Dr Ahsin Sakho Muhammad menjelaskan, kebahagiaan dalam al-Qur’an diambil daripada tiga istilah, iatu as-sa’adah, al-fauz, dan al-falah. Akar kata sin-‘ain-dal memunculkan istilah as-sa’adah, manakala orang yang berbahagia di sebut sa’id.
Mengutip pandangan Ibn Faris, Dr Ahsin menjelaskan akar kata yang terdiri dari sin-‘ain-dal menunjukkan erti kebaikan dan kegembiraan (khair wa surur). Kata as-sa’d pula boleh diertikan sebagai kebaikan dalam urusan (al-yumm di al-amr).
Lawan sa’adah ialah syaqawah, berasal dari akar kata syin-qaf-waw yang bermaksud kesengsaraan dan seseorang yang menderita (hidup dalam penderitaan atau kesusahan) disebut syaqiyy.
Ketika mengungkapkan makna kemenangan/keberuntungan, jelas Dr Ahsin, al-Qur’an menggunakan akar kata pada al-fauz, yang kadangkala diikuti dengan sifat al-‘adzim, yang agung (13 kali), bersifat al-kabir, yang besar (1 kali), dan al-mubin, yang jelas (2 kali).
Kata al-fauz adalah dari akar kata fa’-waw-zai, yang bererti keselamatan. Menurut al-Raghib, erti al-fauz adalah mendapatkan kebaikan dan selamat (azh-zhufru bilk hair ma’a hushulissalamah).
Kata al-mafazah membawa maksud padang pasir (Sahara) yang tandus, hamparan tanah yang tidak berpenghuni. Orang Arab menamakan sebegitu dan mengambilnya sebagai suatu contoh sebagai proses merefleksikan kepada sebuah pengharapan agar selamat (tafa’ul) bagi mereka yang mengharunginya.
Dari semua ayat yang menggunakan kata al-fauz, mereka yang mendapatkannya adalah orang yang beriman dan beramal saleh, berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwanya, taat kepada Allah dan Rasul, shadiqin (jujur, benar dalam perkatan dan tindakan).
Al-falah pula diambil dari akar kata fa’-lam-ha, yang bermaksud membelah. Petani dikatakan al-fallah kerana pekerjaannya ialah membelah tanah (seperti membajak atau menggali lubang dan melembutkan tanah yang keras) agar dapat menanam (biji benih atau anak benih). Daripada erti itulah muncul kata al-falah, yang bermaksud keberuntungan.
KIKIR DAN FAKIR
Dalam al-Qur’an, orang yang beruntung ialah orang yang bertakwa kepada Allah; beramar makruf nahi mungkar, membuat kebaikan dan menjauhi keburukan; timbangan amal salehnya berat (pahalanya adalah lebih banyak daripada dosa); beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan menolong (berdakwah dan menunjukkan perilaku yang baik) untuk agamanya; mengikut petunjuk al-Qur’an; menuruti ajakan (nasihat dan teladan) Nabi Muhammad SAW; memberikan hak-hak fakir miskin (bersedekah dan melayani) dan ibnu sabil (merujuk kepada seseorang yang bermusafir atau dalam sesuatu perjalanan yang berada dalam kesusahan seperti tidak kecukupan wang, lapar dan tiada kemudahan untuk pulang (kembali) ke lokasi asalnya, mereka diberikan zakat dengan harapan dapat kembali ke lokasi asalnya); tidak berkasih-kasihan (menjadi petualang, bersubahat atau bersekongkol) dengan musuh-musuh Allah SWT; yang menyucikan jiwanya (istiqomah, bersyukur dan menjauhi segala bentuk perilaku buruk seperti maksiat); menjauhi syaitan; mengingati nikmat-nikmat Allah SWT; sentiasa berzikir kepada Allah SWT (berdoa dan mengingati Allah SWT); bertaubat kepada-Nya; dan, terjaga dari sifat kikir (bakhil atau kedekut).
Kesemua timbangan amal mereka mereka lakukan adalah lebih berat (besar) berbanding dosa yang mereka lakukan, selalu ingat dan mengelakkan daripada melakukan pelbagai jenis dosa sama ada secara langsung atau tidak langsung (tidak sengaja) dengan penuh kesedaran. Orang-orang inilah yang akan mendapat keberuntungan di dunia, juga di akhirat.
(Dr Ahsin Sakho Muhammad, Tafsir Kebahagiaan: Tuntunan al-Qur’an Menyikapi Cobaan dan Kesulitan Hidup, Jakarta Selatan: PT Qaf Media Kreativa, 2019, hal. 15-19).
MANUSIA YANG BAHAGIA
Al-Ghazali (1058-1111) dalam magnum opusnya, Ihya Ulumuddin, Jilid 3 menyatakan hanya satu kelompok manusia sahaja yang mendapat kebahagiaan/keberuntungan, iaitu mereka yang mengikuti perilaku Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda, mereka menjalani kehidupan di dunia dengan cukup sederhana dan memadai, tidak hidup dalam kemewahan dan dengan angkuh.
“Mereka yang selamat adalah mereka yang tidak meninggalkan dunia sama sekali, tidak menghancurkan syahwat sama sekali, dunia diperlukan (menjalani kehidupan fizikal) tetapi sekadar untuk bekal di akhirat.
“Syahwat disingkirkan jika ianya bertentangan dengan syariat. Jika hati sudah tidak disibukkan oleh kepentingan badan maka hati dengan mudahnya berzikir kepada Allah sepanjang hidupnya.”
(Al-Ghazali, dipetik dan disesuaikan dari terjemahan Dr Ahsin Sakho Muhammad, Tafsir Kebahagiaan, 2019, hal.19).
Menurut Dr Ahsin lagi, pada bahagian yang lain, al-Ghazali menulis menjelaskan mengenai kebahagiaan dan sumber malapetaka kehidupan bahawa:
“Kebahagiaan diraih sempurna jika seseorang itu boleh mengendalikan dirinya sendiri dan kesengsaraan terjadi ketika seseorang itu dikendalikan oleh nafsunya sendiri.” (dipetik dari Dr Ahsin Sakho Muhammad, hal.20).
Dalam risalahnya yang lain, al-Ghazali membincangkan secara khusus mengenai rahsia kebahagiaan, berjudul Kimyaa’u as-Sya’aadah, yang banyak diterjemah, disadur dan diberikan komentar oleh para orientalis, cendekiawan Islam dan juga oleh mereka yang mahu memahami hakikat kebahagiaan dalam konteks yang lebih luas, melangkaui aspek-aspek materialisme, kognitif dan psikologi.
Ia merupakan buku keempat al-Ghazali yang banyak diulas — selepas (1) Ihya Ulumuddin;
(2) al-Munqidz min wal-Dhalal; dan (3) Tahafut al-Falasifah— dikaji dan dilihat sebagai satu pendekatan kaunseling dan model dalam membangun jiwa yang tenang, tenteram dan bahagia, menjauhi sifat-sifat tercela.
RESEPI BAHAGIA
Al-Ghazali menggunakan istilah kimia (chemistry, salah satu cabang pengajian sains), yang pada pemahaman manusia sekarang ialah sebagai:
“ilmu sains asas yang berkaitan dengan struktur, kelakuan, komposisi dan sifat tindak balas yang berlaku antara atom, ion, unsur atau sebatian serta hukum-hukum yang menerangkan fenomena kimia”. (Kamus Dewan, edisi keempat, 2007, hal.790-791).
Dalam perubatan alternatif, kimia merupakan sejenis bahan yang dihasilkan menerusi proses tertentu, bukan bersifat semulajadi. Ia berbeza dengan makna bahan semulajadi dari alam, yang dinamakan sebagai ‘tanpa kimia’ atau ‘herba’.
Herba kebiasaannya berasal daripada tumbuh-tumbuhan yang di dalamnya terkandung bahan penting, yang boleh mendatangkan kebaikan dan juga keburukan.
Misalnya, morfin yang dihasilkan menerusi ekstrak kimia semulajadi yang terdapat di dalam pokok popi (spesies papaveroideae), sumber mentah candu yang mengandungi bahan ubat seperti alkaloid yang digunakan sebagai analgesic dan narkotik perubatan.
Bunga popi menjadi simbol dan peringatan kepada askar yang terkorban sewaktu Perang Dunia I, di ladang popi di Flanders, Belgium.
Namun disebabkan popi digunakan tujuan lain selain daripada perubatan, ia menjadi pokok kawalan kerana dadah yang dihasilkan melalui ekstrak bunganya boleh membunuh.
Bunga popi turut menjadi bahan yang dilarang penjualannya secara terbuka, namun transaksi pasaran gelapnya cukup besar dan dikendalikan menerusi penyeludupan, perdagangan haram dan pasaran gelap.
Dadah merupakan komoditi yang cukup besar dipasarkan menerusi pasaran gelap selain kad kredit tiruan dan mata wang maya (bitcion dan monero).
Menurut laporan PBB, prdagangan dadah antarabangsa menghasilkan pendapatan sejumah USD $ 321.6 bilion dan perdagangan dadah haram menyumbang sejumlah 1 peratus daripada USD $ 36 trilion, jumlah keseluruhan KDNK dunia pada tahun 2003.
Ini bermakna, sekitar USD $ 36 bilion diraih menerusi perdagangan dadah secara haram, dan lebih tinggi daripada KDNK yang diraih oleh Lithuania pada tahun 2010 (CIA Factbook 2010).
KDNK Lithuania ialah USD$ 35.73 bilion, dan lebih besar daripada kekayaan Jack Ma (USD
$23.6 bilion, orang yang ke-63 terkaya di dunia 2023), pengasas aplikasi jual-beli dalam talian, Alibaba (Forbes, “The 2023 List: Facts and Figures”)
MANISNYA KEBAHAGIAAN
Bila ditanya kepada pasangan yang bahagia, kita sering diberikan pelbagai petua. Itu petua mereka, seperti juga ketika kita membaca pelbagai temuan psikologi yang menggariskan faktor bahagia atau tidak bahagianya sesebuah perkahwinan.
Kita sering diberikan penegasan, dalam kehidupan rumah tangga, kebahagiaan itu adalah apa yang dapat kita berikan kepada orang lain sehingga orang lain itu berasa bahagia.
Sebab itulah yang orang yang memberi itu lebih merasa bahagia, berbanding orang yang menerimanya. Tetapi, pemberian itu adalah sesuatu yang berharga, atau sesuatu yang amat diperlukan. Orang yang memberi merasa sangat bahagia kerana dirinya dapat membantu.
Saya banyak belajar mengenai prinsip itu, dan saya percaya itulah sebenarnya yang dapat kita rasai nikmatnya dan manisnya kebahagiaan.
Namun, ia tidak mudah. Ia tidak pernah hadir secara automatik, ia memerlukan pelbagai tindakan dan aksi.
Ia memerlukan rasa senang bersama, bukan rasa senang sendiri atau sepihak. Ia bukan seperti ‘rasa senang’ yang dialami oleh seseorang yang mengambil jalan pintas dengan menghisap dadah. Kebahagiaan bukan seperti ekstasi.
Cinta juga kadangkala membawa makna seperti ekstasi. Tulis @silebahjingga:
“Setelah kita menikah, banyak yang masih belum boleh melupakan semua hal yang baharu sahaja diberitahukan kepada kita: tentang memprioritaskan cinta sejati di atas segalanya.
“Dan di saat hari pernikahan, mereka masih teguh percaya bahawa cinta sejatiitu hadir bak suratan takdir yang seakan-akan tanpa perlu diusahakan dalam prosesnya dengan, salah satunya, melampirkan perasaan itu pada pasangan kita.” (hal.63).
Seringkali orang bercakap mengenai cinta sejati. Apakah cinta sejati itu benar-benar ada atau wujud?
Tulis @silebahjingga: Cinta sejati mungkin ada dan juga mungkin tidak ada. Hingga kini masih belum ada kesepakatan dalam memaknakan cinta sejati.
Yang jelasnya, “cinta sejati itu bukan perasaan, ia adalah perilaku. Juga, cinta sejati itu mungkin adalah ‘kombinasi dari kesetiaan, pengorbanan diri, kesabaran, dan tindakan kepedulian”. (hal.64-65).
Jika kita menemui ‘cinta sejati’, kita mungkin sangat jauh untuk membubarkan perkahwinan kecuali dipisahkan dengan rencam adat, budaya dan juga kematian salah seorang daripada psangan kita.
Apa yang menarik dalam kes-kes berlakunya penceraian, @silebahjingga merumuskan 60 peratus daripadanya melibatkan anak, namun, “pasangan dengan lebih dari satu jarang bercerai dibandingkan pasangan tanpa anak”. (hal.74).
BANGKITKAN MOTIVASI
Ini bermakna kehadiran anak cukup menarik menjadi faktor pengikat dan juga pertimbangan sebelum sesuatu perkahwinan itu dibubarkan.
Itu tepat dengan apa yang kita percaya, yakin dan bertekad, anak adalah pengikat atau kualiti sesebuah perkahwinan boleh dipengaruhi oleh keputusan untuk memiliki anak.
Namun, ia mungkin berbeza dengan pendirian Haruki Murakami, seorang penulis novel terkemuka Jepun. Murakami, sejak berkahwin dengan Yoko Takahashi (1971) mereka memegang pada janji, tidak memerlukan kehadiran anak walaupun seorang.
Walaupun tidak mempunyai anak, Yoko dan Murakami tetap bahagia hingga sekarang. Murakami kini berusia 74 tahun (lahir 12 Januari 1949).
Kesedihan, seringkali merupakan hujung daripada kegagalan atau kekecewaan. Tetapi, kesedihan itu membangkitkan motivasi yang cukup tinggi untuk mendapatkan kebahagiaan yang dicari.
Sekiranya seseorang itu cukup merasainya dan berusaha untuk mengatasinya, mencari kelemahan diri agar kelemahan itu menjadi pedoman dan langkah pembetulan seterusnya. Itulah makna bahawa ‘bercerai itu adalah jalan mencari kebahagiaan’.
Jangan biarkan kesedihan itu meresap masuk menjadi :
‘sakit hati, kemarahan, pengkhianatan, dan penolakan untuk menghancurkan ….bagaimana kamu boleh mengubah dirimu menjadi, atau kembali menjadi seseorang yang dicintai…atau mengubah situasi. Berhentilah nebcemaskan apa yang salah denganmu.,,,,
“Kamu harus memutuskan bahawa kamu akan kembali ke fikiranmu sendiri. Menjadi egois dengan cara yang baik…
“..Satu-satunya hal yang penting adalah apa yang kamu lakukan sekarang dan di situlah fokusmu perlu untuk dicurahkan,” saran @silebahjingga. (hal.99-104).
“Melihat ke hadapan dengan kepala yang tegak”, sambung @silebahjinga, “Ketika kita dengan sedar penuh meluangkan waktu untuk mengingat momen spesial yang kita bagi dengan pasangan, kita boleh menyembuhkan hati kita dengan cara yang paling efektif.
“Dan, pada akhirnya, kita boleh mengingatkan cinta dan tidak merasakan sakitnya semata. Jika kita mengingatkan akan adanya cinta, maka sebahagian besar hati kita akan tetap tertutup selama sisa hidup kita.” (hal. 113-115).
Maknanya, hidup ini memang ada jalan bahagia, tetapi bagaimana kita berusaha mendapatkannya.
Bahagia itu cukup dekat, bagi seseorang yang ingin memahami bahawa bahagia itu adalah proses alami yang perlu dilalui oleh sesiapa pun, dengan syarat, tidak dipandu oleh ego, ia perlu dibaluti dengan iman, rasa bersyukur, usaha dan doa yang berterusan.
Jatuh sekali bukan bererti jatuh selama-lamanya. Kata Buya Hamka:
“Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.”
Kerana (gagal atau kecewa) ia adalah bahagian terbaik:
“…daripada hal yang terburuk di dunia yang benar-benar terjadi adalah hal itu mampu membebaskanmu untuk menata ulang dirimu sendiri…menciptakan kembali hidupmu dengan cara yang sesuai dengan keinginan, nilai-nilai dan minat autentik yang lebih tinggi dari sebelumnya.
“Meningkatkan hidupmu secara signifikasn dengan mengasilimasi semua yang telah kamu peroleh dan pelajari dalam hubunganmu sebelumnya di saat kamu berusaha keras untuk menemukan masa depan yang layak untuk semua yang telah kamu alami selama ini”. (hal.118).
Cukup menarik, walaupun kadangkala berfalsafah, ada benarnya bahawa ‘seperti menikah, bercerai adalah cara manusia untuk bahagia” setelah pernikahan itu menjadi masalah, penuh muslihat dan menyiksakan.
VAKSIN HATI
Itulah ‘jalan keluar’ atau penyelesaian, tetapi, bukan bermakna bercerai itu satu bentuk kebebasan dan kaedah untuk lari daripada kutukan sosial atas stigma, mereka yang tidak pernah berkahwin sebagai ‘tidak laku’ dan ‘bermasalah’.
Cerai mahupun bernikah, bukan boleh difahami sebagai ‘sejenis permainan’. Sebaliknya harus kita fahami ia sebagai satu proses alami, sifat dan fitrah yang hadir dalam setiap diri manusia yang rasional, emosional dan sempurna.
Ingatlah, hati juga memerlukan vaksin.
Vaksin untuk hati ialah: (1) berdamai dengan takdir Allah SWT;
- ubah pemikiran (mindset) atau cara kita memberikan pandangan, membentuk pendirian, sikap dan amal budaya;
- perbaiki perhubungan (komunikasi dan jalinan) dengan Allah SWT (habluminallah) dan juga dengan manusia (hablumminnas); dan,
- berdoa, berdoa dan berdoalah seperti diteladani oleh Rasulullah SAW:
“Ya Allah! Kurniakanlah ketakwaan kepada jiwaku. Sucikanlah ia, sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya. Engkaulah yang menjaga serta melindunginya. Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk dan doa yang tidak dikabulkan.” (hadis riwayat Imam Muslim, dalam Shahih Muslim, hadis 2722, hadis sahih)
MAHANOR SALEHA
Recent Comments