“Engkau saja yang kami sembah dan Engkau saja kami mohon pertolongan. Bimbinglah kami kepada Jalan Yang Lurus, jalan yang Engkau berikan nikmat-Mu, dan bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai atau jalan orang-orang yang telah sesat.” (surah al- Fatihah, ayat ke-5 – 7).
****
Al-Ghazali membahagikan tiga jenis manusia (menuntut ilmu), yang akhirnya bergelar ulama: (1) menjadikan ilmu sebagai bekalan menuju akhirat dan hanya berniat mendapat reda Allah SWT; (2) menggunakan ilmu untuk kehidupan di dunia serta mencapai kemuliaan, jawatan dan harta, akhirnya alami kecelaruan diri dan penuh kehinaan kerana mencampakkan diri ke dalam bahaya; dan, (3) orang yang dikuasai syaitan, menggunakan ilmunya sebagai jalan untuk berlumba-lumba memiliki harta yang banyak, bermegah-megah dengan kedudukan dan berasa kuat dengan ramainya pengikut, segenap pelosok diselinapinya untuk mencapai hajat dunianya.
Terang al-Ghazali, :…dia beranggapan bahawa dia mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah kerana berpenampilan dengan simbol ulama dan memperlihatkan dirinya dengan ciri ciri mereka pada pakaian dan ucapan. Di samping itu, dia bersungguh-sungguh mengejar kesenangan dunia secara zahir dan tersembunyi, Orang inilah yang termasuk dalam kalangan orang yang binasa dan bodoh lagi tertipu.”
Cukup tajam rumusan al-Ghazali, walaupun ditujukan kepada mereka yang menuntut ilmu, mereka yang bergelar ulama atau ilmuan, berilmu tetapi tidak menjadikan ilmu sebagai bekalan ‘menuju akhirat’ adalah golongan yang sesat dan mencampakkan dirinya dalam bahaya. Mereka ini, biarpun mempunyai ilmu yang banyak, tidak mendapat hidayah dan sentiasa “bermegah-megah”, memperlihatkan atau berselindung “pada pakaian dan ucapan”. (Imam al-Ghazali, Jalan Menuju Petunjuk, terjemahan dari Bidayah al-Hidayah, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd., 2017, hal. xxv –xxvi).
Beberapa hari lalu, saya terjumpa video pendek yang membahaskan bagaimana agama digunakan untuk tujuan politik. Seorang pemimpin tertinggi PAS memberikan pandangan, menyebut daripada 10 orang yang dijamin masuk syurga ialah 9 orang adalah ahli politik kecuali Abdul Rahman Auf, seorang peniaga.
Ia kemudiannya ditempelak oleh seorang pendakwah bebas terkenal di Kelantan, Ustaz Muhaizad Muhammad (Mudir Madrasah Ribat al-Musthofa, Pulai Chondong, Kelantan): “dia kata 9 orang ahli politik, sekarang ini adakah ke ahli politik (tok wakil di Malaysia) yang serupa dengan sembilan orang ‘ahli syurga’ itu?”
Nasihat Ustaz Muhaizad yang juga dikenali Ustaz Muhaizad al-Yamani (belajar di Darul Musthofa Tarim, Hadramaut, Yaman selama 10 tahun (2006-2016) dan sebelumnya Maahad Muhammadi, Kota Bahru), “Jika tidak serupa (sama): Jangan guna cerita orang (cerita sahabat) untuk kebaikan sendiri. Kita nak tengok serupa atau pun tidak. Janganlah nak beritahu ‘kebaikan orang lain’ dalam ‘cerita sendiri’ Ini menyebabkan ‘orang keliru’. Jangan kata ‘orang tidak minat politik’, mereka tidak minat (masuk politik) kerana mereka keliru.
Sebab keliru itulah menyebabkan munculnya pertengkaran. Bercakaplah dengan jujur, jangan gunakan ‘cerita orang lain’, guna agama untuk tunjukkan ‘kebaikan sendiri’.
(Saya ringkaskan dan pindahkan ucapan itu dalam mod ‘cakap pindah’, dan tidak mengambil semuanya. Bagaimana pun anda boleh tontoninya di laman youtube official beliau: https://www.youtube.com/channel/UCNah2Vhi3Ztxxeq8zMD1L-Q). Sindiran itu cukup tajam dan bersahaja, dapat menjawab beberapa persoalan falasi yang ;azim digunakan oleh pemimpin PAS untuk memperlekehkan pandangan dan pendirian parti-parti lain. Suatu contoh budaya politik yang bagi Prof. Tan Sri Dr M Kamal Hasan dibincangkan secara meluas dan sangat menepati makna ‘kemunafikan politik’, suatu keadaan yang bertentangan dengan makna Islam itu sendiri.
Merujuk al-Ghazali, saya dapati ada persamaan pendekatan yang dicadangkan oleh Prof Tan Sri Dr M Kamal Hassan (1942-2023) untuk menyelesaikan masalah kemungkaran- kemungkaran politik Melayu-Islam dalam buku terakhirnya (telahan saya), Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika, (KKDPM) dan telah dilancarkan oleh Sultan Perak pada 22 September 2022. Asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris, Coruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation), diterbitkan 2021 manakala edisi terjemahan bahasa Melayu diterbitkan 2022, oleh Emir Research (M) Sdn. Bhd.
Prof Kamal meninggal dunia pada 23 Februari 2023, memasiki lima bulan melepasi 80 tahun (lahir 26 Oktober 1942 di Pasir Mas, Kelantan) di Hospital Selayang, akibat komplikasi pembedahan dan selamat dikebumikan jam 11.40 pagi (Khamis, 24 Ferbruari 2023) di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi. Al-Fatihah.
Allahyarham merupakan ahli akademik yang tidak ‘berafilasi’ (menyertai) dengan mana- mana parti politik, walaupun beberapa tegurannya mencakupi persoalan politik. Ia cukup mengingatkan kita kepada pendirian Imam al-Ghazali ketika merenung, bermuhasah diri dan mencari penyelesaian mengenai masalah umat Islam pada zamannya.
Sejak Universiti Islam Antarabangsa didirikan (1983), Prof Kamal menjadi salah seorang tenaga penggerak perintis, dari persoalan reka bentuk kampus, pengisian falsafah dalam pembanguan fizikal, pengisian ilmu-ilmu dan budaya pendidikan, arah tuju dan kemudian memegang jawatan rektor (1998-2016). Dianugerahkan Profesor Emeritus, sebaik sahaja meninggalkan dunia akademik (2018), yang digelutinya selama 42 tahun. Februari 2022, dilantik sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Prof Kamal menyebut: Sebagai seorang warganegara berketurunan Melayu yang menghampiri – in sha Allah – 79 tahun [2021] umurnya di atas bumi ini, yang tidak pernah berafilisasi dengan sebarang parti politik sehingga hari ini, saya mesti mendedahkan bahawa saya telah menjadi amat kecewa, menyampah dan malu dengan dua krisis besar yang melanda negara ini: (1) keruntuhan moral dalam arena politik dan tadbir urus negara; dan, (2) kerekahan dalaman dalam komuniti Melayu yang sedang membesar sejak lima tahun kebelakangan ini [beberapa tahun terakhir, khususnya PRU ke-14]. (hal.xxiii).
Berbeza sedikit dengan Imam al-Ghazali, setelah mengalami kemelut psikologi (skeptistik), atau ‘keraguan’, ditinggalkan dunia akademik dan kemasyhuran kerjayanya di Madrasah Nizamiyaah (Baghdad) untuk bermuhasabah, berkelana ke Syria, Palestin dan ke Arab Saudi sehingga menemui satu kaedah ‘penyucian jiwa’, tazkiyah an-nafs, iaitu membebaskan hati dan jiwa daripada nafsu serakak dan kembali kepada jiwa agama.
Jiwa agama umat Islam ketika itu berkecamuk dengan pelbagai kemungkaran, percanggahan aliran pemikiran, pesona dunia dan perpecahan. [Iman al-Ghazali, Pembebasan Daripada Kesesatan, terjemahan al-Munqidz min al-Dhalal, Jenjarom, Selangor: IBDE, 2017; Imam al-Ghazali, Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik, terjemahan Faysal al-Tafriqah Baina al-Islami wa al-Zaqagah, Jenjarom, Selangor: IBDE, 2018; Dr Abdul Halim Mahmud, Penyelamat Dari Kesesatan: Aspek-aspek Tasawuf al-Munqizh min Adh-Dhalal, terjemahan Qahiyyah at-Tasawwuf al-Munqidz min Adh-Dhalaal li Hujjah al-Islam al- Ghazali, Bandung: CV Pustaka Setia, 2001; Muddathir ‘Abdul al-Rahim, (penyunting), Al- Ghazali’s Political Thought and Other Essays on Hujjatu’l Islam, Kuala Lumpur: Islamic Book Trust, 2022; dan William Montogomery Watt, Al-Ghazali the Muslim Intellectual, Edinburgh: Edinburgh University Press, 1963 (cetakan semula 1971)].
Pemecahan kemelut itu wajib ditunjangi dengan mekanisme tasawuf dan ditegaskan secara bersepadu (ilmu dan amal) dalam karya-karyanya yang dihasilkan dalm magnum opus, Ihya Ulumuddin dan selepas bermuhasabah diri selama 10 tahun sehingga kematiannya (1111). Dalam senarai penulisan yang banyak itu, al-Ghazali menekankan kepada ‘pengembalian jiwa agama’ : ‘… telah terlepas tali pengikat (diam) yang mengikat dari lidahku. Untaian kata dan kalung mutiara pun telah dikalung ke leherku, selama engkau bersikeras menutup mata dari kebenaran yang nyata, menyokong kebatilan, dan memandang baik kepada kebodohan.
“Juga menyebarkan fitnah kepada orang yang melepaskan diri dari perilaku kebiasaan orang ramai, dan berusaha melakukan sedikit mungkin perilaku itu dengan tujuan untuk dapat melakukan tindakan yang sesuai dengan tuntutan ilmu dan meraih apa yang terkandung dalam ibadat kepada Allah SWT, iaitu membebaskan diri dan meluruskan hati.
“Kemudian untuk memperoleh kembali sebahagian dari apa yang telah terbuang akibat menyia-nyiakan umur, kerana merasa tidak mampu meraih dan mendapatkan kesempurnaan. Juga menjadikan dirinya termasuk dalam kelompok yang sebagaimana disabdakan oleh Nabi SAW: Manusia yang paling hebat mendapat siksa pada hari kiamat kelak ialah orang yang berilmu (orang alim), yang tidak diberi manfaat oleh Allah SWT dengan ilmunya. (Riwayat at-Tabrani dalam as-Shaghir, dan al-Baihaqi dalam Syu’bul Iman dari Abu Hurairah dengan sanad daif).
“Sesungguhnya, tidak ada sebab yang mendorong engkau tetap dalam bersikap sombong kecuali penyakit yang banyak dihadapi oleh orang ramai. Malah, telah dihidapi oleh orang- orang yang lalai dan tidak menaruh perhatian terhadap nilai persoalan besar ini. Persoalannya, benar-benar berat. Akhirat datang setelah dunia tertinggal di belakang dan ajal pun dekat.
“Pada perjalanan masih jauh, sementara perbekalan sedikit, bahaya besar, dan jalan terhalang. Yang terpenting sekarang ialah keikhlasan, dalam bentuk ilmu dan amal, demi Allah. Ini semua dapat dilihat oleh orang yang memiliki fikiran yang tajam dan wawasan yang dalam.
“Betapa susah dan berat perjalanan menuju akhirat yang penuh dengan tipu daya tanpa penunjuk dan teman. Para penunjuk itu adalah para ulama. Mereka para pewaris nabi-nabi.
Sekarang, masa telah kosong dari mereka. Tidak ada yang tinggal, kecuali orang-orang yang membuat aturan untuk diri mereka sendiri.
“Kebanyakan di antara mereka tergoda syaitan dan terjerumus ke dalam kesesatan. Mereka masing-masing lebih tertarik pada keuntungan yang dekat dan memandang yang baik menjadi buruk dan yang buruk menjadi baik. Akibatnya, ilmu agama pun terinjak-injak, dan cahaya petunjuk pun menghilang dari seluruh belahan bumi.” (Iman al-Ghazali, Ihya Ulumuddin, Jilid 1, terjemahan Muhammad Akhyar dan Drs Syahrin Jasah, K.Lumpur: Pustaka al-Shafa – al-Haramine, 2017, hal.1-2).
Dari segi politik, kuasa khalifah tidak lagi menjadi ‘kuasa pemutus’ sebaliknya, bergantung kepada gabenor-gabenor dan pemerintah di wilayah-wilayah, dikuasai oleh pemimpin dinasti- dinasti yang lebih kecil. (Muddathir ‘Abd al-Rahim, Al-Ghazali’s Political Thought: Its Nature and Contemporary Relevance”, dan, Sabri Orman, “Abu Hamid al-Ghazali on the Formation and Development of Economic, Social and Political Life” dalam Muddathir ‘Abd al-Rahim , penyunting, Al-Ghazali’s Political Thought and Other Essays on Hujjatul Islam, K.Lumpur:Islamic Book Trust, 2022, hal. 1-37 dan 39-57).
Semasa melancarkan buku ini (KKDPM), Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah: Melalui buku yang dihasilkan, Mohd Kamal Hassan menyeru akan pentingnya dibina kekuatan dalaman iaitu kekuatan rohani untuk memerangi rasuah” dan “ini tidak akan mencapai tujuannya jika sekadar ditulis, diterbitkan, dilancarkan, dibeli dan diedarkan.”
Ia mesti, tambah baginda: “dikembari dengan usaha bersungguh, berterusan dan berskala besar, menyampaikan mesej bahaya rasuah dan pentingnya rasuah dihapuskan, serta menyebarkan mesej pentingnya tanggungjawab diamanahkan kepada orang yang bebas daripada rasuah,” (Sinar Harian, 22 September 2022)
Semasa Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran (sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-66) pada 4 Mac 2023, baginda menegaskan:
“Rakyat sudah terlalu lemas dan berasa amat jijik melihat perlakuan rasuah. Rasuah ialah barah yang menjadi punca kepada berlakunya keruntuhan moral, penindasan, kezaliman, pencemaran, bencana alam, pengangguran dan kemiskinan.
“Amalan-amalan perolehan yang mencetuskan banyak tanda tanya dan skandal-skandal kewangan telah mencontengkan arang di wajah negara. Keaibannya ditanggung dengan harga mahal oleh setiap warga yang berurusan dengan negara luar. (Sinar Harian, 4 Mac 2023).
Walaupun buku (KKDPM) ini telah saya baca selepas seminggu dilancarkan, saya tidak segera membuat ulasan. Saya hanya tergerak menyemak dan meneliti semula pandangan- pandangan Allahyarham ketika munculnya percubaan untuk menyalahkan kerajaan perpaduan ekoran akaun Bersatu dibekukan (akhir Januari 2023), dakwaan terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan; Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad; penahanan Bendahari Bersatu, Datuk Salleh Bajuri; dakwaan mengumpul dana oleh pengusaha perabot di Pagoh, Datuk Teo Wee Cheng; dan terbaharu, Muhyiddin Yassin, bekas PM ke-8 dengan dakwaan menerima rasuah RM 232.5 juta dan penggubahan wang haram bernilai RM 195 juta.
Beberapa hari lalu, timbulnya pula nama “Datuk Roy” (Muhammad Hussain Mohamad Nasir), dipercayai sebagai perancang utama dalam skandal Jana Wibawa . Datuk Roy sudahpun menyerah diri kepada SPRM (Sinar Harian, 14 Mac 2023). Akibat pendakwaan itu, pemimpin Bersatu, pemimpin PAS menuduh ianya sebagai “pendakwaan terpilih”, “pemangsaan politik”, suatu percubaan menyekat kemaraan Gelombang Hijau di ambang PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu, pertengahan tahun ini.
Istilah sebegitu cukup galak digunakan bila tokoh politik dihadapkan dengan kesalahan rasuah, meminta komisyen, mengumpul dana pembiayaan politik dan ‘sedekah’ yang dikaitkan dengan politik wang. Kadangkala, dakwaan itu tidak merujuk kepada kes dan kenyataan yang sedang dibuktikan menerusi proses undang-undang, ia adalah dakwaan berbentuk emosi dan naratif denialisme (politik penafian).
Setakat ini, Akta Pendanaan Parti Politik belum ada, walaupun sudah beberapa tahun dicadangkan dan dilihat oleh kelompok masyarakat sivil sangat perlu.
Tan Sri Profesor M Kamal Hassan menulis:
“…keruntuhan moral dan sindrom ‘fitnah memfitnah’ yang mengiringinya – dengan sentimen politik kebencian, tuduhan palsu, ‘pembunuhan politik’ dan tindakan-tindakan khianat yang mencemari persekitaran politik – telah menjadi semakin buruk pada beberapa tahun terakhir, khususnya selepas Pilhan Raya Umum ke-14.
“Bukan sahaja agenda perpaduan nasional telah ditendang oleh sepatu but polarisasi kaum yang parah, tetapi kestabilan politik negara dan arah tuju politik negara telah tergugat dengan hebatnya. Malangnya kewujudan pandemik COVID-19 dalam negara lebih setahun yang lalu telah menjadikan politik negara lebih rumit dan mempercepatkan lagi tindakan- tindakan liar golongan oportunis politik.
“Garis pemisah yang begitu tipis antara parti kerajaan dan parti pembangkang telah mencetuskan percubaan-percubaan yang memalukan daripada kedua belah pihak; yang satu ingin terus kekal berkuasa, yang satu lagi kerana ingin menjatuhkan kerajaan.
“Untuk menjadi keadaan lebih buruk, penglibatan faktor narsisisme politik yang menampilkan diri sebagai ‘penyelamat yang jujur’ telah menjadikan kekalutan politik sebagai suatu fenomena manipulasi, putar belit dan kemunafikan politik yang belum pernah dilihat dalam sejarah negara ini.
“Krisis politik dan sindrom fitnah telah menjadi begitu menjijikkan sehingga tidak kurang daripada Yang di Pertuan Agong sendiri dan Timbalan Yang di Pertuan Agong terpaksa mengeluarkan kenyataan-kenyataan rasmi beberapa kali yang menunjukkan betapa tidak redanya mereka dan perasaan hampa mereka terhadap keruntuhan moral dalam arena politik.” (hal. xxiii-xxiv)
Barah kemunafikan politik Melayu-Islam telah dan sedang merebak (ibarat pandemik) ke seluruh anggota parti politik dan turut menjangkiti di luar parti politik, iaitu dalam masyarakat. Ia menjadi fenomena yang terpaksa kita hadapi, kerana ia hidup bersama kita sebagaimana kita terpaksa lalui dan hidup bersama pandemik COVID-19. Pandemik COVID- 19 semakin reda, tetapi aktiviti rasuah dan penggubahan wang haram masih berlaku secara sembunyi-sembunyi ataupun secara rahsia dengan pelbagai kaedah atau cara.
Rasuah, pembohongan (kemunafikan) berlaku di mana-mana, di rumah, di pejabat, dalam syarikat hinggalah di jalanan, hatta dalam tandas pun ada cerita tentang kemungkaran. Malangnya, ia semakin membesar dan membiak dalam kalangan masyarakat Islam, seperti juga aktiviti rasuah, pembabitan wanita menunjukkan trend peningkatan. (Malaysia Dateline, 3 Oktober 2022).
Kemunafikan politik (political hypocrisy), menurut Prof Kamal Hasan:
Istilah yang telah lama wujud dalam literature politik dunia yang merujuk kepada amalan berkata sesuatu kepada orang awam, tetapi lain yang dibuatnya bila bersendirian, suatu tingkah laku yang banak orangkaitkan dengan politik moden.”
Prof Kamal mengambil pandangan Ged Mirfin, untuk menggambarkan bagaimana ‘kemunafikan politik’ dilihat dan ditanggap, sehingga menjadi lebih sukar untuk menemukan contoh seorang ahli politik yang benar-benar ikhlas ketimbang “orang yang bersifat sebaliknya.
“Sebab kenapa orang tamai begitu meluat mengenai kemunafikan politik ialah kerana ia mempunyai impak yang sangat besar ke ata kehidupan harian kita…Tingkah laku kemunafikan amat menyusahkan kita kerana mahu mengambil kata-kata seseorang sebagai benar-benar mencerminkan keperibadian seseorang.
“Kemunafikan mendedahkan ketidakselarasan yang amat ketara antara tingkah laku dan keperibadian. Yang lebih buruk lagi, kemunafikan ialah muslihat untuk menampilkan suatu kepalsuan sebagai suatu kebaikan atau kebenaran. Ia menyelubungi keperibadian atau kecenderungan-kecenderungan yang sebenar, terutama yang berkaitan dengan kepercayaan agama dan moral.” (hal.17-18)
Prof Kamal seterusnya menjelaskan, kemunafikan politik tidak sama dengan kemunafikan agama di mana kemunafikan politik:
‘merujuk kepada amalan-amalan bercakap bohong, “double standard” dalam tingkah laku politik; pembuatan kenyataan-kenyataan politik yang memperdayakan masyarakat; tidak menepati perjanjian politik dengan pelbagai alasan yang dibuat-buat; menabur janji muluk- muluk kepada para pengundi sebelum pilihan raya, tetapi apabila selesai pilihan raya, janji- janji itu tidak ditunaikan; dan membuat manifesto pilihan raya yang luar biasa hebatnya, tetapi mereka sebenarnya tidak berniat melaksanakan manifesto itu secara tuntas.
“Mereka melakukan itu semua untuk memberi gambaran kepada rakyat bahawa mereka berjuang untuk kepentingan parti atau kumpulan mereka dalam parti. Dalam masa dua tahun belakangan, masyarakat Malaysia telah melihat pelbagai tindakan politik yang dramatik dan tindak tanduk tak berteika yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik tanah air. Itu semua adalah fenomena kemunafikan politik yang tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia.” (hal.19-20).
Ia sedikit sebanyak terpukul, Wan Saiful Wan Jan ketika menjadi penulis Manifesto Pakatan Harapan mengakui “tidak mendapat data terkini”, ertinya tidak cukup maklumat :
“Maka saya tidak dapat membuat anggaran berapa kos sebenar yang perlu dibayar untuk melaksanakan program-program yang saya sendiri tuliskan….Dengan realiti itu, mungkin ada janji tidak dapat dilaksanakan.” (Malaysiakini, 18 Julai 2018). Itu alasannya bila PH dituntut dan dikritik gagal melaksanakan manifesto ‘yang bukan kitab suci’ dan ‘malaikat pun buat silap’ selepas gagal melaksanakan 10 Janji 100 Hari. Kini, Wan Saiful adalah salah seorang yang didakwa menerima rasuah sebanyak RM 6.9 juta daripada agihan kontrak Jana Wibawa yang bernilai RM 232 juta kepada Nepturis Sdn Bhd ke akaun syarikat miliknya, WSA Advisory Group Sdn, Bhd. (Free Malaysia Today, 21 Februari 2023).
Muhyiddin didakwa menerima rasuah sebanyak RM 232.5 juta dan menggubah wang haram sejumlah RM 195 juta berkaitan projek Jana Wibawa pada Jumaat 10 Mac 2023 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. (detik.com., 11 Mac 2023). Tiga hari kemudian (13 Mac 2023) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, membabitkan menerima wang sebanyak RM 5 juta, yang dimasukkan ke akaun Bersatu oleh Bukhary Equity Sdn Bhd., awal tahun lalu. (Harian Metro, 13 Mac 2023).
Jelas Prof Kamal Hasan:
“Korupsi politik dan kemunafikan dalam politik Malaysia,…telah mencapai tahap kebobrokan yang belum pernah tercapai disebabkan disebabkan oleh pelbagai faktor…Juga tidak mudah untuk kita ramalkan apa lagi yang dipentaskan oleh para konspirator pilitik atau “desparados” ketika parti-parti mencaturkan kedudukan masing-masing untuk mendapat kejayaan dalam pertarungan hebat Pilihan Raya Umum ke-15…
“Apa yang kita boleh jangkakan ialah semakin dekat dengan hari pertarungan besar itu, semakin rancaklah kegiatan politik wang, percubaan membeli Ahli-Ahli Parlimen dalam parti lawan, pergelutan dalaman parti, atau berlaku lompatan keluar beberapa tokoh parti ke parti lawan, pada waktu itu tidak ada lagi rasa segan atau malu untuk melakukan apa yang haram dari perspektif agama.” (hal. 22)
Korupsi politik dan kemunafikan, tulis Prof Kamal, “telah memalukan umat Islam di Malaysia akan terus menghantui”: dan boleh disegarkan kembali setelah “berlaku dua perkara penting”, iaitu: (1) transformasi besar-besaran dalam budaya, tingkah laku dan parti politik berdasarkan satu ideologi atau pandangan alam (worldview) yang holistik dan menyeluruh yang tidak bersandarkan kepada etnik atau bangsa [pandangan alam Tauhid]; dan
(2) Lahirnya satu baka atau generasi kepimpinan baru Muslim [Ummah Wasat – mencapai hasanah fi’ddunya dan hasanah fi’l-akhirah dengan keredhaan Allah, paradigma politik baharu- Politk adalah Ibadah] yang akan menjadi pendorong kepada proses transformasi itu.
Oleh itu, ia perlu disegerakan transformasi kerohanian-moral-etika, bukan ‘menang sorak kampung tergadai’, tetapi ‘peri-pentingnya disegerakan pengadopsian pandangan alam Tauhid oleh masyarakat Islam seluruhnya bermula dengan pemimpin-pemimpin politik Melayu. (hal. 25- 39).
Selanjutnya Prof Kamal Hasan memberikan makna kepada transformasi kerohanian-moral- etika yang sangat diperlukan pembudayaannya dengan segera dalam Bab 5 dan 6, manakala di Bab 7, dijelaskan mengenai ‘salah faham agenda reformasi dalam Islam, Bab 8 mengenai jenis kepimpinan Islamik yang diperlukan bagi mencapai transformasi sosio-politik, Bab 9 dengan perlunya tarbiyah ruhaniyyah (paradigma theosentrik), Bab 10, kelengkapan baka baru kepimpinan politik bagi menghadapi tanggungjawab yang lebih mencabar; Bab 11 keperluan mutlak ‘penyucian kalbu’ dan Bab 12, Zikrullah sebagai tabiat asasi pemimpin dan pengikut muslim.
Pada Bab 13, kesimpulan dan penutup, Prof Kamal menegaskan: agenda transformasi yang dicadangkan bukan untuk menukarkan sistem politik Malaysia kepada “Theokrasi Islamik” “yang diamalkan di Iran, umpamanya, di mana kuasa tertinggi politik dan pemerintahan terletak di tangan Pemimpin Yang Maksum yang memerintah sebagai wakil Tuhan di bumi. (hal.181).
Tujuannya, jelas Prof Kamal:
“…ialah hendak mengembalikan peranan akhlak dan budi pekerti mulia dalam politik orang Melayu supaya tidak ada lagi tempat untuk korupsi dan kenunafikan bermaharajalela. Kesimpuan paling sederhana tentang apa yang ingin saya lihat dalam politik orang Melayu ialah berlakunya sistem Amar Makruf Nahi Mungkar dan tercapainya matlamat Ummah Wasat yang diletak di atas bahu umat Islam.”
Sebagai memahami ciri-ciri dan sifat rasuah, saya petik kembali pandangan dan rumusan Syed Hussin al-Attas (1924-2007), meringkaskan sebagai:
- Suatu pengkhianatan terhadap kepercayaan;
- Penipuan terhadap badan pemerintah, lembaga swasta atau masyarakat umumnya;
- Dengan sengaja melalaikan kepentingan umum untuk kepentingan khusus;
- Dilakukan dengan rahsia, kecuali dalam keadaan di mana orang-orang yang berkuasa atau bawahannya menganggapnya tidak perlu;
- Melibatkan lebih satu orang atau pihak;
- Adanya kewajipan atau keuntungan bersama, dalam bentuk wang atau yang lain;
- Terpusatnya kegiatan (rasuah) pada mereka yang mengkehendaki keputusan yang pasti dan mereka yang dapat mempengaruhinya;
- Adanya usaha untuk menutup perbuatan rasuah dalam bentuk-bentuk pengesahan hukum; dan
- Menunjukkan fungsi ganda yang kontradiktif pada mereka yang melakukan
Selanjutnya, Syed Husin menegaskan: inti rasuah ialah pencurian melalui penipuan dalam situasi mengkhianati kepercayaan. Ia mencakup dua bentuk rasuah lainnya…nepotisme dan rasuah autogenik, iaitu yang dilakukan oleh seseorang seorang diri. “ (Syed Hussin al-Attas, Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, Kuala Lumpur: DBP, 1995, hal.viii-ix).
Demikianlah ulasan saya mengenai buku KKDPM yang sangat diperlukan segera tranformasi moral-etika sebagaimana digagaskan oleh almarhum Prof Kamal Hassan dalam karya terakhirnya (mungkin), suatu pandangan yang hadir dalam ‘lubuk hati yang mendalam untuk mencerahkan politik orang Melayu-Islam’ agar menepati dengan cita-cita Islam, tidak bertompok dengan pelbagai kebobrokan (keserakahan) dan jauh dari kemelut ‘rohani’ dan percanggahan nilai hakiki untuk apa kita berpolitik, bermasyarakat dan mencari ‘jalan menuju Tuhan’, bukan menuju pesona dunia.
Suatu bacaan yang menarik, dan dapat dijadikan ‘turning point’ untuk berubah bagi mereka yang sedar agar dibimbing ke ‘Jalan Yang Lurus- siratul mustaqiin’ sebagaimana dijelaskan dalam petikan surah al-Fatihah, yang sengaja saya petik sebagai pembuka ulasan buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu ini.
KAMARUN KH
Recent Comments