Menurut Banci Penduduk dan Perumahan 2010, di Malaysia seramai 5.56 juta lelaki dan wanita berusia 30 tahun ke atas belum berkahwin: 4.8 juta perempuan dan 739,000 lelaki. Menurut Prof Datuk Dr Mohamad Shatar Sabran, pakar sosiologi dan juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris. (Sinar Harian, 1 Mac 2020), fenomena sedemikian merupakan fenomena global, bukan hanya berlaku di Malaysia.
Di Korea Selatan, dianggarkan sekitar 42 peratus penduduk berusia 30 tahun ke atas masih bujang (2020). Daripada 13.7 juta individu bujang, berusia 15 tahun ke atas, 2.82 juta adalah mereka yang berusia 30 tahun ke atas, meningkat daripada 2.68 juta orang lima tahun sebelumnya. (Astro Awani, 27 September 2021).
Banci Penduduk dan Perumahan 2020 turut menggambarkan bahawa penurunan kadar perkahwinan yang berlaku dalam kalangan masyarakat berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait. Misalnya, kesan pandemik COVID-19, pasangan terpaksa menangguhkan perkahwinan, selain merasakan tempoh yang dialami itu (PKP) cukup sukar mendapat semula peluang pekerjaan yang terhad (atau hilang), kenaikan kos sara hidup, dan pergelutan memulihkan persekitaran psikologi, sosial dan ekonomi selepas sekian lama terkurung atau terpenjara dengan emosi terkepong (PKP).
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Sri Dr Uzir Mohd Mahidin, dalam tempoh PKP juga turut menunjukkan penurunan kadar perkahwinan dan penceraian selain trend peningkatan umur berkahwin dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Peningkatan umur berkahwin, atau penangguhan perkahwinan (lewat berkahwin) disebabkan pelbagai faktor termasuk mengukuhkan kedudukan ekonomi sebelum memutuskan untuk berkahwin dan tuntutan kerjaya serta proses urbanisasi.
Jelas Dr Uzir: Penduduk kini mula berkahwin pada umur lewat 20-an berbanding pada umur awal 20-an pada tahun 1980-an. Berdasarkan penemuan Banci Penduduk pada tahun 1980, 2000 dan 2010, umur purata perkahwinan perempuan meningkat daripada 19.4 kepada 25.1 tahun dan kemudian meningkat kepada 25.8 tahun pada 2010.
Umur purata perkahwinan perempuan menunjukkan peningkatan daripada 27.5 tahun (2016) kepada 28.1 pada 2020.
Senario semasa, menurut Ketua Pengarah Jabatan Statistik itu “menunjukkan bahawa kecenderungan perkahwinan lewat adalah di kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan penduduk yang bekerja.
Mereka berusaha mengukuhkan kedudukan kewangan, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar sebelum berkahwin. Ini sejajar dengan pertumbuhan kadar urbanisasi di Malaysia daripada 70.9 peratus (2010) kepada 76.2 (2019) dan penyertaan wanita dalam tenaga buruh.
Tentunya, dengan sebab-sebab tersebut ia akan membawa kepada kesan terhadap kadar kesuburan rakyat, menjadi lebih rendah dan tempoh reproduktif yang singkat. Trend ini berlaku di seluruh dunia, bahkan beberapa hari lalu kita mendapat gambaran India sudah mengatasi kedudukan China sebagai negara yang berpenduduk paling ramai di dunia.
Bulan April 2023, India dianggarkan mempunyai jumlah penduduk seramai 1.39 bilion manakala China dengan 1.41 bilion, dan akan sampai ke tahap 1.42 bilion menjelang April 2023, disebabkan oleh kadar kelahiran semulajadi di India adalah lebih tinggi berbanding dengan China.
Purata kadar kelahiran semulajadi dunia ialah 2.1 peratus, India mempunyai kadar kelahiran semulajadi 2.0 manakala China semakin menurun hingga ke paras 1.6 peratus setahun. Malaysia juga sedang alami penuruan kadar kesuburan.
Penduduk dunia berjumlah 8 bilion pada bulan November 2022, dan dijangka meningkat 8.5 bilion pada tahun 2030. Ia akan naik lagi kepada 9.7 bilion pada tahun 2050 dan menjelang pertengahan 2080-an, kepada 10.4 bilion orang sebelum mencapai tahap stabil pada tahun 2100.
Tahap stabil diukur berdasarkan jumlah kelahiran dan kematian seimbang, tetapi yang semakin menjadi kenyataan ialah mengenai tahap kesuburan (perempuan dan juga lelaki), jumlah penduduk berusia (warga emas), tenaga kerja dalam pasaran buruh dan keperluan- keperluan kesihatan dan pendidikan menjadi semakin kritikal.
Kedudukan itu dirampas oleh India dan kini China berada di posisi kedua setelah sekian lama (60 tahun) berada di tangga pertama, yang disebabkan oleh faktor menurunnya kadar kesuburan. Kadar kesuburan dihubungkan pula dengan proses penggantian penduduk, di mana secara alaminya, kadar kelahiran boleh membantu menggantikan jumlah penduduk yang meninggal.
Ia adalah satu bentuk proses regenerasi yang penting. Akibat kadar kesuburan yang rendah, sesebuah negara dikatakan berada dalam ‘negara tua’ apabila jumlah penduduk usia emas (60 atau 65 tahun ke atas) mencapai peratusan melebihi 15 peratus daripada jumlah penduduk di sesebuah negara.
Malaysia adalah sebuah negara yang sedang menuju ke status ‘negara tua’. Jangkaannya, pada tahun 2030, mereka yang berusia 60 tahun ke atas akan mencecah 15.3 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Ini bermakna, pada tahun 2030, jumlah populasi warga emas di Malaysia mencecah 5.8 juta orang daripada anggaran penduduk Malaysia pada tahun tersebut, sekitar 38.1 juta orang.
Menjelang tahun 2030, kini hanya masih berbaki kurang dari tujuh lagi, ia menjadi sesuatu yang cukup mencabar dalam perspektif kerangka Membangun Masyarakat Malaysia Madani, yakni kurang daripada dua kali lagi pusingan lojik untuk diadakan pilihan raya umum. Pilihan Raya Umum terakhir (20 November 2022) dan menurut asas (tempoh) demokrasi di Malaysia. PRU seterusnya mungkin berlangsung pada tahun 2027.
Ertinya, sebagai sebuah kerajaan, wajib bagi mereka yang membentuk dasar dan melaksanakan program yang berteraskan kerangka Membangun Masyarakat Malaysia Madani mulai sekarang berfikir, merancang dan menentukan apa yang hendak dilaksanakan sepanjang tempoh kuasa yang ada, tidak meminggirkan persiapan berhadapan dengan ‘negara tua’.
Jika kita melihat kepada umur barisan kabinet ‘kerajaan perpaduan’, kerajaan yang dibentuk pada 2 Disember 2022, yang sudah memasuki empat bulan (sehingga 22 April 2023, kebetulannya jatuh pada hari pertama atau kedua Aidilfitri 1444H), masih belum kelihatan dengan jelas inisiatif untuk berhadapan dengan fenomena ‘negara tua’.
Inilah perspektif yang saya cuba fahami, selain beberapa pandangan yang pernah diutarakan oleh Imlan Adabi, “Tujuh Tahun Menjelang Negara Menua”, Malayskini, 3 Januari 2023.
Artikel ini perlu dibaca dan difahami, ada cadangan yang perlu diberikan perhatian oleh pembuat dasar, perancang dasar dan mereka yang melaksanakannya. Ini kerana proses penuaan semakin hampir, manakala persiapan keseluruhannya masih sepi dan tanya seorang aktivis sosial: Apakah kita tidak akan rasa berdosa dengan keengganan untuk memudahkan warga tua menjalani kehidupan sehariannya, juga kemudahan untuk golongan kelainan upaya. Kata aktivis berkenaan: Itu adalah dosa kita, kita berdosa kepada makhluk dan juga kepada Allah kerana melupakan golongan tersebut – orang tuan dan orang kelainan upaya.
Maaf, saya terpaksa sembunyikan ‘nama aktivis’ tersebut. Tetapi, saya ceritakan sedikit sebanyak latar belakangnya yang saya ketahui. Dirinya adalah seorang pendidik dan maksimun perjalanan kerjayanya sampai ke tahap pengarah di sebuah bahagian pengurusan pendidikan, yang berkaitan dengan pendidikan khas. Beliau bukanlah seorang yang beragama Islam, tetapi, kefahaman asas bermuamalah cukup tinggi dan membanggakan.
Jadi, setiap kali idea penambahbaikan, kertas konsep dan harapannya cuba ‘dikebumikan’, beliau dengan tenang menjawab: Apa yang kita lakukan sekarang, bukan untuk kita sendiri. Apa yang kita fikir dan bakal lakukan ialah untuk memenuhi tanggungjawab kita ke atas mereka yang terpinggir atau dalam kesulitan.
Membantu atau menolong mengatasi kesulitan orang lain adalah satu tindakan yang cukup terpuji. Maka, apa yang kita fikirkan, cadang dan ingin laksanakan, mestilah bergerak pada prinsip membantu orang lain, bukan membantu diri sendiri dan menambahkan kesusahan yang dialami oleh golongan yang memerlukan.
Orang yang saya maksudkan itu sudah bersara, tetapi, kata-kata dan sebahagian teladannya turut membentuk persepsi saya, dalam melihat dan mengisahkan sekelompok manusia yang dianggap sebagai marginal (terpinggir) dan untouchables (tidak tersentuh atau jauh berjarak seperti penduduk kawasan pedalaman atau daerah yang terpencil).
Saya cukup merasai kesukaran anak-anak sekolah kaum Penan bila beberapa hari berkampung di Long Bedian (Hulu Baram, Sarawak, sekitar awal Ramadan, 1436) dan kehidupan masyarakat (anak-anak Bajau) Pulau Keniogan, dan Bukit Besi, Sabah (Mei 2017). Kedua-duanya terletak dalam daerah Beluran, Sandakan Sabah, yang hanya boleh dihubungi menggunakan bot. Tiada jalan darat.
Penuaan ‘adalah proses alam’, dan kerana itu ‘langkah pengurusannya perlu tepat dan pantas, baki selama tujuh tahun lagi bukanlah masa yang panjang dan masih boleh ‘berbulan madu’, dan tentunya perancangan perlu dipercepatkan agar pada tahun tersebut, masyarakat yang menjangkau jumlah hampir enam juta itu tidak terasa ‘tersisih’, ‘dipinggirkan’ dan berada dalam pelbagai situasi yang menakutkan seperti trend yang semakin meningkat di Jepun, Korea Selatan dan negara-negara membangun yang lain.
Tulis Imlan Adabi, tua bukanlah ‘tempoh produktivi’ kerana orang muda sangat diperlukan dalam pelbagai sektor, tetapi ketika ini ‘belum jelas pelan negara menua’ dalam pembangunan sosioekonomi negara untuk jangka sederhana dan panjang.
Saya cukup terkilan, ketika dibukanya kanvas TN50 sebelum BN ditendang oleh para pengundi (2018), tidak cukup kemundang mengenai persiapan dan perancangan negara untuk berhadapan dengan kemunculan tahun 2050, yang menjadi sasaran pembinaan jatidiri belia Malaysia.
Saya juga tidak faham, ketika Khairy Jamaludin berkeroyok kertas mencatat dan melukiskan kanvas TN50, tidak memikirkan pada tahun sasaran itu beliau sebenarnya menjadi salah seorang lelaki warga emas (lahir 1976), sudah mencecah 74 tahun, dua tahun lebih muda daripada usia Anwar Ibrahim ketika ini (lahir 1946), 76 tahun.
Tak mengapa kerana Khairy Jamaludin takut terperangkap seperti terperangkapnya Dr Mazlee Malik ketika menerima pelantikan sebagai Presiden UIA, ketika dirinya masih memegang jawatan Menteri Pendidikan.
Mazlee juga pernah berkata, selepas 10 tahun berada dalam politik, dirinya akan kembali ke UIA sebagai tenaga akademik atau pengurusan, dan tentunya, penerimaan tersebut dianggap suatu ‘konflik kepentingan’, ada kecenderungan untuk menyediakan perancangan dalam kesempatan dan kuasa yang ada, memposisikan diri sendiri secara tidak berhemah, juga berkaitan dengan moral.
Apa yang jelas, semakin meningkatnya kemajuan kesihatan – walaupun sebahagian kes rawatan tidak dengan tujuan menyembuh penyakit, hanya sekadar mengawal keadaan menjadi kritikal – hayat penduduk semakin meningkat. Akibat peningkatan jangka hayat, ia memerlukan beberapa orientasi dasar perlu dilihat semula.
Beberapa hari lalu kita mendengar ada cadangan untuk menaikkan umur persaraan, daripada 60 tahun kepada 65 tahun, sedangkan 60 itu adalah kenaikan had umur sebelumnya, 55 dan 57.
Seseorang pekerja, diberikan kelonggaran membuat pilihan, bersara lebih awal. Persaraan lebih awal menjadi isu dalam dunia pendidikan sekarang, kerana trendnya menunjukkan guru wanita sudah beberap tahun mengatasi jumlah guru lelaki. Guru wanita ada tanggungjawab yang lain, termasuk kadangkala pemikirannya lebih rigid dan sukar memahamai makna fleksibliti.
Imlan bernasib baik, setelah keupayaan fizikal semakin merosot, apa yang dfikirkan oleh seorang warga emas ialah pembiayaan kesihatan. Imlan bernasib baik, kerana kos rawatan dan ubatan dibayar’/ditanggung oleh kerajaan menerusi pembiayaan pesara yang diberikan kepada isterinya, seorang penjawat awam.
Sejak 2016, Imlan berkerusi roda dan ikut berhadapan dengan masalah mata, saraf, dan juga di pusat rawatan ENT (ear, nose and throat, atau dikenali otorhinolaryngology).
Saya juga pernah dirawat di pusat rawatan ENT, iaitu di Hospital Selayang sejak saya alami vertigo yang cukup menyiksakan pada awal tahun 2017. Saya membuat rawatan berkala lebih tiga tahun, selesai doktor menasihatkan saya melakukan pembedahan kecil bulan Mac 2020, dua minggu sebelum PKP dikuatkuasakan untuk kali pertama.
Jadi, saya tidaklah terasa sangat ‘kemarahan’ akibat PKP, namun apa yang nak saya kongsikan, saya pernah berrunding dengan salah sebuah klinik pakar ENT di ibu negara. Ia memerlukan kos sehingga RM 35,000 untuk membuat pembedahan kecil itu, kerana saya perlukan penjagaan selanjutnya selepas pembedahan untuk tempoh yang lama.
Saya memutuskan untuk melaksanakannya di Hospital Selayang, kerana saya ‘sayangkan wang sebanyak RM 35,000’ walhal menurut perbincangan dengan beberapa orang pakar, kadar pendengaran selepas pembedahan (tampal di bahagian dalam gegendang telinga yang bocor) dapat dipulihkan antara 20 hingga 30 peratus sahaja, atas faktor usia (60 tahun).
Saya kemudian bersetuju dengan cadangan doktor pakar ENT di Hospital Selayang, tetapi saya perlu mengawasia keadaan telinga saya untuk tempoh enam bulan, tidak berlaku sebarang infection, juga tidak berair akibat kebocoran itu. Jika berlaku, saya perlu ulangi prosedur untuk tempoh enam bulan lagi.
Oh! Cukup lama, lebih setahun kemudian saya disyorkan proes tersebut setelah dalam tempoh enam bulan tiada air yang meleleh mahupun bunyinya, masih seperti tingkap kereta yang tidak ditutup kesemuanya, ketika kereta meluncur laju di lebuh raya.
Saya kemudian ditanya oleh seorang rakan, rakan yang sama-sama membesar dan bersekolah. Cuma ianya cukup berbeza dalam pemilihan kerjaya, sekitar awal tahun 1980-an apabila masing-masing lulus dari IPTA. Saya kekal dalam perkhidmatan awam sehingga mencecah usia 60 tahun dan rakan saya berada dalam sektor swasta.
Beberapa tahun lalu, setelah semuanya bersara, rakan saya itu mengeluh bahawa kehidupan selepas bersara tidaklah semudah kehidupan saya yang setiap bulan ada pencen. Saya jelaskan, itu adalah pilihan masing-masing, dan kita tidak perlu menyesal dengan pilihan tersebut. Untuk kita kembali kepada ‘pangkal jalan’ adalah tidak mungkin, kerana tidak ada lagi yang akan mengambil kita sebagai pekerja, setelah memasuki umur persaraan.
Itulah sebabnya saya katakan, mereka yang bersara bukan semulanya ‘senang’ dan ada pendapatan yang cukup untuk menyara kehidupan hari tua. Hanya mengharapkan simpanan hari tua (KWSP) ia belum memadai sekiranya kita benar-benar sampai ke tahap umur maksimum, 70.8 tahun bagi lelaki dan 75.6 tahun bagi lelaki pada tahun 2022.
Sedihnya, purata jangka hayat itu menunjukkan penurunan daripada 76.8 bagi wanita an 71.7 tahun bagi lelaki. Penurunan juga berlaku dalam kalangan yang berumur 15, 60 dan 65 tahun. Namun, jangka hayat penduduk dijangka meningkat lebih baik selepas setiap daripada kita mampu menyesuaikan diri untuk hidup bersama-sama COVID-19, kerana penyakit bawaan virus corona itu tidak akan mati sepenuhnya.
Lebih diutamakan ialah tabiat dan tindakan kita untuk mengekang penularannnya, manakala pengambilan vaksin hanya sekadar petua untuk meningkatkan imuniti dalam diri kita sendiri. Ia bukan jaminan akan menghalang jangkitan, ia adalah sebuah ikhtiar sebab itulah jika kita alpa, COVID-19 akan terus meningkat semula. Inilah yang dapat kita perhatikan apabila kita semakin ghairah untuk ‘melepas pelitup muka’ bila berada di tempat sesah dan tertutup, seperti pasar malam, pasar Ramadan, kompleks beli belah mahupun di stesen bas dan kenderaan awam.
Kita juga menjadi semakin alpa, sebab itulah malaria kembali meningkat dan juga deman denggi, yang kededuanya disebabkan keengganan kita menjadi kebersihan persekitaran. Fenomena hujan dan panas yang tidak dapat diramalkan menjadi punca nyamuk mudah membiak, air yang bertakung terjadi di mana-mana. Lebih menyedihkan, air dibiarkan bertakung di rumah kita sendiri, tanpa ada rasa ‘takut’. Ia dilihat sesuatu yang biasa dan lumrah, walhal akibatnya cukup parah.
Tetapi, ia tidak bermakna jangka hayat penduduk Malaysia tidak akan meningkat selepas endemik. Jadi, sebagai kerajaan yang berhasrat menjadikan negara sebagai Negara Madani, persoalan ini cukup kritikal kerana kerajaan akan menerima kutukan terbesar bila mengabaikan penjagaan dan pengurusan warga tua dan orang kelainan upaya, berbanding menyediakan iklim ekonomi yang hanya memperkayakan kapitalis dan mereka yang sudah pun melepasi tahap pendapatan kelas menengah atas, sudah disenaraikan sebagai manusia jutawan.
Pujuklah mereka (hartawan dan laksawan) agar berganding bahu, memudahkan kehidupan kelompok warga emas dan mereka kelainan upaya, sebagai tanggungjawab korporat, terutama ketika ghairah membina rumah, pangsapuri, villa mahupun kondominium. Juga, tatkala membangunkan premis perniagaan, kompleks pejabat dan sebagainya.
Perketatkan larangan untuk tidak salahgunakan kemudahan untuk warga emas dan orang kelainan upaya, seperti diboloti oleh peniaga, meletakkan kerusi meja di luar premis sehingga jalan, tempat letak kereta menjadi objek ‘sifat tamak dan haloba’.
Bagi mereka yang melanggar peraturan itu, sama ada kerap atau kurang dgunakan oleh warga emas atau mereka yang kelainan upaya, ia suatu hal yang wajib dipertanakan, buka dibiarkan ‘dirogol’.Lakukan pindaan undang-undang dan pihak berkuasa tempatan boleh menarik balik atau membatalkan lesen premis perniagaan itu setelah melanggarnya untuk kali kedua, setelah dikenakan denda yang tinggi di atas kesalahan pertama.
Selain itu, perlu juga disusun semula kemunculan atau tapak perniagaan di bahu jalan, kerana ia cukup menyebabkan ketidakselesaan.
Dirikanlah kawasan perniagaan yang tetap dan lebih menarik, agar dapat diuruskan dengan baik, termasuk dalam kawasan-kawasan perumahan.
DBKL, tidak wajar denan dakwaan hanya bertindak ke atas peniaga kecil Melayu, tetapi enggan menyaman peniaga bukan Melayu, atas pelbagai alasan, termasuk faktor sejarah dan sosiologi sesebuah lokasi. Itu bukan alasan, itu bukan kompromi yang perlu dan wajar DBKL lakukan.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments