Kita sebenarnya bukan mencari kesempurnaan, tetapi berusaha untuk menjadi sempurna.
Itulah perbezaan yang ketara antara ‘janji manis’, yang membingkaikan harapan dan realiti kehidupan, yang kita lalui pada setiap saat, hari, minggu bahkan bertahun-tahu lamanya, selagi kita hidup sebagai pasangan dalam sebuah pernikahan atas alasan apa pun: cinta, pilihan keluarga, kahwin terpaksa dan sebagainya.
Selagi kita hidup sebagai satu pasangan, kita ingin bangunkan sebuah ‘house’ dan di dalamnya adalah sebuah suasana kehidupan yang cukup berjiwa, iaitu ‘home’.
Dua keperluan yang bukan sahaja wajib diseimbangkan, juga perlu ada kaedah dan peraturannya, yakni peranan dan tanggungjawab, persefahaman dan saling melakukannya.
Ia perlu dibangunkan dengan rasa dan jiwa penuh kasih sayang, mesra dan lahir dalam lubuk hati yang terdalam, dibingkai oleh nilai-nilai diri dan keimanan.
(Novita Widyastuti, The Art of Being Mediocare: Menjadi Orang Biasa dan Tetap Bahagia, Yogyakarta: Penerbit Laksana, 2022; dan Ustazah Asma Harun, Ada Syurga di Rumahmu, Kota Damansara: Galeri Ilmu, 2022)
Kehidupan berkeluarga bukanlah sekadar percaya kepada ‘janji manis’, kata-kata indah semasa bercinta atau saat-saat yang cukup ‘mengkhayalkan’ itu.
Realitinya, kita akan hadapi selepas berkahwin [diijabkabulkan], yang menjadi titik mula perubahan dalam fasa kehidupan, berpisah antara dunia remaja kepada dunia kedewasaan.
Berpisah daripada dunia ‘bujang’ kepada dunia baharu yang membabitkan perkongsian sumber, perasaan dan kadangkala tanggapan.
Daripada dunia angan-angan kepada pemaknaan sebuah realiti.
MENUNAIKAN HARAPAN
Semasa remaja atau akhir remaja, seringkali kita membayangkan (mengkhayalkan atau berimajinasi) bahawa ‘alangkah indahnya hidup ini jika ditemukan dengan pasangan yang baik.’
Pasangan yang baik ialah pasangan yang dapat memenuhi dan mengisi kekosongan naluri’, pasangan yang saling memahami dan memenuhi fitrah kehidupan.’
Itulah juga doa daripada ibu bapa kita. Itulah juga harapan yang ada dalam diri kita sendiri, orang tua, ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan.
Ya! Sebagai makhluk sosial, kita selalu percaya bahawa hidup ini cukup indah bila setiap ketika yang kita lalui itu disirami dengan kasih sayang atau rasa cinta.
Kasih kepada seseorang secara perilaku yang diorientasikan dan sayang yang dimantapkan sebagai ‘tenaga yang kuat’ dari dalam lubuk hati.
Namun, cinta yang tertinggi ialah ‘Cinta kepada Allah’.
Jelas Imam al-Ghazali:
“Setelah maqam cinta, tidak ada lagi maqam lain yang dapat menandinginya. Kalaupun ada, maqam itu hanya menjadi salah satu buah cinta sahaja, seperti kerinduan (syawq), keintiman spiritual (uns), kerelaan (ridha’), dan maqam lain yang sejenis.
“Kalaupun ada, pasti akan menjadi salah satu pengantarnya sahaja, seperti taubat, sabar, zuhud, dan yang lain. Walaupun maqam-maqam itu jarang ditemukan, namun hati mesti percaya bahawa itu mungkin sahaja ada.
“Kerana mereka telah mengingkari konsep cinta, automatiknya mereka tidak percaya terhadap konsep keintiman spiritual, kerinduan, dan kenikmatan bermunajat kepada Allah, serta konsep lainnya ihwal cinta.
“Persoalan ini tidak wajar dibiarkan terus berlarutan. “
(Imam al-Ghazali, Rindu Tanpa Akhir: Metod Mendidik Jiwa Agar Cinta, Ridha dan Damai Bersama Allah, terjemahan dari kitab al-Mahabah wa al-Syawq al-Uns wa al-Ridha, bab 17 dari rubu’ al-Muhlikat dalam Ihya Ulumuddin, Jilid ke-IV oleh Asy’ari Khatib, Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, cetakan III, 2007. hal. 6 -7).
Sebab itulah, setiap kebahagiaan itu diukur pada tahap rasa senang dan rasa senang itu adalah apa yang dialami oleh seseorang. Ia merupakan reaksi dari sanubari atau dari dalam hati.
Rasa kebahagiaan atau pola bahagia adalah berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain, walaupun kadangkala secara fizikalnya penuh kekurangan. Menariknya, apabila kita membaca indeks negara paling bahagia di dunia, ia ditemui di Finland, sebuah negara kecil di Skandinavia.
Findland bukan sebuah negara kaya. Dengan penduduk seramai 5.54 juta orang (2021). Enam tahun berturut-turut Finland dinobatkan sebagai ‘negara paling bahagia di dunia’ oleh World Happiness Index yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Sebabnya, rakyat Finland tidak mahu membandingkan apa yang ada pada dirinya dengan apa yang ada pada diri orang lain.
Rakyat Finland realistik, melakukan apa yang difikirkan terbaik untuk diri sendiri secara beretika, tidak mengkhianati nilai-nilai budaya dan norma masyarakat. Ertinya, dalam diri mereka tidak ada rasa curiga, dengki dan cemburu terhadap orang lain. Jadi yang terbaik dalam diri dan jiwa sendiri. Inilah juga kekuatan yang sangat dianjurkan oleh Islam apabila kita memahami makna ibadah dalam konteks yang luas dan menepati syariah.
Itu sangat menarik, kerana hal yang sama juga digalakkan oleh Islam bagi membangun individu, keluarga dan masyarakat. Membangun berdasarkan kapasiti dan potensi diri, bukan merosakkan atau mengambil hak atau kesempatan di atas kelemahan orang lain.
Kita boleh meniru, tetapi yang hendak kita tirukan itu adalah sesuatu perilaku yang tidak bertentangan dengan fitrah dan juga peraturan agama.
Sebab itu, kita diwajibkan membaca riwayat agung Nabi Muhammad SAW, kerana di dalamnya banyak teladan dan panduan yang boleh kita gunakan, bukan mengeksploitasi perkara-perkara yang dikategorikan sebagai ‘menangguk di air keruh’.
Misalnya, hanya tertarik dengan kisah poligami, walhal syarat yang wajib dipatuhi dan difahami, dipraktik dan dibudayakan adalah adil. Jika enggan berlaku adil, usah kahwin lebih dari seorang.
Boleh jadi bingung, dan juga perang saudara. Macam yang berlaku di sebuah restoran baru- baru ini (Januari 2023) di Shah Alam. Bergaduh kerana tidak puas hati disindir. (Malaysia Gazette, 23 Januari 2023).
Ia tidak bermakna orang yang mempunyai ‘house’ yang besar (umpama villa, banglo, kondominium ataupun pangsapuri mewah) itu benar-benar mampu mencapai kebahagiaan sebagaimana yang kita maksudkan sebagai ‘home’.
Bahkan, kebanyakan yang kita temui, mereka yang hidup cukup sederhana, walaupun penuh kekurangan material, mereka bahagia biarpun hanya tinggal di sebuah pondok kecil di pinggir sawah, dan jauh daripada hiruk-pikuk kesesakan lalu-lintas.
Jiwa mereka cukup tenang. Hati mereka tetap yakin dan percaya, kebahagiaan itu adalah milik mereka, dan mereka berhak mendapatkannya, bukan dengan cara membanding- bandingkannya dengan orang lain.
Mereka hidup bertemankan kekayaan flora dan fauna, mampu menghirup udara bersih setiap masa dan sentiasa mengingati ‘kecintaan kepada Alllah SWT’, bermunajat dan beritiqomah agar apa yang dilaluinya dilimpahi kerberkatan.
Ada orang melihat kebahagiaan itu mempunyai banyak elemen fizikal atau barang-barang yang dapat dilihat dengan nyata, seperti wang ringgit, rumah yang indah, kereta yang mahal dan cantik. Setiap apa yang diinginkan mampu diperoleh dengan mudah.
Namun, realitinya, kebahagiaan sedemikian (fizikal atau material) dilihat sebagai sebuah kebahagiaan yang semu, cukup sementara dan tidak kekal.
FITRAH KEHIDUPAN
Manusia tidak pernah merasa puas dengan apa yang dimilikinya, akan sentiasa ada keinginan untuk mencari benda-benda yang lain, benda yang tidak dimiliki sebelumnya.
Hanya mereka yang bersyukur sahaja yang mampu hidup bahagia dalam pengertian yang sebenar, dan dengan kesyukuran itu hatinya sentiasa tenang, satu elemen psikologi yang menambatkan ‘rasa bahagia’.
“Dalam harmoni hidup, terkadang apa yang kita lihat tidak sesuai dengan apa yang sebenarnya, Kerana dunia ini hanyalah panggung sandiwara.
“Boleh jadi di balik keindahan, kemegahan perkakas yang membalut tubuh, di balik senyuman, dan tawa ada beberapa kepahitan hati yang disembunyikan.
“Banyak orang tertawa, sedangkan hati luka parah. Ada orang terlihat hina, kumal tetapi dalam hatinya terdapat kebahagiaan.”
(Sain Aqj, “Buya Hamka, Bahagia Itu Terlalu Dekat’, dalam https://www.qureta.com/post/buya-hamka-bahagia-itu-terlalu-dekat#, 7 Januari 2022).
Rasa ‘kebahagiaan’ hanya muncul ketika kita berjaya memperoleh apa yang kita inginkan.
Tetapi, rasa bahagia itu akan kembali pudar bila ada tandingannya, atau timbul keinginan yang baharu, setelah ‘rasa puas’ beberapa ketika mula pudar kalau pun tidak hilang sepenuhnya.
Sebab itulah ada yang melihat kebahagiaan seperti itu seumpama ‘menukar baju’; baju yang dianggap cantik dan menarik itu tidak lagi menawan dan dianggap cantik setelah beberapa kali dipakai.
Lebih dahsyat lagi, jika hanya rasa bahagia memakainya pudar untuk dipakai bagi kali kedua. Apakah anda pernah merasai situasi begitu?
Apa itu fitrah kehidupan?
Manusia diciptakan menerusi proses yang sama, kecuali tiga orang yang kita ketahui alami perbezaan dari segi penciptaan-Nya.
Pertama ialah Nabi Adam AS, yang diciptakan daripada tanah liat.
Kedua, pasangannya, Hawa, yang diciptakan daripada tulang rusuk yang paling bengkuk Nabi Adam AS.
Ketiga, Nabi Isa AS, yang dilahirkan oleh Maryam tanpa ada persenyawaan zuriat lelaki dan perempuan di dalam rahim seorang ibu.
Tetapi, apa yang kita ketahui sebagai keperluan dan mesti berlaku dalam sesuatu proses reproduksi, manusia dan juga haiwan itu tidak dapat hadir dalam proses yang sama dengan penciptaan Nabi Isa AS.
Manusia-manusia lain, termasuk Nabi Muhammad SAW dilahirkan menerusi persenyawaan sperma lelaki dan perempuan hasil perkahwinan Abdullah dan Aminah.
Begitu juga kita, dan orang lain. Tanpa adanya atau berlaku persenyawaan antara kedua sperma itu, tidak akan lahir zuriat atau generasi berikutnya.
Itulah sebabnya, Allah SWT menghadirkan manusia dalam dua sisi, dua bentuk (kelainan jantina) dan biologi yang berbeza, lelaki dan perempuan sebagaimana ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan Allah menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada (setitis) air benih, kemudian ia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan)” (surah Fatir, ayat ke- 11).
“Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakan-Nya kejadian manusia berasal daripada tanah” (surah Mukminun, ayat ke-12).
“(Setelah nyata kekuasaan Kami) maka bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada mereka (yang ingkar hidupnya semula orang-orang mati): Adakah diri mereka lebih sukar hendak diciptakan, atau makhluk-makhluk lain yang Kami telah ciptakan?. Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka daripada tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula)” (surah as-Saaffat, ayat ke-11).
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya.” (surah al-Hijr, ayat ke-26)
“Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) daripada tanah liat kering seperti tembikar” (surah al-Rahman, ayat ke-14)
“Sesungguhnya perbandingan kejadian Isa di sisi Allah adalah sama seperti kejadian Nabi Adam tanpa ayah dan ibu. Allah telah menciptakan Adam tanpa ayah dan ibu. Allah telah menciptakan Adam daripada tanah liat lalu berfirman kepadanya: “jadilah engkau maka menjadilah dia.” (surah Ali-‘Imran, ayat ke-59).
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat” (surah al-Insan, ayat ke-2)
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan ‘parti’ itu (setitis) air benih pada tempat penempatan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balutkan tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati. Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat. Dan, demi sesungguhnya, Kami menciptakan tujuh jalan di atas kamu, dan Kami pula tidak lalai daripada (menyediakan keperluan) makhluk-makhluk Kami. “ (surah al-Mukminun, ayat ke-12-17).
SEBUAH KEBENARAN
Keseluruhan ayat-ayat yang dipetik itu membuktikan bahawa manusia dicipta, dan bukannya hadir secara semulajadi (natural) sebagaimana difahami oleh sesetengah orang, yang menganggap setiap kehidupan itu akan tumbuh dengan sendiri sebagai proses penggantian alam, seumpama ‘patah tumbuh hilang berganti’.
Itu hanya satu pendapat bukannya satu hakikat bagi sebuah kebenaran. Apa yang kita ketahui, walaupun manusia mempunyai alat reproduksinya, tanpa izin Allah SWT, ia tidak akan menghasilkan sebarang ‘percambahan zuriat’, biarpun antara lelaki dan perempuan melakukan hubungan intim ratusan atau ribuan kali sepanjang masa mereka hidup bersama sebagai pasangan.
(BERSAMBUNG)
MAHANOR SALEHA
Recent Comments