Kisah silam penuh makna, ada naratif sedih, dan juga naratif duka.
Namun, yang menariknya apabila ada yang menyamakan kempen politik seumpama kisah pikat memikat antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Ada janji manis sehingga ada kenyataan, lautan api pun sangggup di duga. Jika tidak percaya, belahlah dada untuk membuktikan kesanggupan dan janji jujur, ikhlas dan sehidup semati.
Saya percaya, kerana itulah manifesto menjadi sesuatu yang cukup besar pengaruhnya dalam menentukan kemenangan, sehingga melupakan sama ada apa yang dijanjikan itu mampu dilaksanakan atau tidak.
Manifesto sukar turun martabatnya dan disamaertikan sebagai ‘janji politik’. Janji politik adalah janji perkasihan sebagai pemikat, tetapi setelah berkahwin realiti kehidupan cukup berbeza. Ada pelakuan aneh, ada keinginan mendominasi seperti tujahan peribahasa, queen control ataupun suami panas baran yang tidak boleh ditegur, walaupun teguran itu sebagai langkah mengingatkan dan menasihati agar berubah, atau kekal dengan janji sebelum bernikah.
Beberapa hari lalu, masing-masing pihak yang bertanding di enam PRN yang akan dimuktamadkan melahirkan manifesto masing-masing selepas seminggu berkempen dengan tujahan kata-kata dan hujah mempersendana parti lawan. PN mempersendakan PH-BN dengan hubungkaitnya kerjasama yang terjalin antara UMNO dan DAP yang bermusuh sejak hampir 60 tahun. DAP ditubuhkan pada tahun 1965 selepas Singapura disingkirkan dari Malaysia, sebagai klon PAP, sebuah parti yang berkuasa di Singapura sejak sekalian lama.
Kemarahan kepimpinan politik Malaysia kepada PAP ialah berpunca daripada perjuangannya untuk merombak kontrak sosial yang terbina antara tiga kumpulan kaum yang menjadi penduduk utama Tanah Melayu, yang diwakili oleh tiga buah parti politik, iaitu UMNO (orang Melayu), MCA (orang Cina) dan MIC (orang India).
Sebelum merdeka, ketiga-tiga parti politik itu melaksanakan kompromi politik yang menghasilkan Manifesto Perikatan, yang kemudiannya menjadi kerangka pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan menjadi titik tolak kepada kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 daripada British.
MCA dan MIC bersetuju dengan kehendak UMNO, iaitu 3R – race, religion and royalty atau bangsa Melayu, agama Islam dan Institusi Raja – dan sebagai balasannya, UMNO menganugerahkan kerakyatan mudah (jus soli) kepada bukan Melayu yang asalnya merupakan imigran yang dibawa masuk oleh British sebagai kuli, pekerja pelabuhan, buruh kasar di estet, pekerja perlombongan dan sebagainya.
Sejak itu, Tanah Melayu yang merdeka dikenali sebagai negara baharu yang masyarakatnya adalah majmuk, yakni ekabudaya, ekaagama dan ekaetnik. Masyarakat majmuk bermaksud, masyarakat yang pelbagai latar belakang kebangsaan (nasionaliti asal) hidup dalam satu kawasan yang sama (wilayah atau negara) tetapi masing-masing dengan resam dan aktiviti hariannya yang tersendiri, seumpama ‘tidur sebantal tetapi mimpi berbeza’. Tidur sebantal maksudnya, hidup bersama manakala mimpi berbeza ialah keinginan dan cara hidupnya berbeza, sehingga mencetuskan masalah polarisasi kaum.
Awalnya, Tunku Abdul Rahman berusaha memperkecilkan perbezaan atau mendekatkan jarak pemisah, namun bukan Melayu tidak menunjukkan kesungguhan yang sama bertoleransi sebagaimana orang Melayu lakukan. Atas sebab itulah timbul pula situasi, orang bukan Melayu boleh hidup sejahtera dalam masyarakat Melayu, tetapi, orang Melayu tidak dapat hidup sejahtera di lokasi yang didominasi oleh bukan Melayu.
Ertinya, bukan Melayu berusaha mengadaptasikan nilai-nilai hidup orang Melayu untuk menjadikan mereka tidak menimbulkan masalah atau disingkirkan, tetapi, orang Melayu tidak bersedia mengadopsikan cara hidup bukan Melayu kerana berlaku perbezaan agama dan adat resam, adanya prinsip halal dan haram.
Begitu juga perkembangan politik selanjutnya, MIC dan MCA boleh bertoleransi dengan UMNO kerana parti orang Melayu itu cukup kuat dan berpengaruh. MCA dan MIC tidak mungkin akan menjadi kuasa politik yang besar, dan boleh memerintah kerana pengundi Melayu adalah kelompok yang besar dan merupakan majoriti secara keseluruhannya.
Hanya beberapa kawasan di kawasan bandar yang menjadi majoriti orang Cina manakala di sebahagian estet dikuasai oleh etnik India. Namun demikian, sehingga kini belum muncul mana-mana kawasan yang benar-benar menjadi majoriti pengundi etnik India. Terdapat beberapa lokasi yang menjadi majoriti etnik Cina, terutama di bandar-bandar utama.
Apabila MCA berhadapan dengan krisis dari dalam, maka muncullah beberapa percubaan untuk memecahkan sokongan pengundi Cina terhadap parti itu. Apabila tersingkirnya Singapura, DAP ditubuhkan dan DAP memainkan mesej bahawa MCA merupakan sebuah parti politik yang tidak memperjuangkan nasib orang Cina kerana parti itu dikawal oleh UMNO, atau berada dalam telunjuk politik UMNO.
Ia kemudiannya berjaya memecahkan sokongan bukan Melayu terhadap MCA dan MIC, bila tertubuhnya parti DAP (1965), Gerakan (1968) dan PPP (People’s Progresive Party, 1953). PPP (kini dijenamakan sebagai MyPPP) tidak mempunyai pengaruh yang besar walaupun ditubuhkan lebih awal daripada DAP dan Gerakan.
Selepas PRU ke-3 (1969), dua parti yang didominasi bukan Melayu (yang diasaskan sebagai parti pelbagai etnik), DAP dan Gerakan mencapai kemenangan pertama yang cukup besar, menyebabkan MCA dan MIC benar-benar tercabar. UMNO turut merasakan ‘rasa gentar’ dengan keputusan PRU ke-3.
Atas kemenangan itu, dua parti tersebut (DAP dan Gerakan) berusaha mempamerkan rasa gembira kerana penyertaan pertama telah membuahkan hasil. Dua parti itu keluar ke jalan raya meraikan kemenangan mereka, disertai dengan kata-kata provokasi menyebabkan segelintir penyokong UMNO bertindak balas. Tindak balas itu menyebabkan tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Akhirnya memaksa Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan.
Sejak itu, UMNO dan DAP saling bermusuh. Tun Razak yang mengambil alih kuasa pemerintahan mengenalpasti isu sebenarnya yang membawa kepada polarisasi kaum, yakni ketidakseimbangan sosio-ekonomi antara kaum.
Atas usaha untuk meningkat dan membentuk asas perpaduan yang lebih erat (muhibah) maka diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan bermatlamatkan menyusun semula masyarakat dan menghapus kemiskinan tanpa mengira kaum.
Oleh sebab kedudukan ekonomi Bumiputera yang jauh ketinggalan, yang disebabkan oleh kesan dasar dan program kolonial, maka diperkenalkan kuota dalam pelbagai bidang bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi, perumahan dan juga pendidikan. Pendidikan dilihat sebagai faktor terpenting untuk mengubah nasib Bumiputera.
Bagi DAP, penetapan kouta itu dianggap sebagai satu bentuk diskriminasi kerana setiap warganegara perlu diberikan peluang yang sama. Namun, dalam masa yang sama, DAP terus memainkan sentiment bahawa bahasa dan sastera Cina wajar dipertahankan, maka sekolah-sekolah vernakular yang berpengantarkan bahasa-bahasa selain daripada bahasa kebangsaan hendaklah dikekalkan.
Perjuangan itu kemudiannya ikut dijadikan isu politik oleh parti Gerakan dan juga MCA, di mana di antaranya saling berusaha berjuang atas kepentingan pendidikan Cina manakala MIC kekal dengan pendidikan berpengantarkan bahasa Tamil.
Mereka jugalah yang menolak pelaksanaan Sekolah Wawasan pada akhir tahun 1990-an, dan juga tidak bersetuju cadangan menambah masa belajar bahasa Malaysia yang cuba diperkenalkan dalam Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), menentang penghapusan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dan penegasan terhadap penguasaan bahasa kebangsaan yang dijadikan inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Bila PH memerintah selepas menang PRU ke-14 (2018), mula kedengaran bantuan di luar Bajet 2019 diberikan kepada sekolah-sekolah persendirian swasta (vernakular) sehingga menyebabkan rakyat melihat itulah sebenarnya matlamat politik DAP, yakni menggunakan politik untuk memperkuatkan kuasa dalam kalangan bukan Melayu. Oleh sebab ia merupakan perjuangan sebenar DAP, maka lebih ramai pengundi-pengundi bukan Melayu menolak parti-parti yang asalnya ditubuhkan untuk memperjuangkan kaum masing-masing.
Secara jelasnya, bingkai politik Malaysia belum bebas sepenuhnya politik perkauman, walaupun parti yang semakin dilihat berpengaruh ialah parti-parti yang bersifat multietnik, kecuali Gerakan. PRU ke-14 turut memperlihatkan kemerosotan sokongan terhadap UMNO sehingga orang Melayu sendiri menolaknya pada PRU ke-15 (2022) atas pelbagai alasan dan rasa mual.
UMNO yang berbangga mempunyai jumlah keahlian seramai 3.3 juta, seharusnya mengauditkan semula keahliannya. Jika benar parti itu mempunyai keahlian yang ramai, tentunya keputusan PRU ke-15 tidaklah menolak UMNO ke dinding sehingga menjadi sebuah parti yang sangat kerdil, hanya menang 26 kerusi, sesuatu yang berjaya mengukir sejarah yang dilihat sebagai menuju fasa terakhir kitaran peradaban.
Namun, dalam sejarah, sebelum sesebuah pemerintahan itu berakhir secara total, ada proses kebangkitan kedua sebagaimana berlaku pada Empayar Umayyah dan juga Abbasiyah.
Setelah dikuasai oleh nasab Umayyah untuk beberapa ketika, bila meninggalnya Muawiyyah II (Muawiyah bin Yazid) menyebabkan pewaris Muawiyyah tidak ada yang boleh ditonjolkan sebagai pemimpin sehingga muncul cadangan untuk melantik Marwan bin al-Hakam sebagai pengganti walaupun beliau sebenarnya sudah berusia.
Selepas itu keturunan al-Hakam menguasai kepimpinan Daulah Umayyah, sehingga munculnya khalifah Umar Abdul Aziz yang dianggap sebagai khalifah Umayyah yang paling adil dan berjaya mereformasikan sistem pentadbiran pemerintahan, dan seterusnya perkembangan budaya ilmu yang cukup meluas.
Daulah Umayyah kemudiannya dihancurkan oleh kekuatan baharu yang muncul dalam kalangan keturunan al-Abbas bin Abbas al-Mutalib, yang mendapat sokongan daripada keturunan Bani Hasyim, penganut Syiah dan kaum Mawali.
Pada zaman pemerintahan Daulah Umayyah, penganut Syiah diperangi dengan hebatnya dan kaum Mawali dikelasduakan. Ia mulai melemah selepas mangkatnya Khalifah Umar Abdul Aziz dan akhirnya Daulah Umayyah jatuh pada masa pemerintahan Khalifah Marwan bin Muhammad (Marwan II) pada tahun 127H/744M.
Dinasti Abasiyyah didirikan secara rasminya pada tahun 132H(750M) oleh Abdullah as-Shafah bin Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Abbas bin Abdul Muthalib, namun saki baki keturunan al-Hakam tidak terhapus sepenuhnya. Salah seorang ialah Abdul Rahman ad-Dakil yang berjaya melarikan diri, dan akhirnya berjaya menegakkan sebuah pemerintahan sebagai kesinambungan Daulah Umayyah di Sepanyol (Andalusia).
Abasiyyah selain mengalami perpecahan akibat pemimpin-pemimpin yang dilantik sebagai wazir di wilayah-wilayah menjadi semakin autonomus, kemunculan sebuah pemerintahan yang beraliran Syiah di Mesir (Fatimiyyah) dan pergelutan kuasa menjadikan kekuatannya semakin melemah.
Akhirnya, dinasti-dinasti yang muncul akibat perebutan kuasa autonomi walaupun masih menjadikan pemerintahan Abasiyyah sebagai ‘endorsement’, dilihat tidak lagi mampu berhadapan dengan serangan Mongol yang awalnya bukan beragama Islam. Kekuatan tentera Mongol telah membuka luka parah umat Islam, namun perkembangan selanjutnya membawa kekuatan baharu apabila pemerintah Mongol mula memeluk Islam dan akhirnya berjaya dilumpuhkan oleh kekuatan kerajaan Turki Uthmani yang dipelopori oleh kabilah Oghus dibawah pimpinan Ertughul.
Daulah Uthmaniyyah yang berkuasa selama tujuh abad (1290-1924M) akhirnya berjaya dilumpuhkan oleh Young Turk yang didokong oleh kuasa-kuasa Barat dan setelah turunnya Sultan Abdul Hamid II (Sultan Uthmaniyyah terakhir), umat Islam kehilangan kuasa atau tampok pemerintahan.
Kuasa-kuasa barat semakin giat mencaturkan dunia Islam sehinggalah muncul tindakan reaksioneer daripada cendekiawan Islam untuk memperkatakan dengan pilihan mereka untuk membebaskan diri daripada kerangka politik Barat yang sekular kepada sebuah perjuangan menegakkan ‘Negara Islam’.
PAS yang muncul sebagai sebuah parti politik pada tahun 1951 selepas terbubarnya Hizbul Muslimin menggunakan semangat tersebut untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Islam’ yang konsepnya mula dibangunkan oleh Jamaludin al-Afghani.
Idealisme ‘negara Islam’ itu kemudian melalui pelbagai perkembangan dan akhirnya dijelmakan dalam bentuk pembentukan parti-parti politik di beberapa buah negara, seperti Mesir dan Pakistan, tetapi secara praktisnya, ia masih belum muncul sebagai sebuah model yang lengkap, masih berkisar kepada teori sama ada Negara Islam itu sepenuhnya ditadbirkan berdasarkan prinsip syariah atau sebagai sebuah negara yang diperintah oleh pemimpin Islam dalam situasi penganut Islam adalah penduduk majoriti.
Inilah persoalan yang menjadi polemik antara UMNO dan PAS sehingga sekarang mengalami pasang surut lanskap politik di Malaysia. UMNO yang berteraskan perjuangan ‘nasionalisme Melayu’ manakala PAS dengan ‘ideologi Islam’ yang tenggelam timbul mengenai “Negara Islam” telah menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan majoriti penduduk Malaysia, di mana 60 peratus adalah orang Melayu.
Sebagaimana ditakrifkan menurut Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu adalah beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Ertinya, orang Melayu adalah beragama Islam, maka jika orang Melayu tidak beragama Islam ia dianggap bukan Melayu, mungkin termasuk dalam kategori orang Asli dan juga Bumiputera bukan Islam.
Persoalan ini menjadi hal yang cukup mempengaruhi lanskap politik Malaysia. Bahkan, selepas PRU ke-15, PAS mendakwa bahawa hanyalah parti itu (yang bekerjasama membentuk Perikatan Nasional) yang mampu mempertahankan Melayu-Islam. Atas dakwaan tersebut, PN turut menegaskan oleh kerana kesemua wakil rakyat (74 orang) yang dimenangi oleh gabungan tersebut adalah Bumiputera Islam, maka merekalah yang mampu menegakkan sebuah pemerintahan Melayu-Islam di Malaysia.
Ini merupakan satu bentuk pembohongan kerana dalam PN juga ada sekelompok Bumiputera bukan Islam dan bukan Bumiputera bukan Islam yang bergabung di dalamnya, termasuk kelompok penyokong PAS yang dikenali sebagai DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS) dan ahli-ahli parti Gerakan.
Bagi menimbulkan ketakutan, PAS mendakyahkan secara terbuka bahawa Melayu-Islam sedang diancam kerana dalam pemerintahan kerajaan perpaduan, ia turut disertai oleh Bukan Bumiputera bukan Islam dan Bumiputera bukan Islam (terutama dari Sabah dan Sarawak). Namun, serangan yang cukup terbuka dank eras ialah kerjasama yang terjalin antara UMNO dan DAP.
Dalam ‘perang saraf’ itu, PN menebarkan tunjangan Undi PH-BN bererti undi DAP, hanya kerana kerjasama yang membolehkan dua entiti yang bermusuhan sejak tahun 1965 berada dalam barisan kabinet, sedangkan PAS buat-buat lupa kepada fatwanya, bahawa mengundi DAP adalah wajib sehingga hari kiamat.
(BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments