Muhyiddin, pada zaman pentadbirannya selama 17 bulan dihadapkan dengan begitu banyak isu termasuk kelengahannya untuk mencari penyelesaian mengenai penularan COVID-19 setelah ianya dikesan dan mula merebak di Malaysia. Ia merupakan sesuatu yang dilihat oleh rakyat sebagai tidak serius. Ini kerana Muhyiddin sanggup menghabiskan rehat mingguan dengan bermain golf, yang sepatutnya dibatalkan dengan memanggil barisan kabinetnya berbincang di atas kesegeraan tersebut.
Muhyiddin hanya mengadakan mesyuarat untuk menangani penularan wabak tersebut pada hari yang lain. Akhirnya dibuat keputusan melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), yang tidak diikuti dengan arahan-arahan yang lebih jelas dan memadai.
Kesannya, PKP itu dianggap sama seperti darurat. Ia dikarikaturkan dalam media sosial, pihak tentera ikut menggunakan kereta kebal meronda di mana-mana, termasuk di dalam bandar untuk menakutkan orang ramai agar mematuhi larangan yang baharu dikuatkuasakan (PKP).
Selepas keadaan sedikit reda, Muhyiddin memikirkan untuk mengubah lanskap politik di Sabah, yang ketika itu dikuasai oleh Warisan, yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional.
Muhyiddin juga bimbang, jika UMNO/BN bertindak lebih terkedepan kerana Musa Aman telah dibebaskan daripada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah. Pembebasan ini akan membawa kepada sekali lagi ‘katak’ akan melompat dan boleh menyebabkan kepimpinan Shafie Afdal berhadapan dengan masalah.
Shafie mengangkat sumpah jawatan apabila berjaya memujuk beberapa orang wakil rakyat BN menyebelahinya bagi mencukupkan resolusi majoriti mudah. Sebelumnya, Musa Aman cuba menemui YDP untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, yang sebelumnya beliau menyandangnya berdasarkan keputusan yang dicapai oleh BN.
Shafie perlu bertindak cepat. Shafie kemudiannya memohon untuk membubarkan DUN bagi diadakan semula pilihan raya bagi mengatasi kemelut tersebut.
Keputusan tersebut telah menyebabkan Ketua Menteri Sabah, Shafie Afdal mula dilihat cemas kerana takutkan kedudukannya dilongsorkan atas tindakan wakil rakyat, bukannya pilihan rakyat.
Pada pandangan Shafie, mengadakan pilihan raya adalah jalan terbaik. Selepas PRN Sabah selesai, kes-kes baharu jangkitan COVID-19 naik mendadak sehingga muncul situasi cemas. Ini menyebabkan PKP kedua yang lebih ketat diperkenalkan.
Sebelum akhir tahun 2020, Muhyiddin sekali lagi disimbah dengan ketidaktentuan politiknya, apabila mendapati Anwar Ibrahim menghadap YDPA. Selepas menghadap, Anwar memberikan komen bahawa akan berlaku perubahan kerajaan, di mana ketika itu dirinya dah ‘cukup nombor.’
Dalam masa yang sama, timbul desas-desus bahawa Tengku Razaleigh mungkin akan dilantik sebagai PM sementara kerana beliau turut dipanggil menghadap. Bagaimanapun, Tengku Razaleigh hanya memberikan komen, pertemuan itu hanya sekadar sembang-sembang politik, bukan untuk melantik PM baharu.
Muhyiddin yang cemas berkejar ke Kuantan, Pahang menemui YDPA bagi mendapat perkenan untuk diisytiharkan ‘darurat kesihatan’ sebagai langkah mengekang jangkitan baharu selain mudah untuk memutuskan rantaian jangkitan apabila tidak ada mobiliti sosial secara terbuka.
Bagaimanapun, YDPA tidak perkenan cadangan tersebut sebaliknya yakin para anggota kabinet (kerajaan) mampu melaksanakan kawalan sekiranya ada kerjasama dari pelbagai pihak, termasuk wakil rakyat pembangkang dan juga orang ramai.
Muhyiddin kebuntuan. Dalam kebuntuan itulah munculnya pelbagai desakan, mendesak Muhyiddin segera berundur. Peningkatan kes baharu cukup menggerunkan, iatu sudah melangkau puluhan ribu sehari. Situasi benar-benar cemas, dari angka peningkatan jangkitan dan juga kematian yang dikaitkan dengan COVID-19.
Timbul satu lagi idea, sekali lagi Muhyiddin cuba mendapatkan perkenan YDPA untuk melaksanakan perintah darurat dan kali ini beliau berjaya. Darurat diisytiharkan untuk tempoh enam bulan, iaitu sehingga Ogos 2021, atau boleh dimansuhkan lebih awal. Namun, kelegaan tersebut hanya bersifat sementara, seperti kesan khayal pil ekstasi.
Selepas habis tempoh berkhayal, Muhyiddin dihumban dengan desakan membenarkan sidang Dewan Rakyat untuk berbahas kaedah membendung COVID-19 yang semakin mencemaskan itu, sehingga terpaksa menggembelingkan semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.
Hospital kekurangan katil untuk merawat mereka yang terkena jangkitan manakala para medik berkerja dalam tekanan melampau, keletihan dan tidak cukup rehat. Para medik pula terpaksa meninggalkan atau berjauhan dengan ahli keluarga berminggu-minggu demi tuntutan itu manakala, peralatan tidak mencukupi. Tempat simpanan mayat semakin kritikal dan percubaan bunuh diri semakin menjadi pilihan sebagai jalan penyelesaian kemelut psikologi yang dihadapi.
Disebabkan ‘total lockdown’, kehidupan masyarakat terhimpit. Bekalan makanan dan wang untuk berbelanja semakin kehabisan. Akhirnya masalah menjadi semakin besar apabila kes bunuh diri meningkat naik.
Kalau sebelumnya, kes bunuh diri jarang melibatkan orang Melayu-Islam, tetapi pada zaman pentadbiran Perikatan Nasional ia menjadi sesuatu yang sangat membimbangkan.
Tidak ada kata-kata semangat yang muncul daripada pemimpin PAS yang berada dalam kabinet Perikatan Nasional, kecuali menyindir mereka yang mengibarkan bendera putih untuk menghantar isyarat ketiadaan bekalan makanan atau dalam situasi susah. Sindiran itu membawa pula kepada kempen kibarkan Bendera Hitam sebagai desakan agar Muhyiddin segera meletakkan jawatan, yang sebelumnya kibarkan Bendera Putih.
Rakyat yang sekian lama ‘terkepong emosi’ mahukan satu penyelesaian segera dilaksanakan oleh kerajaan. Tetapi menteri-menteri daripada Bersatu tidak dapat mencari jalan penyelesaian yang tuntas, bahkan seringkali dilihat berkonflik, termasuk antara menteri dan kerajaan negeri.
Disebabkan Ismail Sabri Yaakob dari UMNO/BN, manakala Azmin Ali adalah ‘katak’, berlaku situasi: Ismail tutup pintu depan, Azmin buka pintu belakang, maka muncullah inisiatif untuk mengadakan petisyen membantah Azmin Ali. Jumlah petisyen yang dipungut dalam tempoh yang singkat mencecah lebih 300,000. Ia dijadikan sebagai referendum untuk mendesak Azmin dipecat.
Namun, Muhyiddin akan berhadapan masalah besar jika menurut tuntutan tersebut. Ini kerana Azmin Ali adalah orang yang cukup besar peranannya dalam Langkah Sheraton, sebagai perancang untuk membentuk kerajaan tebuk atap.
Presiden PAS, Haji Hadi Awang, yang dilihat sebagai anarkis dalam politik moden Malaysia berjaya berkomplot menumbangkan sebuah kerajaan yang sah, yang dipilih oleh rakyat. Presiden PAS akhirnya mengakui bahawa dirinya ikut terbabit menjatuhkan kepimpinan Dr Mahathir yang enggan ‘tutup pintu’ bagi menghalang kemasukan para pelancung asing, terutama daripada China yang tatkala itu cukup cemas.
Itulah zaman pentadbiran Muhyiddin. Zaman yang menyebabkan rakyat terkurung selama 18 bulan, sesuatu yang cukup menyiksakan. Ini memberikan kesan yang jelas dan trauma politik dan sosial yang sangat mendalam sehingga ramai rakyat serik untuk menghulurkan tangan bersetuju bahawa Muhyiddin boleh kembali sebagai PM buat kali kedua.
Sebelum akhir tahun lalu, semasa kempen PRU ke-15, Muhyiddin mengatakan bahawa Anwar akan kekal selama-lamanya sebagai “PM Tepi” tanpa melihat dirinya adalah juga sedang memasuki liga PM Tepi. Muhyiddin menyeru kepada rakyat, berilah peluang kepada saya, kerana “inilah peluang terakhir saya.” Maksudnya, jika gagal ia tidak mungkin lagi boleh dipertimbangkan atas faktor usia.
Pada PRU ke-16, jika diadakan pada tahun 2027, Muhyiddin ketika itu memasuki usia 80 tahun. Muhyiddin lahir pada 15 Mei 1947.
Namun, khayalan Muhyiddin tidak menjadi kenyataan. Muhyiddin tidak mungkin akan bersanding di “Langit Ketujuh”,pelamin angan-angannya sudah diruntuhkan sendiri oleh tindakan-tindakan politiknya yang menuju kepada totalitarian apabila menggunakan Proklamasi Darurat untuk menyekat perbincangan, kerana takut dihadapkan dengan usul undi percaya di Dewan Rakyat.
Allah SWT telah mengabulkan permintaan rakyat. Akhirnya tindakan yang dilakukan oleh wakil rakyat UMNO/BN menarik balik sokongan memaksa Muhyiddin akur bahawa kuasanya tidak lagi dapat menentukan survivalnya sebagai PM, walaupun memansuhkan proklamasi darurat beberapa hari lebih awal. Damage control yang dilaksanakan tidak menjadi bahkan semakin kuat boomerang.
Ismail Sabri Yaakob dipilih untuk menggantikan Muhyiddin, yang dijolok sebagai Abahkow. Muhyiddin cukup berbangga apabila dijolokkan dengan panggilan Bapa PKP dan menjadi PM yang paling kerap muncul di kaca televisyen membuat pengumuman khas, walaupun kadangkala dianggap tidak perlu dan tidak sepatutnya.
Beliau muncul untuk mengimbangi imej Ismail Sabri dan Khairy Jamaludin yang lebih diterima oleh rakyat berbanding menteri-menteri lain yang menjadi tulang belakang Bersatu, termasuk dua orang menteri kanan yang kurang berfungsi.
Tentunya, episod duka ini sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran pengundi dan kerana itulah Bersatu yang bangga dengan pencapaian besar PN pada PRN kali ini, sebenarnya bercakap untuk mengaburi pemikiran awam mengenai kegagalannya.
Selepas selesainya PRN di enam negeri, Bersatu masih tidak mempunyai cengkaman pemerintahan di mana-mana negeri di Semenanjung, manakala cengkaman awalnya di Sabah juga telah musnah apabila muncul kesepakatan baharu yang membentuk GRS – Gabungan Rakyat Sabah. Ekoran daripada itu, ada wakil rakyat Bersatu mengiystiharkan keluar parti dan menyertai GRS, termasuk Ketua Menteri, Haji Hajiji Haji Noor.
Apa yang kini dilakukan oleh Muhyiddin ialah menggesa Zahid dan Anwar agar meletakkan jawatan di atas pencapaian ‘buruk’ PKR dan UMNO dalam PRN kali ini.
Benar, jika dilihat daripada statistik keputusan PRN, UMNO mencetak peratusan kegagalan lebih 80 peratus, hanya menang 19 daripada 108 kerusi DUN yang ditandinginya.
Jika logik itu digunakan, maka Muhyiddin wajib menggesa Gerakan untuk meninggalkan PN kerana pencapaiannya adalah lebih teruk daripada UMNO.
Gerakan hanya menang satu kerusi (DUN Kulim, Kedah) daripada 36 kerusi yang ditandinginya. Presiden Gerakan sendiri tewas di DUN Bayan Lepas, Pulau Pinang. Peratus kekalahan Gerakan ialah 97.2 peratus.
Jika PKR yang bertanding di 49 kerusi DUN hanya menang 26, peratus kekalahannya ialah sekitar 44.1 peratus. Ini bermaknda peratusan kemenangan PKR adalah lebih besar daripada peratus kemenangan Bersatu.
Bersatu hanya mampu menang 40 daripada 81 kerusi yang ditandinginya. Ini bermakna, peratus kekalahan dan kemenangan Bersatu adalah hampir sama, sekitar 49.4 dan 50.6 peratus, dengan julat 1.2 peratus.
Ini bermakna, Muhyiddin perlu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN dan Presiden Bersatu kerana kepimpinannya sudah dianggap tidak relevan. Jadi, tidak perlu lagi kita mendengar dan terpedaya dengan lengguk politiknya mendesak Zahid dan Anwar meletakkan jawatan. Beliau sendiri perlu menunjukkan sikap bertanggungjawabnya kerana gagal meletakkan Bersatu di hadapan, hanya menumpang pencapaian cemerlang PAS.
Pencapaian sebenar PN adalah bergantung kepada kekuatan PAS yang berjaya dengan penuh semangat untuk ‘bersama ke syurga’. Kemenangan itu disebabkan ramai pengundi terbuai-buai, antara sedar dan mamai dalam olekan Islam Versi Haji Hadi berbanding idealisme politik Muhyiddin. yang hanya satu, iaitu kembali jadi PM, tanpa peduli lagi strategi dan perpaduan dalam parti.
Bersatu dilihat ada perselisihan tajam antara Muhyiddin dan Hamzah Zainudin, walaupun cuba dinafikan bagi mengelakkan persepsi lebih buruk sepanjang kempen PRN. Tetapi, ramai yang berjaya mengesaninya. Kini, ramai pula yang cuba mengesahkan sehingga berlambak pendedahan dalam platform media sosial, termasuk Tik Tok.
Terdengar juga ada percubaan untuk menggantikan Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dengan Shahidan Kassim daripada PAS. Jika ini berlaku, bermakna keretakan dalam Bersatu akan menjadi lebih besar.
Hamzah akan mencabar Muhyiddin yang telah membuktikan kepimpinannya telah gagal, dan yang paling parah ialah buat Azmin Ali yang akan dipersalahkan walaupun menang di Hulu Klang. Azmin gagal memberikan tapak untuk Bersatu ‘menyuluh’ politik masa depan, termasuk menapak seluruh denai sebelum bertarung semula dalam PRU ke-16 nanti.
Selangor dianggap sebagai aset terbesar yang diharapkan oleh Bersatu bagi mengukuhkan kedudukan. PN hanya mampu memenangi 22 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang ditandingi, yang didakwa kerusi majoriti Melayu yang dikuasai UMNO/BN dan PKR. Awalnya, antara Bersatu dan PAS berlaku perebutan bagi menentukan siapakah yang akan membawa obor PN.
Namun, akhirnya mereka kompromi. Bersatu menjadi penunjang perjuangan gabungan manakala PAS sebagai akar serabut. Memang berlaku keserabutan. Azmin gagal menyelaraskan program kempen kerana dirinya dilihat sedang cemas. Atas situasi itulah PAS kencang berkempen dengan caranya, manakala Azmin cuba mendapatkan bantuan daripada Presiden PAS untuk menarik penyokong parti keluar mengundi bagi meraih kemenangan di Hulu Klang.
Ini bermakna, tanpa sokongan PAS tentunya Azmin Ali akan tersembam di pintu Zoo Negara, yang terletak di Hulu Klang. Mungkin juga Azmin akan menemani Xing Xing dan Liang Liang. Sebelumnya, Azmin berduka kerana berjaya dikalahkan oleh ‘anak murid’ sendiri. Kali ini, seorang lagi ‘anak murid’ dikerahkan dari Bukit Melawati untuk berseteru politik dengan Azmin.
Azmin Ali, walaupun dilihat mampu mencetak kemenangan, juga terpalit dengan kesan kekalahannya dalam PRU ke-15, sehingga muncul suatu hal yang sangat membekas dalam pertaruhan kali ini.
Biarpun Azmin memperoleh kemenangan, ia menunjukkan bahawa pengaruhnya di Hulu Kelang boleh digugat pada PRU ke-16 nanti, setelah beliau tidak ada apa-apa lagi jawatan dalam kabinet dan juga pentadbiran negeri Selangor. Azmin kekal dianggap sebagai pengkhianat oleh aktivis PKR.
Itu merupakan hukum alam yang wajar dihormati oleh mana-mana politikus. Ini kerana politik masih kuat bersandarkan kepada definisi: siapa, mendapat apa dan bagaimana, menurut kaedah Laswellian. Lima tahun yang ke hadapan itulah yang akan menjadi ukuran penilaian, kerana tidak selamanya boleh berbekalkan semangat semata-mata untuk bertahan.
Perbalahan mengenai ‘poster boy’ Selangor juga turut menyebabkan Bersatu sebenarnya tidak mempunyai kuku yang tajam untuk mencengkam walaupun Azmin Ali diberikan tanggungjawab yang besar.
Daripada 22 kerusi yang dimenangi oleh PN, yang cukup dibanggakan itu apabila berjaya mengetepikan kuasa dua pertiga PH-BN di Selangor, 10 kerusi adalah disumbangkan oleh PAS. Bersatu hanya mampu menang 12 kerusi. Ini bermakna, di Selangor peratus kegagalan Bersatu cukup besar manakala peratus kemenangan lebih terkehadapan.
Ini bermakna, jika PAS tidak menyekat kemunculan Sanusi di Selangor dan mengendurkan corak kempen yang lazim dilakukan oleh Sanusi di Kedah, ia mungkin akan menyebabkan PAS boleh menang kerusi yang lebih banyak.
Jika PAS dan Bersatu bertanding dalam posisi solo, pastinya Bersatu boleh bungkus lebih awal di Selangor. Maknanya, dengan bergandingan pun Bersatu gagal mencapai sasaran. Ia membuktikan percaturan politik Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin juga telah gagal.
Hal yang sama juga perlu diberikan tekanan ke atas Muhyiddin agar segera meletakkan jawatan kerana tidak mampu bersaing dengan kejayaan PAS dalam PRN di Negeri Sembilan, walaupun semua calonnya (6) di Kelantan mencapai kejayaan 100 peratus. Salah seorang daripadanya dilantik ke jawatan EXCO.
Kejayaan Bersatu di Kelantan kerana disokong kuat oleh PAS, bukan di atas kekuatan sendiri. Bersatu tidak ada kekuatan sendiri di Kelantan, Negeri Sembilan, Kedah mahupun Terengganu. Hanya ada sedikit kekuatan di Selangor, itupun kerana Azmin adalah ‘katak’ dan katak itulah juga yang mencalarkan kemaraan Bersatu ke gelanggang pertarungan yang lebih besar.
Benar PN akan menjadi gabungan terbesar yang sudah muncul dan akan terus memainkan peranannya dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mengubah lanskap politik Malaysia menjelang PRU ke-6. Tetapi, setiap rakyat Malaysia harus ingat, dalam tempoh tersebut akan berlaku pelbagai perubahan.
Anwar tidak akan berdiam diri sebagaimana terdiamnya Muhyiddin ketika ekonomi Malaysia berhadapan masalah pertumbuhan negatif, penurunan nilai ringgit yang berlanjutan sejak PH menang PRU ke-14 (zaman PM ke-7 lagi), kehilangan pelaburan, penjualan besar-besaran saham di BSKL dan kejatuhan eksport serta kenaikan kos sara hidup. Muhyiddin telah menghabiskan banyak wang dan meninggalkan hutang yang besar.
Disebabkan PKP yang panjang, kekurangan bekalan makanan dan sekatan pergerakan menjadikan perkhidmatan penghantaran barangan (e-hailing: Grabfood, LalaMoves, dan Panda Food) mempengaruhi kenaikan kos sara hidup, kerana pengguna terpaksa membayar kos penghantaran. Lainlah dengan Azmin yang mampu berbelanja puluhan ribu ringgit sekali makan di sebuah restoran di London.
Mungkin kita masih ingat dengan harga minyak masak yang pernah mencecah RM 40 bagi sebotol seberat 5 kilogram, ikan yang dikategorikan sebagai ‘ikan rakyat’ dijual dengan harga yang tinggi selain ayam sedangkan Azmin turut berlakon ‘makan maggie’.
Ia disebabkan kekurangan bekalan akibat PKP dan kos pengeluaran meningkat, selain kekurangan pekerja. Pekerja asing kebanyakannya telah dihantar pulang ke negara masing-masing. Nasi lemak anak dara pun tidak lagi dijual di tepi jalan. Azmin tidak membantunya untuk mendapat kebenaran beroperasi, kerana mungkin anak dara itupun dah kahwin dan sudah mempunyai zuriat.
Ianya dapat diredakan apabila Ismail Sabri Yaakob mula mengambil alih pentadbiran walaupun tidak mampu mempertahankan nilai ringgit kembali kepada kedudukan asalnya, yakni sebelum PH mengambil alih pentadbiran, pada kadar RM 3.80 sedolar Amerika Syarikat. Eksport mula memperlihatkan trend peningkatan dan ekonomi mulai berkembang.
Ini telah membawa pencapaian yang cemerlang apabila PH-BN mengambil alih kuasa pada akhir November 2022. Sebagai buktinya, ekonomi tumbuh pada kadar 5.6 peratus bagi suku pertama 2023 (Q1). Ia berjaya mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi China, Indonesia dan Singapura, yang banyak digunakan sebagai ukuran lazim oleh kerajaan PN.
Lebih membanggakan apabila Anwar memperkenalkan pendirian tanpa kompromi terhadap mereka yang melakukan rasuah dan salah guna kuasa, alias SAKAU. Anwar tidak akan menghalang siasatan mahupun pendakwaan terhadap mana-mana menteri, sesiapa pun jika didapat ada bukti menyakau projek-projek kerajaan.
Ini adalah sesuatu yang cukup keras dan tegas. Ia mempunyai teladan yang cukup besar dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan Islam, walaupun Anwar tidak mencanang corak pentadbiran itu sepenuhnya Islam sebagaimana PAS memomokkannya di pentas ceramah dan pendekatan program pentadbiran di negeri-negeri yang ditadbirkan oleh mereka.
Misalnya, Kelantan menggunakan slogan Membangun Bersama Islam sejak lebih 30 tahun, tetapi hasilnya tidak menampakkan realiti model sebuah negeri Islam yang membangun dan memenuhi aspirasi rakyat.
Kelantan terus kekal sebagai sebuah negeri yeng termiskin di Malaysia: tidak ada petunjuk pembangunan yang ketara (kecuali AEON Mall), bekalan air bersih memadai (rakyat tahu selesaikan, boleh gali telaga dan guna telaga tiub), tidak cukup hasil untuk membangunkan projek (stesen bas sementara sampai sekarang, berusia 12 tahun), membatunisankan batu asas, asalkan para wakil rakyat dapat dinaikkan elaun sara hidup, para EXCO diberikan bonus dan beli kenderaan mewah (kerana Nabi Muhammad SAW pun ada unta terbaik). Sebabnya rakyat mudah percaya dengan rayuan ‘bersama ke syurga’; momokan politik yang sengaja memperbodohkan rakyat.
Semuanya menunjukkan bahawa pengundi Kelantan sanggup hidup dalam kesukaran akibat politik identiti dengan tawaran-tawaran palsu (momokan). Pemimpin PAS sentiasa mencari kelemahan kerajaan pusat sehingga sanggup berbohong dan mendakwa didiskriminasikan dalam semua perkara, termasuk peruntukan pembangunan dan pengurusan, walhal kerajaan pusat tidak pernah menundakan kewajipannya setiap tahun berdasarkan senarai yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Cuma, kaedahnya berbeza antara negeri-negeri yang diperintah oleh parti yang sama. Di negeri yang diperintah oleh parti yang sama, peruntukan disalurkan secara terus kepada kerajaan negeri untuk tujuan pembangunan dan pengurusan.
Pengalaman banyak mengajar, ketika PAS memerintah Terengganu, beberapa peruntukan yang disalurkan terus ke institusi pendidikan dan agensi kerajaan, telah diminta supaya dipindahkan ke akuan kerajaan negeri. PAS akan menyalurkan semula wang itu setelah diminta, kecuali peruntukan pembangunan.
Haji Hadi boleh memberikan penjelasan mengenainya. Ia berlaku di zaman beliau yang turut mengundi premis Tadika dan Tabika, kerana didirikan di atas tanah kerajaan negeri, tetapi operasinya dilaksanakan oleh KEMAS dan Jabatan Perpaduan.
(BERSAMBUNG)
MAHANOR SALEHA
Recent Comments