Pesan @silebahjingga:
“Bahagian terbaik dari hal yang terburuk di dunia benar-benar terjadi adalah hal itu mampu membebaskanmu untuk menata ulang dirimu sendiri.
“Meskipun kamu mungkin telah berjuang untuk melawan momen ini dengan sekuat tenaga, kamu dapat menemukan bahawa menyerah diri pada kehampaan itu menawarkan kelegaan yang mendamaikan.
Siapa kamu, apa yang kamu sukai dan bagaimana kamu menghabiskan waktu akan siap untuk diciptakan kembali.
“Kamu bahkan mungkin akan terbangun dengan cara yang sesuai dengan keinginan, nilai- nilai dan minat autentik yang lebih tinggi dari sebelumnya. (hal.117)
Saya kutip pesanan Voltaire, yang @silebahjingga gunakan di permulaan bab 7, sebagai penutup kepada rencana ketiga ini:
“Suatu hari nanti semuanya akan baik-baik saja, itulah harapan kita. Sementara semuanya yang berakhir hari ini, itulah ilusi kita.” (hal.109).
SEDERET KELUHAN
Saya simpulkan bahawa, jika kemelut yang melanda diri, kita perlu memikirkan semula apakah kemelut itu boleh menyebabkan kepada kemurungan, stress yang berpanjangan atau hanya sebagai sederet keluhan yang dianggap ‘asam garam rumah tangga’.
Seperti P Ramlee dan biduanita Saloma pernah berduet:
Sedangkan lidah lagi tergigit
Apa pula suami isteri
Buang yang keruh
Ambil yang jernih baru teguh peribadi
Apa guna kita bertengkar
Suami isteri harus bersabar
Kasih sayang rukun dan damai
Hidup seperti dalam mahligai
Maaf hamba wahai dinda
Suami isteri mesti berpakat.
Rumah tangga mendapat berkat
Apa guna berselisih faham
Kalau ingin aman tenteran
Mohon ampun wahai kanda
Nasihat Ibnu Hzam al-Andalusi (994-1064):
“Hanya orang yang tidak berakal yakin bahawa dirinya aman dari celaan dan cercaan.
…Jika dia mendengar orang lain mencelanya dan celaan itu memang sepantasnya [selayaknya], tentu dia akan memperbaiki perilaku yang kerananya di dicela.
Celaan ini merupakan keberuntungan berharga yang hanya diabaikan oleh orang yang bodoh. Jika seseorang dicela (dikecam) tanpa alasan yang benar dan dia mengendalikan dirinya, nescaya dia akan mendapatkan keutamaan sifat tabah dan sabar.
“Di samping itu, semua amal saleh orang yang mencelanya akan dilimpahkan kepadanya, dan dia akan mendapat manfaatnya di hari kiamat ketika amal saleh itu akan pembelanya saat dia memerlukannya, meskipun bukan amal saleh yang dikerjakan sendiri. Inilah keberuntungan yang hanya akan diabaikan oleh orang gila.
“Jika dia tidak mendengarkan pujian orang lain, apa yang mereka katakan atau tidak mereka katakan, tidak aka nada bezanya baginya. Tetapi, hal itu berbeza dengan celaan mereka, sebab dia akan menang, apakah dia mendengarkan celaan mereka atau tidak?
“Sekiranya bukan kerana sabda Nabi SAW tentang ‘pujian yang baik’ yang ‘memberikan khabar gembira kepada orang yang beriman tentang kebahagiaan yang telah dijanjikan”, tentu merupakan petanda sifat bijaksana untuk memilih dicela meski secara sewenang- wenang daripada dipuji dengan alasan yang baik. Tetapi, kata-kata ini telah diucapkan.
“Kebahagiaan yang dijanjikan “selalu akan muncul dari kemuliaan, bukan kehinaan; ia hanya akan menghargai objek pujian, bukan hanya sekadar memuji.”
(Ibnu Hazm al-Andalusi, Psikologi Moral Untuk Hidup Bijak dan Bahagia, terjemahan dari Kitab al-Akhlaq wa al-Siyar fi Mudwat al-Nufus merujuk edisi terjemahan bahasa Inggeris oleh Dr Muhammad Abu Laylah, In The Pursuit of Virtue oleh Zaimul Am, Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, 2005, hal. 26-27).
JIWA KENTAL
Secara fiktifnya, saya memuji watak Jannah (Margin Wieheerm), meskipun dihina, dikecam, diherdik, dicerca sama oleh ‘ibunya sendiri’, Puan Fitri (Dewi Afandi). Jannah dibesarkan oleh ibu tiri Wina (Shinta Bachir),yang cukup materialistic.
Mawar (Firstriana Aldila) adik kepada Panji (Lian Firman) yang sangat tergila-gilakan Rehan, yakni tunangan yang terputus pada dua kali di hari perkahwinan setelah kehadiran Jannah. Jannah merupakan seorang wanita yang cukup kental menghadapi setiap dugaan dan percubaan yang melanda, termasuk ancaman daripada Mawar, Panji dan ibunya sendiri.
Ustaz Rehan (Ali Syakieb) sepatutnya berkahwin dengan Mawar, tetapi setelah kehadiran Jannah di hari pernikahan kali pertama, majlis tersebut tepaksa dibatalkan. Suasana menjadi kelam kabut dan seterusnya menjadi asas dendam serta titik pengkhianatan. Ia menjadi semakin marak setelah Rehan dan Jannah berkahwin.
Mawar menggunakan pelbagai muslihat untuk memusnahkan rumah tangga, kerana dirinya cukup tergila-gilakan Rehan. Tidak cukup dengan petualang yang dilakukan sendiri, Mawar menggunakan Puan Fitri yang bertegas bahawa punca kematian suami, Ustaz Akhbar disebabkan oleh tindakan Jannah. Jannah dilihat sebaga punca bala dan malapetaka dan kehidupan.
Usaha memisahkan keutuhan cinta dan kasih sayang Jannah dan Rehan semakin hebat setelah diketahui bahawa salah satu rahim Jannah terpaksa dibuang. Anggapan adalah Jannah tidak mampu menganugerahkan zuriat dan kemungkinannya adalah tipis, hanya memiliki satu rahim.
Puan Fitri menetapkan tarikh akhir, jika Jannah tidak menunjukkan tanda-tanda hamil, Rehan mesti berkahwin dengan Mawar. Hati Jannah sedikit hancur, tetapi demi sebuah hubungan kekeluargaan, sanggup berkorban kerana tidak mahu kehilangan seorang ibu.
Puan Fitri tidak pernah tahu bahawa Jannah adalah anak kandungnya sendiri, bayi yang ditukar oleh Bram ketika dilahirkan. Bram menukarkan bayi perempuan (Jannah) dengan seorang bayi lelaki, iaitu anaknya sendiri (Rehan).
Jannah tidak menunjukkan tanda-tanda hamil, lantas Mawar menjadi sangat teruja. Lalu, didesak agar perkahwinan mereka dipercepatkan.
Namun, perkahwinan kedua itu juga terbatal apabila Rehan tidak bersedia melafazkan ijab kabul, sebaliknya, bergegas mencari Jannah yang menghilangkan diri. Jannah kemudian diculik oleh Panji, abang Rehan yang juga terlalu obsess untuk berkahwin dengan Jannah.
Hebatnya sinetron itu, Ali Syakieb dan Margin Wieheerm adalah pasangan suami isteri, yang ketika sinetron itu selesai penggambaran, mereka sudah bergelar pengantin baru (6 Februari 2021). Sinetron itu mula disiarkan di Indosiar pada 12 April 2021.
Jadi, tidaklah kita penasaran untuk ‘menghukum’ kalaupun ada aksi bersentuhan dan berpelukan antara sepasang pengantin baharu (suami isteri) , kerana tayangannya untuk penonton di Malaysia disiarkan pada bulan bulan Ramadan 1444H. Ditayangkan menerusi saluran Astro Aura, waktu tengah hari, bermula jam 12 selama satu setengah jam (dengan iklan dan promosi siaran).
Sinetron Bismillah Cinta, diadaptasi daripada drama rantaian Malaysia yang cukup berjaya, Nur (slot Samarinda, TV3 dari 14 Mei hingga 14 Jun 2018, dua musim sepanjang 34 episod)), yang turut memperkenalkan Amyra Rosli, watak Nur yang sabar, istiqomah dan memendam rasa, tidak banyak bercakap walaupun dirinya dihina, dikecam dan diherdik, termasuk oleh iparnya sendiri (Norkhairah sebagai Aishah).
Suami Aishah, Ustaz Syed Hamidi (Azhan Rani) menjadi ‘pengacau utama’ dan juga seorang yang sentiasa berusaha mengkhianati (membunuh karakter) Nur, termasuk beberapa kali cuba menodainya.
Ustaz Syed Hamidi ada hati untuk melakukan hal-hal yang buruk, termasuk merobohkan kepercayaan Datuk Haji Mukhsin, menjejaskan reputasi sebuah institusi pendidikan Islam yang diusahakan itu.
Nur berkahwin dengan anak Datuk Haji Mukhsin (Jalaludin Hasan), Ustaz Adam (Syafiq Kyle). Nur adalah seorang wanita ‘jalanan’ yang lahir dalam keluarga yang kecamuk dan hilang arah, tetapi, Nur mempunyai keazaman yang kuat untuk keluar daripada persekitaran tersebut.
Akhirnya mereka bertemu, dan Ustaz Adam berdakwah ‘di jalanan’ bersedia berkahwin dengan Nur, walaupun ada sangsi dan kecurigaan ahli keluarganya. Tentunya, ada persepsi dan pelbagai bayangan mengenai masa lalu Nur, begitu juga masa lalu Jannah.
Masa lalu itu menjadi ‘bara’ dan juga ‘barah’ sehingga tidak ramai yang bersetuju bahawa masa lalu itu sudah berakhir, yang ada hanya masakini dan esok.
Gambaran masalalu sentiasa muncul, sama ada muncul sebagai memori dan juga kadangkala bersifat ‘ancaman’ oleh segelintir orang untuk ‘membunuh karakter’ atau menatijahkan konflik baharu, merombak kepercayaan baharu menggunakan rentetan kisah masa lalu.
Masa lalu bagi Nur atau Jannah sebenarnya sudah terputus, mereka tidak bersedia kembali ke persekitaran yang ditinggalkan itu.
Tetapi, masa lalu itulah yang cuba dibangkitkan, seperti masa lalu sebagai ‘wanita penggoda’, masa lalu sebagai ‘wanita tidak bermoral’ dan sebagainya.
Mereka yang menggunakan alasan masa lalu itu sebagai ancaman sebenarnya cukup licik dan tidak mudah memahami bahawa manusia sentiasa berubah, bukannya makhluk yang bersifat seperti batu.
Manusia boleh berubah daripada situasi buruk kepada situasi yang lebih baik. Manusia boleh menggerak dan menghidupan jiwa keinsafannya, menjadi seorang yang pendiam, penyabar dan beristiqomah dalam setiap sisi kehidupan yang dilaluinya, ia adalah perubahan dalaman yang kadangkala tidak difahami oleh orang lain.
Orang lain hanya gemar dan sangat tertakluk kepada kerangka pemikirannya sendiri, yang kadangkala kerangka itu hanya bersandarkan maklumat separuh benar atau sekilas pandang luaran.
Inilah yang telah membentuk persekitaran yang cukup menyedihkan ketika manusia sedang asyik dan larut dengan kecanggihan teknologi.
Fikiran mereka semakin terhakis daripada nilai dan jati diri yang digariskan oleh pertimbangan sosiobudaya, etika dan agama. Persekitaran ini dikenali sebagai era langkau kebenaran, atau post-truth .
(Julian Baggini, A Short History of Truth: Consoliditions for a Post-Truth World, London: Quercus Edition Ltd., 2017; dan Dato’ Dr Wan Salim Mohd Noor, Menongkah Arus Globalisasi, K.Lumpur: Alam Raya Enterprise, 2016)
Itulah juga yang menjadi antara tujuan buku Seperti Menikah, Bercerai Adalah Cara Manusia Untuk Bahagia ditulis oleh @silebahjingga, biarpun ada ketikanya ada unsur- unsur feminisme diselit secara tidak langsung.
Saya kira ia sesuatu yang menarik dan tidak keterlaluan, kerana kita sebenarnyalah yang menentukan apa dan bagaimana untuk memulakan perjalanan menuju ke ‘jalan kebahagiaan’.
MOTIVASI KEHIDUPAN
Dan, jika tersesat di pertengahan jalan, kita berpatah balik untuk memulakan sekali lagi, dengan berpandukan ‘sesat yang pertama’ dan seterusnya memperbaikinya sebagai satu kesilapan dan dijadikan sebagai ikhtibar (panduan, pedoman atau pengajaran).
Jika ‘sesat’ kali kedua, belajarlah dengan memperbaiki kesilapan sendiri, berdoalah agar Allah SWT tunjukkan jalannya.
Itulah aturan alam, bahkan kita pernah mendengar, ada orang beratus kali kecewa mengggapai impian, tetap bangkit untuk melakukannya dengan kaedah dan orientasi yang berbeza, walaupun hal yang hendak dilakukan itu tetap sama.
Tidak pernah merasa kecewa dengan kegagalan, dan kegagalan itulah dilihat sebagai motivasi kehidupan yang cukup berharga.
Kata mereka, orang berjaya ialah orang yang mampu mengatasi kegagalan.
Orang yang gagal adalah orang tidak pernah belajar untuk berjaya, tetapi hanya berimaginasi untuk berjaya. Seorang yang idealis, bukan seorang yang pragmatik.
Walaupun idealism itu penting, ia tidak memberikan apa-apa kesan tanpa praktik dan tindakan pragmatik.
Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni, seorang penulis prolifik dari Mesir yang terkenal dengan buku La Tahzan ( banyak versi terjemahan bahasa Melayu, termasuk bahasa Indonesia memakai judul Jangan Bersedih) menulis dalam bukunya yang lain mengenai makna sebuah penyesalan yang membawa kepada rasa insaf dan seterusnya berikrar untuk tidak mengulangi perbuatan buruk itu.
“Anda semua harus tahu bahawa suara yang paling merdu adalah suara orang yang kembali kepada Allah. Orang yang membebaskan diri dari penghambaan terhadap syaitan, serta mengarahkan semua anggota tubuhnya menuju kepada Allah semata-mata”, yakni bertaubat kepada Allah SWT dari segala dosa dan maksiat.”
(Dr Aidh Abdullah al-Qarni, Bertaubatlah, Agar Menang Dunia Akhirat, edisi terjemahan oleh Ali Nurdin dari lla Alaadzina Asrafu ‘ala Anfusihin, Jakarta: Maghfirah Pustaka, cetakan ketiga, 2006, hal.59).
Imam al-Ghazali ketika membicarakan mengenai taubat, salah satu bab dalam Ihya Ulumuddin (kitab al-Tawbah) bahawa:
“Kita bertaubat kepada Allah dengan taubatnya orang yang benar-benar meyakini, bahawa Dialah Maha Tuhan dari segala yang dikatakan tuhan, sebab musababnya Dialah yang mentakdirkan, dan kita mengharapkan kepada-Nya sebagai harapannya orang yang sudah mengetahui, bahawa Dia itulah Maharaja yang Maha Pengasih Maha Pengampun, Maha Pemberi taubat, dan kita mencampurkan takut dengan harapan sebagaimana dicampuri orang yang tiada meragui lagi, bahawa Dialah Tuhan Pengampun dosa, Penerima taubat, dan siksaan-Nya pun amat berat.
“…maka bertaubat daripada dosa itu ialah dengan kembali kepada Tuhan yang Maha Penutup aan segala yang aib, dan Maha Tahu akan segala yang ghaib, yang mana dia itu adalah langkah pertama bagi kaum salikin, dan modal utama bagi orang Mukminin, juga sebagai tempat penujuan kaum Muridin*.
“Dia merupakan kunci bagi orang-orang yang ingin mengelakkan diri dari jalan yang bengkok, dan tempat pergantungan bagi orang-orang yang suci, dan induk hinggapan bagi orang-orang yang mendekatkan diri, dan juga bagi bapa kita Adam AS dan bagi sekalian para Nabi seluruhnya, amiin!
“Sesungguhnya Adam telah mengetuk pintu penyesalan, dan telah menyesali dirinya terhadap apa yang sudah dilakukannya. Jadi, siapa yang menjadikannya sebagai tauladan dalam membuat dosa tanpa mahu bertaubat pula sesudahnya, maka nyatalah bahawa ia telah tergelincir kakinya.
“Tegasnya, bahawa orang yang menyisihkan dirinya untuk hanya berbuat kebaikan semata, maka itu adalah sifat malaikat yang hanya tahu untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Dan siapa menyisihkan diri untuk membuat kejahatan tanpa kembali kepada Tuhan, maka itu adalah sifat syaitan-syaitan, yang sifatnya hanya tahu membuat kejahatan semata-mata.
“Lantaran itu, maka kembali kepada kebaikan selepas jatuh ke dalam kejahatan itu adalah penting bagi anak-anak Adam. Jadi, orang yang menyisihkan diri untuk mengerjakan segala kebaikan itu umpama malaikat yang terdekat kepada Tuhan yang bersifat Maharaja dan Berkuasa.
“Dan, orang yang menyisihkan diri untuk mengerjakan segala kejahatan itu umpama syaitan. Dan, orang yang menceburi kejahatan, yang mahu kembali kepada kebaikan, pada hakikatnya dia adalah insan….
:…Maka, orang yang bertaubat itu sudah pun menunjukkan alasannya yang penisbahannya sah kepada Adam dengan menetapkan dirinya pada batasan manusia. Dan, orang yang berkekalan terus atas kejahatan, maka dia telah mendaftarkan dirinya dengan penisbahan kepada syaitan. ”
(Imam al-Ghazali, Taubat dan Liku-Likunya, terjemahan Syed Ahmad Semait, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd., 2013, hal.4-6).
[*Kaum Muridin, merupakan kelompok kedua daripada tiga tingkat manusia menurut pengertian pengamal tasawuf, iaitu:
- tingkatan al-‘Ibaat (mereka yang mengerjakan sholat, puasa dan ibadah yang diperintahkan oleh ajaran agama);
- al-Muridin (orang-orang yang taat beribadah hanya untuk mendekatkan (dan sampai) diri kepada Allah SWT, agar terbuka sesuatu yang menutupi pintu hati dan dilimpahkan dengan rahsia halus dan yang baik-baik oleh Allah SWT;
- al-‘Aarifin (orang yang sentiasa beribadat sepanjang masa tetapi tidak dapat melihat pengerjaan ibadat itu selain daripada tenggelam dalam lautan ridha qadar Illahi dan bergantung pada tali qadha’ yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Tingkatan ketiga adalah tingkatan tertinggi dan apabila berada pada tahap ini, kita akan tenggelam dalam qadha’ dan qadhar Allah SWT, dan satu-satunya kaedah untuk mencapai tahap ketiga ialah dengan bermujahadah, memerangi hawa nafsu dengan menyucikan jiwa (daripada sifat-sifat tercela, mazmumah), dan banyak berzikir.] .
MAKNA KEBAHAGIAAN
Saya akan cuba memberikan ruang untuk pembaca merenung, dan melihat bagaimana makna kebahagiaan itu ditafsirkan, kerana setiap orang mempunyai definisi dan keperluan yang berbeza.
Tetapi, makna kebahagiaan itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang kekal selama-lamanya, ia bergantung apa yang hendak dicari dan didefinisikan, kerana kebahagiaan itu sangat pelbagai dan subjektif.
Menurut Kamus Dewan, (edisi keempat, 2007), bahagia:
(1) suasana senang dan aman, aman damai serta gembira; dan,
(2) = berbahagia: beruntung. Membahagiakan: membuat bahagia, mendatangkan bahagia.
Kebahagiaan: perasaan bahagia, kesenangan hidup, kemujuran, keberuntungan. (hal.104).
Dalam bahasa Inggeris, istilah bahagia ialah happy. Oxford Compact Advanced Learner’s English Malay Dictionary (2007) medefinisikan happy:
- merasakan atau menyatakan kegembiraan, senang hati, puas hati;
- (dalam sapaan), penuh keriangan;
- gembira membuat sesuatu;
- beruntung, bernasib baik,
- digunakan sebagai ucapan kepada seseorang pada hari jadinya; selamat hari jadi. (hal. 653)
(BERSAMBUNG)
MAHANOR SALEHA
Recent Comments