“Kadang-kadang…yang nyata adalah yang terlihat dan dapat diamati, sedangkan ilmu yang lain adalah ilmu fantasi. Misalnya, seorang arkitek berfikir dan membayangkan sebuah bangunan sekolah. Sebesar apa pun kebenaran dan ketetapan fikiran arkitek itu, ia tetaplah khayalan. Khayalan itu akan menjadi nyata jika si arkitek mewujudkan bangunan sekolah yang dikhayalkannya.

“Antara satu gambaran dan angan-angan dengan gambaran dan angan-angan yang lain memiliki perbezaan besar. Arkitek yang mahir menggambarkan bangunan rumah dan orang lain yang bukan arkitek juga menggambarkan bangunan yang sama. Gambaran si arkitek lebih mendekatkan kenyataan, dunia hakikat, dunia penglihatan. Ada perbezaan besar di antara satu penglihatan dan penglihatan lainnya.” Jalaludin Rumi, Fihi Ma Fihi: 71 Ceramah Rumi Untuk Pendidikan Rohani, penterjemah Abu Ali dan Taufik Damas, Jakarta: Penerbit Zaman, cetakan II, 2016, hal. 422-423)

Seorang professor pengajian Islam dari sebuah universiti awam tempatan melontarkan kritikan menghina mutu skrip video klip berdurasi tiga (3) minit yang dihasilkan oleh saya bertajuk “Tolak Pelampau Agama” yang dimuatnaik di laman dhomir TV (https://www.youtube.com/watch?v=RQ-2X0hv1MQ)

Skrip itu dinilai “amat lemah” kerana “ulasan yang surface” (permukaan, tidak mendalam) dan “tiada orang membahagikan liberal dan fundamental, yang ada liberalisme dan ekstremisme” manakala gambar-gambar “menggambarkan kecenderungan melampau penulis”; tiada bukti kukuh untuk mensabitkan mereka (PAS dan PN) sebagai ekstremisme. Ia boleh disifatkan sebagai video propaganda.”

Ada beberapa perkara yang dapat dilihat dan dikembangkan menjadi pengetahuan, seperti dinyatakan oleh Jalaludin Rumi, ilmu abdan (ilmu tentang badan) dan ilmu adyan (ilmu spiritual). Jelas Jalaludin Rumi, “melihat cahaya lampu dan api adalah ilmu abdan sedangkan terbakar api adalah ilmu adyan.”

Dalam perkataan lain, bagi orang akademik sesuatu perkara atau pengetahuan perlu didasarkan kepada ilmu abdan, seperti rumusan kajian atau generalisasi daripada sampel dan sampel pula dipilih secara rawak, atau dipilih berdasarkan kaedah tertentu bagi menggambarkan sampel yang dipilih dapat mewakili. Sebab itulah apa yang saya cuba gambarkan itu dianggap ‘surface’ tetapi sayangnya kritikan yang dibuat tidak pula menjelaskan apa yang dikatakan mendalam dan menyeluruh.

Sejak sekian lama, sebelum fasa akademik atau dunia ilmiah muncul, masyarakat membina pengetahuan berdasarkan pengamatan mereka terhadap sesuatu fenomena, dan juga anekdot-anekdot yang berjaya mereka kumpulan. Kesemuanya ini menjadi bahan pengetahuan yang cukup berkesan dan mutunya hingga sekarang dilihat masih relevan walaupun teori atau pendapat mereka berusia ribuan tahun.

Ilmu-ilmunya menjadi bahan kajian, dibaca dan dikembangkan sehingga masa kini, ia menjadi rujukan penting seperti yang berjaya dilakukan oleh al-Ghazali, bahkan professor berkenaan cukup mahir dengan pemikiran hujjatul Islam tersebut. Keilmiahan al-Ghazali banyak bersandarkan anekdot, kemahiran berhujah dan kebolehannya mengintegrasikan bidang-bidang ilmu menjadi sebuah pemikiran dan amalan bersepadu mengenai Islam.

Saya sangat mengharapkan kritik tersebut muncul dalam bentuk konstruktif, tetapi malangnya ia tidak lahir dalam bentuk tersebut, hanya sekadar sebuah kritikan biasa, yang dilontarkan oleh orang awam, “yang cantik tidak muncul, yang indah tidak menjelma’ maka itulah yang saya samakan dengan “khayalan” dan bukannya “khayalan seorang arkitek”, sebagaimana digambarkan oleh Jalaludin Rumi pada petikan di permulaan reaksi saya terhadap kritikan professor ini.

Untuk menjawab padangan bahawa ‘tidak ada orang membahagikan liberal dan fundamental’ saya tetap menyatakan ia adalah perspektif yang cuba menjelaskan bahawa liberal itu adalah sikap dan asakan untuk meruntuhkan ‘fundamental’ sebagaimana difahami dalam percaturan sesuatu perkara. Selepas berjaya mengasak ‘fundamental’ dengan nilai-nilai liberal itu muncullah satu bentuk aliran pemikiran yang dinamakan liberalisme, dan liberalisme itu kemudiannya digunakan untuk meruntuhkan ‘fundamental’ maka disitulah bermulanya apa yang dinamakan sebagai ektremisme.

Hal ini dapat kita perhatikan permulaan terlahirnya puak khawarij dan kemudiannya menjadi kelompok ektremis yang dikenali sebagai syiah. Syiah mempunyai pelbagai aliran pemikiran, dan radikalisme kelompok tersebut menjadi ancaman besar kepada kelompok-kelompok yang lain kerana bersedia membunuh sesiap sahaja yang menghalangi idealisme politik mereka. Syiah juga memunculkan radikalisme tindakan Rashid ad-Dien Sinnan, yang dikenali sebagai ‘lelaki dari gunung’ dan sebelumnya, beberapa tindakan radikal Syi’ah Ismailiyyah telah berlaku.

Dalam istilah lain, radikalisme Syiah Ismailiyyah  (semasa di pimpin oleh Rashid ad-Dien Sinnan (Sinan bin Salman bin Muhammad 1133-1193), dikenali  Hasyisyiyyah atau assassin (pembunuh upahan, pembunuh rahsia), “menjual diri mereka, haus darah, tega membunuh orang-orang yang tidak bersalah demi wang dan tidak mempedulikan kehidupan dan keselamatan mereka sendiri. Serupa hantu, mereka mengubah diri menjadi segala sesuatu, meniru sikap, pakaian, bahasa, kebiasaan, dan tingkah laku bermacam-macam bangsa dan rakyat. Sembari bersembunyi di balik penyamaran, mereka menebar kematian kapan pun mereka mahu.” (catatan Brocardus, dipetik oleh Bernard Lewis, Assassin: Sejarah Sebuah Sekte Radikal Dalam Islam, terjemahan Irfan Zaki Ibrahim, Yogyakarta: Penerbit IRCiSoD, 2018, hal. 8).

Kelompok ini telah membunuh Janah al-Dawla (1 Mei 1103), Khalaf bin Mualib (3 Februari 1106), emir Seljuk bernama Maudud (1113), Count Raymond II dari Tripoli (1130), Khalifah ar-Rasyid (5 atau 6 Jun 1138), Sultan Daud (1143), Disember 1174 atau Januari 1175, Nurudin Mahmud Zenki (15 Mei 1174), dua kali cuba membunuh Salahudin al-Ayubi (Disember 1174 atau Januari 1175 dan 22 Mei 1176), Syahbudin al-Ajami (31 Ogos 1177), dan Marquis Conrad dari Monferrat (Raja Jerusalem, 28 April 1192),

Penilaian ‘sangat teruk” itu sudah cukup menggambarkan ketaksubannya terhadap kaedah akademik yang tidak berpijak kepada realiti pemikiran masyarakat awam. Ia merupakan kelaziman budaya ilmiah, yang berbingkaikan kerangka ilmiah sekular, memuncul manusia cemerlang berfikir tetapi tiada roh dan nilai spiritual. Islam tidak mendambakan manusia begitu, kerana manusia walaupun diiktiraf sebagai khalifah (pemimpin),  manusia  tetap merupakan HAMBA di sisi Allah SWT. Kehambaan adalah lambang rendah diri, yang lawannya adalah ego, sombong dan angkuh dengan apa yang ada dalam diri sendiri.

Tulis Sujiwo Tejo dan Dr Nursamad Kamba (1958-2020): ‘Yang menentukan ialah mindset, bukan mainstream. Terkadang, sesuatu dianggap realitas mutlak dan obsolut, hanya kerana menjadi mainstream. Padahal, mainstream terbentuk semata-mata hanya kerana proses indoktrinasi berkelanjutan. Yakni, indoktrinasi yang berusaha mempengaruhi mindset, bukan sebagai represantasi kebenaran apa adanya.” Sujiwo Tejo dan Dr MN Kamba, Tuhan Maha Asyik, Depok: Penerbit Imania, 2016, hal.41).

Apabila dilihat daripada komen, ia jelas dengan makna sombong dan ego, ia bukan sebuah kritikan yang membina. Kritikan membina mengandungi alasan-alasan konstruktif (membina), cadangan penambahbaikan, dan bagaimana boleh dikembangkan persembahan tersebut agar jadi berbobot, berakhir dengan kesan positif dan diselit dengan strategi komunikasi pembujukan yang jelas.

Jika persembahan itu di nilai sebagai propaganda maka kuliah para ahli akademik juga boleh ditakrifkan sebagai propaganda. Sesuatu perkara yang disifatkan sebagai propaganda ialah tidak memberikan khalayak ruang berfikir, diajukan keseluruhan dengan keputusan sama ada secara sedar atau bawah sedar, langsung atau tidak langsung.

Setelah menonton keseluruhan video tersebut tidak ditemukan makna propaganda, sebalik membuka ruang berfikir dan mencari maklumat selanjutnya agar dapat difahami secara mendalam, menyeluruh dab bersifat multidisiplin. Ini kerana Pelampau Agama muncul bukan hanya pada satu sisi, ia berintegrasi dalam pelbagai dimensi dan faktor, berintegrasi antara fikiran, hati dan tingkahlaku.

Teori apa pun tidak membawa apa-apa makna dan kebaikan jika ianya tidak dapat dipraktikkan atau difahami oleh orang kebanyakan, ahli akademik hanya melihat kemunculan sesuatu teori berdasarkan sudut pandangan tertentu sedangkan pada realiti kehidupan, ia terintegrasi secara sedar atau di alam fikiran  bawah sadar. Secara akademik, sesuatu yang dipangil mitos, tidak ada nilainya, tetapi dalam kehidupan nyata, mitos ikut mempengaruhi tindakan seseorang, kelompok dan komuniti. (Karen Arsmtrong, Great Transformation: Beginning of Our Religious Traditions, New York: Bantam Doubleday Dell Publishing Group Inc., 2007)

Dalam membicarakan tentang Pelampau Agama, termasuk intra Islam kita akan menemui perilaku itu, disebabkan adanya pertentangan pendirian terhadap sesuatu isu atau perkara, walaupun pada dasarnya, perbezaan pendapat itu dibenarkan dalam Islam. Ia berbeza dalam tradisi Kristian yang dikawal oleh Gereja, perbezaan pendapat atau pandangan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan dihukum penjara. Mereka yang dihukum bunuh dalam Islam ialah mereka yang berpandangan ‘mengakui dirinya menyatu dengan Allah’ sehingga muncul salah faham sebagaimana dihadapi oleh Mansour al-Hallaj.

Jika kita mengambil kisah sejarah Islam, timbulnya sikap melampau dalam Islam kerana berpegang kepada satu keyakinan kelompok atau diri sendiri, sehingga menganggap pendiriannya itulah yang benar dan betul. Oleh itu, penggunaan footage yang ada kaitannya dengan sesuatu parti politik memang disengajakan kerana budaya politik yang terlekat dalam memori sejarah ialah begitu, bukan bererti sebuah propaganda.

Orang awam masih segar ingatan mereka bagaimana parti berkenaan telah memulakan doktrin kafir dan menolak kerjasama dengan bukan Islam, sehingga mereka yang bekerjasama dengan bukan Islam ‘dihalalkan darah mereka dibunuh’. Ia menjadi doktrin yang cukup lama meninggalkan kesan, sehingga akhir-akhir ini, dalam kempen PRU ke-15, muncul lagi kisah ‘syurga’ yang eksklusif untuk kelompok mereka.

Apakah naratif sedemikian tidak dianggap ektremis, walhal telah menyebabkan perpecahan masyarakat, konflik, terbubarnya silaturrahim, hubungan perkahwinan terbatal, bahkan perbalahan yang besar dalam keluarga hanya kerana berbeza fahaman politik. Pada suatu pihak, perbezaan fahaman politik dianggap seumpama ‘sebuah kapal dua nakhoda’ yang tidak mungkin bersefahaman destinasi.

Naratif begitu belum cukup bagi ahli akademik kerana ia tidak mengalami proses verifikasi kajian yang bersifat ilmiah. Tetapi, bagi orang awam, anekdot-anekdit sebegitu cukup memberikan mereka makna, kesahihan berlakunya sesuatu kejadian, ia adalah sebuah memori sejarah yang terakam kuat dalam proses pengalaman mereka sendiri. Itulah yang berlaku dalam polemik video  Pelampau Agama, neraca entusiasme akademik sangat berbeza berbanding realiti pemikiran masyarakat awam, walaupun neraca akademik mengambil rumusan yang sama setelah berjaya menguji hipotesis. Tidak ada hipotesis dalam pemikiran masyarakat awam, hipotesis itu hanya persoalan akademik.

Penerbitan video tersebut untuk keperluan masyarakat awam, sekadar menjentik minda mereka untuk memahami arus sejarah perkelahian sehingga menyebabkan konflik dan perkelahian, pertembungan faham pemikiran dan aliran falsafah. Hal sedemikian dikritik dan dibincang dengan menarik oleh Prof Dr Simuh dalam karyanya, Krisis Pemikiran Islam (2019): juga dalam perbahasan Haidar Bagir, Islam Tuhan, Islam Manusia: Agama dan Spiritualitas di Zaman Kacau, (edisi kedua, cetakan pertama, 2019).

Kalau dilihat daripada perspektif psikologi, sesuatu pertentangan atau konflik berpunca daripada perbezaan pandangan atau pemahaman, maka perbezaan itu diperpanjangkan sehingga tidak ada satu titik pertemuan, toleransi dan garis pemisahnya menjadi semakin merah dari hanya pada tahap kelabu. Itulah yang terjadi pada awal kemunculan kelompok Khawarij dan Khawarij kemudian berkembang menjadi Syi’ah dengan pelbagai aliran pemikiran.

Syi’ah pula ada sangat radikal sehingga membentuk kelompok assassin yang dikembangkan oleh Hasan i-Sabah (A S Picklay, History of Ismaili (1940), dan kemudiannya menjadi semakin radikal oleh “Lelaki Dari Gunung’ yang bersembunyi di kawasan pergunungan di Syria, sebagaimana dipelopori oleh Rashid Sinan pada Abad Pertengahan sehingga sanggup menyerang siapa sahaja yang menghalangi, dan menjadi semakin ‘menggila pada masa Perang Salib’ (Bernard Lewis, Assassin (2018); dan  James Reston, Jr., Warriors of God: Richard the Lionheart and Saladin (2001)).

Ideologi politik mereka, termasuk dua kali cuba membunuh Salahudin al-Ayubbi. Sepatutnya, atas semangat Islam, kelompok Syi’ah atau cabang assassin itu ikut berjuang mempertahankan Islam, terutama ketika berhadapan dengan kebangkitan Tentera Salib. Kelompok ‘Lelaki Dari Gunung’ itu ikut memusuhi kelompok Tentera Salib setelah kelompok tersebut menyekat aktiviti mereka di beberapa lokasi, antaranya sekitar Syria dan Antakolia.

Fundamental bermakna asas atau teras manakala fundamentalisme ialah fahaman untuk kembali kepada nilai-nilai atau prinsip asal, misalnya kebangkitan semula Islam yang disarankab oleh al-Ghazali kembali berpegang kepada al-Qur’an dan Al-Hadis. Dalam pengertian moden, fundamentalisme diikatkan dengan nilai-nilai kolot dan keyakinan melampau atau ciri-ciri otordok. Dalam Islam, kembali kepada al-Qur’an dan al-Hadis tidak boleh disamakan dengan makna otordok, tetapi kajian akademik menggunakan istilah tersebut untuk menggambarkan kejelekan pemikiran Islam apabila berusaha merujuk kepada sumber asli.

Hal ini telah mempengaruhi umat Islam sendiri sehingga ada yang melihat al-Qur’an perlu ditulis semula kerana ia diturunkan pada zaman Mesopotamia. Dan ajarannya sesuai untuk masyarakat ketika itu, bukan masyarakat sekarang yang mengharapkan munculnya kemodenan dan pembaratan.  Bahkan juga ada pandangan yang lain, disebabkan al-Qur’an merupakan kita suci agama, maka tidak perlu pula untuk belajar dan memahami hadis, atas alasan ia sudah lengkap diterangkan dalam kitab suci tersebut.

Pandangan-pandangan sebegini dilihat pada permulaannya sebagai satu bentuk pemikiran liberal, dan kemudiannya berkembang menjadi suatu doktrin liberalisme dalam Islam. Jadi, adalah tidak salah bila membahagikan kategori pemikiran awal mengenai perkara tersebut sebagai liberal dan fundamental, sebelum menjengok lebih kepada pembentukan doktrin liberalisme dan fundamentalisme.

Liberal ialah satu aliran pemikiran yang bermula daripada keinginan untuk keluar daripada fundamental (atau tradisi pemikiran) kerana beranggapan dan terasa diri dan pemikiran terkongkong. Kehendak untuk bebas itulah kemudiannya membuka kepada pemikiran selanjutnya, dan membawa kepada fenomena sekularisasi, yang kita kenal sebagai sekularisme disebabkan tindakannya mengasingkan  agama dan urusan manusia atau negara dan kehidupan harian. Agama dilihat sebagai satu bentuk ritual dan tidak ada roh atau integrasi nilai kehidupan seharian. Agama hanya sekadar nilai yang bersifat individualistik, bukan bersifat sosial, ekonomi dan sebagainya. (Abul ‘Ala al-Maududi, Toward Understanding al-Qur’an (2016); Hamka, Falsafah Hidup (1995); Hamka, Pandangan Hidup Muslim (2010); dan Syed Muhammad Naquib al-Attas, Proglema to Metaphysics of Islam (1995))

Dalam pemekaran teori, rangka kerja ilmiah (akademik) mereka menggunakan data secara rawak dan kecil (mendakwa dapat mewakili populasi), kemudian membentuk generalisasi sebenarnya tidak mampu memberikan penyelesaian terhadap masalah manusia dalam jangka masa yang panjang, seperti kekaguman terhadap teori pengurusan manusia dari motivasi ganjaran (seperti bonus), pengurusan grid (grid management), theory X, Y dan Z, hinggalah kepada Management By Objectives, Open Leadership, Manegement Buy-Out dan Buy-In, masalah sentiasa muncul dan parah.

Sebagai rumusannya, saya mengutip apa yang diulis oleh Sujiwo Tejo dan almarhum Dr Nursamad Kamba: akan menjadi amat ironis jika kita dipercaya membawa oborbtapi fikiran dan tindakan kita tidak melampauikepentingan peribadi dan golongan sendiri.” (Tuhan Maha Asyik, hal.129)

Oleh : Mohd Shauki Abd Majid

Translate »