Melihat dari segi reka bentuk atau seni bina Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid Sultan Salahuddin, Shah Alam, Balai Kesenian Islam Masjid Putrajaya dan Masjid Kubang batang ,Tumpat kelantan jelas sekali menggambarkan betapa cemerlangnya seni bina Islam dan ini berpadanan dengan taraf yang diberikan kepada Islam sebagai agama rasmi Negara ini.

Pada ketika ini ia menjadi kebanggaan oleh segenap lapisan masyarakat kerana berjaya menggabungkan pelbagai unsur kesenian yang terdapat pada seni bina Islam dari seluruh dunia.

Ketinggian seni bina Islam tergambar pada hasil yang dilahirkan daripada pelbagai arkitektur Andalusia yang melahirkan masjid agung Cordova dan istana al-Hambra, arkitektur Uthmani mengilhamkan masjid Sultan Sulaiman di Istandul (Masjid Biru). Manakala arkitektur Asia Tengah iaitu arkitektur Monggol membawa kepada terbinanya Taj Mahal.

Hubungan antara arkitektur dalam Islam diwujudkan oleh kreativiti estetika dan teknik yang bertolak daripada ilham keagamaan.

Tidak diragukan bahawa Islam mempunyai hubungan dengan arkitektur. Hubungan itu terwujud dalam kenyataan bahawa tenaga yang menggerakkan kreativiti seni arkitektur Islam adalah Islam.

Sebelum Islam tidak ada arkitektur yang disebut dalam arkitektur Islam. Kerana intisari Islam adalah tauhid, maka dapat dikatakan bahawa tenaga yang menggerakkan seni arkitektur Islam, palin g tidak sebahagiannya adalah tauhid.

Pengaruh tauhid tergambar  misalnya pada ikonoklasme atau akinonisme iaitu larangan agama untuk menggambarkan makhluk bernyawa. Menggambarkan makhuk bernyawa seperti menyaingi Tuhan kerana yang berhak menciptakan makhluk bernyawa hanyalah Allah. Larangan tersebut merupakan sikap berhati-hati agar tidak ada yang disembah selain Allah s..w.t.

Gambar, patung makhluk bernyawa atau selain Allah s.w.t. sering disembah sebelum kedatangan Islam di Jazirah Arab.

Larangan ini dimanifestasi pada hiasan atau dekorasi dinding bangunan bersih daripada gambar makhluk bernyawa. Kesannya, dekorasi yang digemari adalah kaligrafi sebagai saranan untuk mengungkapkan ayat-ayat al-Quran, bentuk-bentuk geometrik dan awan larat Arab.

Secara kasar, arkitektur Islam dapat dibahagikan kepada dua jenis: arkitektur keagamaan dan arkitektur sekular. Arkitektur keagamaan diciptakan untuk melayani fungsi keagamaan seperti masjid, madrasah dan makam sedangkan arkitektur sekular diciptakan untuk melayani fungsi sekular seperti istana, benteng, pasar dan kravansi (sejenis hotel berhalaman luas, tempat menginap para kafilah).

Ini tidak bererti bahawa bangunan-bangunan keagamaan seperti masjid tidak diguna untuk kegiatan-kegiatan sekular, sosial, politik dan  kebudayaan dan tidak pula bererti bahawa bangunan-bangunan sekular seperti istana tidak diguna untuk kegiatan-kegiatan keagamaan ibadah ritual.

Pada hakikatnya bangunan-bangunan keagamaan dan sekular sering melayani fungsi-fungsi keagamaan dan sekukar sekali gus.

Masjid adalah wakil yang paling menonjol sebagai arkitektur Islam. Oleh kerana itu masjid adalah arkitektur Islan yang tiada bandingan.

Arkitektur Islam bermula dari masjid. Masjid pertama adalah masjid Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah. Masjid ini adalah sebuah bangunan yang sederhana yang belum mempunyai ciri-ciri khusus arkitektur seperti menara, mihrab dan kubah. Masjid pada waktu itu digunakan semata-mata tempat beribadah kepada Allah dan tempat berkumpul umat Islam. Namun, arkitektur Islam tumbuh dan berkembang semula daripada bangunan sederhana itu. Bangunan itu menjadi model bagi masjid-masjid hari ini dengan tata ruang halaman dasar yang sama dengan kawasan solat ke arah dinding kiblat.

Masjid adalah aspirasi keagamaan Islam yang bertolak daripada iman kepada Allah s.w.t. Iman kepada Allah ialah menuntut penyerahan diri, ketundukan, kepatuhan (Islam) seseorang kepada-Nya. Penyerahan diri itu secara khusus termanifestasi dalam ibadah-ibadah solat, puasa, zakat dan haji dengan syahadah sebagai pusat utamanya.

Syahadah, solat, puasa, zakat dan haji adalah rukun Islam. Diantara rukun Islam ini, solat adalah rukun yang paling berkait atau paling erat dengan masjid. Kerana ketika solat, seseorang harus mengadap ke arah Kaabah di Mekah, maka masjid pada umumnya dibangunkan mengadap ke arah yang sama.

Pada hakikatnya umat Islam tidak harus menumpukan atau berlebih-lebihan terhadap nilai-nilai arkitektur dan estetika sesebuah masjid kerana yang terpenting hari ini ialah soal penyatuan atau kesatuan umat serta bagaimana untuk mengembalikan funsi asal peranan masjid tersebut.

Masjid harus dimanfaatkan untuk menyebar ajaran agama Islam disamping menyatupadukan mereka demi mengukuh dan meningkatkan imej agama Islam. Seakan-akan nilai arkitektur dan estetika dijadikan faktor utama untuk menutup kekurangan atau kelumpuhan yang berlaku dalam masyarakat.

Seperti yang berlaku dalam sejarah Islam tidak kurang daripada 10 peranan yang dimainkan oleh masjid Nabawi iaitu tempat ibadah, komunikasi, pendidikan, sosial, ketenteraan, kesihatan, perdamaian atau tempat pengadilan, menerima tamu, tempat tawanan tahanan dan pusat penerangan atau pembelaan agama.

Peranan yang begitu luas pada masa itu adalah disebabkan masyarakat yang sangat teguh berpegang kepada nilai, norma dan jiwa agama dan sikap pemerintah yang begitu mengambil berat tentang peranan masjid.

Catatan : Ibnu Majid

Translate »