ke-13.

PAS awalnya menjaja bahawa parti itu berjaya mendakwahkan DAP dan Islam telah diterima oleh bukan Melayu. PAS ikut sokong bila Lim Guan Eng menebarkan dakwaan, pemerintahannya di Pulau Pinang akan diserapahkan dengan ala Umar Abdul Aziz. Tujuannya jelas, untuk meredakan kebimbangan orang Melayu.

Tetapi, seperti pusingan roda, PAS membuat kenyataan berbeza, setelah merasakan ada konflik, sukar diselesaikan – ada jiwa tokong bertemu jiwa suci dalam perang psikologi –yang sedikit tercedera adalah PAS (Krisis Kepimpinan Kedah). Konflik itu kemudiannya dikaitkan dengan sikap dan ‘tokong’ yang mahukan PAS berkompromi lebih banyak sehingga PAS menamakannya sebagai ‘abang besar’, mahu mengawal dan menguasai, termasuk cakap-cakap perihal ‘unity government’, idea kerjasama antara PAS dan UMNO/BN selepas PRU ke-13, yang bukan sahaja riuh sekandang bahkan telah menggegarkan Pakatan Rakyat.

Juga, sedikit sebanyak perselisihan menyebabkan Mursyidul Am PAS mengeluarkan kenyataan, PAS perlu melakukan pembersihan untuk membuang ‘buah busuk’. Kata Nik Aziz, pembersihan itu perlu, termasuk mengkaji semula bukan anak Kelantan bertanding atas tiker PAS di Kelantan, kerana sejak lama dirinyalah yang telah ‘menyiram dan membajai parti’ sehingga parti kembali kuat dan mampu berkembang. Ia seolah-olah menyindir Presiden PAS yang gagal mempertahankan kuasa PAS di Terengganu, sehingga parti itu teroleng-oleng dan tidak berdaya menahan kemaraan Gelombang Biru. PAS kalah pada PRU ke-11 (2004).

Sengketa itulah akhirnya membawa kepada doktrin politik PAS yang cukup menghina apabila mendakwa, satu undi untuk BN sama dengan Satu Undi Untuk DAP; Undi BN dapat DAP, sedangkan ketika masih bersama dalam Pakatan Rakyat, Presiden PAS mengeluarkan fatwa, halal undi DAP sampai kiamat. Kini, kerana DAP dan UMNO/BN boleh bekerjasama, undi UMNO pula difatwakan haram. PAS kembali ke zaman kanibalismenya.

Sayangnya, PAS terlupa bahawa Gerakan adalah kawan yang perlu disokong walaupun pada suatu ketika, Gerakanlah parti yang sangat lantang menghentak PAS, dengan ‘belakang parang’ dan juga ‘kapak bodoh’ selain melastik menggunakan ‘ball-bearing’.

Namun, kerana sudah lama terbentuk imej bahawa PAS adalah parti suci, bersih dan Islamik, maka sesiapa pun yang menyertai atau menyokongnya akan disucikan, seperti dilahirkan semula. Ia tidak ubah seperti reinkarnasi, yang tidak ada dalam ajaran Islam, tetapi PAS boleh menjelmakannya walaupun penyertaan tersebut tidak boleh diistilahkan sebagai sebuah pertaubatan.

Dr Mahathir pernah kata, PAS telah berjaya ‘mensucikan DAP’, kerana itu, Haji Hadi boleh berpeluk dengan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang. Tidak ada lagi kisah kafir, kerana DAP sudah ‘disucikan’.

Ini dapat kita lihat bagaimana mereka boleh menerima untuk bekerjasama dengan Muhyiddin sedangkan beliau pernah menggelarkan PAS sebagai Parti Ajaran Sesat. Ia seolah-olah menyamai apa yang berlaku dalam pemuka gereja Katholik pada zaman pertengahan apabila menjual ‘sijil tebus dosa’ kepada sesiapa sahaja yang merasakan dirinya berdosa.

Mungkin kita dapat saksikan bagaimana Annuar Musa disucikan. Walhal, sebelumnya Annuar adalah orang paling lantang mengecam PAS kerana beliau berusaha mendapatkan ruang kemenangan di Ketereh. Bukan sekali, tetapi setiap kali PRU berlangsung sejak tahun 1986.

Ketika itu, Annuar masih berada dalam UMNO Nilam Puri, yang kemudiannya dilaksanakan gerrymandering, sebahagiannya dimasukkan ke dalam Bahagian Ketereh yang baru diwujudkan.

Annuar akhirnya menerajui UMNO Ketereh, dan dari situlah episod baharu bermula kerana beliau ada kuasa, ada peruntukan yang boleh digunakan atas asas kemajuan masyarakat desa dan luar bandar. Boleh buat jalan. Boleh buat projek. Boleh jadikan ‘angsa bertelur emas’. Dan, apa-apa lagi sehingga muncuk kontroversi, setelah beliau tidak ada lagi dalam kabinet.

Ia kemudiannya membawa kepada pertentangan besar dalam agama Kristian (khususnya dalam kalangan Roman Katholik), sehingga melahirkan mazhab baharu, iaitu Protestan, yang asalnya hanya sebagai kumpulan yang memberontak (protest), yang dipimpin oleh seorang pensyarah teologi,  Dr Marthin Luther di Jerman.

Aliran pemikirannya kemudian disebut Lutherian. Mungkin juga kita boleh namakan kaedah dan cara politik Haji Hadi sebagai Hadism, berasaskan mantera dan tafsirannya yang berbeza antara prinsip dan praktis politik. Praktis politik bercapah dan tidak konsisten. Cuba kita baca tulisan-tulisannya dan bandingkan apa yang beliau laksanakan sehingga membentuk budaya politik PAS yang kadangkala ada fenomena matlamat menghalalkan cara.

Contohnya, untuk menarik sokongan orang Melayu, maka didakwanya bahawa orang Melayu dan Islam sedang terancam. Mereka yang tidak mengundi kerana mengerjakan haji atau umrah, umpama ‘lari dari perang’. Mutakhir, menang besar PRN kerajaan pusat bertukar. Bila wartawan tanya kisah Memali, dulu disifatkan mereka yang terkorban sebagai ‘syuhada’, tetapi kini dijawabnya ‘itu soalan syaitan’. Apakah itu ‘jawapan malaikat?’.

Kita juga masih ingat bagaimana Pop Gregory berusaha menggunakan ‘doktrin hapus dosa’ bagi mengembalikan masyarakat Eropah kembali hormat kepada kuasa gereja.

Ketika itu, kesatuan umat Kristian alami perpecahan (wujud dua kelompok kuasa gereja (Christiendom) yang saling berkonflik, Gereja Timur (Romawi) dan Gereja Barat (Jerman) dan saling berhasrat menjadi hegemonik). Ia disebabkan perjuangan yang membawa kepada pembaharuan atau dipanggil Renaissance yang bermula di Itali, pada kurun ke-10 dan ke-11.

Ketika itu, Islam telah muncul sebagai kekuatan baharu yang berjaya menguasai empayar Byzantium, Romawi dan Persia. Islam berkembang sebagai pusat kebudayaan dan keilmuan yang besar, yang berpusat di Maghribi (Moroko), Andalusia (Sepanyol) dan Baghdad. Sedangkan di Eropah, mereka saling berperang dan membunuh kerana merebut wilayah kekuasaan yang tidak pernah cukup, misalnya antara Britain dan Perancis.

Akibat merasakan kedudukan kuasa gereja mula tergugat, maka diciptakan tawaran tersebut sehingga berjaya menarik minat pelbagai golongan masyarakat dan bangsawan. Ia kemudiannya diperbaharui oleh penggantinya, Pop Urban II dengan menyeru kepada semangat perang suci untuk melawan Islam, yang kemudiannya dikenali sebagai Perang Salib.

Perang Salib pertama mendapat kejayaan besar, kerana adanya tawaran ‘hapus dosa’ bagi sesiapa yang menyertainya, sehingga mereka berjaya mengalahkan tentera Islam. Perang Salib pertama dianggap sebagai perang yang mendapat sokongan orang awam, yang turut mengherokan Peter the Hermit, seorang lelaki miskin tetapi cukup kuat beragama. Mereka berjalan kaki menuju ke wilayah-wilayah Islam untuk berperang, tetapi, turut membunuh penganut Yahudi dan Kristian yang tidak mahu menyertai peperangan.

Walau bagaimanapun, kejayaan itu tidak menyebabkan tentera Islam menyerah kalah, malah bangkit dalam semangat jihad yang lebih besar sehingga berjaya menawan semula Baitul Maqdis semasa dipimpin oleh Salahudin al-Ayubbi (Perang Salib III). Kehandalan dan kecekapan Raja England, King Richard akhirnya tercalar. Ditukarkan gelaran daripada Berhati Singa kepada Berhati Landak, apabila menandatangani perjanjian ketika dirinya sedang berhadapan dengan kemelut perebutan kuasa dengan saudaranya sendiri, King Henry II.

Selepas berselang lama, Islam mencatatkan kemenangan besar apabila Muhamad al-Fateh berjaya meruntuhkan kerajaan Byzantium (1415), menjadikan Empayar Uthmaniyyah semakin berkembang dan dihormati. Bagaimanapun, kehebatan dan kekuatan empayar Islam dapat diruntuhkan apabila barat berjaya menguasai pemikiran umat Islam dengan sekularisme.

PAS mesti menyedari hakikat tersebut kerana kedudukan mereka juga boleh berubah sebagaimana telah berlaku ke atas UMNO, yang bermula akibat perpecahan dalaman dan perilaku pemimpinnya. Jika PAS terus mengamalkan politik identiti dengan menyebarkan kebencian, ia akan dihukum oleh anak-anak muda yang semakin terdedah dengan pelbagai aliran pemikiran dan terbuka mindanya, pada suatu hari.

Kini, jika PN boleh mendakwa mereka merupakan gabungan yang boleh mencabar PH-BN, ia juga akan mengalami proses yang sama dalam kitaran politiknya, sebagaimana dimodelkan oleh sejarawan Islam terkemuka, Ibnu Khaldun, bahawa sesuatu peradaban atau organisasi akan mengalami era keruntuhannya setelah mencapai kemuncak.

PN sekarang belum mencapai kemuncak, tetapi mungkin sedang mendaki untuk sampai ke puncak. Dalam proses pendakian tersebut, ia bukanlah semudah yang dimomokkan ‘bila kita menang besar PRN, kita akan tukarkan kerajaan pusat’, sebab ia hanyalah semangat palsu, atau masih dalam bentuk khayalan (imajinasi).

Tentunya, khalayan itu akan diketahui oleh penyokong-penyokong PN apabila terlalu lama berkhayal. Ini bermakna, jika dakwaan Presiden PAS bahawa kerajaan akan bertukar pada bulan Ogos ini tidak menjadi kenyataan, keyakinan pengundi terhadap PAS akan terjejas sebahagiannya, terutama dalam kalangan pengundi muda yang tidak berjaya dikomunitikan oleh PN dalam harakahnya.

Untuk itu, pada masa yang sama pengundi akan mengukur sejauhmanakah kekesanan kepimpinan PN sepanjang lima tahun ini, kerana mereka akan membuat pilihan pada PRU ke-16 dalam kerangka pemikiran yang berbeza dengan apa yang mereka lakukan pada PRU ke-15 dan PRN.

Begitu juga dengan apa yang Anwar mampu laksanakan sepanjang pentadbirannya dengan mandat 148 kerusi Dewan Rakyat, yang masih berbaki empat tahun lagi. Jika ketika ini Bersatu boleh mendakwa bahawa berlakunya pendakwaan terpilih terhadapnya, maka jika keputusan mahkamah mendapati dakwaan itu tidak benar, imej Bersatu akan ikut terhumban ke laut sebagaimana yang sedang dihadapi oleh UMNO.

Jadi, kekuatan sebenar PN hanya boleh dipertahankan oleh PAS jika gabungan itu masih kekal. Ramai yang berfikir, PN juga akan goyah sebagaimana goyahnya BN, yang hampir kembali kepada platform asalnya, Perikatan (1955) dengan tiga buah parti berasaskan kaum, UMNO, MIC dan MCA.

BN pernah merupakan gabungan parti politik yang terbesar dan dominan. BN telah sampai ke kemuncaknya pada tahun 2004 setelah menang 198 daripada 219 kerusi Dewan Rakyat dan mampu menjadikan kedudukan PAS di Kelantan seumpama telur di hujung tanduk.

Biarpun pada PRN kali ini PN berjaya menyapu bersih di Terengganu, menang besar di Kelantan dan Kedah, selain menjadi pencabar dalam DUN Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, ia tidak bermakna gabungan itu boleh mendepa tangan sekehendak hatinya. Jika tersilap langkah, PN akan terjatuh ke longkang tanpa ditolak oleh PH-BN, kerana pertelingkahan dalamannya sudah dikesan dan sedang bercambah.

Tentunya, kita mungkin boleh membuat sedikit kira-kira seperti dalam melodi lagu Tiga Kupang: Raja dalam rumah, buat kira-kira; suri dalam dapur, makan roti gulai. Kemenangan PN sebanyak 146 kerusi dalam PRN kali ini, tidak bermakna kerajaan pusat boleh ditumbangkan. Ia tidak relevan dengan asas tertubuhnya kerajaan pusat, yakni wakil rakyat bagi Dewan Rakyat.

Anwar ada 148 sokongan tetapi PN hanya ada 74. Jika 30 wakil rakyat berjaya ‘menyeberang’, ia belum melepasi syarat, masih perlukan lapan lagi untuk sampai ke angka 112. Siapakah lapan wakil rakyat itu yang sanggup meletakkan jawatan dan seterusnya diadakan semula PRK? Rasanya, sukar untuk melakukannya kerana mereka juga akan dianggap ‘curah air di tempayan’; sukar boleh menang jika bertanding semula.

Jika mengambil keputusan jadi ‘katak’, siapakah mereka daripada BN itu yang sanggup membayar RM 100 juta sedangkan Zuraida Kamarudin yang sudah diarahkan membayar RM 10 juta pun masih belum berbuat demikian, merayu semula keputusan mahkamah. Itu adalah sekatan yang cukup sukar untuk dilompat ataupun direntasi, bukan semudah Langkah Sheraton.

Di Semenanjung atau Tanah Melayu, walaupun ramai budak hitam, hanya ada sepuluh sahaja yang dilihat masih menyerlah pada masakini, iaitu – PN (tiga: PAS, Bersatu dan Gerakan), PH (tiga: DAP, PKR dan Amanah), BN (tiga: UMNO, MCA dan MIC) dan MUDA – yang lainnya sudah dilihat sukar atau mungkin akan hilang selepas tercirit (Pejuang, PUTERA, Berjasa, KIMMA, PSM, PCM dan sebagainya). Mereka sebenarnya masih terasa perit dan trauma dengan kekalahan dalam PRU ke-15 lalu. MUDA pun kalah teruk, 19 calonnya hilang deposit sekali lagi. Calon PN pun ada yang hilang deposit (18) .

Mereka telah menyumbang kepada hasil negara apabila hilang deposit. Begitu juga dalam PRN kali, walaupun UMNO tewas dengan peratus kegagalan yang besar, tidak ada calonnya hilang deposit. Tetapi ramai juga calon Bersatu yang hilang deposit. Ini bermakna, Bersatu bukanlah sebuah parti yang kuat dan boleh disandarkan selama-lamanya untuk PAS bergantung.

PAS pula tidak pernah lama berada dalam mana-mana gabungan, termasuk ketika menyertai BN, Pakatan Rakyat, Gagasan Sejahtera, dan kini dalam PN, yang dijangka akan pecah menjelang PRU ke-16 atau selepasnya, kerana tiga orang pemimpinnya, yang menerajui negeri Perlis, Kedah dan Terengganu bukanlah dalam kalangan agamawan.

Bila keadaan terngadah, PAS akan kembali kepada kepimpinan ulama, sebagaimana berlaku selepas PRU ke-13 (2013) yang akhirnya menyebabkan parti itu terbelah, munculnya Amanah.

Pun kalau diukur undi popular, PN bukannya kuat kerana hanya dapat meraih jumlah undi yang lebih kecil berbanding PH-BN. PH-BN (perpaduan) dapat 3,399.472 manakala PN sebanyak 3,382,466 undi. Ia berbeza sebanyak 17,006 undi. Tentunya, jika ada yang menganggap PRN sebagai referendum, maknanya pengundi telah menolak PN walaupun menang 146 kerusi berbanding PH-BN yang menang 99 kerusi.

Ya! Kita mungkin ingat pada suatu ketika cukup heboh diperkatakan mengenai undi popular, sehingga terlupa bahawa ‘game’ ada peraturan dan kaedahnya sendiri. Kemenangan berdasarkan kiraan mata, bukan jumlah gol yang dijaringkan. Itulah sebabnya setiap daripada kita kena hormat keputusan pengundi, bukan membuli pengundi untuk tujuan selanjutnya yang terkandas.

Itulah risikonya mana-mana parti yang pernah bergabung dengan PAS, kerana setiap kali ada ruang, PAS akan cuba mendominasi. Jika tidak ada ruang, PAS akan mencari alasan, sehingga berpecahnya gabungan. Itulah yang pernah dikatakan Leo Tolstoy: Everyone thinks of changing the world, but one thinks of changing himself.

MAHANOR SALEHA

Translate »