Pada PRU ke-15, “air mata kecewa” itu telah gugur buat kali pertama kerana hanya menang 26 kerusi Parlimen pada PRU ke-15 dan hilang kuasa untuk memerintah. Tetapi, ada sedikit ketegangan apabila berlakunya Langkah Sheraton dan keterpaksaan Muhyiddin menyerahkan jawatan kepada Ismail Sabri Yaakob.

Pada PRU ke-15, UMNO/BN bertanding di 178 daripada 222 kerusi (kerana menghormati persetujuan GPS dan GRS tidak bertembung), tetapi hanya menang 30 kerusi (termasuk 4 oleh MCA dan MIC). Ini membuktikan trend membenci UMNO/BN dan penolakan terhadap UMNO di peringkat akar umbi adalah cukup menyerlah.

Mungkin itulah yang menjadi faktor mendesak Zahid agar meletakkan jawatan. Ia ditambah dengan isu salah guna kuasa dan rasuah (47 kes), budaya politik warlord, gagal membebaskan Najib dan pengingkaran mantera No Anwar No DAP.

Bagaimanapun hubungan kerjasama dalam kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan DAP, ramai rakyat boleh menerimanya walaupun sukar untuk menghapuskan gurindam benci yang sering dilantun semangat juang untuk “agama, bangsa dan negara” alias Ketuanan Melayu, selama lebih lima dekad (sejak DAP ditubuhkan 1965), masih bersarang di dalam hati, ia langkah terpaksa, akibat silap kiprah pemimpin UMNO yang bersifat megalothymia (ghairah semangat orang Melayu sebagai tuan di Tanah Melayu/Malaysia).

Ketuanan Melayu hanya seruan untuk mendapatkan kuasa, tetapi setelah mendapat kuasa, ia hanya tinggal sebagai slogan. Ia lebih menumpukan pembinaan kelompok (kumpulan wala’, membolot kekayaan dan pengukuhan peribadi dalam berpolitik).

(Firdaus Zainal, Megalothymia Politik Ketuanan Melayu:Perjuangan Orang Melayu Mencari Ketuanan Melayu, Nilai: Ilham Books, 2022; dan AB Sulaiman, Ketuanan Melayu: A Story of The Thinking Norm of the Malay Political Elite, Petaling Jaya: SIRD- Abu Bakar Haji Sulaiman, 2018).

Kata Isham Jalil, UMNO perlu menyelesaikan pilihan:

“…sama ada terus bekerjasama dalam kerajaan dan pilihan raya, ataupun hanya dalam kerajaan dan bukan pada pilihan raya. Dengan pilihan kedua itu, kita mungkin boleh membina semula kekuatan parti kita dengan mengekalkan ideologi dan perjuangan kita, walaupun mula-mula mungkin kita kalah atau tidak menang besar, namun demikian dengan ini kita dapat kekalkan akar umbi kita dan sedikit demi sedikit memenangi semula hati rakyat.” (Malaysiakini, 13 Ogos 2023).

James Chin dari Universiti Tasmania mencadangkan agar Anwar Ibrahim perlu menyokong dasar konservatif untuk mendapatkan sokongan politik dengan mengorbankan asas pengundinya yang progresif:

”…perlu bergerak lebih jauh ke kanan dengan lebih banyak dasar Islam dan pro-Melayu. Ini mungkin buruk kerana ia mungkin bermakna dia akan mengasingkan atau mengecewakan penyokong PH. Tetapi dengan keputusan (PRN) seperti ini, beliau benar-benar tiada pilihan.” (Free Malaysia Today, 13 Ogos 2023).

Itulah (Islam dan pro-Melayu) yang membangkitkan kemarahan Dr Mahathir sehingga mengisytiharkan imajinasi sendiri Proklamasi Orang Melayu. Walaupun ia hanya merupakan cara untuk mendapatkan finishing yang terbaik, sedikit sebanyak telah berjaya mempengaruhi kemenangan dan  peningkatan pengaruh PN dalam PRN ini.

Menurut PM X, walaupun PH-BN berjaya mengekalkan kuasa membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, ia dipertahankan dengan ‘harga yang tinggi’.

Komen Hassan Karim, biarpun berjaya kekalkan ‘statusquo’:

Orang yang jelas tewas dan perlu bertanggungjawab atas kekalahan UMNO di 89 kerusi yang ditandinginya dengan logo BN ialah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang itu, Anwar sebagai panglima perang perlu diberikan peluang untuk memimpin setelah semuanya diambil kira (bermuhasabah, mengkaji, meneliti dan menganalisis punca kebangkitan PN, kemerosotan pengaruh BN dan sebagainya):

untuk memikul tugas sejarahnya demi selamatkan negara berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang tamadun ini dari diruntuhkan oleh pemimpin-pemimpin politik berfaham ekstrem kanan dan sektarian yang berada dalam PN.” (Malaysiakini, 13 Ogos 2023).

Tetapi, mungkin ada sesuatu yang sengaja dipendamkan atau tidak mampu disampaikan oleh setiap menteri ialah kefahaman sejelas-jelasnya kepada rakyat mengenai Kerangka MADANI dan Ekonomi MADANI.

Konsep ini sangat sukar difahami dan dihadamkan oleh ‘orang biasa’ alias pengundi, sehingga mereka boleh percaya dengan pelbagai ungkapan buruk terhadapnya, termasuk munculnya istilah Mahalni, Madni, Majalni, selain tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh aktivis PAS yang bertanya (dalam kecaman):  Madani Nabi Muhammad ke Madani fir’aun?.

Saya kira, Fahmi Fadhil yang bertanggungjawab terhadap media pun belum mampu menterjemahkan Kerangka MADANI dalam program drama, penerangan bersemuka, platform media yang dipunyai oleh agens-agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital. Oleh kerana itulah beliau sering diserang dan dituduh sebagai penghambat kepada kebebasan media, media sering berhadapan sekatan dan ancaman.

Media perlu bebas, tetapi kebebasan adalah secara bertanggungjawab, tidak boleh melanggar Akta Hasutan dan juga kemunikasi jelek seperti ditakrifkan oleh Akta Komunikasi dan Multi Media (1998). Itu boleh disetujui, tetapi jika hanya memuatnaikkan komen-komen bersifat sindiran (tanpa niat menghina) ia patut tidak dihalang, kecuali komen-komen tersebut boleh mendatangkan ‘kegentaran awam’ dan ‘menggugat keharmonian’. Tetapi kesemuanya itu perlu ada penjelasan dan panduan yang lengkap, bukan one sentence explanation.

Sebagai tanggungjawab bersama (collective responsibility), setiap menteri dan timbalan menteri hendaklah bercakap mengenainya (Membangun Masyarakat MADANI), selain dijadikan kerangka pengisian dasar bagi setiap kementerian. Setakat ini rakyat masih belum tahu, faham dan boleh hadam.

Kita mungkin masih ingat dengan sisi kelam di zaman Dr Mahathir, yang gagal menjadikan setiap menteri tidak bercakaran sesama sendiri, bertelagah dan saling mengkritik, hanya kerana ingin menunjukkan ‘salah faham’ dan mencari populariti, boleh komen dan hentam rentas kementerian.

Tidak ada ‘orchestrated’ antara mereka, terutama semasa memaknakan perubahan terhadap Manifesto yang tidak dapat ditunaikan, termasuk tersemput-semput menjawab 10 Janji 100 Hari pertama yang gagal.

Kalaupun tidak mampu laksanakan, janganlah menyatakan bahawa “manifesto bukan kitab suci”, “malaikat pun buat salah” dan “Nabi Muhammad pun berbohong”. Pujuklah hati dan perasaan rakyat dengan memohon maaf dan mengubahnya menjadi sesuatu yang boleh dipraktikkan. Mintalah masa untuk merealisasikan.

Saya berpandangan sedemikian kerana teringat apa yang pernah diucapkan oleh Allahyarham Tun Razak pada suatu ketika kembali dipraktikkan oleh seluruh jentera kerajaan, termasuk menteri dan timbalan menteri jika mahu kerajaan perpaduan kekal berkuasa, iaitu ‘memenangi hati dan perasaan rakyat’.

Sebenarnya inilah kuncinya, kerana peningkatan pengaruh PN jelas membuktikan mereka tidak pernah lupa berjuang untuk ‘memenangi hati dan perasaan rakyat.’ dengan cara dan pendekatan kepembangkangan, mengkritik apa yang kerajaan buat. Ia umpama seruan seorang ulama: orang beri kita ambil, tapi undi belum tentu.

Sebagai orang Islam, Nabi Muhammad SAW lebih hebat menerima ancaman dalam berdakwah, tetapi tetap laksanakan secara behemah dan cukup manusiawi. Tidak pernah terkeluar daripada mulut baginda kata-kata menuding jari, lempar batu sembunyikan tangan. Setiap masalah baginda berdoa dan berserah kepada Allah SWT, yang akhirnya dapat ditemukan jalan penyelesaiannya.

Kenapa tidak daripada setiap pemimpin Islam mencontohinya?. Walaupun baginda tidak pernah mendakwa dirinya sebagai politikus, hanya orang yang bertanggungjawab menyebarkan dakwah, dengan kata-kata, perbuatan dan akhlak mulia: Tidak bercakap lain, lakukan tindakan yang berbeza, sehingga menghampiri sifat-sifat orang munafik.

Tidak pula mengindoktrinasikan orang ramai agar menjadi seorang yang taksub, ujub, sombong dan angkuh dengan kehebatan sendiri. Tidak pernah dilayan orang dengan aksi seperti panas baran.

Walaupun media berbeza, tidak lagi hanya bergantung dengan saluran konvensional, kerajaan perpaduan hendaklah memikirkan bagaimana untuk menggunakan potensinya dengan berkesan dan penuh rasa tanggungjawab, bukan hanya sekadar menjawab dan mempertahankan diri (defensive), least resistance (kurang reaksioner) dan large volume error (seperti manipulasi data raya dan berperangai seperti hantu raya).

Kalau dalam media sosial adalah sekelompok pempengaruh (influencer), kenapa tidak wujudkan barisan pempengaruh (influencer group) yang mampu mengupas, menterjemah dan fine-tuning atau amplifying dasar-dasar kerajaan menjadi maklumat popular sebagaimana Sanusi mampu lakukan, daripada yang bersifat teknikal menjadi sesuatu yang mudah difahami, bukannya kekal dengan jargon dan berfalsafah. Translate political will to popular will.

Bukan mencemarkan keazaman politik menjadi sesuatu yang bersifat blaming dan memperbodoh-bodohkan rakyat (dumb and dumber, dumbering down), manipulasi dan eksploitasi, yang rakyat terkesan ianya sebagai bahan propaganda.

Alvin Toffler yang terkenal sebagai peramal masa depan pernah melahirkan rasa kesalnya, ramai orang sangat takjub (cenderung memuja teknologi) kerana teknologi mampu mempercepatkan penyebaran maklumat, pada hal ramai yang tidak berkebolehan memahami makna sesuatu maklumat.

Dicadangkan permudahkanlah, berusahalah dengan gigih untuk menjadikan sesuatu maklumat itu mudah dan mampu difahami oleh orang ramai. Itulah maknanya komunikasi yang menjadi asas, bukan hanya tertumpu kepada teknologinya semata-mata.

Komunikasi yang berkesan ialah antara sumber dan penerima sepakat dalam makna, dan seiring dalam tindakan, mutual understanding and mutual action, yang juga cukup perlu memahami communicative action, kerana itulah sebenarnya memberikan kesan dan pengekalannya (retention).

Sepatutnya, teknologi hanyalah sebagai alat untuk mengkomunikasi mesej dengan jelas, mudah dan mampu menyumbang kepada pemikiran yang diperlukan untuk membangun peradaban, kestabilan politik dan sokongan terhadap kerajaan yang memerintah secara sah dan absah.

Bila situasi seperti itu wujud, tidak perlu takut dengan anarkisme politik yang mahu menumbangkan sesebuah kerajaan yang sah, kerana rakyat yang bersedia mempertahankannya selagi setiap tindakan yang dilaksanakan tidak ‘zalim’ dan menipu rakyat (menghina, memperbodohkan da nada kemunasabahan yang jelas). Ia adalah memori setiap orang kepada sebuah anekdot: mampu menipu dalam sesetengah masa, tetapi tidak menipu sepanjang masa atau selama-lamanya.

Itulah saya ingin menjawab pertanyaan Dr Lim Teck Ghee, antara Madani Anwar dan Visi Islam Haji Hadi manakah yang memberikan kesan dalam PRN yang sudah pun selesai. Pada saya, MADANI Anwar telah gagal berhadapan dengan persepsi Versi Islam Haji Hadi. Versi Islam Haji Hadi sudah lama diindoktrinasikan sehingga membentuk sebuah doktrin.

Doktrin tidak mudah dilumpuhkan, dan kerana itulah kemenangan besar PN ikut terkait dengan doktrin politik yang terangkum dalam Amanat Haji Hadi (1981) dan ditambahkan perisanya sepanjang masa, walaupun dalam bungkusan yang berbeza.

Doktrin itu masih kekal dan menjadi pedoman, bahkan dalam kempen untuk memenangkan calon-calon PRN masih membuak-buak sehingga yang berkelulusan PhD pun boleh bercakap dengan bahasa judgemental; wajib menumbangkan kerajaan yang memerintah tanpa fakta yang berpadanan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, mirip kepada tindakan politik kelompok syi’ah.

Syeikh Salih bin Fauzan al-Fauzan pernah menjawab satu pertanyaan ‘kederhakaan kepada sesebuah kerajaan tanpa sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, dengan berkata: pemerintah Islam wajib ditaati selagi mana ia mentaati perintah Allah. Sekiranya dia menyuruh melakukan maksiat, maka tidak perlu ditaati.”

Maknanya, tidak wajar menumbangkan sesebuah kerajaan yang sah selagi kerajaan itu tidak mendorong rakyatnya melakukan maksiat, dan melarang setiap orang daripada menunaikan kewajipannya kepada Allah.

Setakat ini, saya tidak pernah mendengar kerajaan melarang dan menetapkan sebuah perintah untuk melarang umat Islam beribadat, berjemaah di masjid, membaca dan memahami al- Qur’an, bahkan kerajaan menubuhkan agensi untuk mengawal selia al-Qur’an agar tidak disalahcetak sehingga memesongkan makna, kecualilah sebuah parti politik yang berideologikan Islam mengharamkan berkawan, hidup bersama dalam masyarakat secara harmoni hanya kerana berbeza dalam pemikiran politik.

Parti politik hanyalah alat, yang boleh memberikan kesan positif atau negatif, hanya kerana ingin mendapatkan kuasa dan mendominasi rakyat. Sebab itulah Islam sangat mementingkan kesempurnaan iman seseorang pemimpin, dan mahir dalam urusan pentadbiran, bukan hanya seorang yang pandai membaca al-Qur’an tetapi tidak menjadikannya sebagai pedoman. Sebaliknya menjadikannya sebagai senjata untuk ‘membodoh-bodohkan’ orang lain, walhal Islam berjaya membebaskan manusia daripada kejahilan (kebodohan).

Apalah seruan menjatuhkan sesebuah kerajaan itu atas kepentingan politik kepartian bukan kaedah yang bodoh? Sebaliknya, kalau berkempen mestilah menjual tawaran-tawaran yang boleh menyebabkan pengundi senang, bukan menimbulkan permusuhan dan kebencian.

Itulah makna politik kebencian, yang sangat dilarang oleh Islam. Tetapi, itulah yang mampu menarik pengundi untuk menyokong PN, sehingga digelar Gelombang Hijau, bukan kerana hijaunya warna air laut, tetapi hijau itu membawa erti tanpa adab dan keadaban dalam berpolitik.

Sepanjang empat hari berkempen secara sah, dan beberapa bulan sejak tertubuhnya kerajaan perpaduan, sepanjang itu dilaksanakan kempen pembodohan massa.

Namun kegagalan di pihak Anwar juga cukup jelas, sebab itulah dikatakan kejayaan mempertahankan statusquo dengan ‘harga yang tinggi’, kerana Kerangka MADANI tidak membumi selepas ianya dilancarkan pada 18 Januari 2023 dan disusuli Ekonomi MADANI pada 27 Julai 2023 gagal diterjemahkan dengan baik dan meluas.

Dalam kalangan menteri dan timbalan menteri masih ramai yang belum menjiwainya, kerana sebahagiannya umpama enau dalam belukar dan tikus jatuh ke dalam simpanan beras.

Semuanya belum muncul sebagai promoter Kerangka MADANI yang sepatutnya mereka laksanakan setelah berada dalam barisan kepimpinan kerajaan perpaduan. Akibatnya, PN akan terus mencabar dan membina Versi Islam Haji Hadi sebagai manhaj perjuangan politik, yang hanya bersifat seperti guruh di langit yang berdentum, walhal bukan setiap kali guruh berdentum ada hujan yang turun.

Masih ramai rakyat yang bersedia mencurah air di tempayan tatkala mendengar guruh, hanya kerana sifat dentuman itu cukup dipercayai sangat berilmu dan mencapai taraf ulama.

Sedangkan dalam sejarah, sangat ramai ulama suu, ulama dunia. Jika tidak, mungkin Jalaludin Rumi tidak bersedia menulis sindiran tajam mengenainya:

Sifat-sifat buruk –zalim, iri, dengki, serakah, keras hati, dan sombong – ketika ada dalam dirimu, kau merasa niasa saja. Namun saat kau melihat sifat-sifat itu pada diri orang lain, kau segera menghindar dan merasa tersengat.

“Seseorang tidak jijik pada kudis dan kurang di tubuhnya sendiri. Ia mencelupkan tangannya yang luka ke dalam sayur sop kemudian menjilatnya. Sama sekali tak muak. Namun, jika ia melihat bekas kudis saha atau sekadar luka kecil di tangan orang lain, ia akan menghindari sop orang itu dan tidak mahu memakannya.

“Sifat-sifat buruk ibarat kudis dan kurap. Ketika kudis dan kurap itu di diri sendiri, seseorang tak merasa menderita. Namun, jika ia melihat bekas-bekasnya saja pada diri orang lain, ia merasa tidak nyaman dan perlu menghindar.

Andai engkau menghindar dari saudaramu maka maklumilah jika ia menghindar darimu dan merasa tidak nyaman, Ketidaknyamanan atas saudaramu menjadi pemakluman bagi yang bersangkutan. Ketidaknyamanan muncul sebab kau melihat aibnya; dan yang bersangkutan juga melihat aib dirinya.

(Jalaludin Rumi, FIHI MA FIHI: 71 Ceramah Rumi Untuk Pendidikan Ruhani, terjemahan Abu Aku dab Taufik Damas, Jakarta: Penerbit Zaman, 2016, hal. 65).

Ia ikut memberikan saya bahawa hidup ini perlu waspada, hati-hati dan berfikirlah sebelum percaya atau membenarkan sesuatu pendapat, kerana setiap daripada kita mempunyai kesempatan dan pilihan: menerima atau menolak.

Untuk membolehkan kita menerima ataupun menolaknya, kita mestilah berusaha mencari dan menuntut ilmu, dari buaian hingga liang lahat.

Dengan ilmu boleh menghindarkan diri daripada salah faham, dan memperbaiki sudut pandang sendiri, dan bukan menggunakannya untuk menindas atau memesongkan pemikiran orang lain.

Sebab itulah, saya cukup lantang mengkritik politik Islam dan juga Versi Islam Haji Hadi, yang saya cuba fahami dan ikut menyertai pandangan daripada apa yang ditulis oleh Dr Lim Teck Ghee.

KAMARUN KH

Translate »