Sejarah gelandangan telah muncul sejak zaman Nabi Muhammad SAW dan golongan ini dikenali dengan istilah Banu Mudhar (golongan melarat). Berdasarkan riwayat, Nabi Muhammad SAW pernah terlihat kelibat Banu Mudhar ketika melintasi kawasan masjid pada suatu ketika. Melihat kepada kumpulan tersebut, Rasullullah SAW naik ke mimbar dan berseru kepada penduduk agar memperbanyak sedekah.
Pengajaran ini memberikan kita bahawa Islam tidak membenci “golongan melarat” bahkan mereka wajar dibantu untuk keluar daripada kehidupan yang serba daif dan kekurangan itu. Kaum yang melarat diminta supaya berusaha untuk berubah dan bertakwa kepada Allah SWT agar dimurahkan rezeki.
Atas prinsip tersebut ada pandangan untuk kita melihat bahawa golongan yang melarat itu sebenarnya ujian Allah SWT kepada manusia lain yang kedudukannya lebih baik agar sentiasa membantu. Bahkan, ada pendapat menjelaskan, sekiranya hendak menemui Tuhan, seseorang itu perlu menyelami kehidupan orang yang susah.
Berbeza dengan orang miskin. Menurut perspektif sosiologi, kaum gelandangan adalah mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak mempunyai tempat tinggal. Orang miskin, walaupun mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap, masih mempunyai tempat tinggal walaupun amat sederhana dan boleh diibaratkan seperti reban ayam.
Fenomena gelandangan turut meningkatkan jumlah orang miskin di bandar-bandar besar manakala sebahagian besar golongan yang miskin berada di kawasan pedalaman ataupun desa. Kemunculan gelandangan dalam era moden dikaitkan dengan pelbagai faktor, tetapi yang paling besar ialah perbandaran.
Gelandangan kebiasaannya merupakan mereka yang berhijrah dari daerah kemiskinan ke bandar-bandar dengan harapan dapat mengecapi kehidupan yang lebih baik, iaitu memperoleh pekerjaan walaupun sebagai buruh kasar. Kesan daripada kemunculan migrasi ke bandar-bandar menyebabkan berlakunya tekanan kepada keperluan perumahan, dan tentunya sebahagian daripada kaum gelandangan tidak mampu untuk memiliki rumah ataupun membayar sewa rumah.
Gelandangan adalah masalah universal, termasuk di negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan Australia.
Taburan Gelandangan Seluruh Dunia
Negara | Tahun | Jumlah |
Amerika Syarikat | 2008 | 1,370,000 |
Australia | 2003 | 100,000 |
Brazil | 2000 | 20,000 |
Eropah | 2010 | 3,000,000 |
Filipina | 2008 | 1,200,000 |
Finland | 2010 | 7,600 |
German | 2010 | 254,000 |
Greece | 2010 | 20,000 |
India | 2003 | 78,000,000 |
Indonesia | 2001 | 3,000,000 |
Jepun | 2006 | 25,296 |
Kanada | 2008 | 200,000 |
Malaysia | 2011 | 1,387 |
Rusia | 2008 | 5,000,000 |
Scotland | 2008-2009 | 40,123 |
Sepanyol | 2010 | 39,650 |
United Kingdom | 2004 | 4 daripada setiap 1000 |
Sumber: UNHCR 2005 dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) 2011 (dipetik dari Rafiza Mohamed, Gelandangan Antara Tret Personaliti & Religiositi, K.Lumpur: ITBM, 2015: 4-5)
Mereka memilih untuk tinggal di kawasan-kawasan perkumuhan, lorong-lorong kecil dan menumpang tidur di kaki lima bangunan perniagaan atau di bawah jambatan yang terdapat di sekitar bandar besar. Itulah sebabnya, kita mudah menemui mereka jika rajin bersiar-siar di dalam bandar pada lewat malam atau awal pagi.
Kita akan dapat menemui mereka tidur di kaki lima beralaskan kertas kotak, akhbar ataupun di bawah jambatan. Di Kuala Lumpur, kita boleh menemui mereka di lorong-lorong gelap seperti Chow Kit ataupun sepanjang Sungai Kelang. Bahkan, kekotoran air Sungai Kelang tidak menjadi halangan untuk mereka mandi ataupun membasuh pakaian.
Gambaran kehidupan masyarakat gelandangan pernah dirakamkan dengan baik oleh Iwan Simatupang dalam novel yang bersifat eksentialisme, Merahnya Merah (1968), simbol perlawanan dengan arogansi kota. Gelandangan juga melakarkan corak kehidupan yang terlalu kabur, kabur dengan harapan dan masa depannya.
Bagi Iwan Simaputang, gelandangan bukan terhad kepada masalah ekonomi dan sosial, ia melangkaui faktor kemanusiaan masyarakat moden yang hidup dalam kesombongan kota.
Kesombongan juga terbina dalam diri kumpulan yang mendakwa dirinya sebagai pemimpin. Pernah berlaku dalam sejarah Kuala Lumpur, seorang menteri seperti mengherdik dan membenci mereka yang bergelandangan. Kumpulan yang menyediakan makanan untuk kaum gelandangan, dilarang untuk meneruskan bantuan kerana andaiannya ialah akan menggalakkan lebih ramai lagi gelandangan memasuki bandar raya Kuala Lumpur, yang sentiasa berazam menjadi sebuah bandar raya yang bersih dan bebas setinggan, kutu rayau dan orang yang “jijik dan kotor.”
Premis-premis kepunyaan agensi awam sepatutnya dibuka untuk kemudahan golongan gelandangan untuk “menginap”. Tetapi sayangnya, sebahagian agensi awam masih melihat gelandangan bukanlah golongan yang wajib mereka bantu. Pintu penginapan itu tertutup, kerana premis berkenaan hanya dikhususkan untuk tujuan tertentu misalnya, mereka yang baharu memeluk Islam (muallaf). Kalaupun muallaf tidak ada, agensi berkenaan sanggup membiarkan ruang-ruang itu kosong dan tidak sanggup menjaga kebajikan kaum gelandangan.
Sesekali di Malaysia kedengaran pihak tertentu berusaha untuk meringankan beban kaum gelandangan. Pembelaan itu di lihat sekadar bermusim. Tidak sanggup melaksanakannya secara berterusan, tetapi yang bermusim itulah gemanya kadangkala meriuhkan dengan kata-kata “kongsi keperitan gelandangan.”
Dari perspektif agama gelandangan “dilihat amat kurang. Kefahaman dan penghayatan tentang rukun Iman masih samar-samar…Malah terdapat responden yang tidak memahami langsung tentang rukun tersebut.”
Ertinya, golongan agama perlu mendekati mereka untuk membolehkan gelandangan yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu di Kuala Lumpur sedar apa sebenarnya tujuan hidup mereka, bukan hanya sekadar mencari sesuap nasi, tempat tinggal dan memuaskan nafsu.
Lebih mendukacitakan ialah apabila kita berjalan-jalan di lorong gelap, orang gelandangan dan anak-anak mereka mencari sisa makanan di kawasan timbunan sampah. Lebih malang lagi apabila ada anak gelandangan tidak ketahui siapakah keluarga sendiri, kecualilah ibunya sahaja.
Oleh : Maimunah Zakaria
Recent Comments