Permulaan itu menjadikan Haji Hadi cukup teruji dalam kepimpinannya apabila beliau sendiri yang pernah dicap sebagai pemimpin yang tidak mampu mengukuhkan kedudukan politik PAS di Terengganu apabila hanya mampu berkuasa selama sepenggal (1999-2004), terpaksa mencari jalan untuk memulihkan imejnya sebagai Presiden PAS (disandang sejak 14 September 2003).
Walaupun dirinya dianggap cukup kebal di Parlimen Marang (pernah kalah dua kali kepada Abdul Rahman Bakar pada PRU ke-7, 1986 dan PRU ke-11, 2004).
Haji Hadi yang terkenal dengan Amanat Haji Hadi (1981) dilihat sebagai seorang pemimpin politik yang keras dan panas baran apabila sering mengelak daripada menjawab pertanyaan- pertanyaan wartawan mengenai keputusan-keputusannya yang tidak konsisten. Misalnya, apabila wartawan bertanyakan mengenai Peristiwa Memali (1985)yang pernah difatwakan sebagai ‘mati syahid’ dijawabnya sebagai ‘soalan syaitan’ yang tidak patut ditimbulkan setelah lebih 30 tahun berlaku .
Jawapan itu ada sedikit sebanyak ‘ta’awun’ PAS dengan Dr Mahathir. Sebelumnya, antara Haji Hadi dan Dr Mahathir saling menuduh dan mengecam sebagai pemimpin yang sesat, kerana berlainan fikrah politik dan perjuangan.
Dr Mahathir juga menjadi pengkritik yang paling lantang mempersoalkan idealisme politik PAS mengenai undang-undang hudud dan menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam, yakni menukarkan Perlembagaan sekular kepada peraturan syariah sepenuhnya. Perlembagaan warisan penjajah itu digelar taghut.
Mohd Amar adalah orang yang cukup rapat dengan Presiden PAS, maka kedudukan itu menjadikan dirinya cukup berangan-angan untuk dilantik sebagai MB Kelantan dengan persetujuan Haji Hadi.
Apa yang menjadi persoalan masa kini ialah sikap dan pendirian Mohd Amar yang cuba menyingkirkan legasi Nik Aziz dalam politik PAS sebagaimana Haji Hadi sedang lakukan sejak Mursyidul Am PAS itu meninggal dunia.
Menurut dakwaan adik Allahyarham Nik Aziz, Nik Din Nik Mat, usaha menyingkirkan legasi Nik Aziz sangat jelas apabila Mohd Amar telah menolak Nik Mohd Abduh daripada bertanding dalam salah DUN di Parlimen Pengkalan Chepa pada PRN kali ini.
Mohd Abduh tidak mahukan Nik Abduh bertanding di Pengkalan Chepa kerana takut kedudukanya terancam dan percubaannya menjadi MB Kelantan selepas Ahmad Yaacob menyatakan tidak lagi berminat. Ini kerana Mohd Abduh dianggap sebagai tokoh muda yang boleh diketengahkan atas kapasiti tindak-tanduk politiknya yang tidak segopoh Mohd Amar.
Nik Abduh pernah menolak tawaran untuk bertanding pada PRU ke-15 (2022) yang lalu disebabkan oleh rasa terkilannya dengan keputusan PAS mengkhianati Muafakat Nasional. Kerjasama PAS dan UMO/BN juga membawa kepada perselisihan antara Mohd Abduh dan abangnya, Nik Umar.
Pada PRU ke-14, Nik Umar bertanding sebagai calon Amanah untuk DUN Chempaka, manakala Nik Abduh kekal sebagai calon PAS di Parlimen Bachok (menang). Sebelumnya, Nik Abduh adalah penyandang kerusi Parlimen Pasir Mas (PRU ke-13, 2013).
Selepas kalah, Nik Umar dilantik sebagai YDP Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (14 Disember 2018-16 Julai 2020) dan pada PRU ke-15 (2022), Nik Umar bertanding di Parlimen Pasir Salak, Perak dan tewas.
Nik Umar keluar dari PAS kerana mempertahankan prinsip yang dipertahankan oleh ayahandanya, iaitu tidak mahukan bekerjasama dengan UMNO/BN kerana serik diterajang semasa dalam BN.
Nik Abduh mempertahankan keputusan untuk bekerjasama dengan UMNO/BN yan membentuk Muafakat Nasional atas keinginannya untuk melihat penyatuan politik Melayu- Islam yang lebih besar kerana kedua-dua parti itu lahir dari rahim yang sama dan mempunyai matlamat yang sama, meskipun berbeza ideologinya.
Kesan daripada pendirian atau kesendengan itulah Nik Abduh dilihat semakin tersingkir dalam kepimpinan politik PAS disebabkan oleh peranan Mohd Amar yang tidak mahu memberikan sokongan kepada Nik Abduh, yang dilihat boleh mencabar pengaruhnya di Parlimen Pengkalan Chepa khususnya dan Kelantan amnya. Ini menunjukkan budaya politik Mohd Amar cukup hebat dengan kaedah cantas mencantas, atau lebih dikenali sebagai ‘cah keting’.
Dalam kenyataan balasnya, Mohd Amar menyatakan bukan beliau menolak pencalonan Nik Abduh untuk bertanding dalam salah satu DUN di Parlimen Pengkalan Chepa, tetapi dibuat oleh sebuah jawatan kuasa di peringkat negeri.
Ramai yang tahu, dalam jawatankuasa pemilihan dan penentuan calon, peranan Mohd Amar adalah cukup besar berbanding Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ahmad Yaakob.
Dalam banyak perkara, Mohd Amar bertindak lebih sudu daripada kuah, kadangkala melangkaui peranannya sebagai TMB, dan adanya lebih terkedepan daripada keputusan MB. Sebab itulah pentadbiran politik Kelantan dilihat sangat dikuasai oleh Mohd Amar, bukan Ahmad Yaakob yang lebih selesa dengan pendekatan sederhana dan rendah diri.
Misalnya, ketika menjawab persoalan kenapa kerajaan Kelantan menghabiskan jutaan ringgit untuk membeli kereta baharu setelah mendapat bayaran one-off berjumlah RM 400 juta daripada Kerajaan pusat pada tahun 2019, katanya, EXCO dan MB memerlukan kenderaan yang baik dan mantap sebagaimana Nabi Muhammad SAW mempunyai seekor unta yang sihat dan kuat, ‘takkan nak naik viva’.
Rakyat kemudiannya mempersoalkan tindakan dan kewajaran hujahnya. Ini kerana pada awalnya, Mohd Amar menjelaskan wang yang bakal diterima itu akan digunakan untuk tujuan pembangunan, termasuk mengatasi sebahagian masalah bekalan air bersih. Tetapi, apa yang berlaku pada tahun 2020 dan 2021, Kelantan diberikan setiap tahun RM 200 juta masih tidak dapat selesaikan masalah bekalan air bersih.
Ia menjadi sesuatu yang cukup sedih apabila berlakunya kebakaran di Berek 12, Kota Bharu (28 April 2022). Akibatnya, pasukan bomba tidak dapat selamatkan 6 buah rumah dan terpaksa menggunakan lori tangki untuk memadamkan kebakaran.
Begitu juga dakwaan salah seorang Ahli Parlimen telah menggunakan pili bomba untuk membolehkan orang ramai mendapat bekalan air di Rantau Panjang.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Seksyen 23(1) Akta Perkhidmatan Bomba 1988, tiada seorang pun kecuali pihak berkuasa boleh melakukan apa-apa kerja yang boleh menjejaskan pili bomba atau aliran air kepadanya, melainkan telah memberi notis bertulis kepada Pengarah Bomba Negeri tujuh hari sebelum kerja dimulakan.
Pertikaian itu menjadi gempar apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Meng mendedahkan ‘MP Rantau Panjang menggunakan air daripada pili bomba untuk diberikan kepada penduduk setempat bagi mengatasi masalah bekalan air.” (https://www.bomb.gov.my, 12.5.2023).
Namun Datuk Zailah yang pernah berlakon memandu lori membawa bekalan untuk mangsa banjir atau ‘air termenung’ pada tahun 2004 menyatakan beliau mempunyai kebenaran untuk berbuat demikian. Walau apa pun alasannya, nyata bahawa tindakan itu tidak dapat dipertahankan. Secara etikanya kerana air yang disalurkan menerusi pili bomba untuk tujuan untuk mendapatkan bekalan air bersih, ia untuk kegunaan kecemasan seperti kebakaran dan sebagainya.
Sepatutnya, Zailah mempersoalkan apakah yang telah dilakukan oleh kerajaan Kelantan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih setelah 33 tahun meletakkan janji itu. Itulah kaedah PAS untuk mencari jawapan dan bertindak bila tersepit, tidak ingin menyalahkan kelemahan tadbir urus kerajaan negeri kerana pengakuan itu boleh menyebabkan imejnya tercalar.
Ia juga seperti helah Mohd Amar bila dipersoalkan pembabitannya menyingkirkan pencalonan Nik Abduh. Pada Nik Din, sepatutnya Mohd Amar akur dengan persetujuan yang sudah diberikan oleh Presiden PAS, yang menyatakan persetujuannya sebelum akhir Jun 2023, selepas sehari DUN Kelantan dibubarkan. Nik Din telah membuktikan persetujuan tersebut dalam satu surat yang ditandatangani oleh Presiden PAS, tetapi Mohd Amar telah menolaknya.
Ertinya, Mohd Amar sebenarnya tidak mahu adanya tokoh yang lebih cerdik daripada dirinya menonjol dalam Parlimen Pengkalan Chepa, yang mana beliau adalah Ketua Bahagian sejak sekian lama, dia mahu kekal sebagai Ketua Bahagian yang berpengaruh sehingga akhir hayat.
Kelompok yang menyokong Mohd Amar bukanlah kumpulan kuat di Kelantan, kerana terdapat sekelompok lagi yang tidak bersetuju dengan Presiden PAS, termasuk Nik Abduh.
Tetapi, sebagai langkah seterusnya, Mohd Amar perlu memainkan peranannya yang lebih besar untuk menyekat kemaraan kelompok ini, yang sebahagiannya sangat cenderung untuk mengekalkan legasi almarhum Nik Aziz.
Dengan tercantasnya Nik Abduh kali ini, bererti salah satu halangan Mohd Amar untuk melonjak ke jawatan MB Kelantan tidak berhadapan dengan situasi yang sukar, kecuali beliau dikalahkan dalam usahanya mempertahankan DUN Panchor.
Sebab itulah Nik Din menyarankan agar pengundi DUN Panchor berkorban untuk tidak lagi memberikan undi kepada Mohd Amar. Nik Dir mahukan Mohd Amar ‘rasa kalah’ dan dengan cara itu langkahnya akan terhalang, dan legasi almarhum Nik Aziz dapat dimulakan semula dengan meletakkan Nik Abduh sebagai pemimpinnya, walaupun tidak berada dalam barisan wakil rakyat PAS.
Nik Abduh tidak terdesak, sebaliknya, Nik Abduh boleh merancang untuk kembali membawa peranan itu dalam PRU ke-16 dan buat sementara waktu, jawatan MB diberikan kepada tokoh lain asalkan bukan kelompok Mohd Amar.
Selain itu, dalam pemilihan PAS selanjutnya, kedudukan Mohd Amar perlu dilumpuhkan bagi memisahkan pergantungan kuatnya dengan Presiden PAS, yang pada ketika ini tidak dilihat sebagai seorang yang cukup berwibawa untuk menerajui parti setelah terlalu banyak kontroversi dan memecahbelahkan PAS sendiri.
Biarpun PAS mempunyai kerusi terbanyak pada PRU ke-15 lalu di dalam Parlimen, ia tidak bermakna kedudukan itu tidak akan tercabar pada PRU ke-16. Perlu juga diingat pada PRU ke-11, BN menguasai 198 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat akhirnya tergelonsor lebih 50 kerusi pada PRU ke-12 (2008) kepada 140 dan hilang kuasa di empat buah negeri – Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Perikatan Nasional dilihat semakin hilang pengaruhnya walaupun mendakwa mendapat sambutan daripada ahli dan pemimpin UMNO yang kecewa dengan kepimpinan Zahid Hamidi, tetapi mereka itu sebenarnya lebih banyak meninggalkan liabiliti kepada UMNO sendiri.
Nik Abduh selain mempunyai tahap pendidikan yang baik, sikap dan peribadinya yang tidak sesemberono Mohd Amar cukup disenangi oleh pelbagai lapisan kepimpinan PAS termasuk dalam kalangan orang muda. Mohd Amar hanya disokong oleh golongan oportunis dalam parti dan juga sekelompok penyokong yang mindanya lama terkepong dengan doktrin tidak menyokong PAS bermakna menolak Islam.
Ia sesuatu yang tidak hubungkaitnya dengan akidah, Islam itu dibangunkan berteraskan akidah, dan selagi seseorang itu masih mengucap dua kalimah syahadah, walaupun menganggotai UMNO, DAP, PKR mahupun Gerakan, selagi itulah dirinya masih dikategorikan sebagai Islam. Bukan hanya kerana menyokong PAS sahaja yang boleh dianggap Islam.
Seperti pesan al-Qur’an, kitab yang menjadi panduan dan pegangan umat Islam bahawa seseorang itu akan diisytiharkan sebagai kafir ialah mereka yang telah mensyirikkan Allah SWT dan tidak menerima Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh-Nya. Ini bermakna, walau apa pun parti yang anda pilih, kelompok manakah yang anda berada, anda tetap menjadi seorang Islam selagi tidak berbuat syirik.
Ibnu Taimiyah cukup sederhana dalam menghuraikan masalah pertikaian dalam politk sehingga menyebabkan munculnya persoalan takfiri, yakni menggolongkan seseorang yang tidak sehaluan pemahaman politiknya sebagai kafir, termasuk kisah yang berlaku pada zaman pemerintahan Ali bin Abi Talib, yakni membabitkan Aisyah RA, isteri Rasulullah SAW yang termasuk di antara orang-orang yang dijamin syurga.
“Sesungguhnya Ammar telah memberikan kesaksian bahawa Aisyah termasuk kalangan ahli syurga, isteri Rasulullah SAW. Sekalipun begitu, beliau masih menyeru orang ramai mempertahankan Aisyah semampunya yang daripada peperangan dan selainnya.”
Hal ini berlaku semasa Perang Jamal (657M) di mana Aisyah dikatakan sedang bergerak ke Basrah, dalam pandangan sebahagiannya melihat Aisyah melakukan campur tangan, yakni membantah tindakan Ali menukarkan pegawai kerajaan yang dilantik oleh Khalifah Uthman bin Affan.
Aisyah dikatakan berjaya mengumpul sekelompok besar pengiktunya untuk memberontak ke atas tindakan Ali. Perang tersebut tidak dapat dielakkan, namun Ali mendapat kemenangan walaupun terpaksa mengorbankan ribuan nyawa umat Islam.
Perang itu berakhir apabila unta yang dinaiki Aisyah tertusuk tombak dan jatuh.
Namun, sebagai seorang khalifah yang adil, tawaduk dan cukup istiqomah, Ali memaafkan sesiapa sahaja yang memberontak, termasuk Aisyah. Aisyah kemudiannya diiringi pulang ke Madinah.
Jadi dalam mengambil iktibar daripada kisah tersebut, Ibnu al-Jawzi berkata: Jangan bertaklik dalam perkara prinsip (usul) tidak Abu Bakar mahupun Umar. Inilah dasar yang wajib dibangun di atasnya, jangankah diperdaya kamu dengan kebesaran diri yang muluk- muluk.:
Ertinya, Mohd Amar hendaklah menerima kenyataan bahawa dirinya semakin tidak relevan lagi untuk membawa PAS mencapai tahap kecemerlangan perjuangan akibat pendekatan dan kenyataan-kenyataannya memperbodohkan orang ramai sehingga tidak menepati makna politik Islam yang meletakkan kemaslahatan ummah, bukan membuli dan mengsemberonokan minda agar kekal sombong, jumud dan bertaklid kepada kemahuan untuk menang sendiri.
Sebenarnya, dengan tindakan menyingkirkan legasi almarhum Nik Aziz yang cuba dilakukan oleh Mohd Amar akan menyebabkan PAS akan kehilangan asetnya yang besar dan cukup berjasa kepada negeri Kelantan dan juga parti.
Ini kerana legasi almarhum tidak mudah dipadamkan dan cukup besar dalam minda sesiapa sahaja yang mengkaji politik Islam di Malaysia sama ada untuk tujuan akademik mahupun kepentingan politik. Ia tidak dapat meninggalkan warisan sejarah Kelantan yang berjaya dilakarkan selama 23 tahun lamanya (1990-2013).
Walaupun tidak sehebat legasi Dr Mahathir yang memerintah Malaysia selama 22 tahun, legasi Dr Mahathir sedang mengalami garis kekaburan apabila beliau sendiri cuba mengkhianatinya dengan cara menjatuhkan lebih ramai mereka yang memimpin, dari Abdullah Ahmad Badawi, Najib dan kini, Anwar Ibrahim.
Sepatutnya, bagi setiap pendokong PAS wajar melihat dan menghormati legasi tersebut kerana dengan kepayahan dan semangat almarhum yang kental itulah PAS mampu berkembang sebagai sebuah parti politik yang kuat dan berpengaruh walaupun pernah gagal untuk menguasai di peringkat pusat secara mutlak (tidak berkongsi dengan mana-mana parti) setelah dilihat ada potensinya.
PAS gagal memerintah Malaysia sebagaimana disasarkan menjelang tahun 2000, tetapi tidak bermakna perlu menghapuskan legasi almarhum Datuk Nik Aziz kerana pendekatannya mudah diterima, berjelira dalam pemikiran kebanyakan orang berbanding fikrah politik Haji Hadi yang kadangkala ada kaitannya dengan ekstremisme.
Politik ekstremisme, parokial dan sekterian semakin tidak relevan dalam situasi masyakarat berbilang kaum apatah lagi setelah PAS tersandung dengan Proklamasi Orang Melayu ciptaan Dr Mahathir yang tidak bersifat lahir daripada jiwa orang Melayu, tetapi atas perjuangan untuk mengkhianati orang Melayu sendiri.
Dr Mahathir telah diketahui cukup bijak mengeksploitasi keadaan dan emosi orang Melayu, kerana beliau masih belum mampu menokhtahkan perjuangan yang belum selesai, yakni ‘meletakkan legasi’nya dalam lanskap politik Malaysia masakini setelah terpaksa menerima hakikat pedih ditolak oleh orang Melayu sendiri.
Jadi, bila PAS boleh bersengkongkol dengan Dr Mahathir, bermakna PAS juga mungkin akan alami dekandansi moral politik pada PRU ke-16 sehingga mungkin akan menerima nasib malang seperti yang UMNO hadapi selepas PRU ke-15. Ia berlaku kerana UMNO berhadapan dengan krisis dalaman sehingga memuntahkan kecaman dan makian dalam kalangan pemimpinnya.
Begitu juga, PAS akan hadapi sindrom yang sama sekiranya menolak dan cuba menghapuskan legasi almarhum Nik Aziz sebagaimana UMNO berusaha menjadikan nasionalisme Melayu sebagai slogan yang tidak bermakna dan sekadar memenuhi naluri para pemimpinnya dalam pertaruhan kuasa dan pengekalan kuasa seperti sebuah syarikat sendirian berhad.
PAS juga sedang menuju kearah itu apabila menyingkirkan para pemimpinnya yang tidak sehaluan dengan pendapat Presidennya. Sejauhmanakah Mohd Amar mampu bergantung kepada tali hayat Presiden PAS?
Jawabnya, jika Mohd Amar ingin kekal dalam peralihan corak politik, ianya sepatutnya melihat titik-titik yang boleh merelevankan kepimpinan dan pembawaan politik, termasuk menghargai dan menghormati legasi almarhum Nik Aziz dalam langkah politiknya, bukan menentang atau cuba menghapuskannya.
Mohd Amar patut belajar daripada cebisan sejarah bagaimana Dr Mahathir berusaha mengkhianati legasi Tunku Abdul Rahman yang berjaya memerdekakan Malaysia dan Tun Razak yang membangunkan negara dengan menghargai semangat orang Melayu.
Akhirnya Dr Mahathir terpaksa menerima karma (takdir) bila dihumban oleh orang Melayu di kawasan yang dibangunkannya dengan megah sebagai sebuah pulau bebas cukai dan destinasi pelancongan.
Pengundi Langkawi menolak Dr Mahathir kerana kepimpinannya tidak lagi relevan dan Langkawi bukan lagi menjadi aset untuk Dr Mahathir mencetak kemenangan sampai bila- bila.
Orang Langkawi sebenarnya menghantar isyarat agar Dr Mahathir ‘duduk diam-diam’ dan tidak perlu lagi mengkucar-kacirkan politik Malaysia kerana dunianya sudah sampai ke tahap suam-suam kuku kalaupun bukan sebagai nokhtah kehidupan.
Apakah menjadi kenyataan calon PH-BN bahawa pengundi DUN Panchor semakin menolak Mohd Amar? Kita terpaksa menunggu pada malam 12 Ogos 2023 untuk melihat sama ada ia menjadi kenyataan atau di sebaliknya. Untuk menidakkan pengaruh Mohd Amar, yang pengundinya sudah terbiasa dengan budaya politik sedemikian perlukan pembuktian dan keputusan, yang hanya mampu ditentukan oleh 42,768 pengundi.
Tentunya, tidak mudah Mohd Amar untuk mempengaruhi pengundi muda yang semakin mempengaruhi keputusan untuk memilih kerana mereka lebih banyak menerima masukan dan maklumat daripada media sosial, sedangkan sebahagian mesej yang disiarkan lebih banyak mengecam Mohd Amar di atas pola perpolitikannya sendiri.
Jadi, jika Mohd Amar kalah, beliau tidak perlu salahkan kepada sesiapa, tetapi salahkan diri sendiri yang semakin lama berkuasa semakin ‘besar diri’, angkuh dan sombong baik dalam pertuturan mahupun aksi politiknya.
Apakah dengan kekalahannya nanti, Mohd Amar akan tersandung dengan ‘fitnah berangkai’ di atas ‘kebaikan yang tidak berakal’ terhadap kedermawan Ebit Lew yang membantu sepasang suami isteri di Kg Tapang, Kota Bharu.
Sepasang suami isteri (suaminya bekas askar) itu hidup dalam kemiskinan dan mempunyai tempat tinggal usang (nak roboh menurut catatan facebook Ebit Lew pada 14 Mei 2020), yang tiga puluh tahun tidak dapat diselesaikan oleh PAS. Ebit Lew hanya mengambil masa tiga jam untuk selesaikannya.
Lebih mendukacitakan ialah Kg Tapang, Kota Bharu itu terletak di dalam kawasan DUN Panchor yang mungkin tidak pernah dijengok oleh Mohd Amar. Kesempitan hidup itu dapat ditangani oleh Ebit Lew pada bulan Mei 2020, tentunya mencabar dan menjatuhkan imej Mohd Amar sebagai wakil rakyat yang ‘cakna rakyat’.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments