“Perempuan, jika saat ini Anda merasa hidup Anda kering dan monoton, jika Anda dicekam ketakutan, rasa bersalah, kepahitan, kesedihan, jika Anda merasa terkekang, dikendalikan, tidak berdaya, dan putus asa, itu pertanda ada energi keliaran dalam diri Anda yang mendesak untuk dikeluarkan.
Pejamkan mata Anda, dalam keheningan, dengarkan lolongan serigala betina dalam diri Anda. Bangkitlah, bertarunglah. (Ester Lianawati, “Ada Serigala Betina Dalam Diri Setiap Perempuan”, qureta.com. 10 Oktober 2019.)
Petikan tersebut merupakan dua para akhir salah satu tulisan Ester Lianawati, ahli psikologi feminin Indonesia yang bermastautin di Perancis sejak 2012. Tulisan-tulisan dalam bentuk rencana dan puisi boleh ditemukan dalam qureta.com., namun harus difahami bahawa Ester cukup berjaya mengupas mengenai feminisme, bidang yang sangat dicintainya. Ester juga berjaya menterbalikkan pandangan dan pendirian lazim yang membezakan antara lelaki dan perempuan, kecuali fitrah kelahirannya, berbeza secara biologi.
Ester, lulusan psikologi (S1 dari Unika Atma Jaya dan S 2 dari Univesitas Indonesia, sedang meneruskan pengajian di peringkat doktor falsafah) setakat telah menulis empat buah buku mengenai feminisme. Buku-buku itu adalah (1) Tiada Keadilan Tanpa Kepedulian; (2) Beauvoir Melintas Abad (2021); (3) Akhir Penjantanan Dunia (2022); dan (4) Ada Serigala Betina Dalam Diri Setiap Perempuan (2020).
Untuk ulasan buku kali ini, saya akan memberikan kupasan ringan mengenai buku Ada Serigala Betina Dalam Diri Setiap Perempuan (terbitan Buku Mojok Group, Sleman, Jogjakarta, cetakan ke-11, Februari 2022). Buku ini pertama kali diterbitkan Oktober 2020. Jika dilihat daripada sejarahnya, nyatalah Ada Serigala Dalam Diri Setiap Perempuan cukup laris, dalam tempoh 17 bulan sudah diulang cetak sebanyak 11 kali. Lumayan!
Saya tertarik pada judul buku ini setelah “percaya” ia akan membincangkan mengenai psikologi perempuan yang ‘garang’, ‘suka membebel’, ‘mengawal’ dan sebagainya, yang merupakan fenomena biasa dalam rumah tangga, yakni setelah berakhirnya fasa bulan madu atau berkasih sayang.
Saya kutip sebuah anekdot dari buku tulisan Gary Chapman, The Five Love Languages (1992, 1995, 2004) yang cukup terkenal sebagai kaedah mengekalkan hubungan suami isteri sampai ‘akhir hayat’:
“After the wedding, I don’t think I changed. I contibued to express love to her as I had before marriage. I told her how beautiful she was. I told her how much I loved her. I told her how proud I was to be her husband. But a few months after marriage, she started complaining: about her petty things at first – like my not taking the garbage out or not hanging up my clothes.
“Later, she went to attacking my character, telling me she didn’t feel she could trust me, accusing me of not being faithful to her. She became a totally negative person. Before marriage, she was never negative. She was one of the most positive people I have ever met. That is one of the things that attracted me to her.
“She never complained about anything. Everything I did was wonderful, but once we were married, it seemed I could do nothing right. I honestly don’t know what happened. Eventually, I lost my love for her and began to resent her. She obviously had no love for me. We agreed there was no benefit to our living together any longer, so we split.” (hal.12-13).
Mungkin juga ada hal yang hampir sama, yang boleh kita buat telahan tatkala tersiarnya laporan bahawa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sangat mengharapkan Mahkamah Syariah berhubung proses penceraian dengan isteri keduanya, Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil. Musa berkahwin dengan Elly pada 2 Ogos 2013. Isteri pertama Musa, Puan Sri Juriah Dato Ahmad meninggal dunia pada 3 Mei 2019. Musa bersara sebagai Ketua Polis Negara pada 13 September 2010.
Kini, Musa berusia 72 tahun (lahir 13 September 1951) dan Elly berusia 42 tahun, kita tidak menyatakan pasangan itu adalah pasangan berusia, jika diukur daripada ‘tempoh perkahwinan’, yakni sekitar 10 tahun. Menurut kelasifikasi para pakar, ia berada pada fasa kedua (memasuki 10 tahun), di mana fasa ini persoalan kewangan dilihat stabil, bukan masalah besar sebagaimana fasa pertama (1-5 tahun).
Namun apa yang berlaku, kata Dato’ Jalaludin Hassan, rumah tangga abangnya cukup bermasalah. Musa sendiri mengakui mereka tidak lagi tinggal serumah sejak enam bulan, tetapi enggan mendedahkan ‘aib isteri’ kepada umum. Memberikan ruang agar mahkamah menentukannya (Sinar Harian, 9 Mac 2023).
Kita ‘tunggu dan lihat’ apa yang berlaku seterusnya mengenai permohonan Puan Sri Elly untuk membubarkan perkahwinan yang hanya mampu bertahan selama 10 tahun itu. Mereka mempunyai seorang anak lelaki, yang kini berusia lapan tahun. Tetapi, bukan kerana terpikat dengan ‘kes perbalahan’ tersebut menarik minat saya untuk membeli dan membaca buku Ada Serigala Betina Dalam Diri Setiap Perempuan (seterusnya, saya ringkaskan kepada Ada Serigala Betina), tulisan seorang pakar psikologi feminis Indonesia yang kini menetap di Perancis, Ester Lianawati. Harus saya jelaskan, ada perbezaan dengan serigala betina yang saya gunakan, merujuk kepada spesies serigala itu sendiri manakala Ada Serigala Betina merujuk kepada buku yang ditulis oleh Ester Lianawati.
Saya sebenarnya terpikat dengan tajuk buku tersebut setelah terlihat paparannya di media sosial, dan mendapat khabar ia cukup laris, bahkan mendapat kritikan cukup bagus dalam kalangan perempuan, sama ada perempuan yang bergabung dalam kelompok pejuang feminis mahupun yang hanya bersimpati dengan ‘nasib perempuan’ yang diperlekehkan dalam sudut pandangan budaya dan resam hidup patriarki (dominasi lelaki).
Istilah “serigala betina” sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada sebuah novel laris dan siri televisyen yang dilakonkan Kristen Jaymes Steward (sebagai Bella Swan) dalam siri The Twillight (2008-2012), yang bercinta dengan Edward Cullin (lakonan Robert Pattinson), remaja pontianak (vampire). Menariknya, dalam setiap filem seram, yang berhubungan dengan hantu, pontianak, paling kerap ialah imej serigala dan bulan mengambang. Ketika bulan mengambang, selain serigala melolong, turut dipaparkan kawanan serigala berkejar-kejaran akan sesuatu. Mengapa serigala bukan anjing?
Bagi Ester, serigala mempunyai imejnya yang tersendiri, yang kadangkala dinegatifkan pada pandangan tertentu sehingga spesies tersebut dianggap ‘liar’ dan ‘menakutkan’. Ester menggunakan imej ‘serigala betina’ untuk menggambarkan ‘diri perempuan’ apakah kerana salah satu sifatnya ialah ‘suka membebel’ seperti serigala melolong sebagai bentuk komunikasi lazim. Sebenarnya, itulah yang saya cari untuk mengesahkan pemikiran lazim, seorang perempuan adalah seorang pembebel. Itulah sebabnya saya membeli dan tekun membaca Ada Serigala Betina.
Saya tangguhkan dahulu apa rasionalnya Ester menggunakan istilah serigala betina bagi diri perempuan, tetapi, yang jelasnya, kelaziman saya sudah berubah, serigala betina bukan bermakna ‘liar, kasar, suka melolong dan tidak menghormati’, ia muncul menerusi pembudayaan, perubahan persekitaran yang menghasilkan pengelompokan pengetahuan dan pengalaman secara sedar, kerana perempuan adalah makhluk yang cukup istimewa termasuk kebolehannya dalam menyetor pelbagai memori dan peranannya yang multitasking (pelbagai tugas). .
Setelah membacanya, saya menemui banyak perkara yang tidak didedahkan secukupnya dalam rumus psikologi hasil penyelidikan tokoh-tokoh psikologi yang kebanyakannya dikuasai oleh lelaki atau sudut pandangan patriarki, terutama dalam cabang psikoanalisa yang cukup identik dengan Sigmund Freud (1856-1939), Carl Gustav Jung (1875-1961), Eric Homburger Erikson (1902-1994) dan Anna Freud (puteri Sigmund Freud, 1895-1982 dan mengikuti aliran psikoanalisa ayahnya).
Pada Ester, sama ada Freud, Carl Jung mahupun Erikson, berlaku kesilapan besar apabila mereka memperkatakan perihal perempuan dengan mengambil rumusan yang dikumpulkan berdasarkan sampel lelaki. Freud, menurut Ester memperlakukan kehidupan manusia beraaskan naluri seks, maka cukup takjub dengan alat kelamin lelaki sehingga melihat bahawa alat kelamin perempuan adalah “pengembirian/pengasian zakar” sehingga membangkitkan rasa cemburu, atau penis envy.
Tulis Ester, “Kesedaran tidak memiliki penis [zakar], dan ketika melihat klitorisnya, ia [perempuan] pun berasumsi bahawa ibu dan semua perempuan juga telah dikastrasi [dikembirikan, dikasi dan dimandulkan]. Menyedari hal itu, anak perempuan justeru merasa jijik terhadap ibunya, dan kemudian mengalihkan cinta kepada ayahnya. Ketika mengembangkan ketertarikan seksual kepada ayah, ibu pun menjadi saingannya. Anak perempuan pun mengembangkan kebencian kepada ibunya.
“Di sinilah perbezaan lain antara anak laki-laki dan perempuan pada tahap phallic. Meskipun sama-sama berangkat dari kondisi yang sama (khususnya dalam hal dorongan/ketertarikan seksual kepada ibu), tetapi pada anak perempuan ia akan mengalihkan ketertarikan ini kepada ayah, dan pada saat yang sama mengembangkan perasaan negatif kepada ibu (kebencian, rasa jijik). Perbezaan lainnya, jika kompleks krastasi mengakhiri Kompleks Oedipus pada anal laki-laki, kompleks krastasi pada anak perempuan justeru mengawal Kompleks Oedipus. “ (hal. 32-33)
Apa yang dimaksudkan dengan Kompleks Oedipus? Oedipus Rex, adalah nama seorang raja dalam mitos Yunani. Oedipus secara tidak senagaja membunuh bapanya, Laius kerana tertarik (pesona seks) dengan ibunya. Setelah berjaya membunuh si bapa, Oedipus menjadikan ibunya sebagai isteri. Mito situ kemudiannya dikembangkan oleh Freud bagi melengkapkan rumusannya mengenai seksualiti kanak-kanak, sebagai tindak balas kanak-kanak kepada ibunya, yang menjaga, memandi dan membersihkan, yang kemudiannya memacu kepada godaan darinya, phallus.
Pada pandangan Freud, terdapat empat peringkat seksualiti kanak-kanak: oral (mulut), dubur, alat kelamin (zakar bagi lelaki dan kelentit bagi perempuan) dan kemaluan (penyerahan impuls separa untuk kemaluan dan pembiakan). Kompleksiti ini bermula pada peringkat phillac, iaitu bayi mengenai ‘hanya terdapat satu alat kelamin, zakar.’ Pada peringkat ini, menurut Freud, semua kanak-kanak akan berfikir bahawa semua manusia mempunyai hanya satu alat kelamin, iaitu zakar, termasuk ibunya.
Pada peringkat ini, zakar mengambil peranan phallus, iaitu objek simbolik kuasa dan undang-undang. Seorang anak (lelaki), yang merupakan objek phallic untuk ibunya, berhasrat menjadikan ibunya sebagai pasangan tetapi terpaksa bertembung dengan bapanya, yang sudah memiliki pasangan. Anak itu kemudiannya berfikir, ada kepuasan yang diperoleh ibunya, iaitu melalui bapa tetapi bukan dari dirinya. Situasi itu menimbulkan konflik dalam diri seorang anak, maka pada suatu ketika, berusaha keluar daripada kemelut cinta tiga segi itu, dan berhasrat mengambil tempat ayahnya. Organisme kanak-kanak ketika itu dikaitkan dengan fantasi.
Kanak-kanak kemudiannya ‘diancam’ atau ‘dilarang’ untuk bermain dengan zakarnya: Zakar akan jatuh atau akan dipotong. Ancaman itu diberikan oleh ibu sebagai merujuk kepada bapa, yang akan menjadi agen pelakon. Namun, ia berbeza ketika melihat alat kelamin perempuan, kerana tidak mempunyai zakar. Lakonan itu kemudiannya diyakini oleh kanak-kanak lelaki, yang tidak mahu dikembirikan sehingga menyerupai alat kelami perempuan, kerana mengingatkan sakitnya dikembirikan (castration).
Satu-satunya cara untuk menyelesaikan kompleks ini, melepaskan ibunya sebagai pasangan dan meletak jawatan (untuk merebut daripada bapa), manakala fantasi dijadikan sebagai bentuk kepuasan seksual yang kekal. Namun, kepuasan yang dicari itu sangatlah berbeza, dan akhirnya kompleks Oedipus itu dikuburkan selepas kanak-kanak dapat menghubungkan feminin dan maskuliniti (zakar dan vagina) secara sedar, menerusi pengembangan pengetahuan dan sosialisasi. Akhirnya, lelaki akan mencari pasangannya setelah tiba masanya, dan kerana itu, Freud memberikan kecaman kepada perempuan yang berusia lebih 30 tahun yang belum mempunyai pasangan (maksudnya lelaki).
Carl Gustav Jung, yang cukup terpengaruh dengan teori psikoanalisa Freud, mengembangkan teorinya untuk mendeskripsikan perempuan menerusi Kompleks Elektra, namun ianya dikritik oleh Freud. Jelas Ester, Jung juga melakukan kesilapan. Bagaimanapun, mereka akhirnya bergabung – Freud dan Jung – dalam Vienna Psychoanalytic Society (VPS) selepas Sabina Naftoulovna Speilrein (1885-1942), yang berjaya dipulihkan menggunakan metod Freud.
Begitu juga kesilapan teori yang dikembangkan oleh Eric Erikson, menggunakan sampel lelaki untuk mendiskripsikan semua gender dan dengan meneliti tiga etnik cuba merangkakan teori mengenai manusia secara universal. Tulis Ester: Jika teori Erikson diterapkan sebagai norma bagi perempuan, akan banyak perempuan yang menderita ketika kebahagiaanya hanya ditentukan oleh status perkahwinan dan keberhasilannya melahirkan anak-anak dari rahimnya.
“Ironis sekali, mengingat psikologi bertujuan untuk membawa kesejahteraan bagi manusia. Selain itu, teori-teori Erikson yang mengarahkan hidup perempuan berdasarkan rahimnya tentu kini tidak relevan lagi. Saat ini telah banyak perempuan bekerja di luar rumah, yang dengan sendirinya meruntuhkan teori Erikson mengenai inner space perempuan.” (hal.61-62)
Sabina mengalami masalah histeria (selepas kematian saudara perempuan tunggalnya, Emilia akibat typhoid) dan dimasukkan ke Hospital Mental Burgholzli (1904), di mana ketika itu, Jung adalah pembantu kepada Eugen Blumer. Setelah dirawat oleh Jung, Sabina menceritakan mengenai traumanya, beberapa kali dibelasah oleh bapanya. Akhirnya Bluer meminta keluarga Sabina tidak lagi menghubungi anaknya yang sedang dirawat.
Sabina menjadi cepat pulih dan akhirnya memohon untuk mempelajari bidang perubatan (Universiti Zurich antara 1905-1911) selain menjadi pembantu Jung. Hasil ujian yang dibuat ke atas Sabrina, Jung merujuk kepada Freud. Jung dan Sabrina akhirnya jatuh cinta (1908-1910).
Kisah cinta mereka difilemkan dalam A Dangerous Method (2011) di mana Kiera Knightley memegang watak Sabrina, Michael Fassbender sebagai Carl Jung, dan Viggo Mortensen sebagai Sigmund Freud.
Tulis Ester, Sabrina “tokoh perempuan yang terabaikan ini adalah pemikir moden di zamannya, penulis, peneliti dan pengajar di sejumlah universiti di Eropah… perempuan pertama yang tergabung dalam Vienna Psychoanalytic Society. Dia juga salah seorang pendiri kelompok elit intelektual antarabangsa bersama Eugen Bleuler, Carl Jung, Sigmund Freud, Carl Abraham, Edward Claparede, Jean Paiget dan Lev Vygotsky.
‘Sabrina tidak mengembangkan satu teori ataupun metod sistematik tertentu. Namun, dia sangat kritis dan daya analisisnya tajam. Ia gencar mengajukan pertanyaan yang memancing munculnya idea-idea baharu yang memperjelas ataupun memperdalam konsep yang sudah ada.
“Dia sangat berbakat mengembangkan rencana penelitian yang original. Ia mengundang kolega-koleganya (rakan-rakan) agar tidak menjadi psikoanalisis sebagai ilmu yang menutup diri. Dia mengangankan psikoanalisis yang kritis dan terbuka dengan memadukan psikoanalisis dan pendekatan lain dalam psikologi, seperti psikoliguistik dan neuropsikologi.
“Dia banyak menulis pertanyaan-pertanyaan mendasar dalam psikologi anak, seperti mengenal jiwa anak sampai mengapa kata mama dan papa menjadi kata pertama anak. Tulisan-tulisannya seputar tema ini banyak mempengaruhi Anna Freud (yang malah dinobatkan sebagai pelopor psikoanalisis anak), Melaine Klein, Jean Piaget, Lev Vygotsky dan Donald W Winnicott. (hal.66)
Ada Serigala Betina Dalam Diri Setiap Perempuan, maksud Ester Lianawati, dari ‘pesan yang saya tangkap dari karya Estes (Clarissa Pinkola Estes, Women Who Run With the Wolf, 1992) begini: Jika ramai perempuan tidak menyedarinya, itu kerana keliaran perempuan sejak lama ditekan oleh masyarakat. Liar bukan dalam makna negatif yang merendahkan, seperti tidak terkendali. Liar mengandung erti kebersatuan dengan alam: mejalani kehidupan secara alami, mengikuti irama kehidupan dan aspirasi-aspirasi terdalam.” (hal.109).
Kenapa ada serigala betina? Jawab Ester: Serigala betina adalah binatang penyayang dan pelindung. Ia mencurahkan kasih sayang penuh kepada anak-anaknya dan tidak membiarkan apa pun melukai mereka.
“Sebagai pasangan, ia juga setia tanpa bergantung kepada pasangannya. Ia mampu melindungi diri sendiri, anak-anak dan kelompoknya. Ia belajar dari pengalamannya untuk meguatkan kemampuan intuitifnya dalam menghadapi bahaya. Ini menjadikannya mampu memimpin diri sendiri dan kelompokya tanpa rasa takut ataupun kompleks. Dan dia adalah pemimpin yang peduli pada kesejahteraan kelompoknya.
“Di sisi lain, serigala betina mendorong anaknya untuk mandiri, untuk mampu melindungi dirinya sendiri. Itulah sebabnya, di Perancis, ada istilah tipe ibu serigala. Untuk menggambarkan ibu yang menyayangi dan melindungi anaknya, tetapi tidak overprotective. Ia mengajarkan anaknya untuk melindungi diri, melatihnya untuk menghadapi bahaya, bukan menghindarinya.” (hal.108)
Apakah memberikan jolokan serigala binatang adalah sesuatu yang cuba merendahkan martabat manusia? Saya kira ia sesuatu yang wajar, jika sifat-sifat binatang itu menggambarkan hal yang positif kerana Islam banyak menggunakan binatang sebagai objek dan subjek yang perlu dicontohi seumpama, kerajinan semut dan kerja kumpulan sehingga mampu menakutkan makhluk yang lebih besar, selain menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi (gotong royong, toleransi dan kemuafakatan); dan sebagainya.
Jadi, rungut Ester: Jika kami menamakan putri kami Louve, bukan tanpa alasan. Louve ertinya serigala betina. Mungkin untuk budaya kita, menamakan seseorang anak dengan nama binatang terdengar aneh. Namun, masyarakat Perancis umumnya memang meyayangi binatang.
‘Panggilan sayang untuk buah hati mereka biasanya menggunakan nama-nama haiwan atau binatang, seperti kucingku, kelinciku, kijangku. Namun tidak ada yang menamakan anak-anak mereka dengan nama binatang.
“Louve sendiri tergolong nama yang unik, meski dalam lima tahun terakhir jumlah bayi tercatat dengan nama ini makin bertambah. Ada yang terkejut mendengar nama putri kami, tetapi ada pula yang menganggapnya indah dan menarik. (hal.107)
Itulah sekelumit cerita dan pokok perbahasan yang terdapat dalam karya yang cukup laris ini, sebuah karya yang mampu membuka minda kebanyakan daripada kita- lelaki dan perempuan- mengenai pelbagai doktrin, mitos dan sudut pandangan yang cuba membezakan peranan dan tanggungjawab sehingga mengkerangkakan permasalahan gender. Ada beberapa hal lagi yang menarik, yang perlu difikirkan semula oleh perempuan, yang dikupas dengan baik dan berhujah oleh Ester Lianawati dalam Ada Serigala Betina ini.
Saya tidak melihat apa yang dikupas oleh Ester Lianawati sebagai sesuatu yang ‘melampau’ sebagaimana ramai lelaki melihat dan memahami apa itu feminisme. Saya menjadi sedikit tercerahkan dengan pendedahan dan susur galur pemikiran Ester Lianawati dalam buku ini, pada saya, memang patut dikritik, diperbetul dan diperbaharui sudut pandangan, sebabnya patriariki itu sebenarnya lebih banyak mendepakan masalah dalam kerukunan hidup dan makna keharmonian keluarga.
Bagaimanapun, setiap perempuan perlu faham dan sedar, kebebasan dan keterbukaan pemikiran yang duperjuangan, dianutinya ‘masih ada batas’ baik berupa batas-batas biologi (fitrah), ekologi dan budaya. Namun, perlu juga setiap daripada kita sedar, lelaki dan perempuan dicipta – kelebihan dan kekurangan – untuk saling melengkapi, membantu, memenuhi emosi dan peranan alami, bukan saling berkonflik dan bertelagah, walaupun pandangan psikologi barat boleh kita tolak hipotesisnya, kita wajib memahami bahawa:
“Dan orang-orang beriman dari kalangan lelaki dan perempuan adalah saling membantu antara satu sama lain. Mereka mengajak kepada perkara yang makruf (kebaikan) dan mencegah perkara yang mungkar.” (surah al-Taubah: 71).
(Ester Lianawati, Ada Serigala Betina Dalam Diri Setiap Perempuan: Psikologi Feminis Untuk Merentas Patriarki, Yokyakarta: Buku Mojok Group, cetakan ke-11, Februari 2022, xii + 292 halaman, ISBN 978-623-94979-0-3.)
KAMARUN KH
Recent Comments