Kerajaan perpaduan dibentuk berdasarkan saranan YDPA, saranan itu dibenarkan oleh kuasa budi bicara yang digariskan oleh Perlembagaan. Maka, sebarang gugatan terhadapnya membawa maksud, ingkar atau menderhakai YDPA.

Dalam hal itu, bekas pemimpin PAS yang cukup sinis dan berkomedi, Mahfudz Omar menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh Presiden PAS tersebut sebagai usaha mensabotajkan kuasa YDPA.

Ini membuktikan parti pembangkang – PAS dan Bersatu – sudah melanggar persetujuan yang dibuat dan saranan kuasa budibicara YDPA, seperti juga kesalahan yang pernah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PH tatkala terbentuknya kerajaan campuran dalam Perikatan Nasional, yang disifatkan oleh pemimpin tertinggi PAS itu menyerupai perangai ‘tupai dan kera’.

Bila PAS mengeluarkan kenyataan bahawa ‘kerajaan perpaduan’ seumpama ‘kerajaan luar tabii’, sebenarnya ia adalah suatu percubaan yang tidak boleh dimaafkan, secara tidak langsungnya ia cuba mengaitkan Anwar Ibrahim dengan tafsiran-tafsiran sebelumnya.

Itu kerana Anwar dilantik sebagai PMX, tetapi jika orang lain dipilih, ia mungkin tidak muncul istilah ‘kerajaan di luar tabii’. MB Kedah mungkin lebih maklum mengenai sebab istilah dipilih dan diuar-uarkan.

Begitu juga apabila Presiden PAS melabelkan ‘kerajaan perpaduan’ penuh ‘muslihat dan perangkap’ dengan tidak menjelaskan maksud sebenar konsep itu.

Beliau membiarkan orang ramai membuat tafsiran sendiri dan dalam masa yang sama, beliau telah gagal membawa PAS kepada situasi politik yang beretika dan bermoral.

Bagi mengurangkan kesan negatif terhadap kenyataan tersebut, Presiden PAS membuat pula tafsiran berdasarkan kaca mata politiknya untuk menyalahkan orang lain, dengan menjatuhkan ‘hukum berdosa’ jika seseorang itu tidak mengundi dengan alasan mengerjakan haji atau umrah.

Ia menggambarkan betapa takutnya PAS dan PN berhadapan dengan kekalahan yang mungkin berlaku di enam PRN yang bakal dilaksanakan, sekiranya ia berlangsung pada musim haji tahun ini.

Hal ini berlaku kerana PAS merasakan ‘gelombang hijau’ yang berlaku pada pilihan raya Padang Serai seperti petunjuk kemenangan, petunjuk yang boleh mengubah lanskap politik di enam buah negeri yang tidak membubarkan DUN masing-masing apabila Dewan Rakyat dibubarkan pada 20 Oktober 2022 untuk dilaksanakan pilihan raya serentak pada 19 November 2022 yang lalu.

Alasan-alasanya: PRU diadakan ketika negara memasuki musim tengkujuh dan kali ini, sifat tengkujuhnya diramalkan lebih besar daripada tahun-tahun sebelumnya. Jadi, seluruh jentera dan aset yang ada (dikawal oleh kerajaan negeri) hendaklah bersiap siaga, menguruskan mangsa bencana.

Akhirnya, ketika PRU diadakan tidak berlaku tengkujuh yang besar. PAS menjadi parti yang menang besar ketimbang parti-parti lain, tetapi tidak mampu membentuk kerajaan kerana semua parti (gabungan parti) tidak melepasi majoriti mudah.

Jalan penyelesaiannya, kerana dengan mengadakan PRU, sejumlah wang yang cukup besar telah dibelanjakan, adalah tidak wajar PRU diulangi, maka solusi terbaik ialah memanggil ketua-ketua parti untuk membentuk ‘kerajaan perpaduan’.

Dalam mengatasi kemelut tersebut, Muhyiddin sebagai Pengerusi PN (gabungan memenangi kerusi kedua terbanyak 73/74 parlimen) dan Anwar Ibrahim, Pengerusi Pakatan Harapan yang menang kerusi terbesar (82 kerusi parlimen) diminta untuk berunding.

Walau bagaimanapun, kerana ego Muhyiddin, yang merasakan PN menguasai lebih daripada majoriti mudah, merasakan boleh membentuk kerajaan, maka ditolaknya cadangan tersebut atas alasan, Anwar diberikan mandat  sebagai ketua yang berunding, bukan Muhyiddin atas alasan, kedudukan kerusi yang lebih besar.

Akibat penolakan tersebut dan kegagalan Muhyiddin membuktikan ‘cukup sokongan’, Perikatan berada dalam situasi meroyan dan menegaskan akan terus kekal sebagai pembangkang berperanan untuk berperanan sebagai ‘check and balance’.

Namun, apa yang terjadi, PN menjadi petualang politik yang cukup ‘ganas’ dan totok berpropaganda dengan pelbagai kenyataan yang hujahnya tidak benar atau betul.

Dalam konteks komunikasi politik dikenali sebagai smear politics, kempen memburuk-burukkan kerajaan perpaduan.

Apakah itu yang dimaksudkan oleh Dr Khairudin Aman Razali ‘selagi ada syaitan, selagi itulah ada langkah syaitan?’.

Jika itu yang dimaksudkan, saya tidak khuatir dengan rumusan tersebut. Dan, ramai rakyat Malaysia boleh memahami walaupun PN merupakan gabungan yang memperoleh keputusan terbesar kerusi dalam PRU ke-15 dan menguasi Perlis buat pertama kali dalam sejarah politik negara, pemimpin-pemimpin mereka tidak seharusnya merasa bongkak dan sombong.

Haji Hadi tidak sepatutnya mendabik dakwaan bahawa hanya PN merupakan satu-satunya gabungan politik yang mampu mempertahankan Melayu-Islam kerana kesemua wakil rakyatnya adalah Melayu-Islam (74) berbanding kerajaan perpaduan.

Jika diperhatikan daripada falasi tersebut, jelas membuktikan itu adalah salah permainan propaganda yang sedang dikembangkan oleh Presiden PAS.

Daripada 148 wakil rakyat yang menyokong kerajaan perpaduan, lebih separuh, iaitu 77 orang adalah beragama Islam sedangkan dalam PN hanya ada 74 orang.

Ertinya, dalam konteks demokrasi dan statistik, 77 adalah lebih besar daripada 74, iaitu dengan kelebihan 3.

Ia juga telah menolak falasi kegentaran yang cuba dilakukan oleh PAS untuk menunjukkan bahawa Islam tidak akan dapat ‘muncul’ dengan kuat dan menarik dalam kerajaan perpaduan kerana bilangannya yang lebih kecil.

Saya teringat kata-kata Pak Mail yang sedang menimbang buah jering di Pasar Pagi Sungai Buloh, ‘kelentong sungguh’.

Satu lagi bentuk falasi kegentaran yang boleh mengakibatkan rasa takut ialah dakwaan bahawa hanya 68 peratus pengundi Melayu-Islam telah keluar mengundi berbanding 98 peratus pengundi bukan Melayu-Islam mengundi pada PRU ke-15 lalu.

Ia disusuli oleh kenyataan kesal MB Kedah kononnya, pengundi bukan Melayu-Islam yang ada di luar negara pulang untuk mengundi sedangkan pengundi Melayu pulang ke kampung menagih ‘sagu hati’ untuk tambang dan perbelanjaan pulang ke kampung.

MB Kedah menempelak mereka yang meminta ‘bayaran tersebut’ dijelaskan walhal ia merupakan sebahagian daripada perilaku ahli politik yang sudah lama berjalan.

Ia seolah-olah menjadi satu bentuk tradisi, yang juga dilakukan oleh PAS sehingga setiap kali muncul pilihan raya pemimpin-pemimpin PAS menyeru ‘anak rantau pulang mengundi’ dan diberikan sedikit sagu hati (tambang bas, minyak kereta dan sebagainya).

Mungkin hipotesis sedemikian perlu diuji dan ia boleh dilakukan dengan menggubal Akta Pendanaan Parti Politik, dengan memasukkan elemen ‘sagu hati untuk pengundi’.

Jika ini berlaku, kita mungkin akan mendapati berlakunya kemerosotan undi daripada ‘perantau’ atau mereka yang bekerja di negeri asal, khususnya anak-anak Kelantan yang bekerja di Lembah Klang.

Ekoran daripada kenyataan atau premis yang sama, Presiden PAS pernah mengatakan bahawa kecenderungan sedemikian seolah-olah merupakan satu tindakan bukan Islam untuk menolak pemerintahan Islam daripada terus berkuasa semula.

Setakat ini, kita tidak nampak falasi kegentaran itu sesuatu yang munasabah, walaupun lojik atau silogisme yang digunakan cukup enak dan menarik didengar.

Ramai yang tidak percaya, kerana PAS sebenarnya telah menjadi sebahagian daripada agen politik yang memecahbelahkan politik Melayu-Islam sejak parti itu bermula dengan pelbagai doktrin yang bertentangan dengan Islam, termasuk Amanat Haji Hadi.

Amanat itu tidak pernah ditarik balik sejak ia menjadi semacam ideologi politik dan dilafazkan pada tahun 1981. Haji Hadi juga sentiasa berdolak-dalik bila impak buruk Amanat itu dipersoalkan.

Bahkan, jika kita melihat kepada analisis data yang dibuat oleh pelbagai pihak, jelas membuktikan bahawa rumusan pola pengundi yang dijaja oleh Presiden PAS adalah tidak tepat.

Misalnya, seorang ahli akademik dan penganalisis politik yang sangat tertarik dengan politik Malaysia, Bridget Welsh, Penyelidik Kehormat Institut Penyelidikan Asia-Malaysia, University Nottingham membuktikan apa yang didedahkan itu adalah tidak tepat.

Peratus pengundian ialah sekitar 74 peratus, orang Melayu yang keluar mengundi ialah sekitar 79 peratus manakala India 78 peratus, 69 peratus pengundi Cina, dan lain-lain etnik sekitar 59 peratus.

Yang menjadi persoalan ialah walaupun orang Melayu merupakan peratusan keluar mengundi yang besar, ia menunjukkan berlakunya perpecahan dalam pemilihan parti politik Melayu di Semenanjung disebabkan terlalu banyak parti berasaskan kaum tersebut bertanding.

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

 

Translate »