RAMADAN menawarkan pelbagai tawaran dan ganjaran untuk mereka yang beriman. Sebab itu juga Ramadan dikenali sebagai bulan ibadah iaitu hanya mereka yang beriman tahu menghargai akan kelebihan Ramadan.

Justeru, mereka mempertingkatkan amalan baik mereka seperti bersedekah, tarawih, qiamullail, membaca al-Quran, berzikir dan pelbagai amalan baik yang lain pada bulan mulia ini.

Pada hakikatnya, persiapan material pada bulan Ramadan ini bukan sekadar untuk membeli pakaian baru atau bekal perjalanan pulang ke kampung atau juga untuk membeli kuih-muih Aidilfitri. Lebih penting daripada itu ialah membuat kebajikan dengan bersedekah. Imam al-Tarmizi meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: Sedekah apakah yang paling utama?Baginda menjawab, seutama-utamanya sedekah adalah di bulan Ramadan.

Rasulullah s.a.w., pada bulan Ramadan ini sangat dermawan dan pemurah. Digambarkan bahawa sentuhan kebaikan dan pemurah Nabi s.a.w. kepada masyarakat begitu menyeluruh, lebih merata saujana sifatnya daripada sentuhan angin terhadap benda-benda di sekitarnya. Sesuai dengan bulan Ramadan yang mulia ini, kita disaran agar memperbanyakkan sedekah walaupun sekadar sebiji kurma ataupun seteguk air.

Islam memandang harta meskipun ia merupakan hasil keringat sendiri, tidak sebagai hak mutlak pemiliknya. Harta yang dimiliki seseorang, pada pandangan Islam mempunyai hubungan dengan persoalan kemasyarakatan.

Dari sini maka Islam mengajarkan bahawa infaq, yang merangkumi sedekah dan zakat adalah suatu keharusan. Beberapa kali al-Quran menegaskan bahawa dalam harta yang dimiliki seseorang ada hak yang mesti diberikan, misalnya kepada orang-orang miskin dan tertindas, keluarga dan masyarakat secara umum.

Kesempatan inilah yang seharusnya diraih oleh mereka yang berkemampuan untuk bersedekah, khususnya pada bulan Ramadan kerana dijanjikan pahala yang berlipat ganda.

Orang yang menjauhkan dirinya daripada perbuatan keji dan kikir termasuk dalam golongan-golongan yang dijanjikan kebahagiaan. Allah s.w.t. menegaskan dalam surah at-Taghabun ayat 16-17 bahawa sedekah yang dikeluarkan oleh kaum Mukmin untuk fakir miskin, pada hakikatnya bermanfaat bagi si pemberi sedekah itu sendiri. Setiap sedekah yang dikeluarkan oleh seseorang, manfaatnya akan kembali kepada orang itu juga.

Jadi, sepatutnya disedari oleh kaum Mukminin, betapa besar kebaikan dan kenikmatan Allah s.w.t. Kebaikan yang tidak ternilai harganya. Allah s.w.t menciptakan kebaikan berupa harta, kemudian menisbatkan kepada hamba-Nya, Allah menyuruh hamba-hamba-Nya untuk berinfaq sebagai suatu kebaikan dan menamakannya sebagai pinjaman daripada Allah kepada hamba-hambanya. Padahal semua itu datang daripada Allah s.w.t.

Sesungguhnya bersedekah pada bulan Ramadan merupakan antara jalan yang membawa kita ke arah penyucian hati dan jiwa. Oleh yang demikian itu, raihlah segala tawaran Allah s.w.t. bagi mencari dan menemukan kunci syurga.

Oleh : Siti Hawa Bt Majid

Translate »