[Pada suatu petang awal bulan Disember 1955, aku menaiki sebuah bas di Montgomery, Alabama. Aku duduk di hadapan, bahagian khas untuk orang kulit hitam. Penumpang kulit putih pula duduk di tempat penumpang kulit putih, Tidak lama setelah aku melabuhkan punggung, semakin ramai penumpang kulit putih memanjat masuk ke dalam ruang bas sehinggakan ada yang tidak mendapat tempat duduk.

Dalam keadaan sebegini, selalunya kami penumpang kulit hitam terpaksa beralah. Kami terpaksa mengorbankan tempat duduk kami untuk mereka. Namun, kali ini aku tidak bingkas bangun.

Pemandu bas kulit putih  itu kemudiannya berkata kepadaku: Berikan aku tempat duduk hadapan itu.”

Aku tetap di situ, sama sekali tidak berganjak. Aku sudah cukup muak mengalah kepada orang kulit putih.

“Aku akan lapor kepada polis, biar kau ditangkap,” sambung pemandu itu.

“Cubalah,” selamba aku menjawab.

Tidak lama kemudian, dua orang pegawai polis berkulit putih pun tiba, Aku bertanya kepada salah seorang daripada mereka: Kenapa kamu tak habis-habis menindas kami?,

Dia pun membalas, “Itu aku tak tahu, tetapi undang-undang wajib dipatuhi dan sekarang aku terpaksa tahan kamu. ] Rosa Parks, Rosa Parks: Merentap Belenggu Perkauman, (terjemahan Dian Salleh), K.Lumpur” Inisiatf Buku Darul Ehsan (IBDE), 2019, hal.13-14).

Siapakah Rosa Parks?

Rosa Parks adalah perempuan pasangan James McCauley dan Leona Edwards. James berasal dari Abelie, Alabama manakala Leona dari Pine Level,  Montgomery, Alabama. James adalah seorang tukang kayu dan jurubina, Leona adalah seorang guru. Mereka berkahwin pada 12 April 1912 ketika masing-masing berusia 24 tahun. Setelah berkahwin, pasangan itu pindah ke Tuskagee, Alabama. Tuskagee dipilih kerana bandar itu  adalah “suatu bandar contoh dengan latar belakang hubungan antarkaum yang baik.” (hal.18).

Rosa Parks lahir sepuluh bulan kemudian (4 Februari 1913), di Tuskagee, Alabama. Mereka tinggal berhampiran Tuskagee Institution, satu-satunya sekolah untuk anak kulit hitam yang ditubuhkan oleh seorang pendidik dari keluarga kulit hitam, Booker T Washington (anak pasangan hamba yang di Virginia, 1856-1915)  tahun 1881.

Ingat Rosa: Aku dilahirkan lebih kecil daripada kebiasaan. Selain itu, aku juga mudah jatuh sakit.” (hal.19). Rosa juga mengalami radang tonsil sepanjang usia kanak-kanak (hal. 24).

Cerita Rosa Parks lagi, ketika ibu hamil: Ibu terpaksa berhenti mengajar sehingga saat aku dilahirkan dan dia sering bercerita betapa galaunya perasaan ketika itu, seorang ibu hamil yang tidak kenal ramai orang.

“Zaman itu, wanita hamil tidak banyak berjalan dan bergaul seperti sekarang. Mereka lebih banyak menyendiri. Ibu berkata, dalam tempoh itu, dia akan menangis melayan hiba hampir sepanjang masa kerana betul-betul dirundung runsing memikirkan dirinya yang masih mentah dalam hal membesarkan anak-anak.” (hal.19).

Sebagai tukang kayu, James seringkali meninggalkan isteri yang sedang hamil kerana meraih rezeki. Bagaimanapun, ibu Rosa sedikit beruntung kerana Robert, adik iparnya sentiasa ringan tulang, membantu Leona membuat kerja-kerja rumah ketika “menghadapi hari-hari yang sukar seperti itu selaku seorang ibu muda.”

Robert juga seorang tukang kayu yang mahir, seperti juga suaminya, James. Mereka mungkin mendapat kemahiran itu ketika bersekolah di Tuskagee Institution.

Kenapa Rosa Parks

Rosa Parks adalah seorang wanita yang muncul sebagai aktivis kulit hitam yang berani memperjuangkan ‘hidup bebas’ , melawan diskrimasi kulit putih, termasuk undang-undang yang dikenali sebagai apartheid oleh masyarakat Afrika Selatan – tepatnya segregasi kulit berwarna oleh sebaik sahaja benua Amerika Syarikat dijajah oleh sekelompok penghijrah kulit putih dari Eropah pada awal Abad ke-17.

Sekitar tahun 1700-an, mahkamah memutuskan bahawa kulit hitam yang dibawa masuk dari Afrika dan kaum Asli dibebankan dengan kos membawa mereka –kos pengurusan buruh- untuk bekerja di ladang atau perusahaan yang dimiliki usahawan kulit putih. Sisi buruk kapitalisme yang bagi Karl Mrx disifatkan sebagai punca lahirnya kelas sosial – borjuis dan proletar.

Orang kulit berwarna (dan juga penduduk Asli) dijadikan hamba, dan kisah perhambaan itu cukup menarik apabila kita membaca novel karya Alex Hailey (1921-1992),  Roots: The Saga of American Family (1976), dan novel Harriet Beecher Stowe (1811-1896,  Uncle Tom’s Cabin: Life Among the Lowly (1851).

Stowe telah berjaya membangkitkan Perang Saudara,  ketika gerakan anti perhambaan menjadi sedikit lesu kesan daripada doktrin Young America. Uncle Tom’s telah berjaya dijual sehingga 4 juta naskhah menjelang  Perang Saudara pada tahun 1861.

Ketika dijemput ke Rumah Putih (1862), Stowe hanya tersenyum tatkala disambut oleh Abraham Linclon (Presiden ke-16). Abraham  Lincoln (1809-1865) berkata: “Jadi, kaulah wanita yang menulis buku penyebab kepada perang besar ini!”.  Akibat penamatan Perang Saudara, Abraham Lincoln menjadi mangsa pembunuhan pada hari sambutan Good Friday, Jumaat 14 April 1865.

Kisah hari-hari terakhir Abraham Lincoln dan pembunuhnya, John Wilkes Booth (1938-1965) cukup menarik ditulis oleh Carl Sandburg (1878-1967), Abraham Lincoln: Tahun-Tahun Akhir Perang, dari tiga jilid biografi Abraham Lincoln. (Terjemahan Amin Ahmad, Rawang: Awal Nadhah Resources- IBDE, 2017, dalam bab 65 dan 66).

Kesan daripada tulisan Stowe dikatakan tidak kurang tiga puluh buku diterbitkan untuk melawan atau mempertikaikan naratif melawan perhambaan, yang  terawal dikesan ialah karya Mary Henderson  Eastman (1818-1887), Phillip’s Cabin: Or Southern Life as It Is’ (1852). Eastmen adalah seorang ahli sejarah dan penyokong sistem perhambaan.

George Orwell yang terkenal dengan Animal Farm dan 1984, mengejek karya Stowe sebagai ‘novel buruk yang baik’,  melodrama yang melatarinya  bukan mempunyai ‘nilai sastera yang baik’ biarpun  membawa naratif dunia nyata sistem perhambaan, kisah kelompok malang hamba kapitalisme.

Uncle Tom’ Cabin membawa pembaca ke dunia jual beli manusia (bukan kisah Tiga Abdul), di mana anak-anak dipisahkan daripada ibu bapa, ditangkap dan dibawa “ke dunia baru” sebagai hamba abdi. Tatkala itu, sistem perhambaan diinstitusikan oleh kebanyakan negeri di Amerika Syarikat dan di beberapa buah  negara Eropah.

Stowe pada mulanya menangis dan meratapi kematian anak keenamnya, Charley akibat wabak taun yang menyebabkan lebih 9,000 rakyat Amerika Syarikat terkorban. Kematian Charley (1849, (ketika berumur setahun) yang disifatkan sebagai “kebanggaan dan harapanku” menjadi titik tolak Stowe sehingga terilham menulis novel Uncle Tom’s Cabin, mengandaikan begitulah perasan seorang ibu apabila kehilangan anak secara mengejut atau terpaksa.

Akibat ‘tidak dapat lari dari bayangan penderitaan’, Stowe merasa kesal kerana tidak dapat ‘melakukan apa-apa’ . Perasaan kesal, kecewa dan sedih itu telah membawanya menyelami perasaan wanita lain yang hilang anak lelaki mereka yang dijual sebagai hamba abdi yang digambarkan sebagai “gunung berapi Beerenberg, [Norway], menunggu masa untuk meletus.” Ia adalah simbol perjuangan melawan perhambaan dan penindasan sesama manusia.

Segregasi kulit berwarna

Awal daripada penentangan dan kebencian Rosa Parks bermula daripada pengalamannya yang dipaksa mengosongkan tempat duduk untuk diberikan kepada penumpang kulit putih pada tahun 1955 itu cukup menggambarkan diskriminasi kaum masih lagi diamalkan walaupun Abraham Lincoln pada tahun 1865 berjaya meluluskan sebuah peraturan penghapusan segregasi kaum.

Sembilan puluh tahun selepas undang-undang perhambaan ditamatkan, Rosa Parks mengalaminya dan pengalaman itu menjadikan dirinya semakin kental untuk menggerakan hak-hak sivil,  menentang setiap perlakuan yang menjurus kepada diskriminasi, sama ada dalam praktis kehidupan mahupun undang-undang.

Latar diskriminasi itu kemudiannya berkembang menjadi white supremacy yang kini masih terus berlaku di Amerika Syarikat dan juga lain-lain negara: di New Zealand (Tregdi Chirstchurh pada 15 Mac 2019)  dan di Oslo, Norway (22 Julai 2011), membabitkan tembakan ke atas sekumpulan pelajar yang berkhemah di Pulau Utoya,  17 buah pejabat kerajaan termasuk  di luar pejabat Perdana Menteri. Jens Stoltenberg.

Perhambaan tidak sahaja berlaku dalam kalangan keturunan Afrika, bahkan menurut Rosa Parks: “...orang miskin kulit putih akan dikutip sebagai buruh kontrak.  Mereka menandatangani perjanjian menjadi tenaga buruh untuk sesuatu tempoh masa sebagai tukaran bayaran tambang ke Amerika Syarikat.  Sepanjang tempoh tersebut, buruh-buruh sedemikian tidak punya apa-apa hak dan dilayan seteruk hamba abdi.” (hal.25). Dalam istilah sekarang, ia dkategorikan sebagai salah satu definisi ‘pemerdagangan orang’.

Ia berlaku di pelabuhan Charleston, South Carolina. Mereka kemudiannya  dibawa ke Alabama, sebagaimana dialami oleh moyangnya, Percival berketurunan Scotch-Irish, “lelaki kulit putih yang tidak merdeka.

Selanjutnya, Rosa Parks menceritakan: “Moyangku pun mengahwini Mary Jane Nobles, seorang hamba abdi berkulit hitam yang sama sekali tidak mempunyai latar keturunan orang putih. Dia merupakan seorang bidan yang menyambut kelahiran dan menjaga bayi-bayi yang baru lahir.

“Sebelum perisytiharan pembebasan hamba abdi oleh presiden Abraham Lincoln, mereka berumahtangga dan mempunyai tiga cahaya mata, dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

“Enam orang anak anak mereka yang lain dilahirkan merdeka. Anak sulung mereka, Rose – yakni nenekku – baru saja berusia lima tahun sewaktu tamatnya Perang Saudara setelah kemenangan Kesatuan menumbangkan negeri Konfederasi.” (hal.25-26).

Bermain di dalam lubang

Merdeka dimaksudkan  pemansuhan ‘tahun-tahun perhambaan’,  manusia yang dibawa dari Afrika (kulit hitam) dan juga “kulit putih yang tidak merdeka’ (dijadikan hamba abdi) di Amerika Syarikat.

Sebelum ‘merdeka’, dari cerita neneknya, Rosa Parks menulis: tetuan akan mengarahkan hamba-hamba mereka menggali lubang bagi menyembunyikan harta berharga milik mereka antaranya pinggan mangkuk, barangan perak dan juga barangan kemas.

“Anak-anak hamba akan disuruh bermain-main atau duduk di dalam lubang yang baru digali untuk memampatkan lantai tanah.” (hal.26).

Terjadi sedikit kebebasan selepas ‘merdeka’, para hamba sudah ada hak untuk membeli tanah dan  bebas meninggalkan ‘tempat itu’ bila-bila masa saja jika mereka mahu. Namun sebahagian hamba tidak berganjak kerana “mereka tidak tahu tujuan selain berat hati meninggalkan kediaman masing-masing. Moyangku tetap tinggal di pondok kayu mereka di atas tanah Wright dan terus bekerja dengan keluarga itu. ..

“Aku tidak pasti cara dan waktu mereka membeli tanah, tetapi sejurus Pengisytiharan Pembebasan, moyangku telah membeli 12 ekar tanah yang sebelumnya merupakan sebahagian daripada ladang pertanian Hudson.” (hal. 26-27).Keluasan tanah itu meningkat kepada 18 ekar selepas beberapa tahun. Ia dibeli oleh keluarga Rosa.

Menurut Rosa Parks, moyang lelakinya merupakan ‘orang kulit putih bernama John Edwards’ manakala moyang perempuanku: ‘seorang hamba abdi yang bekerja sebagai pembantu rumah dan tukang jahit, dia tidak pernah bekerja di ladang.’

Tetapi: “Aku fikir dia juga barangkali mempunyai darah campuran orang kulit putih kerana datukku, yakni hasil daripada hubungannya dengan tuannya, mirip orang kulit putih. Moyang perempuanku arwah ketika datukku masih kecil dan berapa lama kemudian John Edwards juga meninggal.

Selepas pemergian kedua-dua orang tuanya, datukku Sylverster dilayan dengan teruk sekali. Penyelia ladang bernama Battle telah mengambil alih ladang pertanian dan oleh sebab dia begitu benci terhadap datukku, dia akan membelasah datuk sesuka hatinya setiap kali dia ternampak batang hidung datukku. ….makanan yang selalu masuk ke mulutnya hanyalah saki baki lauk-pauk yang disimpan dan diberikan kepadanya secara sembunyi oleh tukang masak.

“Penyelia tidak henti-henti menderanya, tidak memberi dia makan, bahkan tidak membenarkan dia memakai kasut sehinggakan dia memendam kebencian mendalam terhadap orang kulit putih. Datuklah orang yang menyemai keberanian untuk melawan dalam sanubari anak-anak serta cucu-cicitinya.  Daripada dialah semangat membara ini diwarisi dalam keluarga kami” , tambah Rosa Parks (hal.28-29).

Ia merupakan sesuatu yang lazim dan menjadi budaya: “tiada orang kulit putih yang tergamak untuk berjabat tangan dengan orang kulit hitam. Apatah lagi, orang kulit hitam dlarang untuk memperkenalkan diri dengan nama keluarga, hanya nama hadapan sahaja dibolehkan….orang kulit hitam tidak dibenarkan sapa orang kulit putih dengan nama mereka tanpa gelaran ‘encik’ atau ‘cik’.

“Datukku memang secara umumnya tidak menyukai orang kulit putih. Dia begitu seronok dapat mengenakan dan mentertawakan orang putih di belakang mereka.

Datuk melarang aku dan adik lelaki daripada bergaul dengan anak-anak orang kulit putih….Apa sahaja yang dia boleh buat, dia buat.  

“Daripada sekecil-kecil benda yang kelihatan remeh-temeh, asal sahaja boleh dilempiaskan kebenciannya itu, dia langsung tidak teragak-agak. Orang kulit putih pula seperti tidak berani mengapa-apakannya kerana sikap ketegarnya itu. Entah macam mana dia berupaya hidup lama dengan perangai macam itu, “ (hal. 30-32) beber  Rosa Parks.

Menurut Rosa, ibunya melanjutkan pelajaran ke Universiti Payne, dan selepas itu mengajar di Pine Level, yang menjadi tempat pertemuan dengan ayahnya. Tidak lama kemudian mereka berkahwin.

Selepas melahirkan Sylvester (1915), Leona kembali mengajar tetapi di Spring Hill dan , mereka terpaksa berjauhan. Rosa dan adik lelakinya tinggal bersama datuk dan nenek, yang kadangkala sangat gembira apabila dibawa memancing ikan.

Ketika berusia sepuluh tahun, Rosa bertembung dengan seorang budak lelaki kulit putih, Franklin. Franklin mengancam akan melemparkan batu ke muka Rosa. Rosa mencabarnya. Fraklin yang ketakutan melarikan diri.

Setelah lama berlalu, Rosa menceritakannya kepada neneknya. Rosa dijerkah dan dinasihati agar tidak mengulanginya. Perbuatan itu boleh mengundang masalah besar, jika melibatkan kulit putih tanpa melihat siapa  yang bersalah atau melakukan provokasi.

Pada nenek: “aku seorang panas baran dan pendek akal” dan jika tidak berhati-hati, “aku pasti nahas dibelasah beramai-ramai sebelum usiaku mencecah 20 tahun..”

Atas pendirian itu, Rosa melihat neneknya: “melebih-lebih Franklin berbanding cucunya sendiri.” Setelah sekian lama, Rosa dapat menyingkap makna ‘nasihat’ tersebut, kerana pada masa itu, di bahagian Selatan: “..orang kulit hitam boleh dibelasah malah dibunuh hanya kerana perilaku demikian.” (hal.36-37).

Apa yang berbeza antara sekolah ‘kulit hitam’ dan ‘sekolah kulit putih’ ialah tempoh pengajarannya: dalan setahun,  hanya lima bulan berbanding sekolah kulit putih, sembilan bulan.

Begitu juga apabila tuan mereka (kulit putih) meninggal dunia, hamba abdi dipaksa pura-pura sedih dengan  “diludahi jari dan membasahkan pipi sendiri seolah-olah mereka benar-benar menangis.” (hal.43)

Pengalaman lain ialah: ‘sebuah bas yang dipenuhi kanak-kanak kulit putih melintasi kami lalu tangan-tangan nakal mereka melempar sampah-sarap ke luar tingkap. …Setiap kali kami melihat bas sekolah menuju ke arah kami, kami akan cepat-cepat berlari ke bahagian padang, menjauhi jalan raya.

“Kami tidak memiliki sesuatu yang disebut ‘hak awam’, maka kami tidak punya ruang untuk dibantah. Kami mencari akal untuk bertahan – macam perbuatan elak bas tadi – supaya kami terus boleh hidup dari hari ke hari.” (hal.44).

Ketika berusia enam tahun: “…aku sudah matang mengerti bahawasanya kami bukanlah kaum yang bebas. Gerombolan Klu Klux Klan akan menceroboh masuk ke kawasan orang kulit hitam dan membuat berbagai-bagai onar.

“Mereka membakar gereja, membelasah orang, malah membunuh. Klu Klux Klan …barisan tentera Afrika-Amerika yang kembali dari Perang Dunia Pertama mula menuntut hak samarata atas alasan telah berjuang di medan perang.

Orang kulit putih tidak dapat menerima orang kulit hitam yang bersikap sedemikian, maka mereka mula berbuat kekecohan dan kekerasan ke atas orang kulit hitam untuk memperingatkan kembali bahawanya orang kulit hitam tidak mempunyai apa-apa hak….(hal. 45).

Tulis Rosa Parks: Aku dengar betapa ramai orang kulit hitam ditemui mati dan tiada siapa tahu perkara sebenarnya yang telah berlaku. Mayat-mayat mereka segera dikebumikan.

“Kadang-kadang aku ditanyakan alasan aku mampu hidup dalam serba ketakutan seperti itu, tetapi itu sahajalah cara aku tahu dan Pine Level adalah satu-satunya tempat yang aku tahu.” (ha.47)

Rosa kemudian bersekolah di Montgomery dan tinggal bersama ibunya, tetapi ada sedikit curiga ketika didaftarkan: …tidak dapat naik gred enam’ dan bisik hati kecil Rosa: ‘…mereka fikir barangkali aku agak terkebelakang’ kerana ‘…datang dari sekolah pedalaman” walaupun ‘…sudah tamat gred lima’ .

Rosa mendapat biasiswa setelah: “…ibu kesempitan wang untuk membayar yuran sekolah. Aku akan mengelap meja, menyapu sampah, mengosongkan bakul sampah dan membersihkan papan hitam sekiranya ia tidak digunakan untuk pengajaran kelas berikutnya.

“Aku tahu sekolah ini bukan ditampung menerusi wang yuran semata-mata. Aku fikir Puan White menerima bantuan sedikit sebanyak daripada gereja Presbysterian atau Congretional sekitar Montgomery.

“Dia barangkali mendapat bantuan daripada Encik Julius Rosenwald, kerana pernah sekali di hadir di sekolahku. Kami tidak diperkenalkan, tetapi kami sudahpun mengenali siapa dirinya….seorang jutawan….mempunyai minat yang tinggi terhadap pendidikan, khususnya kanak-kanak kulit hitam di Selatan.” (hal.61-62).

Segregasi kaum dipraktikkan secara meluas di bahagian selatan, walaupun hampir seratus tahun lalu ianya telah ditamatkan (1865). Kisah itu menjadikan Rosa Parks semakin bersemangat berjuang dan akhirnya meletakkan dirinya  sebagai wanita pertama memperjuangkan hak-hak sivil, selepas dihalau oleh pemandu bas pada 1 Disember 1955.

Di dalam bas, orang kulit putih akan duduk di barisan hadadapan, manakala kulit berwarna di bahagian belakang. Sekiranya tempat duduk orang kulit putih kosong, orang kulit hitam dipaksa berdiri, untuk diberikan kepada penumpang kulit putih. Kejadian itu berlaku pada 1 Disember 1955, ketika pulang dari kerja. Bagi Rosa, pemandu bas ‘kulit putih yang jahat.’ Rosa kemudiannya ditahan oleh polis.

Semasa ditahan,  Rosa Parks (nama sebenarnya Rosa Louise McCauley) sudahpun berkahwin dengan Raymonds Parks (1932). Ketika itu Rosa berusia 19 tahun manakala Raymond 29 tahun (lahir 1903). Raymond bekerja sebagai  tukang gunting rambut, dan tidak bersekolah, hanya diajar menulis dan membaca oleh ibunya.

Ini kerana tiada sekolah untuk anak-anak kulit hitam di kawasan kediamannya, di Wedowee, Alabama, timur laut Montgomery. Ayah Raymond meninggal ketika dia masih kecil akibat: ‘…terjatuh dari bumbung rumah ketika bekerja sebagai tukang kayu.” (hal.75)

Rosa juga ‘kehilangan’ ayahnya. Ayahnya tidak pulang rumah dan mereka dikatakan sudah berpisah selepas beberapa tahun adiknya, Sylvester lahir, dan dalam masa yang sama, Leona melanjutkan pendidikan untuk mendapatkan ‘lesen perguruan’.

Semasa bersekolah di Pine Level, dalam serba kekurangan peralatan, Rosa sering berjalan kaki. Anak-anak kulit hitam tidak dibenarkan menaiki bas. Selama lima tahun Rosa belajar. Semasa berusia 11 tahun, mereka berpindah ke Montgomery.

Rosa memasuki Montgomery Industrial Schools for Girls, selepas menghabiskan pendidikan asas di sekolah Puan White. Sekolah Puan White kemudiannya ditutup kerana tidak ada guru yang sanggup menguruskannya apabila Puan White mengumumkan persaraannya. Guru-guru lain merasakan mereka juga patut bersara kerana ‘sudah tua’. Hampir semua guru berkult putih.

Kemudian, Rosa melanjutkan pelajaran ke Alabama State Teacher’s College, tetapi tidak tamat, berhenti untuk  menjaga neneknya yang sakit. Selepas neneknya meninggal dunia, Rosa bekerja sebagai penjahit pakaian di  Montgomery Cleveland Park Avenue.

Raymond tidak menghalang Rosa untuk meneruskan pengajiannya, dan setahun selepas berkahwin, berjaya mendapat sijil sekolah menengah (1933). Tahun 1943 dilantik sebagai Setiausaha NAACP (National Association for Advancement of Coloured People), yang ikut disertai oleh Raymond sejak mereka menikah lagi.

Detik itu  menjadi kisah permulaan pembabitan Rosa Parks dalam organisasi gerakan sivil, walaupun tidak seaktif suaminya. Raymond Parks sentiasa berpesan, pembabitan dalam pertubuhan sebegitu, sangat ‘mengundang bahaya besar’, termasuk kemungkinan dibunuh. (hal. 103)

NAACP ditubuhkan 12 Februari 1905 (mengambil sempena tarikh lahir Abraham Lincoln) oleh sekumpulan keturunan Afrika-Amerika dan Kaukasia sebagai saluran kumpulan pembantah segregasi kaum. NAACP beribupejabat di New York. Cawangan Montgomery, Alabama, Birmingham dan Mobile ditubuhkan pada tahun 1940-an.

Mengenai pengalaman pertama dalam NAACP, Rosa menulis, tidak ada wanita yang menyertainya, kecuali Johnny Carr, rakan ketika bersekolah  di Sekolah Puan White. Setelah membaca laporan Alabama Tribune, timbul rasa ingin bertemu dengan Carr. Rosa kemudiannya hadir Mesyuarat Tahunan (Disember 1943), tetapi tidak ketemu Carr. Carr tidak hadir, manakala kesemua yang hadir adalah lelaki, iaitu antara 12 hingga 15 orang.

Setelah membayar yuran keahlian, Rosa dipilih sebagai Setiausaha dan mula menjadi pencatat walaupun tidak dibayar gaji. Rosa berkata: Aku amat menyukainya tugasku itu malah Parks juga menyokong penglibatanku itu.” (hal.104)

Akibat dihalau turun oleh pemandu bas (J Frake Blake) pada 1 Disember 1955, ia cukup menyebabkan perkhidmatan bas Montgomery lumpuh dan kemudiannya dibubarkan akibat masalah kewangan. Boikot digerakkan bersama oleh NAACP, The Women’s Political Council (WPC), dan Martin Luther King Jr. WPC diketuai presidennya,  Jo Ann Robinson.

Pada kejadian itu, tiga orang penumpang kulit hitam telah mengosongkan tempat duduk setelah diarahkan, kecuali Rosa. Pemandu bas yang sombong itu menyoal: Kenapa kamu tidak berdiri?. Rosa menjawab: Saya tidak fikir, saya harus berdiri.”  Rosa kemudiannya dihalau dan membebel: Pemandu bas  yang menghalau aku adalah seorang yang jahat’.

Muncul pula andaian bahawa perempuan sedang keletihan (fizikal) dalam perjalanan pulang kerja. Namun, Rosa menyangkalnya, dirinya bukan letih fizikal, tetapi ‘letih untuk beralah’.

Setelah ditahan, Rosa diberikan peluang untuk menghubungi orang-orang terdekat. Rosa menelefon suaminya, Parks, tetapi Parks juga sudah ditangkap. Rosa hubungi pula ED Nixon, yang kemudiannya berjaya mengeluarkannya dari tahanan.

ED Nixon seterusnya menyusun perancangan untuk memboikot perkhidmatan bas Montgomery bersma-sama lain-lain pertubuhan sivil.  Iklan dipasang dan diterbitkan dalam akhbar tempatan, selain dicetak dan diedarkan ke komuniti Afrika-Amerika.

Mereka mengesyorkan tidak menggunakan perkhidmatan bas untuk pergi dan balik ke tempat kerja, pada hari Isnin 5 Disember 1955. Hari itu adalah hari Rosa dihadapkan dengan perbicaraan, atau dikenali Hari Persidangan Untuk Rosa.

Komuniti kulit hitam mengambil keputusan bercuti pada hari itu, manakala mereka yang terpaksa bekerja, mencari alternatif sama ada berjalan kaki, menaiki teksi atau menggunakan kereta (termasuk berlongsi kereta) ke tempat kerja.

Mereka kemudiannya menubuhkan  Montgomery Improvement Association (MIA). Dr Martin Luther King Jr dilantik sebagai ketua dan digunakan kesempatan itu untuk berceramah di gereja untuk membangkitkan persoalan hak masyarakat sivil.

Rosa diputuskan bersalah melanggar peraturan  segregasi. Dia didenda sebanyak  10 dolar (sebagai percubaan) dan ditambah dengan 4 dolar sebagai kos pembicaraan.

Tindakan boikot menimbulkan kemarahan penduduk kulit putih sehingga membangkitkan radikalisme kulit putih. Mereka mengebom  rumah ED Nixon dan Dr Martin Luther King. Walau bagaimanapun, reaksi ganas penduduk kulit putih tidak dapat menghalang boikot, ia berlangsung sehingga lebih setahun (381 hari).

Sekitar 20,000 orang keturunan Afrika-Amerika terus memboikot perkhidmatan bas Montgomery (merupakan antara 78 hingga 90 peratus dari kesemua penumpang harian). Mahkamah Agung memutuskan bahawa peraturan segregasi etnik tidak berperlembagaan (13 November 1956). Boikot itu berakhir pada 20 Disember 1956. Walau bagaimanapun, keseluruhan boikot itu disokong oleh 400,00 orang masyarakat kulit hitam. Ia mendapat liputan meluas media tempatan, kebangsaan dan antarabangsa.

Selepas itu, Rosa berhadapan dengan pelbagai kesukaran: hilang kerja, suaminya dipecat oleh pemilik kedai gunting rambut. Mereka kemudiannya berpindah ke Detroit, Michigan. Rosa bekerja sebagai Setiausaha dan penyambut tetamu di pejabat ahli Kongres, John Conyers (1929-2019) dan terbabit dalam Persekutuan Perancang Keluarga Amerika Syarikat. September 1988, Rosa bersara dan terus berkongsi pengalamannya sebagai aktivis gerakan sivil.

Antara tahun 1977-1979, Rosa kehilangan tiga orang yang sangat penting dalam hidupnya: suami (1977), ibu (1979) dan adik lelakinya, Sylvester. Mereka meninggal akibat kanser. Tahun 1987, Rosa bersama rakan karibnya, Elaine Eason Steele menubuhkan Rosa and Raymond Parks Institute for Self-Development, pusat pendidikan hak-hak sivil khusus untuk generasi muda.

24 Oktober 2005, Rosa meninggal dunia ketika berusia 92 tahun, akibat  ‘progressive dimentia’, penyakit ‘gangguan sistem otak sehingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu mengurus diri sendiri’. Jenazahnya dikebumikan di Capitol Ratunda, Washington DC. Rosa merupakan  wanita pertama dikebumikan di situ.

Membaca biografi ini cukup menyegarkan dan menarik minat untuk memahami gerakan sivil dalam sejarah segregasi kaum di Amerika Syarikat, walaupun isu perkauman secara legalnya telah dimansuhkan (1856), ia terus berlaku hingga kini. Kita masih mendengar, walaupun Amerika Syarikat merupakan pelopor demokrasi antarabangsa, ia belum bebas daripada perbalahan etnik, sentiasa muncul di lingkungan sekolah, masyarakat awam (kejiranan dan perumahan) dan pola pengundian.

Setiap kali Pilihanraya Presiden berlangsung misalnya, persoalan etnik menjadi salah satu isu yang dilihat membelenggu proses pengundian di peringkat awal. Barrack H Obama pernah dihadapkan dengan isu agama dan keturunan,  walaupun lahir, membesar dan bersekolah di Hawaii.

Begitu juga asal-usul Donald Trump dan isterinya Melanie. Bagaimanapun, isu-isu tersebut tidak menafikan kemenangan Obama, Trump dan gandingan Joe Biden – Kamala Harris (keturunan Amerika-Asia (India) pertama dipilih sebagai Naib Presiden).

Di perenggan akhir biografinya, Rosa menulis:“…sesungguhnya perjalanan kita dalam hal ini masih lagi jauhAku cuba menaruh harapan, tetapi ia bukanlah [se]suatu yang mudah.

“Aku telah menghabiskan separuh usiaku mengajar untuk berkasih sayang dan bersaudara dan aku tetap percaya bahawa berkasih sayang adalah lebih baik berbanding hidup saling membenci dan penuh curiga.

Hidup bersama dengan aman dan sentosa…inilah matlamat kita dan semakin ramai mempunyai kejernihan fikiran seperti ini, maka semakin cerahlah masa hadapan kita.” (hal.231)

KAMARUN KH

Translate »