KOTA LABAH-LABAH

Semuanya menjelma labirin.

Upaya hanyalah kuasa

dikongsi sementara

antara kasmaran

 

Tak perlu kesetiaan.

Ideologi hanyalah perangkap

dipasang bagai kumbahan gula.

 

Jalan telah dipenuhi

sarang labah-labah

membelit dan meratah

dengan liur dan serakah

 

Ghazali Sulong

Rantau Panjang, Kelantan

13 April 2022.

 

Ghazali Sulong adalah mantan pengetua SMK Gual Periok, Pasir Mas, Kelantan. Lahir pada  21 Oktober 1958 dan kini adalah seorang pesara,  dan menetap di Rantau Panjang, Kelantan.

Secara peribadi, saya tidak mengenali Ghazali Sulong tetapi sejak beberapa bulan lalu, setiap minggu saya membaca puisi-puisinya menerusi facebook. Secara sepintas lalu, saya mengagumi idealisme sastera yang dituangkan menerusi pemilihan kalimat pendek, puisi pendek, tetapi sarat makna.

Salah sebuah puisi terbaharunya yang sempat saya baca, renung dan cuba mencari makna ialah Kota Labah-Labah. Kota Labah-Labah bermaksud ‘wilayah yang dikuasai oleh labah-labah’ tetapi yang kita ketahui, setiap kota labah-labah itu hanya dikuasai oleh seekor labah-labah tidak ada penghuni yang lain.

Kota labah-labah dibina dan dihuni oleh hanya seekor labah, jaringan air liurnya itulah dijadikan perangkap untuk memerangkan serangga atau unggas kecil sebagai makanannya.

Pada bari pertama, Ghazali melihat kota labah-labah itu menjelma seperti labirin. Labirin, menurut pengertian kamus ialah (ubat) bahagian dalam telinga yang mengandungi koklea dan saluran-saluran separuh bulat (Kamus Dewan, 2007, hal.863).

Dalam Oxford English-Malay Compact Advanced Learner’s Dictionary (terjemahan Asmah Omar, 2007, hal. 806) ditemukan perkataan labyrinth. Terdapat dua maksud makna perkataan itu, sebagai nama (nouns), ia merupakan “jaringan rumit lorong laluan, dan sebagainya yang bengkang-bengkok dan sukar dilalu; labirin; berseliratan” manakala sebagai kata sifat (adjectives), diberikan sebuah frasa (contoh  ayat), bangunan lama itu berselirat dengan lorong-lorong gelap. Ertinya, labirin itu berserabut, perjalanan yang sukar ataupun sangat berbelit-belit.

Setelah mendapat sedikit gambaran seperti itu, minda saya terus membuka ruang perbincangan mengenai politik, kerana seni dan kaedahnya ‘sangat berbelit-belit’ walaupun hakikatnya, politik itu sebagai wadah mengumpul aspirasi bersama atau perjuangan kolektif sesuatu kelompok berterasakan idealisme. Idealisme diterjemahkan kepada ideologi.

Cita-cita akhir politik ialah untuk berkuasa, namun Ghazali Sulong sangat sedar mengenainya. Lantas, melontarkan citarasa, hanyalah untuk berkuasa, dikongsi bersama,  untuk kasmaran.

Apakah yang dimaksudkan kasmaran? Kasmaran ialah  suatu istilah yang sangat sering kita dengar dalam lagu melankolik dari Indonesia. Bila perkataan itu muncul, saya teringat Ebiet G Ade, kerana dalam sebuah lagu puisi berjudul Nyanyian Kasmaran (1994).

Lantun Ebiet G Ade dengan nyaring, lunak dan kadangkala mendayu, Sejak engkau bertemu lelaki bermata lembut/ Ada yang tersentak dari dalam dadamu/Kau menyendiri duduk di dalam gelap/Bersenandung nyanyian kasmaran/Dan tersenyum entah untuk siapa. Mungkinkah sedang ‘angau’, sambung Ebiet, Nampaknya engkau tengah mabuk kepayang/Kau pahat langit dengan angan-angan/Kau ukir malam dengan bayang-bayang.

Kalaulah saya sendiri yang ‘berangan-angan’ atau ‘naik angau’ ketika ini, yakni sudah habis masa muda berlalu, tidak dapat saya bayangkan betapa bodohnya empunya diri. Tetapi, biasalah, setiap manusia ada naluri cinta, dan naluri itu akan kekal dalam sanubari manusia walaupun ‘sudah renta’ atau tua dan tidak lagi mampu ‘bercinta-cintaan’.

Tetapi, politik itu begitu. Politik tidak pernah menginsafkan diri, tidak melihat kerentaan itu sebagai suatu masalah. Renta itu hanya ‘rahsia umur’, bukan ‘kurang tenaga’. Renta itu ‘kematangan’ tetapi ‘matang untuk apa’?

Lalu saya berfikir sekali lagi. Lalu saya membuka beberapa lembaran sejarah daripada pembacaan saya tentang politik dan budaya politik kepartian. Saya menemukan suatu hal yang sangat membanggakan, tetapi cukup berkonflik dengan makna ‘tempoh’ atau masa yang lama sehingga menjadi ‘matang’. Situasi itu sayang panggil ‘pasca-matang’ – post-maturity.

Kalau tahun 2017 diberikan nama tahun post-truth, maka sekurang-kurangnya, pasca PRU ke-15 di Malaysia saya namakan era pasca-matang. Ingat, saya tidak ejakan istilah tersebut secara berpisah dan rapat, tetapi dipagari oleh sempang (-). Makna sempang itu terkait, yakni pasca (selepas) atau melangkaui situasi yang dipanggil matang. Seperti juga post-truth, selepas atau melangkaui kebenaran. Maka, pasca-matang itu membawa maksud keadaan yang menimbulkan suasana melangkaui kematangan.

Mungkin Ghazali Sulang tidak bersetuju dengan pasca-matang walaupun ditulisnya, tidak perlu kesetiaan, ideologi hanya perangkap, dipasang sebagai kumbahan gula. Tetapi, saya berandaian demikian kerana selepas ideologi, yang ada hanyalah ‘gila kuasa’ dan mengekalkan kuasa dalam sistem politik, termasuk dalam sistem kepartian.

Ideologi memang menarik, tetapi ideologi sesebuah parti politik atau perseorang berubah menjadi megalothymia. Menurut istilah, megalomaniac membawa maksud “a person who has an obsessive desire for power.” Mudahnya, seseorang ‘gila kuasa’, tak kiralah sama ada kuasa itu adalah politik atau kuasa dalam sesebuah organisasi. Atas kegilaan kuas itu maka akan dipertahan apa cara sekalipun, termasuk menggunakan pelbagai jenis falasi atau kenyatan dan hujah untuk menyekat kebangkitan orang lain, yang kita dikenali sebagai ‘lawan’ atau ‘musuh’.

Tetapi, dalam politik ada pula keindahannya. Musuh tidak akan selama-lamanya, kawan karib tidak akan bertahan lama, kerana mereka itu mahukan kuasa. Saya berhenti di sini, saya tidak berhasrat mengembangkan fenomena peralihan ‘kawan’ kepada ‘lawan’ dan di sebaliknya, lawan kepada kawan. Ia cukup banyak yang dapat kita ingat, sehingga politik itu hadir seperti pentas sarkas.

Dalam kemuliaan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN), ada pekikan, ada maki hamun, ada kata-kata kesat dan ‘baling kerusi’. Mujurlah, baling kerusi tidak berlaku di Dewan Rakyat, tetapi panjat kerusi dan meja pernah berlaku di DUN Perak (2009).

Bila politik sarkas mengambil bentuk, maka ‘kemuliaan’ sudah bertukar menjadi ‘kekacauan’ dan juga anarkis. Ramai yang bangga bila melakukan perilaku anarkis, yakni melawan nilai-nilai baik dan santun apabila sesuatu pandangan, pendapat tidak diterima dan dilempiaskan ke jalan raya mahupun ‘duduk-bantah’.

Apakah ‘jalan telah dipenuhi/ sarang labah-labah/ membelit dan meratah’? Bagi saya, memang jalan politik sekarang sangat sesak dengan sarang labah-labah dan sangat berbelit-belit dan saling sailang-menyailang.

Kenapa saya berkata begitu? Saya katakan begitu kerana banyak budaya politik yang tidak mulus, bahkan cukup berbahaya sehingga UMNO sendiri pun sudah diserang megalothymia. Saya cuba mencari makna megalothymia.

Saya temukan sebuah kertas kerja akademik, yang ditulis oleh Afi Rosley Abu Bakar (Universiti Tunku Abdul Rahman) dan Mohd Azmir Mohd Nizar (USM) bertajuk “Cabaran ‘isothymia-megathylomia’ Dalam Pembinaan Negara Bangsa Malaysia dan Pencabulan Ke atas Elemen-Elemen Anak Watan”, yang dibentangkan dalam e-Proceeding of International Conferences on Aqidah, Religions and Social Sciences (SIGMA 10) pada 4 November 2020.

Beberapa hari lalu, saya membaca pula sebuah buku yang cukup menarik. FIrdauz Zainal menulis buku Megalothymia Politik Ketuanan Melayu: Perjuangan Orang Melayu Mencari Ketuanan Melayu (terbitan Ilham Books, 2023).

Saya petik apa yang ditulis oleh Afi Rosley dan Mohd Azmir: Pasca penjajahan telah menyesakkan Malaysia dengan wujudnya masalah besar yang gagal diselesaikan oleh demokrasi liberal, iaitu thymos, iaitu perasaan kemarahan, atau semangat, sebagaimana Socrates rujuk sebagai ‘spirit’ (Bloom, 2016) yang bermatlamatkan maruah, yang mendambakan pengiktirafan

Masalah thymos ini sebenarnya boleh dilihat dalam dua bentuk yang berbeza, iaitu isothymia dan megalothymia (Fuller, 2006). Isothymia boleh diertikan sebagai tuntutan untuk dihormati atas dasar sama rata dengan kumpulan yang lain.

Kotemporari politik identiti didorong oleh pencarian pengiktirafan oleh kumpulan yang menganggap diri dan kumpulan mereka sebagai terpinggir (marginalized) oleh masyarakat. Dan ia sebenarnya boleh menjadi tuntutan terhadap pengiktirafan terhadap keunggulan atau ketinggian kumpulan itu sendiri.

Kotak fikiran ini serta tindak-tanduk ini dapat diperhatikan dalam beberapa insiden yang berlaku pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 14 pada 2008 boleh menjadi tuntutan terhadap pengiktirafan terhadap keunggulan atau ketinggian kumpulan itu sendiri.

Pendefinisian semula, atau lebih popular dengan slogan Malaysia Baharu yang cuba diisi dengan pelbagai tindakan yang tidak sehaluan dengan norma dan status quo, yang bukan dalam konteks parti politik sahaja, tetapi melangkaui sejarah, budaya dan citra Malaysia.

“Megalothymia pula ialah keinginan untuk diiktiraf atau dikenali sebagai unggul. Berani mengambil risiko, terlibat dalam perjuangan monumental, serta mencari kesan yang besar yang semuanya membawa kepada pengiktirafan individu atau kumpulan terhadap yang lain.

“Firaun, Namrud, atau Lincoln, atau Churchill atau Mendela, atau Caesar, mahupun Hitler ataupun Mao Zedong, adalah antara beberapa contoh perwira atau pejuang (heroic) ataupun diktator atau penzalim (tyrant).

Masalah megalothymia ialah di mana kebaikan berposisi, iaitu yang perasaan yang didasarkan kepada rasa kebersamaan yang tidak boleh dikongsi oleh mereka yang bukan dalam kumpulan atau golongan yang sama.

“Ringkasnya, ialah keadaan psikologi yang inginkan sesuatu status yang terkandung di dalam biologi manusia (Anderson, 2019; Fukuyama, 2019).

Jika sebelum gelombang ketiga pendemokrasian, soal pemilikan dan pegangan ekonomi menjadi keutamaan, namun setelah berlaku globalisasi, soal keinginan untuk diiktiraf berdasarkan status, mahupun kumpulan atau golongan menjadi keutamaan pula.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Huntington bahawa psikologi megalothymia sering melibatkan kumpulan menengah berbanding kumpulan yang miskin dan terdesak atas faktor akan kehilangan status dengan kumpulan yang lain (Huntington, 1996).

“Ini dapat dibuktikan engan golongan pendesak adalah mereka yang dalam kalangan pertengahan, berpelajaran dan terdedah dengan pelbagai maklumat.

“Megalothymia juga sering dikaitkan dengan promo harga diri yang melahirkan narsisisme yang membawa kepada perjuangan peribadi berbanding perjuangan keadilan sosial. Maka jika diamati, kekeliruan dan polemik yang berlaku dewasa ini sebenarnya menterjemahkan kekusutan harga diri yang diapit oleh kebencian (resentment) akibat tekanan sosial.

Oleh yang demikian dapat diperhalusi bahawa ancaman terhadap keanggotaan dan pemilikan serta perasaan unggul berbanding yang lain ditambah dengan tekanan potensi kehilangan status, ia mencipta kebencian dan mempengaruhi golongan yang sama.

Thymos pada hakikatnya ialah perasaan marah dan juga bangga, juga pertimbangan bernilai, yang saling berkait dengan politik identiti.

Disebabkan oleh wujudnya perasaan inginkan hak sama rata (isothymia), reaksi anak watan pula di pengaruhi oleh keinginan diiktiraf sebagai unggul (megalothymia) telah merencatkan proses pembinaan negara bangsa apabila elemen-elemen anak watan yang termaktub di dalam perlembagaan menjadi usul pertikaian.

Maka, disebabkan pencabulan elemen ini, politik di Malaysia dilihat seakan menyahut seruan global dengan politik identiti dan politik kemarahan menjadi taruhan parti politik pasca Mac 2020 apabila elemen-elemen anak watan yang termaktub di dalam perlembagaan menjadi usul pertikaian. “

Tetapi, situasi itu masih cukup menjadikan politik Malaysia labirin dan setiap parti politik (gabungan) sedang bertindak seperti ‘sarang labah-labah’. Selepas terbentuknya kerajaan perpaduan (24 November 2022), labah-labah yang cuba memerangkan ‘makanan’ tidak pernah berhenti untuk mengherotkan kerajaan perpaduan dengan ‘kumbahan gula’.

Saya panggil ‘kumbahan gula’ itu dengan istilah falasi, dan Faisal Tehrani cukup mudah memberikan beberapa contoh mengenai falasi yang dikembangkan oleh PAS. Saya bukan anti PAS, tetapi, saya sangat tidak bersetuju dengan keputusan-keputusan pemimpin PAS yang kadangkala cukup bercanggah dengan makna politik Islam.

PAS adalah sebuah contoh ‘mengagamasasikan politik’ sebagaimana ditakrifkan oleh Basan Tibi mengenai Islamisme. (Basan Tibi, Islam dan Islamisme, (terjemahan) Bandung: PT Mizan Pustaka, 2016). Islamisme adalah politik keagamaan, menggunakan simbol agama untuk tujuan berpolitik. Islamisme bukan semata-mata politik, tetapi politik yang menggunakan doktrin sebagai kepercayaan agama.

Jelas Bassam Tibi, Islamisme ini merupakan contoh paling kuat dari fenomena global fundamentalisme agama. Dalam Islamisme, agama menjadi modal untuk promosi sesuatu tatanan politik, yang kononnya dipercayai dari kehendak Tuhan, bukannya berdasarkan kedaulatan rakyat.

Islamisme seringkali dimuluskan atau retorik sebagai bentuk kebangkitan kembali, walhal ia adalah di sebaliknya. Islamisme tidak menghidupkan kembali Islam, tetapi merekonstruksikan Islam yang tidak sesuai dengan warisan sejarahnya.

Bagaimana Islamisme ‘sesuai dengan warisan sejarahnya” Ia memerlukan seseorang itu melihat sejarah Islam yang panjang membentuk empayar, sehingga berjaya menguasai sebuah kawasan yang sangat luas, bermula di Semenanjung Arab, ke Asia Tengah, ke Afrika, ke Eropah, ke India dan seterusnya menjadi kekuatan politik di Asia Tenggara, sekurang-kurang di Malaysia dan Indonesia.

Kita harus melihat secara tuntas untuk mentafsirkan peristiwa sejarah, kerana di dalamnya cukup memberikan kita pengajaran apa makna Islam dan Islamisme. Biarlah sejarah itu menjadi saksi bagaimana Islamisme telah melunturkan makna Islam sebagai ‘doktrin keibadatan’, sehingga Islam itu sendiri tidak disukai oleh orang Islam sendiri akibat pelecehan Islamisme.

Islamisme yang sedang berkembang, selepas PRU ke-15 cukup menjengkelkan sehingga sesuatu yang dianggap salah, diterima sebagai sedekah, manakala usaha kerajaan mengenakan tindakan kepada mereka yang melakukan rasuah, dilihat sebagai ‘pendakwaan terpilih’ hanya kerana mereka yang dibawa ke pengadilan itu adalah dalam kelompok sendiri (peer group).

Akhirnya, saya cukup tega dengan puisi Ghazali Sulong kali ini. Tetapi, saya perlu memohon maaf kerana membuat tafsiran berdasarkan skop politik. Saya berbuat demikian kerana saya temui bait ini:

Tak perlu kesetiaan

Ideologi hanyalah perangkap                              

dipasang bagai kumbahan gula.

Dan,

Dengan liuar dan serakah.

Bagi saya, liur itu mewakili kata-kata manakala serakah itu adalah apa yang tersirat dalam jiwa (nafsu).

Kata-kata itu ‘sedang memahat langit’ kerana Nyanyian Kasmaran adalah senandung orang-orang kecewa dan ‘mabuk kepayang’. Yang pastinya, setakat ini ‘bayang-bayang’ itu diukir ketika ‘malam’. Malam membawa imej, jumlah sokongan yang tidak mencukupi.

Ukiran, dilakukan dengan ‘memahat dan menukul’, tapi sayangnya, terpelencong bila mengetuk paku. Paku tak masuk, tapi percikan api terkeluar dan mungkin ‘tangan akan berdarah.

KAMARUN KH

Translate »