Saya lahir dan membesar di Kelantan lebih enam dekad lalu. Saya pulang sesekali ke Kelantan, atas ikatan nurani dengan leluhur kesayangan yang masih menebal, tetapi setiap kali kami pulang bercuti, hati kecil hanya mampu mengeluh dan seterusnya bertanya: kenapa negeriku indah menawan tidak muncul sebagai sebuah negeri termaju di Malaysia?

Saya bertanya kerana saya tahu sejarahnya cukup harum sehingga pernah dijolok sebagai “serambi Mekah”, yang bermaksud budaya hidup dan kehidupan cukup tenang, harmoni dan tidak menyesakkan hati dan perasaan. Serambi Mekah bermaksud setiap masyarakat menjalani kehidupan dalam suasana yang harmoni, dengan berteraskan prinsip-prinsip Islam sebagaimana pengalaman kita ketika berada di kota suci itu semasa mengerjakan haji dan umrah.

Setelah menjadi penghuni ibu kota (Kuala Lumpur) lebih empat dekad (sejak 1982), saya sudah pun melupakan untuk kembali ke kehidupan desa yang pernah saya cintai. Saya hilang aura disebabkan oleh beberapa pertembungan budaya dan juga pengalaman politik kerana di negeriku, politik dibebelkan dua puluh empat jam sehari, dari parlimen kedai kopi, kumpulan whatsApp, hinggalah kunjungan rumah ke rumah ketika bersilaturrahim.

Beberapa tahun sebelum bersara, saya bercadang untuk menghabiskan sisa-sisa umur kembali hidup di desa kesayangan yang di sekelilingnya ada tarikan panaroma semulajadi. Ada bukit yang saban musim melihat anak bulan untuk penentuan tarikh permulaan berpuasa, berhari raya disebut-sebut; ada pemandangan sawah di kaki bukit; ada pantai yang indah; dan kini masyhur sebagai sebuah kawasan yang mampu menjadi sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang dikaitkan dengan rezeki samudera.

Khabarnya apabila siapnya keretapi laju, yang pernah dipolitik dan dibatalkan, ERCL akan berhenti di stesen Tok Bali sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bharu atau ke Kuala Lumpur. Dalam imaginasi saya cukup gemilang Tok Bali dan seterusnya akan cepat membangun dengan pelbagai kemudahan, perniagaan dan juga yang memunculkan pertanyaan, siapakah yang lebih banyak mendapat faedahnya.

Siapa yang akan kendalikan rumah-rumah perniagaan, pembekalan perkhidmatan, penyumber luaran untuk mengisi keperluan industri yang khabarnya berpengkalan di Tok Bali Supply Base (TBSB)? Akan munculkah sebuah bandar raya Islam di Tok Bali?

Jika kesemuanya berjalan lancar, kehidupan di Tok Bali akan menjadi lebih sibuk. Kehidupan di Tok Bali akan menjadi lebih cepat berbanding masa-masa sebelumnya, sehingga muncul fenomena ‘penantian adalah satu penyiksaan’; masa yang dijanjikan sentiasa terlewat kerana itu adalah ‘jam Melayu’. Semuanya sangat dipengaruhi dengan kebendaan, dan akan memusnahkan pelbagai benar-budaya tradisi yang menjadi sebahagian daripada zaman silam yang sangat saya rindukan.

Saya tinggalkan angan-angan ataupun imaginasi dalam perspektif enigma (sesuatu yang membingungkan). Apa yang saya ingin perkatakan ialah mengenai apa yang diistilahkan sebagai benar-budaya (culture-truth), yang hanya muncul dalam minda hasil kreatif manusia bermajinasi dan membentuk kerangka yang turut dijelmakan dalam perspektif moral.

Budaya, sebagaimana difahami secara umum sebagai ‘cara hidup’, terhasil daripada rumusan pemikiran terhadap apa yang dapat dicerap atau diperhatikan (observed) daripada interaksinya dengan alam, persekitaran dan perilaku manusia itu sendiri. Sebab itulah benar-budaya sangat bersifat judgemental (menghukum), yang ada kalanya disamakan sebagai polis moral, atau sekurang-kurangnya menjadi pengukur terhadap baik dan buruk.

Kebenaran (truth), dari istilah benar bermaksud, (1) tidak salah, betul; (2) tepat (tidak berbeza daripada keadaan sebenarnya), memang demikian halnya, sungguh, sah; (3) amat, sangat, sekali; (4) sewajarnya, sepatutnya; sebenar-benarnya sesungguh-sungguhnya; sebetul-betulnya. Bila ditambahkan dengan penambahan “ke…” dan “…an” ia menjadi sesuatu yang bersangkut-paut dengan:  (1) perihal benar (sesuatu), sebenarnya; (2) izin; (3) sesuatu yang benar (sungguh-sungguh ada, betul-betul demikian halnya); dan (4) (Jakarta, maksudnya slanga orang Jakarta), kebetulan; ketidakbenaran perihal atau perbuatan tidak benar. (Kamus Dewan, edisi keempat, 2007, hal. 159).

Istilah benar-budaya mempunyai kaitannya dengan ‘orang yang berkuasa’; kebijaksanaan generasi terdahulu membuat sesuatu rumusan (kesimpulan), yang tentunya dihasilkan melalui pengalaman seperti muncul dalam pepatah, peribahasa dan juga kata-kata nasihat. Misalnya, menjelang waktu maghrib, setiap orang sepatutnya pulang ke rumah masing-masing, tidak ada berada di jalanan.

Sebagai bentuk pengajaran, generasi terdahulu, yang mempunyai kuasa dalam membuat sesuatu keputusan, dan juga menentukan hukuman, mengajar kita bahawa sebaik sahaja masuk waktu maghrib ‘ayam akan pulang ke reban’ dan unggas memasuki sarangnya. Manusia juga harus begitu, kerana malam adalah waktu yang gelap.

Dalam keadaan gelap, banyak hal yang negatif akan berlaku, dan hantupun akan berkeliaran. Ia menjadi satu bentuk benar-budaya yang kita mesti patuhi, dan jika tidak dipatuhi (misalnya masih bermain-main), maka kita akan dihukum atau sekurang-kurangnya didenda, melanggar norma ataupun peraturan yang ditetapkan oleh orang tua yang berkuasa mengawal anak-anak.

Ia sudah berubah masakini, dan menimbulkan pelbagai krisis budaya antara generasi. Sebagai manusia moden, kita sentiasa berada dalam situasi kejar mengejar, termasuk juga mengejar masa. Kita banyak menghabiskan masa dalam perjalanan, bahkan pada waktu maghrib kita hilang peluang untuk sembahyang berjemaah dengan ahli keluarga di rumah. Kita mungkin akan terlepas waktu berbuka dengan keluarga, sebaliknya, berbuka puasa dalam kereta ataupun di warung-warung.

Tetapi, yang menarik dan pasti kita kekalkan ialah selepas sembahyang subuh, kita akan keluar rumah mencari rezeki sebagaimana terbangnya unggas untuk meneruskan kehidupan pada hari tersebut. Namun, apakah yang kita harapkan setelah usia memasuki waktu senja?

Tentunya kita mengharapkan kedamaian, ketenangan dan kemudahan-kemudahan yang memungkinkan kita menjadi seorang yang mampu menyiapkan bekal untuk kembali ke kehidupan kedua. Sayangnya, dalam situasi itulah ramai merasakan tidak betah, bukan hanya kesukaran bekalan air bersih semata-mata, tetapi diracuni pemikiran dengan tafsiran politik yang tidak membawa makna dakwah dan kesempurnaan diri sebagai seorang muslim, hanya berkisar pada benar-budaya.

Benar-budaya bukan benar-sejagat. Benar-sejagat ialah kebenaran yang berasaskan bukti, fakta dan rumusnya boleh diuji semula, iaitu mempunyai asas saintifik yang kuat. Ia lahir bukan atas kepentingan persepsi. Ia lahir dalam konteks untuk memahami kebenaran, berdasarkan pengamatan yang bersistem dan melalui proses-prosesnya. Misalnya, bagaimana kita membuktikan bahawa perlunya mengambil diet yang seimbang bagi menjaga kesihatan dan juga menghindari pelbagai jenis penyakit.

Benar, ada pedoman yang kita pelajari daripada pola makan Rasulullah SAW, baginda makan tidak sehebat kita makan, dan berhenti sebelum kenyang. Secara saintifik, ia dibuktikan bila makan sehingga kekenyangan akan menyebabkan proses percernaan dan penghadamannya bermasalah. Ruang organ yang ada di dalam perut terpaksa bekerja keras untuk memastikan zat-zat yang ada dalam makanan diproses sebaik-baik untuk kegunaan tubuh, tetapi kerana kita makan ikut selera, akhirnya menyebabkan organ-organ dalam badan tersiksa.

Begitu juga bila pendirian melampau hadir dalam politik. Politik yang dihubungkaitkan dengan ilmu pemerintahan atau menyatukan setiap orang, akhirnya menjadi sesuatu yang cukup tragis, muncul pelbagai malapetaka dan pemesongan sehingga merosakkan akidah. Politik sebenarnya bukan untuk memesongkan akidah dan membina akhlak baharu yang tidak selari dengan benar-sejagat.

Apa makna agama bagi setiap orang, Islam dan bukan Islam? Apa itu Islam? Sejak kecil saya diajar bahawa Islam itu merupakan pola hidup yang bersandarkan kepada ketundukan secara ikhlas dan sedar bahawa Allah SWT menentukan segala-galanya, yang menghidup dan mematikan setiap benda hidup.

Atas keyakinan itulah saya diajar untuk sentiasa mengucap dua kalimah syahadah: Tiada Tuhan Yang Disembah dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh-Nya. Kenapa Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah SWT sebagai teladan atau suri teladan (role model) untuk manusia memahami apa ertinya berserah diri kepada-Nya. Dan, tentunya, proses penyerahan diri itu bukan kesetiaan membuta-tuli, penyerahan diri dalam situasi insaf dan atas kesedaran, bukan hanya kerana doktrin dan dogma semata-mata.

Akibat dogma, doktrin dan indoktrinasi yang dilakukan oleh para ustaz mahupun ulama menjadikan saya kurang yakin, sebabnya ajaran-ajaran mereka berhujung dengan pemahaman yang sempit, tidak menggalakkan bentuk-bentuk pertanyaan yang mencabar, yang muncul daripada pemikiran manusia sendiri. Allah SWT memberikan manusia kelebihan, dengan akal manusia boleh berfikir dan menjawab beberapa persoalan yang ada kaitannya dengan hidupnya sendiri, bukan ditentukan oleh orang lain.

Awalnya, saya terpengaruh dengan pandangan-pandangan simplistik yang diajar dalam bentuk seruan politik oleh mereka yang memegang kuasa, oleh wakil rakyat, aktivis parti dan sebagainya. Akhirnya, saya menemui jalan saya sendiri, saya berfikir berdasarkan apa masukan-masukan atau pengetahuan yang saya kutip, saya faham dan saya cerap.

Saya berpegang kepada kebijaksanaan pandangan ilmuan, alam terbentang jadi guru, termasuk alam pengetahuan yang manusia rumuskan sebagai teori atau hipotesis. Saya memahaminya dan cuba memahaminya sebagaimana saya memahami isi kandungan al-Qur’an berdasarkan kitab-kitab tafsir, terjemahan dan juga syarah yang disampaikan oleh aktivis agama dalam konteks dakwah, bukan dalam konteks politik kepartian.

Ya! Kenapa saya melihat benar-sejagat itu sesuatu yang boleh dijadikan mauduk berfikir? Sebabnya, benar-sejagat itu ada bukti yang boleh menumbuhkan rasa syukur, bukan menuju kepada kekufuran, sebagaimana muncul dalam benar-budaya. Benar, dalam sesetangah keadaan atau tindakan, agama memainkan peranan dalam mengkerangkakan benar-budaya, tetapi harus pula dapat kita bezakan, apakah nilai-nilai agama itu cukup memadai diterjemahkan sebagai pemisah antara ‘apa yang difikirkan’ dengan ‘apa yang sepatutnya’.

Cuba kita bahas mengenai kenyataan ini: A adalah Parti Islam; Islam adalah agama Allah; oleh itu A adalah Parti Allah. Justeru, bila seseorang itu menolak Parti Islam, ia secara jelas menolak Allah. Timbul pula suatu persoalan dasar, apakah Allah SWT mahu ada menyebut Parti Allah? Saya tidak temui istilah itu dalam mana-mana versi terjemahan al-Qur’an yang pernah saya teliti, baik dalam Tafsir al-Azhar, Tafsir Ibu Katsir mahupun Tafsir ar-Rahman.

Apa yang temui ialah tafsiran dalam kamus politik aktivis PAS. PAS menggunakan silogisme, bagi membentuk benar-budaya, bukan benar-sejagat. PAS menggunakan Islam sebagai ideologi politik, sedangkan PAS sendiri adalah alat yang diciptakan oleh sekelompok ulama yang terpengaruh dengan pemikiran dan kesedaran politik yang berkembang di Timur Tengah selepas runtuhnya Empayar Uthmaniyyah di Turki selepas Perang Dunia I.

Empayar Uthmaniyah adalah empayar Islam terakhir, yang meliputi sebuah wilayah kekuasaan yang cukup luas dan pengaruhnya sampai ke Tanah Melayu. Ada sejarah kaitan yang cukup kuat, pengaruh kekuasaan Empayar Uthmaniyyah dalam sejarah pembentukan sistem politik kerajaan-kerajaan Melayu yang berteraskan Islam seperti di Aceh, Melaka dan sistem beraja yang masih kekal hingga sekarang.

Tetapi, saya harus membuat suatu penilaian kerana sebahagian naratif sejarah yang dikumpulkan sangat bergantung kepada corak penceritaan lisan, yang kadangkala mengandungi pelbagai nilai-nilai yang tidak ada dalam Islam. Misalnya, perihal kekeramatan seseorang sehingga tidak mampu dilumpuhkan oleh senjata dan juga peluru. Ia secara umumnya menggambarkan kepahlawanan itu tidak mudah ditundukkan atau mati, walhal Allah SWT secara jelas mengatakan setiap yang hidup akan mati.

Kita sepatutnya dapat berfikir secara rasional, mungkin ketika peluru yang singgah di badan seseorang wira tidak terkena sasarannya, dan Allah SWT masih tidak ingin mematikan tokoh itu. Ia semuanya menjadi ketentuan Allah SWT, bukan ketentuan peluru atau senjata. Kematian akibat terkena peluru, tikaman adalah asbabnya dan dengan izin Allah SWT.

Kenapa saya berkata demikian? Kerana saya semakin jemu dengan kenyataan-kenyataan politik yang membodoh-bodohkan manusia, tidak memberikan ruang pertanyaan dan menimbulkan persoalan, serta mendapat jawapan yang jelas rasional dalam konteks benar-sejagat. Ia berlegar dalam kenyataan-kenyataan yang bersifat benar–budaya. Misalnya, dengan tidak menyokong PAS, seseorang itu dinerakakan. Apakah syurga dan neraka itu milik mutlak PAS? Apakah PAS atau doktrin mereka menyamai hak mutlak Allah SWT?

Allah SWT menciptakan syurga dan neraka adalah untuk mengajar manusia agar memahami apa itu amar makruf dan nahi mungkar. Amar makruf ialah perlakuan baik, dalam kata-kata, berfikir dan berperilaku, yang membezakan antara manusia dan haiwan. Nahi mungkar adalah fikiran, perilaku dan aksi yang wajib manusia jauhkan kerana ia merupakan sifat-sifat binatang. Jika manusia meletakkan nahi mungkar sebagai kerangka hidupnya, maka ia samalah seperti sifat-sifat haiwan.

Saya petik apa yang ditulis oleh Imam al-Ghazali dalam magnum opusnya, Ihya Ulumuddin yang hingga kini menjadi kitab rujukan utama oleh umat Islam, walaupun usia kitab itu sudah melebih 900 tahun. Al-Ghazali menulisnya ketika dirinya berkecamuk dengan ‘rasa bersalah’ dengan pesona dunia dan ingin mencari titik-titik pengakhiran yang menepati makna ‘jiwa agama’ iaitu sekitar tahun –tahun pengasingan, berkhalwat, bermunajat dan mengosongkan diri daripada pesona dunia selama sepuluh tahun (495-505H). Ihya Ulumuddin dikatakan siap tulis pada awal tahun-tahun pengembaraannya manakala kerangkanya dikatakan sudah terbentuk tiga tahun sebelum membuat keputusan meninggalkan pesona dunia (492H), yakni ketika mengalami situasi skeptisme dunia ilmiah yang berteraskan ilmu-ilmu yang terhasil daripada cerapan pancaindera. (Al-Ghazali, Penyelamat Daripada Kesesatan, terjemahan dari al-Munqizh min al-Dhalal, Jenjarom, Selangor: IBDE Ilham Sdn Bhd., 2017).

Al-Ghazali merakamkan jawapan Ibnu al-Mubarak yang pernah ditanya: Siapakah manusia itu? , iaitu,  “orang-orang yang berilmu. Ditanya lagi: siapakah raja itu?”. Dijawabnya: Orang zuhud yang tidak terpengaruh dengan kemewahan dunia”. Ditanya lagi: Siapakah orang yang hina itu?”. Lalu dijawabnya: Mereka yang makan (memperoleh) dunia melalui agama”.

“Ibnu al-Mubarak tidak memasukkan orang yang tidak berilmu dalam golongan manusia. Kerana ciri yang membezakan antara manusia dan haiwan ialah ilmu. Maka, manusia itu adalah manusia, di mana dia menjadi mulia kerana ilmu. Kemuliaan itu sendiri bukan kerana kekuatan dirinya, kerana unta adalah lebih kuat daripada manusia. Dan bukan pula kerana besarnya, sebab gajah jauh lebih besar daripada manusia.

Bukan pula kerana beraninya, kerana binatang buas jauh lebih berani daripada manusia. Bukan pula kerana banyak makannya, kerana perut lembu jauh lebih besar daripada perut manusia. Bukan pula kerana kemampuannya dalam bersetubuh dengan perempuan, kerana burung pipit yang lebih kecil lebih kuat bersetubuh dibandingkan dengan manusia. Bahkan manusia tidak diciptakan selain kerana ilmu.

“Nabi Muhammad SAW bersabda: Barangsiapa menerima hadiah berupa al-Qur’an, lalu dia memandang ada hadiah lain yang lebih baik daripada (al-Qur’an), maka dia telah menghinakan apa yang telah dibesarkan oleh Allah SWT.”

Suatu ketika Fath al-Maushali RA bertanya kepada orang-orang di sekelilingnya: Bukankah orang sakit itu apabila tidak mahu makan dan minum, dia akan mati?.” Orang-orang yang bertanya itu menjawab: Benar”. Lalu al-Fath al-Maushali berkata: Begitu juga dengan hati, apabila ia tidak mahu kepada hikmah dan ilmu dalam tiga hari, maka matilah hati itu.” (Imam al-Ghazali, Ihya Ulumuddin, Jilid 1, terjemahan Muhammad Akhyar LC dan Drs Syahrin bin Jasah, Kuala Lumpur: Pustaka al-Shifa-al-Haramine, 2017, hal. 25).

Di situlah letaknya pemikiran (juga pendirian) saya menolak benar-budaya yang dikembangkan oleh sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai ideologi politik, sehingga tidak menarik minat saya sebagai anak perantau yang selama lebih 40 tahun tidak bersedia untuk kembali hidup di kampung yang telah membesarkan saya.

Saya berpendirian sedemikian, kerana itu menjadi sebab pokok yang menukarkan impian sebelumnya, kerana saya tidak mahu tertekan oleh benar-budaya, saya masih berpegang teguh kepada benar-sejagat sebagai pedoman untuk meneruskan usia, membaca buku-buku dan berfikir dalam suasana tidak berkecamuk dengan persoalan politik, matlamat menghalalkan cara.

MONOSIN SOBRI

Translate »