Di Mesir, misalnya muncul gerakan-gerakan pembaharuan Islam yang menjadi impuls kepada konsepsi Negara Islam kemudian. Nama-nama pemikir seperti Jamaludin al-Afghani (berasal dari Aghanistan, 1838-1897) , Muhammad Abduh (1849-1905), Muhammad Rashid Ridha (1865-1935) dan kemunculan Hasan al-Banna (1906-1949) yang berjaya mencorakkan pertubuhan sosiobudaya, Ikhwanul Muslimin (ditubuhkan pada Mac 1928 di sebuah bandar berhampiran Terusan Suez, Ismailiyyah) kepada sebuah pertubuhan politik.
Perkembangan Ikhawnul Muslimin menjadi isu yang cukup besar dalam sistem perpolitik Mesir, kerana ia turut mendapat perhatian dalam kalangan kelompok akademik dan cendekiawan, selain mempunyai mekanisme pendidikan dan perubahan sosial secara tarbiyah yang berkesan.
Hasilnya, Ikhwanul Muslimin mendapat tekanan yang melampau daripada elit politik, menafikan kemenangan calon-calon Ikhwanul Muslimin dalam pilihan raya oleh pemerintah yang didalangi oleh kuasa barat, dan kemuncaknya ialah Ikhwanul Muslimin diharamkan serta pembunuhan aktivis utamanya, termasuk pengasasnya.
Hasan al-Banna, nama penuhnya, Hasan bin Ahmad ibn Abdul Rahman al-Banna, (meninggal 12 Februari 1949 selepas ditembak oleh ‘polis rahsia’ yang berpakaian biasa selepas asyar di perkarangan pejabat Ikhwanul Muslimin di Kaherah).
Apa yang menyedihkan, ketika jenazahnya hendak dikebumikan, ia dikawal oleh kereta- kereta kebal dan perisai di mana orang ramai tidak dibenarkan hadir. Kisah yang menyayat hati itu diuruskan pengkebumiannya oleh ayahnya sendiri, Syeikh Ahmad yang sudah lanjut usia. (Ibrahim Siraj, Pembunuhan Politik Dalam Sejarah Dunia: Dari Masa Sahabat Nabi Hingga Kini, Jakarta: Penerbit Pustaka al-Kautsar, 2010).
Abul Hasan Ali al-Hasani al-Nadawi (1913-1999) menyifatkan pengaruh pemikiran dan aktivis Ikhwanul Muslimin cukup besar dalam perpolitikan Islam, yang bukan sahaja mempengaruhi lanskap politik Mesir, bahkan menjalar ke seluruh dunia di mana umat Islam berada (tinggal), biarpun dihalang dan dikhianati oleh pemerintah (elit politik sekular). Tulis Abul Hasan al-Nadawi:
Ternyata upaya mematikan dan memusnahkan pengaruh-pengaruh dakwah ini, yang ia memang secara nyata telah berhasil mengembalikan kepercayaan kepada generasi baharu di dunia Arab akan validitas Islam dan kekekalan risalahnya; telah berhasil menumbuhkan “keimanan baharu” dalam jiwa dan hati generasi ini, telah mampu melawan inferiority complex di dalam jiwa mereka; telah mampu mengatasi kekalahan internal (tidak ada kekalahan yang lebih buruk dan lebih besar dari kekalahan ini); telah mampu mengatasi ketidakstabilan, kelemahan jiwa, dan keterhanyutan di bawah belenggu nafsu dan tirani; serta telah berhasil melahirkan sebuah generasi seperti yang dikatakan oleh penyair Islam, Dr Muhammad Iqbal: “Di dalam tubuh merpati yang lembut, tersimpan hati rajawali dan singa”, sehingga generasi ini mampu menciptakan berbagai keajaiban dalam hal keberanian, keistiqamahan, dan solidaritas.” (“Kata Pengantar”, dalam Memoar Hasan al-Banna Untuk Dakwah dan Para Dainya, terjemahanSalafuddin Abu Sayyid dan Hawin Murtadho, Solo, Indonesia: Era Intermedia, cetakan keempat, 2004).
Ikhwanul Muslimin cukup mempengaruhi mereka yang berpendidikan Islam di Tanah Melayu. Ikhwanul Muslimin juga menjadi motivasi kepada sekumpulan para ulama yang berada dalam sayap agama UMNO sehingga mereka berusaha berpisah daripada induknya untuk menubuhkan Parti Islam Tanah Melayu selepas sebuah parti yang bersifat Islamisme diharamkan oleh penjajah Inggeris, Hizbul Muslimin.
Hizbul Muslimin menjadi wadah perjuangan politik ‘kaum muda’ untuk menentang establishment pemikiran ‘kaum tua’ yang dilihat konservatif dan menjaga statusquo. (Kamarudin Affendy Hamimi dan Ishak Saat, Kaum Muda di Tanah Melayu 1906-1957, Tanjung Malim, Perak: Penerbit UPSI, 2020, Bab 4- “Pendekatan Perjuangan Kaum Muda”, hal. 201-281)
Hizbul Muslimin ditubuhkan pada 14 Mac 1948 dan dibubarkan secara rasmi pada Oktober 1949. Ketika itu, Inggeris berusaha menghapuskan aktivitis Parti Komunis Malaya (PKM) yang mula berubah menjadi radikal dan melarikan diri ke hutan membentuk kaedah peperangan gerila. Atas keinginan mententeramkan kehidupan bermasyarakat, Inggeris turut mengharamkan parti-parti politik yang berhaluan kiri yang muncul selepas Perang Dunia II.
Akibat pengharaman parti-parti politik berhaluan kiri, penangkapan beberapa orang tokohnya, menyebabkan sebahagian ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM, ditubuhkan pada 17 Oktober 1945) menyertai UMNO (Parti Kebangsan Melayu Beratu, atau ringkasnya PEKEMBAR, tetapi tidak popular) yang ditubuhkan beberapa bulan kemudian (11 Mei 1946) dengan sokongan kolonial.
Kemunculan PAS telah membawa kepada masyarakat terbelah (divided society), terutama dalam kalangan orang Melayu. Ini kerana PAS dengan tidak rasa malu dan berdosa ‘mengkafirkan orang-orang Melayu’ yang tidak menyokong perjuangan politiknya. Ia diakatan bermula menjelang kempen PRU ke-2 (1964) di Pasir Mas, Kelantan. Ia didoktrinkan oleh salah seorang wakil rakyat PAS yang merasakan UMNO sangat kuat mencabar dan mahu menguasai politik Kelantan.
Perihal percaturan ‘kafir mengkafir’ itu sebenarnya sudah bermula sebelum itu. Awal tahun 1960, salah seorang penyokong PAS telah menulis sebuah risalah dalam bahasa Arab, dan penyokong tersebut dikatakan bermastautin di Mekah. Risalah itu kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Melayu untuk membolehkan lebih ramai yang dapat dibaca.
Malangnya rancangan tersebut dapat dikesan oleh kerajaan. Risalah itu dirampas dan tidak dibenarkan pengedaran, dan PAS merasakan sesuatu yang sedang terpuluh di atas bahu politiknya apabila kerajaan menggalakkan sekolah-sekolah agama rakyat berpindah ke pentadbiran kerajaan persekutuan untuk membolehkannya mendapat bantuan kerajaan.
Selain ini, dengan perpindahan sekolah-sekolah agama rakyat ia akan membolehkan para guru yang mengajar dilatih dan meningkat kapasitinya sebagai seorang guru professional.
Perkara ini dilihat sebagai usaha untuk ‘membunuh PAS’ kerana parti itu lebih bersedia menjadikan institusi pendidikan sebagai ‘tapak utama membina pemimpin pelapis’ atau sistem pengkaderan.
PAS juga mengenakan tindakan ke atas mana-mana guru yang tidak menyokong dan membuat tuduhan melampau seperti yang pernah dialami oleh salah seorang pendakwah wanita Kelantan, Khadijah Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Khadijah Tok Selehor.
Ini kerana Khadijah adalah penyokong dan aktivis UMNO. (Dusuki Haji Ahmad, Khadijah Tok Selehor, Tumpat, Kelantan:Yayasan Darul Hanan, 2016)
Dengan memahami sedikit sebanyak sejarah politik Sudah yang sedang berkonflik ini membuktikan bahawa pola budaya politik tidak ada perbezaan yang dapat kita jadikan pengajarannya, kerana dalam politik yang sangat diutamakan ialah kuasa.
Biarpun latar belakang budaya adalah berbeza, lokasi kejadian berjauhan sedikit sebanyak pengaruh dan tabi berpolitik terus berulang kembali.
Inilah yang dinamakan ragam politik. Demi mencapai sesuatu tujuan sementara, yakni kuasa dua entity yang berbeza pendekatan dan boleh bersatu dan bekerjasama. Jika dilihat daripada krisis Sudan, dapat dibuat satu kesimpulan bahawa ‘marriage of convinience’ tidak akan kekal selama-lamanya.
RSF (Rapid Support Forces) yang bersifat separa tentera dan SAF (Sudan Armed Forces) hanya boleh bertahan untuk tempoh selama empat tahun (April 2019-April 2023) bila mana RSF mengambil tindakan untuk menentang rancangan penyerapan 10,000 anggotanya ke dalam pasukan tentera.
Dalam pemerhatian politik Malaysia, hal yang sama turut berlaku. Kita mungkin akan memahami secara sahnya bahawa PAS adalah sebuah pertubuhan politik yang paling banyak menjalin dan memutuskan kerjasama. PAS yang lahir dari tulang rusuk UMNO berpecah selepas tertubuhnya parti itu pada tahun 1951.
PAS kemudian bekerjasama dengan UMNO dan menganggotai Barisan NAsional bersama- sama Gerakan dan PPP selepas PRU ke-2 (1969), yakni atas inisiatif Tun Abdul Razak untuk mengurangkan ‘politiking’ dan membina sebuah negara yang lebih stabil. Ia dilakukan pada 1 Janurai 1973.
PRU ke-4, PAS bertanding menggunakan logo BN. PAS kemudiannya memulakan percaturan politiknya sehingga menyebabkan Kelantan terpaksa menggantung pentadbiran berasaskan politik kepada pentadbiran awam pada akhir tahun 1977. Bagi meredakan situasi– perbalahan antara Asri Haji Muda dan Muhamad Nasir – darurat diisytiharkan mulai 8 November 1977.
Darurat kemudiannya berjaya ditamatkan pada bulan Februari 1978. PRU ke-5 (1978) diadakan pada 8 Julai 1978 di mana BN menang 130 daripada 154 kerusi, merosot lima kerusi daripada pencapaian PRU sebelumnya (1974). Ini dapat disandarkan kepada PAS, di mana dua kerusi Parlimen dimiliki oleh PAS manakala DAP menokok kepada 15 kerusi berbanding hanya menang 9 kerusi pada PRU ke-4 (1974). Kelantan dikuasai oleh BN di mana PAS hanya menang dua kerusi DUN. (Johan Saravamuttu, Power Sharing in a Divided Nation: Mediated Communalism and New Politics in Six Decades of Malaysia’s Elections, Singaporer: ISEAS Yusof Ishak Institute, 2016)
Selepas berpecah dengan BN, PAS berusaha mencari rakan kerjasama apabila menyedari bahawa konsep politiknya menjadi sesuatu yang ‘tidak akan ke mana’ dan ditakuti oleh pengundi bukan Melayu selepas salah seorang penggeraknya mengeluarkan fatwa yang cukup membingungkan pemikiran masyarakat.
Setelah tersedar dengan Amanat Haji Hadi yang dijadikan doktrin politik seumpama ‘satira novel George Orwell, Animal Farm’, PAS mencari jalan untuk bekerjasama dengan bukan Melayu-Islam yang sebelumnya dianggap kafir bila mana UMNO ‘berkawan dengan MCA dan MIC’.
PAS mula merintis perbincangan membentuk CCC – Chinese Consultative Council– dan PAS mula mengeluarkan kenyataan menjelang kempen PRU ke-7 (1986) akan ‘menarik balik hak istimewa orang Melayu sekiranya berjaya membentuk kerajaan’. (dikutip oleh Ahmad Ismail Adam, PAS Bernafas Dalam Lumpur, Kuala Lumpur: Melangit Enterprise, 2011, hal. 88 dari Thock Ker Pong, Ketuanan Politik Melayu: Respons Masyarakat Cina, K.Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2005, hal. 195).
Bagaimanapun, CCC kemudiannya timansuhkan dan digantikan dengan pemuafakatan baharu yang dinamakan Barisan Alterntif pada tahun 1999, bagi membentuk sekumpulan parti pembangkang yang lebih kuat bagi menentang kuasa politik yang ditunjangi oleh UMNO/BN.
Barisan Alternatif dibubarkan pada tahun 2008 apabila dengan rasminya tertubuh Pakatan Rakyat, di mana muncul keadaan ‘satu lawan satu’ di kebanyakan kawasan pilihanraya kecuali di beberapa kawasan.
Namun, dalam kempen PRU ke-13 (5 Mei 2013), Presiden PAS membelasah calon PKR sebagai ‘dikhuatiri latar belakangnya’ dan sebab itulah PAS sanggup bertembung di tujuh kerusi Parlimen dengan calon PKR.
Rasionalnya: “PAS bertindak meletakkan calon di beberapa tempat kerana mahu menyelamatkan Pakatan Rakyat. Kita tidak mahu kerajaan kita jatuh seperti di Perak, memerintah sekejap. (Astro Awani, 22 April 2013).
Selepas PAS kalah di Kedah, gagal mempertahankan kedudukan yang dimenangi pada PRU ke-12 (2008), ekoran krisis dalam kepimpinan politik, PAS mula membuat percaturan untuk ‘bermusuh dengan DAP’. Ia kemudiannya menjadi kenyataan apabila PAS membuat keputusan keluar daripada Pakatan Rakyat dan pada 16 Jun 2015,
DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud manakala PAS bermain wayang dengan mengatakan ia masih wujud tetapi hanya antara PKR dan PAS.
Kemudian muncul idea penubuhan Pakatan Harapan. Bagaimanapun PAS memberikan kata putus bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungannya dengan DAP.
Ini bererti, PAS berkerat rotan dengan DAP. Setelah PH memenangi PRU ke-14 (2018), PAS merasakan kedudukanya tidak akan menjamin peroleh jumlah kerusi yang lebih baik, maka mulalah membuat percaturan untuk bekerjasama semula dengan UMNO/BN.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments