Fasa bulan madu itu banyak menduga mereka makna kasih sayang dan perhatian, belas kasihan (compassionate) kerana sudah semakin besar komitmen, dengan hadirnya seorang anak. Ia turut menguji sejauh amanakah pasangan terbabit sedia berkompromi, bertoleransi  dan saling memahami, saling mengisi kekurangan dan berkongsi kelebihan.

Menurut Dr Susan M Campbell, seorang kaunselor perkahwinan yang berpengalaman luas mengendalikan konflik rumah tangga, terdapat lima fasa dalam perkahwinan yang berubah dari masa ke semasa, iaitu: fasa romantik (romantic stage), fasa perebutan kuasa (power struggle stage), fasa stabil (stability stage), fasa komitmen (commitment stage) dan fasa sakinah (co-creation or bliss stage).

(Susan Campbell, The Couple’s Journey: Intimacy as a Path to Wholeness, California, USA: Impact Publishing, 1980, revised 2015.)

Fasa romantik ini saya namakan fasa bulan madu manakala fasa perebutan kuasa sebagai fasa konflik atau fasa krisis.

Krisis tidak bermakna tidak berlaku pada fasa-fasa yang lain. Krisis boleh berlaku pada bila- bila masa, dan yang lebih mendukacitakan ia berlaku pada fasa yang dipanggil sakinah (co- creation or bliss stage).

Perkembangan mutakhir, kes penceraian di Malaysia turut menunjukkan peningkatan kadar penceraian dalam kalangan pasangan yang berusia.

Setiap pasangan seharusnya meningkatkan kedudukan mereka menurut pandangan agama, lebih kepada amal ibadat setelah lain-lain komitmen sudah pun hampir tiada, terutama komitmen membesarkan anak-anak dan mencari nafkah.

Fasa ini membabitkan pasangan usia emas, atau yang sudah pun bersara. Mereka mempunyai lebih banyak masa untuk memperbanyakkan amalan dan ritual agama.

Fasa krisis umumnya bermula selepas masing-masing merasakan tanggungjawab dan komitmen semakin banyak manakala mengejar kerjaya juga semakin mencabar.

Apatah lagi jika permulaan fasa ini berlaku masalah dibuang kerja mahupun kemelesetan ekonomi seperti yang berlaku pada musim pandemik COVID-19 yang menyebabkan tiada pendapatan dan kesukaran bergerak (PKP).

FASA PEREBUTAN KUASA

Fasa perebutan kuasa terjadi bila berlakunya pertembungan yang membabitkan perbezaan- perbedaan yang ada, termasuk subbudaya dan peranan dalam rumah tangga, termasuk perebutan dalam menentukan siapakah yang membuat keputusan tentang sesuatu perkara atau persoalan.

Di sinilah munculnya apa yang dinamakan sebagai ‘pemaksaan’ untuk mengikuti kehendak dan kecenderungan antara pasangan. Ruang permulaan dominasi.

Fasa ini muncul apabila pasangan sudah merasa selesa dan lebih terbuka untuk berkongsi sisi buruk masing-masing, yang sebelumnya cuba (dan dapat) disembunyikan.

Masing-masing mahu menang:

“…masing-masing hanya berfikir tentang kepentingan diri sendiri aku “ dan “tidak lagi penting apa yang kamu rasa atau fikir. Suami merasakan haknya tidak dipenuhi isteri, begitu juga isteri merasakan haknya tidak dipenuhi suami.”

(Aiman Azlan dan Dr Harlina Halizah Siraj, Sekufu: Bina Keserasian dan Bentuk Persefahaman Dalam Rumah Tangga, Kajang: Imam Publication, 2022, cetakan ketiga, hal.14-16)

Dalam hal ini saya teringat beberapa tips mengekalkan kebahagiaan rumah tangga (pasangan) menurut perspektif Islam sebagaimana dilontarkan oleh seorang pendakwah bebas, iaitu Ustazah Asni Mansor. Isteri menuntut hak daripada suami, tetapi isteri lupa hak yang sepatutnya diberikan kepada suami.

Akibatnya berlakulah ‘rasa kecewa’ atau tidak puas hati. Semakin lama semakin banyak terkumpul, lama-lama mungkin jadi bukit.

Pada awalnya situasi itu dapat dipendam, atau suami mengambil pendekatan membungkam. Lama kelamaan, disebabkan sifat perempuan (psikologi) boleh mengingati lebih lama, ia akan menjadi sesuatu yang boleh melarat dan membuak-buak bila berlaku konflik selanjutnya.

Dalam videonya yang lain, Ustazah Asni memberikan contoh bagaimana sikap seorang isteri apabila suaminya meminta untuk disediakan secawan kopi.

Apabila si suami memintanya, si isteri memberikan ‘arahan’ agar dibancuh sendiri, dengan menggunakan alasan bahawa Rasulullah SAW ‘menjahit (menampal) sendiri pakaian’ dan bahan-bahan untuk membancuh kopi sudah tersedia (air menggunakan mesin coway).

Mahu tidak mahu, si suami terpaksa membancuhnya sendiri, mengharapkan isteri membancuh, banyak pula alasan dan omelan yang disyarahkan.

Kalau menurut Ustaz Azhar Idrus, adalah menjadi tanggungjawab isteri apabila suami mengarahkan (menyuruh), termasuk membancuh kopi.

Maknanya, walau apa pun keadaannya, isteri wajar menghormati dan memenuhi layanan ke atas suami kecuali dalam keadaan yang tidak mengizinkan seperti uzur dan sebagainya.

Tetapi, isteri tidak boleh mengomel, perlu memberikan ucapan yang tidak menampakkan ‘suara tinggi’, ucapan yang mesra dan lemah lembut.

Saya juga teringat dengan gurauan seorang ustaz, kalau nak tahu seseorang perempuan itu ‘lemah lembut’, jangan dilihat pada luarannya terutama ketika berada di hadapan khalayak (orang ramai atau kawan-kawan).

Lihat dan rasailah sendiri apabila anda berkahwin dengan perempuan yang anda lihat sopan dan lemah lembut itu. Sebab itulah ada yang beranggapan dalam diri setiap perempuan ada serigala betina.

(Ester Lianawati, Ada Serigala Betina Dalam Diri Setiap Perempuan: Psikologi Feminis Untuk Meretas Patriarki, Sleman, Yogyakarta: Buku Mojok Group, cetakan kesebelas, 2022).

Selain setia, serigala betina juga cukup kuat mengaum apabila ‘kecenderungan atau kehendaknya’ tidak dipenuhi atau tersekat dan terhalang, membuak-buak emosi marah.

Itulah yang dapat saya fahami mengapa terjadinya syiqaq atau perbalahan yang berpanjangan dalam rumah tangga.

REDHA

Bagi saya, suri teladan terbaik yang wajib dijadikan ikutan ialah suasana rumah tangga Rasulullah SAW, kerana di dalamnya mengandungi sikap dan peribadi yang terbaik. Sama ada dari Rasulullah SAW sendiri dan sikap saling bermaafan antara isteri-isteri baginda, kesemuanya reda dan menghormati setiap keputusan yang dibuat.

Sikap dan amalan kerjasama, toleransi dan kompromi yang cukup tinggi. Rasulullah SAW sentiasa melayan isteri-isterinya dengan baik dan mesra.

(Muhammad Luqman Makhtar, Asam Garam Rumah Tangga Muhammad, Jilid 1-3, Kajang: Lidi Media, 2019; dan Dr Nizar Abazhan, Bilik-Bilik Cinta Muhammad SAW, Johor Bahru: Pustaka Azhar, 2009)

Achmad Chodjim, seorang penulis dan pendakwah terkenal Indonesia memberikan suatu imbasan yang cukup menarik mengenai sifat dan keperibadian manusia dalam dua buah bukunya, yakni berdasarkan makna dua surah yang memerihalkan mengenai manusia, iaitu An-Nas dan al-Falak.

Dalam al-Falaq: Sembuh dari Penyakit Batin Dengan Surah Subuh (2004), dijelaskan bahawa kita wajib mengetepikan dengki dan kedengkian, dan juga menghapuskan perasaan dengki dalam diri sendiri.

VIRUS DENGKI

Sentiasalah memohon perlindungan (berdoa) daripada Allah SWT, agar virus dengki itu tidak selamanya bersarang di dalam hati. Jelas Achmad Chodjim:

Kalau hanya dengki, dan tidak dilempiaskan kedengkiannya kepada orang lain, ya tidak berbahaya. Dengki sendiri itu bukan kejahatan. Bukan criminal (jenayah). Dengki tidak akan menjadi kejahatan bila orang yang dengki itu tidak menunjukkan kedengkiannya.

“Watak dengki jika dipelihara, paling-paling akan merugikan seorang dengki itu sendiri. Orang yang memelihara kedengkian, sama dengan memelihara monster.

“Seandainya monster itu tak pernah keluar, maka memeliharanya terus- menerus dibebani kesulitan. Dalam bahasa konkretnya, orang yang memelihara kedengkian kan terus-menerus meredam dan menahan kedengkian itu.

“Dan, itu tidak sehat!. Maka, kedengkian harus dihilangkan. Tidak perlu diredam! Kalau hanya diredamm suatu saat kedengkian itu boleh meledak. Sifat dengki harus dikendalikan. Dan, selanjutnya dihapus dari dalam hati.

“Orang yang dengki dan mendengki berbahaya bagi kehidupan orang lain. Kerana, orang demikian akan berusaha mencelakakan orang yang didengkinya. Mungkin dengan cara memfitnah, Atau, bahkan membunuhnya”. (hal. 134-135).

Nah! Dengki, kalau dalam rumah tangga boleh disamakan dengan cemburu. Cemburu, banyak kita mendapat gambaran, bukan sahaja rumah tangga menjadi galau, kucar-kacir, tiada persefahaman bahkan boleh mengakibatkan salah seorang menjadi mangsa yang tragis.

Apakah pembunuhan seorang isteri yang berlaku di Dungun, Terengganu beberapa hari lalu ada kaitannya dengan cemburu atau dengki? Suami sanggup menukulkan isteri sendiri sehingga mati. (Buletin Utama, 5 April 2023).

Apa yang pasti ialah si suami yang merupakan seorang buruh binaan telah ditahan reman, diberitahu pasangan tersebut berhadapan dengan tekanan kewangan.

Si suami berusia 32 tahun manakala si isteri 10 tahun lebih berusia. Sebelum mereka berkahwin sejak lebih setahun lalu, isterinya sudah memiliki enam orang anak hasil perkahwinan sebelumnya.

Dengan perkahwinan baharu, pasangan berkenaan mempunyai seorang anak kecil yang berusia enam bulan. Isteri yang mati ditukuli oleh suaminya sendiri adalah pengusaha kedai runcit. Kejadian itu berlaku di Kg Besol, Bukit Besi, Dungun, Terengganu pada 5 April 2023 (13 Ramadan 1444H).

*****

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

Translate »